Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ekonomi tetap bergerak jika PKP dilaksana semula – MB

SHAH ALAM, 27 JULAI: Sektor ekonomi di Selangor tetap bergerak jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana semula memandangkan kemudahan internet meluas di kawasan bandar utama.

Dato’ Menteri Besar bagaimanapun berkata tindakan memutuskan rantaian Covid-19 tetap memberi kesan negatif kepada sektor ekonomi.

“Kita beruntung kerana Selangor ada kemudahan infrastruktur seperti jaringan internet meluas.

“Kita dah buktikan ekonomi tetap bergerak pada PKP sebelum ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Bagi Draf Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini.

Kerajaan melaksanakan PKP berkuat kuasa 18 Mac lalu yang melarang aktiviti ekonomi serta sosial kecuali bagi perkhidmatan penting.

Semua sektor dibuka secara berperingkat mulai 4 Mei dengan pelaksanaan PKP Bersyarat disusuli PKP Pemulihan pada 10 Jun.

Isnin lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penutupan semula sektor ekonomi boleh menyebabkan negara kehilangan sekurang-kurangnya RM2 bilion sehari.

Categories
EKONOMI EXCO SELANGOR

Selangor terus jadi pilihan pelabur dan pekerja mahir

PETALING JAYA, 1 FEB: Selangor terus menjadi pilihan utama pelabur di negara ini apabila merekodkan pelaburan RM16.4 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2019, kata Dato’ Teng Chang Khim.

EXCO pelaburan berkata nilai itu dua kali ganda berbanding 2018 bagi tempoh sama mengikut statistik dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Statistik dikeluarkan MIDA, sehingga September 2019, Selangor berjaya merekodkan pelaburan langsung RM16.4 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2019 berbanding RM8.3 biilion bagi tempoh masa sama bagi 2018, mewakili peningkatan hampir dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

“Dengan nilai pelaburan tinggi ini, Selangor juga terus menjadi destinasi utama pekerja mahir dan separa mahir dari pelbagai kaum dan budaya untuk mencari peluang pekerjaan serta bermastautin di sini.

“Hasilnya, Selangor tampil dengan keunikan kepelbagaian dan permuafakatan antara kaum dan budaya, yang mempunyai kekuatan modal insannya sendiri,” katanya pada Rumah Terbuka Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina di Dataran Petaling Jaya.

Chang Khim berkata Kerajaan Negeri sentiasa berusaha menjadi negeri aman dan makmur ke arah pembangunan cemerlang supaya rakyat dapat menikmati taraf hidup serta ekonomi lebih baik.

Katanya, Selangor mahu melakar lebih banyak kejayaan selepas ini dengan semangat tahun tikus mengikut kalendar lunar Cina.

“Saya yakin, usaha gigih dengan permuafakatan antara kaum yang erat serta semangat kerjasama kukuh dan dedikasi pasti menjadikan Selangor lebih sejahtera, aman, makmur dan lebih bersedia menangani semua cabaran ekonomi masa hadapan.

“Marilah kita bersama-sama menjadikan tahun baru ini sebagai tahun membina kejayaan dan berharap kerjasama ini menjadikan ekonomi Selangor juga Malaysia bertambah baik,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tujuh projek baru Selangor bernilai RM38.22 bilion

khalid dunSHAH ALAM 25 OKT : Ekonomi Selangor dijangka terus berkembang melalui tujuh projek pembangunan membabitkan tanah seluas 3,771.81 hektar dengan nilai perbangunan kasar dianggarkan berjumlah RM38.22 bilion.

Tujuh projek pembangunan itu sudah diluluskan Majlis Perancangan Fizikal Negara membabitkan tanah milik kerajaan dan swasta yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam satu mesyuarat, pada 17 Oktober lalu.

Projek pembangunan yang dirancang itu membabitkan pembangunan bercampur di Bandar Bukit Raja, Kapar (Sime Darby), pembangunan bercampur di Rawang (Kundang Properties), resort golf 18-lubang di Batang Kali (Mines Gold & City Sdn Bhd) dan pembangunan bercampur di Beranang, Hulu Selangor (Riverside Hills Sdn Bhd).

Selain itu, antara projek lain adalah projek perumahan dan komersil di Dengkil, Sepang (Tristar Acres Sdn Bhd), projek perumahan di Semenyih, Hulu Langat (UEM Land Berhad) dan pembangunan semula kawasan Institut Penyelidikan Getah Malaysia di Sungai Buloh (Kwasa Ldn Sdn Bhd).

Jabatan Perancangan Bandar dam Desa dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTES), semalam turut mengesahkan sebanyak 85,415 unit rumah akan dibina melalui pembangunan terbabit untuk didiami 403, 700 orang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kerajaan negeri akan terbabit secara aktif dalam projek berkenaan kerana  memberi kesan yang besar dan faedah secara langsung kepada rakyat.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat mingguan itu turut mengarahkan kakitangan kerajaan dan agensi negeri memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi persekutuan yang terbabit dalam pembangunan projek berkenaan.

Abdul Khalid berkata, syarikat air yang akan dilantik kerajaan negeri selepas penstrukturan semula air diselesaikan akan memainkan peranan penting bagi membekalkan air bersih secara cekap sebagai perkhidmatan utama kepada penduduk di kawasan baru berkenaan.

“Kerajaan Selangor sangat komited untuk menyelesaikan penyusunan semula industri air dan berharap pengambilalihan ini selesai, akhir tahun ini seperti yang ditetapkan menteri.

?Pasukan kami terdiri daripada kumpulan profesional yang pakar dan berpengalaman dalam pengurusan air bersedia. Tugas mereka yang pertama adalah mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW),? katanya dalam satu kenyataan media, di sini, pagi ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Selangor Peruntukkan Lebih RM 9 juta Untuk Pembangunan Pertanian

padi_sabak_01

SHAH LAM 5 JULAI : Kerajaan Negeri memperuntukan RM 9.141 juta bagi pembangunan pertanian dan industri asas tani di seluruh Selangor bagi sepanjang tahun ini.

Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehin Mukhyi berkata, peruntukan itu meliputi pelbagai aktiviti pertanian bagi meningkatan ekonomi Selangor dan pendapatan petani.

Antaranya pembangunan taman agro teknologi sebanyak RM 1.4 juta, pembangunan tanaman makanan (RM 5.04 juta),  pembangunan tanaman industri (RM 300,000), pembangunan industri bunga dan taman hiasan (RM 200,000).

Juga diperuntukan adalah pembangunan industri asas tani (RM 1.251 juta), pembangunan pertanian bersepadu (RM 700,00) dan pembangunan tanah terbiar (RM 200,000).

“Ia adalah usaha bagi memperbanyakkan industri hiliran di Selangor,” katanya ketika menjawab pertanyaan mulut Adun Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan (Pas) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan utama terhadap peningkatan hasil tanaman padi.

Usaha lain katanya adalah projek taman kekal pengeluaran makanan, pembangunan tanaman sayur-sayuran di samping membantu petani yang mengusahakan tanaman lain.