Categories
NASIONAL SELANGOR

Kes Altantuya : Pembunuhan yang tiada pembunuh – Dr Dzulkefly

 

gambar hiasan
gambar hiasan

SHAH ALAM, 23 OGOS ? Keputusan mahkamah membebaskan dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, daripada pertuduhan membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu umpama memperlihatkan pembunuhan kejam ini tiada pembunuhnya, kata AJK Pas Pusat Dr. Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly berkata, perkara ini amat mengejutkan pelbagai pihak apabila Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan rayuan pasangan itu dan ini menimbulkan persoalan siapa pembunuh sebenar Altantuya yang di bunuh dengan kejam.

“Memang mengejutkan tapi mungkin ramai juga yang sudah menjangkakan keputusan ini. Apabila keputusan ini dikekalkan bermakna satu jenayah kejam seperti ‘a crime without criminal’,” ujar beliau ketika dihubungi TVselangor.

Tambah beliau, keputusan ini bukan sahaja malang buat keluarga Altantuya, malah lebih malang kepada rakyat Malaysia atas ketidakupayaan sistem kehakiman negara bagi mencari penjenayah sebenar pembunuhan berprofil tinggi ini.

“Kesimpulannya kes ini mempunyai banyak ramuan yang boleh dipertikaikan dalam keputusan ini termasuk ‘incompetent investigation’, sifatnya juga terlalu lemah dan nampaknya institusi kehakiman itu terikat dengan mereka yang menjadi penguasa dalam politik,” kata Dzulkefly.

Beliau juga menyambut baik keputusan bapa Altantuya sekiranya beliau ingin membawa kes ini ke peringkat lebih tinggi (kerajaan Mongolia), bagi menegakkan keadilan untuk anak perempuannya.

Altantuya Shaariibuu merupakan seorang model sambilan berketurunan Mongolia telah dijumpai mati dibunuh secara kejam di lokasi antara pinggir bandar berdekatan Shah Alam diantara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Cebisan mayat yang disahkan milik Altantuya oleh pakar patologi telah ditemui bertaburan berhampiran Empangan Tasik Subang di Hutan Simpan, Puncak Alam, Shah Alam pada 7 November 2006 iaitu 17 hari selepas mangsa diletupkan dengan bahan letupan C4.

Pada April 2009, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Zaki Md Yassin telah mensabitkan dua anggota polis itu atas tuduhan bunuh. Manakala penganalisis politik Abdul Razak Baginda yang juga rakan karib Perdana Menteri sekarang dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dalam pembunuhan itu.- mza

Categories
SELANGOR

Air Di Empangan Selangor Penuh, Melimpah

empangan edit

SHAH ALAM 24 DIS : Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) hari ini menyangkal dakwaan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat berhubung dakwaan penyusutan bekalan dan ketiadaan sumber baru air mentah di Selangor.

Pengarah LUAS, Md Khairi Selamat berkata kenyataan itu adalah tidak tepat kerana hampir semua empangan di Selangor mencatat tahap air yang penuh.

Md Khairi berkata sehingga 20 Disember 2012, kapasiti air bagi Empangan Tasik Subang, Empangan Semenyih, Empangan Langat, Empangan Klang Gates dan Empangan Batu adalah penuh pada tahap 100 peratus.

Beliau berkata limpahan air juga berlaku bagi Empangan Tasik Subang, Empangan Langat serta Empangan Semenyih.

“Manakala kapasiti air bagi Empangan Sungai Tinggi pada tarikh yang sama adalah pada tahap 93.33 peratus.

Lagi Empangan Sungai Selangor pula, sehingga 20 Disember 2012, kapasiti airnya telah meningkat ke tahap 90.17 peratus iaitu 207.40 juta meter padu pada ketinggian 216.65 meter.

“Peningkatan ini adalah berbanding dengan kapasiti air empangan tersebut pada 11 Oktober 2012 iaitu sebanyak 52.02 peratus dengan jumlah 119.65 juta meter padu pada ketinggian 199.3 meter,” katanya.

Jelasnya lagi, jumlah aliran air sungai mampu untuk membekalkan keperluan air mentah bagi lima loji pembersihan air (LPA) di Rasa, Rantau Panjang dan Bestari Jaya.

Bacaan harian baki aliran ini adalah tinggi berbanding dengan jumlah minima keperluan aliran sebanyak 300 JLH.

“Manakala pelepasan air dari Empangan Sungai Selangor telah dikurangkan sehingga 91.34 JLH pada 20 Disember 2012.

“Mengurangan pelepasan air ini adalah berbanding 521.3 JLH pada 11 Oktober 2012. Corak dan purata paras air Empangan Sungai Selangor dari bulan Januari sehingga November 2012 ditunjukkan di Graf 1,” tambahnya.

Kapasiti Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi itu dijangkakan terus meningkat ekoran kadar hujan yang banyak ketika Monson Timur Laut dari bulan November sehingga Mac.

“Berdasarkan kadar peningkatan takungan, kapasiti kedua-dua empangan ini dijangka akan kembali penuh sebelum bulan Februari 2013,” tambahnya.