Categories
AGENDA NASIONAL

Satu SOP, sembilan garis panduan peralihan ke fasa endemik mulai 1 April

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Satu tatacara operasi piawai (SOP) dan sembilan garis panduan akan dilaksanakan dalam Fasa Peralihan ke Endemik mulai 1 April ini, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau yang juga Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 berkata ia merupakan antara tujuh tonggak paling penting di fasa tersebut terutama dalam usaha negara menuju kepada kehidupan normal.

Hishammuddin berkata secara asasnya, satu SOP yang mengandungi 10 keperluan itu telah dipermudahkan daripada 181 SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan ia masih akan dikuat kuasakan di bawah Akta 342 mulai 1 April.

“Kesemua 10 keperluan ini sudah biasa diamalkan oleh orang ramai dalam Fasa PPN. Atas sebab itu, saya percaya setiap lapisan masyarakat boleh untuk terus melaksanakannya dengan sebaik mungkin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sepuluh keperluan itu ialah memakai pelitup muka ketika di tempat awam, waktu operasi mengikut lesen atau permit, menjaga kebersihan tangan, melakukan ujian pengesanan Covid-19 berdasarkan Strategi Pengujian Kebangsaan dan menguruskan kes yang disyaki atau disahkan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM).

Selain itu adalah menggunakan MySejahtera dan MySJTrace untuk pendaftaran kemasukan, memastikan penjarakan fizikal satu meter, memastikan pengudaraan dan sistem ventilasi yang baik, memastikan kebersihan premis dan mematuhi keperluan vaksinasi untuk aktiviti tertentu.

Seiring dengan Fasa ‘Peralihan ke Endemik’ yang mengkehendaki rakyat belajar hidup bersama dengan Covid-19 dan lebih mengutamakan disiplin kendiri, Hishammuddin berkata adalah amat penting untuk semua memahami risiko penularan Covid-19 serta mengamalkan langkah pencegahan.

Beliau berkata susulan itu, sembilan garis panduan juga telah dibangunkan bagi membantu rakyat membuat pilihan lebih selamat ketika menjalankan aktiviti harian demi menjaga keselamatan diri, keluarga dan orang sekeliling.

Bagaimanapun, menurutnya sembilan garis panduan itu tidak akan dikuat kuasakan sebaliknya ia akan menjadi panduan yang amat digalakkan untuk dipatuhi supaya rakyat dapat kekal berwaspada dengan risiko jangkitan Covid-19 apabila melakukan aktiviti-aktiviti tertentu.

Sembilan garis panduan itu merangkumi pengangkutan dan perjalanan; pendidikan dan penjagaan; aktiviti peruncitan, makanan dan minuman; ruang kerja tertutup; kawasan kerja terbuka; acara, majlis, hiburan dan tarikan pelancong; hotel dan penginapan tetamu; keagamaan, perkahwinan dan pengebumian serta aktiviti dan fasiliti sukan, rekreasi dan riadah.

“Untuk setiap garis panduan berkenaan, terdapat dua perincian iaitu cara penilaian risiko penularan Covid-19 serta gejala Covid-19 dan cara mengamalkan SOP dengan betul,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata satu laman sesawang sedang dibangunkan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memudahkan masyarakat memahami dengan lebih lanjut mengenai satu SOP dan sembilan garis panduan tersebut serta Fasa Peralihan ke Endemik secara keseluruhannya.

Beliau berkata laman sesawang itu dijangka dapat diakses dua minggu sebelum 1 April sekali gus membantu masyarakat membuat persiapan sebelum fasa tersebut bermula.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan bahawa Malaysia akan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ serta pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April depan.

Ismail Sabri berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan KKM serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Situasi jangkitan makin pulih bukti sedia masuk fasa endemik

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Situasi penularan Covid-19 yang semakin pulih dalam beberapa minggu kebelakangan ini membuktikan kesediaan negara serta masyarakat untuk memasuki fasa endemik, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata perkara itu dapat dilihat menerusi trend penurunan bagi purata kes harian, jumlah kluster dan kapasiti penggunaan hospital manakala peratusan kadar vaksinasi yang tinggi.

Menurut Dr Noor Hisham secara keseluruhan, indikator utama termasuk kes harian, kes aktif, kematian, kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta nilai kebolehjangkitan atau R-Naught (Rt) mencatatkan penurunan secara konsisten sejak Minggu Epidemiologi (ME) ke-34 (22 hingga 28 Ogos 2021).

“Terdapat sebanyak 63,722 kes Covid-19 yang telah dilaporkan pada ME ke-40 (3 hingga 9 Okt) berbanding 83,368 kes yang dilaporkan pada ME ke-39 iaitu penurunan sebanyak 23.6 peratus.

“Sebanyak 133,806 kes aktif dilaporkan pada ME ke-40 iaitu penurunan 21.0 peratus berbanding ME ke-39,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Selain penurunan nilai Rt sebanyak 0.2 peratus setiap hari, beliau berkata kes kematian merekodkan 700 kes dengan purata 100 kes sehari pada ME ke-40, iaitu penurunan 50.2 peratus berbanding ME ke-39.

Beliau berkata sebanyak 778 kes yang memerlukan rawatan di ICU direkodkan pada ME ke-40 menyaksikan penurunan sembilan peratus berbanding ME ke-39 manakala 331 kes memerlukan bantuan pernafasan pada ME ke-40 juga menurun 11.2 peratus berbanding ME ke-39.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 79 kluster dilaporkan pada ME ke-40 dan daripada jumlah itu, terdapat penurunan 21 kluster berbanding ME ke-39, iaitu penurunan sebanyak 21 peratus.

Mengenai kapasiti penggunaan hospital, beliau memaklumkan KKM memperuntuk 16,199 katil wad biasa dan 1,514 katil wad ICU dan daripada jumlah itu, sebanyak 8,164 katil digunakan sepanjang ME ke-40 menurun lima peratus berbanding minggu sebelumnya.

“Selaras dengan perkembangan positif ini, masyarakat dinasihatkan agar tidak leka dan cepat berpuas hati dengan status semasa jangkitan Covid-19 di negara.

“Kita wajar mengambil pengajaran daripada peristiwa kenaikan kes Covid-19 yang mendadak sebelum ini sehingga melumpuhkan pelbagai sektor ekonomi dan sosial,” katanya.

Beliau berkata melalui inisiatif ‘Reopening Safely’, semua pihak perlu memainkan peranan penting dalam memutuskan rantaian Covid-19 dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan meningkatkan penilaian kendiri TRIIS iaitu ‘Test, Report, Isolate, Inform and Seek’ atau ‘ujian, lapor, kuarantin atau pengasingan kendiri, memaklumkan dan dapatkan rawatan segera’ terutamanya apabila sempadan negeri dibuka semula hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ahli farmasi perlu bersama bimbing rakyat ke fasa endemik

KUALA LUMPUR, 25 SEPT: Ahli farmasi komuniti diajak untuk bersama-sama kerajaan, belajar dari satu sama lain dan membimbing rakyat Malaysia, memasuki fasa endemik pada ketika negara bersiap sedia untuk hidup bersama virus Covid-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, ahli farmasi komuniti itu amat penting dalam peperangan menentang Covid-19, kerana mereka merupakan titik penjagaan utama dan penjaga kepada sistem kesihatan negara.

“Andalah berada di barisan hadapan…pada ketika doktor dan hospital – mereka di barisan hadapan penjagaan kesihatan dalam keadaan terbeban – barisan berikutnya perlu bertindak, dan mereka ini adalah ahli farmasi komuniti kita.

“Sebagai profesional penjagaan kesihatan, ahli farmasi mempunyai tugas penting bukan sahaja pada waktu pandemik, tetapi selama bertahun-tahun, terlibat secara langsung dengan komuniti, berterusan menjaga pesakit…kita boleh bekerja bersama dalam bidang seperti rawatan pencegahan dan mendidik masyarakat, bukan sahaja mengenai penyakit tetapi penjagaan kesihatan,” katanya.

Khairy berkata demikian ketika merasmikan webinar bertajuk ‘Reinvent Pharmacy Biz: Adapt Beyond the Crisis’ anjuran Persatuan Farmasi Komuniti Malaysia (MCPG) bersempena sambutan Hari Ahli Farmasi Sedunia hari ini.

Khairy berkata kit ujian kendiri merupakan satu lagi tugas penting ahli farmasi komuniti bersama faksiliti penjagaan kesihatan lain, di mana farmasi merupakan saluran yang betul bagi membeli kit ujian kendiri.

Beliau berkata ahli farmasi komuniti boleh mendidik orang ramai cara penggunaan kit ujian kendiri, cara penyimpanan dan pembuangannya, selain memberikan kaunseling sebaik keputusan didapati dan malah memberikan pandangan berkaitan perbezaan yang ada antara jenama.

“Kementerian amat mengalu-alukan penglibatan MCPG untuk terlibat dan meningkatkan sistem penjagaan kesihatan kita dan kami komited untuk melihat bagaimana profesion ini terus berkembang dan terus maju dalam bidang ini.

“Seperti yang bersesuaian dengan program ini, kita kini perlu menyesuaikannya dan melihat lebih daripada krisis Covid-19 terhadap kesemua aspek penjagaan kesihatan. Tentunya, terdapat banyak perkara yang boleh kita lakukan bersama,” katanya.

Khairy turut memuji MCPG sebagai satu komuniti proaktif kerana bertindak untuk bersedia, melatih dan melengkapkan ahli-ahlinya bagi menghadapi kemungkinan peningkatan atau varian baharu, termasuk menganjurkan progam latian vaksinasi awal tahun ini.

-BERNAMA