Categories
SELANGOR

Iskandar – LPHS, PBT diarah atasi masalah CF

iskandar-samad-pink-01

SHAH ALAM 15 OGOS : Lembaga Perumahan & Hartanah Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan diarah mencari kaedah baru menyelesaikan masalah ketiadaan Sijil Layak Menduduki (CF) yang dihadapi kawasan perumahan tertentu, terutamanya bagi projek yang telah diabaikan pemaju muflis.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Peneroka Bandar Iskandar Abdul Samad ketika dihubungi berkata Kerajaan Negeri sedang meneliti masalah ini supaya keselamatan penduduk yang telah menduduki perumahan bermasalah terjaga.

“Dalam banyak kes, kita menghadapi masalah dengan pemaju. Kalau pemaju masih ada maka kita akan desak pemaju untuk membaiki keadaan tetapi kebanyakan pemaju dikesan sudah bankrap atau gulung tikar. Kalau begitu satu alternatif lain perlu diusahakan,” katanya.

Iskandar berkata demikian sebagai reaksi kepada luahan penduduk Flat Pinggiran Batu Caves yang mengkhuatiri keselamatan mereka kerana pangsapuri yang didiami tidak memiliki CF sejak 20 tahun lalu.

Penduduk yang ditemui kami berkata mereka tidak mempunyai pilihan lain kerana rata-ratanya berpendapatan rendah.

Menurut Iskandar lagi, sejak lima tahun lalu Kerajaan Negeri telah mengesan pelbagai kes berkaitan CF yang berpunca dari pemaju perumahan tidak mematuhi syarat pelan bangunan.

“Sejak dari penggal lalu, Kerajaan Negeri sudah memulakan usaha bagi menyelesaikan masalah ini dan ia akan diteruskan dalam penggal baru. Pada Jun lalu, LPHS diarahkan membuat perancangan bagi tujuan itu melalui kerjasama PBT di seluruh Selangor dengan meletakkan sasaran tahunan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kerajaan Negeri juga merangka stategi bertujuan memberdayakan penduduk dengan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Majlis Pengurusan (MC) sebagai pelaksana projek baikpulih pangsapuri.

Strategi ini akan menyaksikan penduduk dan jawatankuasa-jawatankuasa terlibat memainkan peranan lebih aktif dan Kerajaan Negeri menjadi pemudah cara dan penyedia bantuan perumahan seperti skim baikpulih Ceria dan skim rondaan kejiranan Seroja.

“Menyentuh masalah penyelenggaraan dan sampah, kita boleh selesaikan melalui jawatankuasa Prihatin. Masalah tidak akan selesai sekiranya Kerajaan Negeri sentiasa masuk campur. Penduduk kena ada rasa tanggungjawab,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

20 Tahun Tiada CF, Penduduk Minta Ehsan Kerajaan Negeri

flet kos rendah pra CERIA batu caves 02

GOMBAK 31 JULAI : Penduduk di Flat Pinggiran Batu Caves kini mengharapkan bantuan daripada Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah sijil layak menduduki (CF) yang dihadapi mereka.

Menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk flat berkenaan, Hamid Jusoh, 53, masalah CF yang dihadapi mereka telah tertangguh selama hampir 20 tahun dan tiada pihak yang serius membantu menyelesaikannya.

“Kami berharap Kerajaan Negeri dapat membantu menyelesaikannya kerana sudah terlalu lama kami menunggunya,” katanya.

Beliau ditemui di Majlis Berbuka Puasa Kempen Pangsapuri Kita Bersih Ceria Bersama Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad di perkarangan flat berkenaan petang semalam.

Hamid berkata, flet yang mempunyai sembilan blok itu turut menghadapi masalah penyelenggaraan seperti bangunan yang sudah usang dan masalah sampah.

“Saya juga berharap Kerajaan Negeri dapat membantu melalui skim Ceria untuk flat kami,” katanya lagi.

Bagi penduduk flat berkenaan, Rohizam Mohd, 41, beliau terpaksa mendiami flat berkenaan kerana tidak mampu mencari rumah lain yang lebih selesa dengan pendapatannya yang sederhana.

“Kalau saya mampu, sudah pasti saya akan keluar mencari rumah lain, mereka yang duduk di flat kebanyakannya berpendapatan rendah dan sederhana, sampai bila kami hendak tunggu,” katanya.

Bagi Marina Mohd, 55, beliau mendiami rumah berkenaan dalam keadaan ketakutan dan tiada jaminan berikutan tiada CF yang menjamin keselamatan bangunan itu.

“Makcik duduk di sini dengan anak-anak, kita tak tahu kalau jadi apa-apa pada bangunan rumah ini, saya minta sangat-sangat agar ada pihak yang boleh tolong selesaikannya,” katanya.

flet kos rendah pra CERIA batu caves 01