Categories
SELANGOR

Iskandar – LPHS, PBT diarah atasi masalah CF

iskandar-samad-pink-01

SHAH ALAM 15 OGOS : Lembaga Perumahan & Hartanah Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan diarah mencari kaedah baru menyelesaikan masalah ketiadaan Sijil Layak Menduduki (CF) yang dihadapi kawasan perumahan tertentu, terutamanya bagi projek yang telah diabaikan pemaju muflis.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Peneroka Bandar Iskandar Abdul Samad ketika dihubungi berkata Kerajaan Negeri sedang meneliti masalah ini supaya keselamatan penduduk yang telah menduduki perumahan bermasalah terjaga.

“Dalam banyak kes, kita menghadapi masalah dengan pemaju. Kalau pemaju masih ada maka kita akan desak pemaju untuk membaiki keadaan tetapi kebanyakan pemaju dikesan sudah bankrap atau gulung tikar. Kalau begitu satu alternatif lain perlu diusahakan,” katanya.

Iskandar berkata demikian sebagai reaksi kepada luahan penduduk Flat Pinggiran Batu Caves yang mengkhuatiri keselamatan mereka kerana pangsapuri yang didiami tidak memiliki CF sejak 20 tahun lalu.

Penduduk yang ditemui kami berkata mereka tidak mempunyai pilihan lain kerana rata-ratanya berpendapatan rendah.

Menurut Iskandar lagi, sejak lima tahun lalu Kerajaan Negeri telah mengesan pelbagai kes berkaitan CF yang berpunca dari pemaju perumahan tidak mematuhi syarat pelan bangunan.

“Sejak dari penggal lalu, Kerajaan Negeri sudah memulakan usaha bagi menyelesaikan masalah ini dan ia akan diteruskan dalam penggal baru. Pada Jun lalu, LPHS diarahkan membuat perancangan bagi tujuan itu melalui kerjasama PBT di seluruh Selangor dengan meletakkan sasaran tahunan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kerajaan Negeri juga merangka stategi bertujuan memberdayakan penduduk dengan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Majlis Pengurusan (MC) sebagai pelaksana projek baikpulih pangsapuri.

Strategi ini akan menyaksikan penduduk dan jawatankuasa-jawatankuasa terlibat memainkan peranan lebih aktif dan Kerajaan Negeri menjadi pemudah cara dan penyedia bantuan perumahan seperti skim baikpulih Ceria dan skim rondaan kejiranan Seroja.

“Menyentuh masalah penyelenggaraan dan sampah, kita boleh selesaikan melalui jawatankuasa Prihatin. Masalah tidak akan selesai sekiranya Kerajaan Negeri sentiasa masuk campur. Penduduk kena ada rasa tanggungjawab,” katanya.

Categories
SELANGOR

MB : Sentiasa Menyokong Usaha PKNS Membina Rumah Mampu Milik

pkns

HULU SELANGOR 8 FEB : Satu lagi projek Rumah Mampu Milik (RMM) yang dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang dikenali Projek Idaman PKNS Antara Gapi bakal berada di pasaran menjelang Disember 2014.

Ia merupakan projek Rumah Mampu Milik ketiga yang dibina PKNS selepas di Bukit Botak Selayang dan Bandar Baru Bangi.

Timbalan Pengurus Besar PKNS, Ir Abdul Ghani Hashim berkata projek itu bakal menempatkan 129 unit rumah teres 1 1/2 tingkat pada harga bermula dari RM100,000 – RM120,000 sebuah bergantung kepada keluasan lot tapak.

“Bahkan menerusi harga menarik yang ditawarkan, PKNS menanggung subsidi sebanyak RM4.2 juta,” katanya.

pkns1Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa menyokong usaha menyediakan Rumah Mampu Milik bagi memastikan rakyat memiliki rumah sendiri.

Katanya, PKNS membina projek perumahan kos tinggi bukanlah untuk mengaut keuntungan semata tetapi ia disalurkan kepada masyarakat yang belum memiliki rumah.

Ujarnya, ia dilakukan dengan memberi subsidi kepada projek RMM seperti di Bukit Botak sebanyak RM79.6 juta dan di Bandar Baru Bangi sebanyak RM12 juta.

“Dengan pencapaian PKNS selama ini yang tidak mempunyai projek terbengkalai, saya harap rakyat Selangor terus memberikan sokongan kepada PKNS,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam Majlis Pecah Tanah Rumah Idaman PKNS Antara Gapi di Serendah di sini.

Dalam pada itu, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, Kerajaan Selangor telah mewujudkan Jawatankuasa Teknikal Rumah Mampu Milik dalam usaha mempercepatkan pelaksanaan keputusan pembangunan itu.

Katanya, jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Lembaga Perumahan Hartanah Selangor dan ia dianggotai oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor serta Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor.

“Setakat ini seramai 942 pemohon telah mengisi borang untuk memohon perumahan mampu milik,” kata Iskandar.

pkns2