Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan yakin mampu laksana gaji minimum

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Kerajaan yakin penetapan gaji minimum, pada kadar RM1,500 sebulan dapat dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, pihaknya tidak menolak kadar gaji minimum itu akan dikaji setiap tahun, walaupun Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 memperuntukkan ia harus dilakukan setiap dua tahun.

“Jika ada masalah besar atau perkara yang ada keperluan, mungkin ia boleh dibuat lebih dari sekali,” katanya pada sesi soal jawab lisan, di Dewan Rakyat, lapor BERNAMA.

Beliau menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang mahu kerajaan menyatakan rasional penetapan gaji minimum, pada paras RM1,050 sekarang ini yang disifatkan ‘terlalu rendah’.

Katanya, kerajaan mengambil maklum kadar berkenaan tidak begitu tinggi, namun ia adalah pendekatan rasional untuk mengelakkan kos operasi majikan meningkat secara mendadak terutama bagi pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Katanya, peningkatan RM50 bagi Semenanjung dan RM130 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan adalah munasabah serta tidak membebankan 90 peratus majikan terdiri daripada sektor IKS.

“Peningkatan gaji minimum akan meningkatkan kos operasi majikan antaranya caruman KWSP, Perkeso dan pembayaran lebih masa cuti umum serta hari rehat dan sebagainya,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kerajaan juga mengambil kira pertumbuhan ekonomi negara yang berkembang agak perlahan, pada kadar 4.5 peratus, pada suku kedua tahun ini berbanding 5.4 peratus, pada suku pertama.

“Ia juga perlu dilihat daripada kesan kemasukan pelaburan asing ke negara kita selain kerajaan perlu pastikan pelabur sedia ada terus kekal di Malaysia,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Rombak gaji minimum selaras saranan Bank Negara

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 4 APR: Kerajaan Persekutuan perlu merombak semula kadar gaji minimum berdasarkan gaji sara hidup dikemukakan Bank Negara Malaysia (BNM).

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, BNM dalam unjurannya mencadangkan supaya garis ukur gaji mengambil kira keselamatan kewangan, standard kehidupan keluarga setanding dengan kos sara hidup dan bukannya hanya aspek asas seperti makanan atau perumahan.

“Laporan tersebut menunjukkan bahawa rakyat negara hidup dalam keadaan miskin dan jurang pendapatan yang semakin tinggi ini disebabkan pendapatan tidak setanding dengan kos sara hidup.

“Rakyat perlu menikmati kekayaan negara pada waktu Malaysia sedang ke arah negara maju,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Media Parlimen hari ini.

Bank Negara sebelum ini mencadangkan supaya RM2,700 menjadi sasaran upah hidup bagi seorang dewasa bujang manakala RM4,500 bagi pasangan tanpa anak manakala RM6,500 untuk pasangan mempunyai dua anak.

Menurutnya, cadangan itu dengan ketara menunjukkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6 peratus tidak dirasai rakyat Malaysia.

Charles berkata, dalam satu perbincangan meja buat yang dipengerusikannya pada 2011 bersama pelbagai pihak termasuk kesatuan sekerja dan aktivis mencadangkan supaya RM1,500 hingga RM2,000 menjadi gaji paras ukur ketika itu.

“Dalam beberapa bulan lagi, Majlis Perundingan Gaji Minimum Negara akan mengumumkan gaji minimum baru.

“Pihak Kerajaan, Pembangkang, kesatuan sekerja dan berkepentingan lain perlu menyambut baik pengesyoran Bank Negara agar kualiti hidup rakyat dapat ditingkatkan,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Impak pelaksanaan gaji minimum RM1,000 tidak memudaratkan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 5 MEI: Suasana ekonomi negara tidak menentu menjadi antara faktor penyumbang kepada pemberhentian pekerja tanpa ada kaitan dengan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM 2016).

Pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdullah Sani Abdul Hamid, berkata pelaksanaan gaji minimum RM1,000 itu tidak begitu memudaratkan majikan kerana ia hanya membabitkan pekerja bergaji di bawah paras itu.

Katanya, persoalan utama bagi pelaksanaan itu adalah formula dan peranan yang perlu dimainkan kerajaan bagi membantu syarikat melaksanakan gaji minima di saat mereka ditekan dengan pelbagai cukai seperti GST.

abdullah sani“Jika ingin mengatakan banyak pihak yang bakal diberhentikan kerja dalam suasana sekarang, bagaimana pula dengan nasib pekerja syarikat besar seperti MAS dan Petronas?

“Ramai yang bergaji lebih daripada paras minimum, kita nak bantu segelintir yang berpendapatan rendah.

“Ini bukan soal jika diberikan gaji minimum ramai yang akan hilang pekerjaan, tetapi bagaimana keupayaan kerajaan untuk membantu syarikat melaksanakan gaji minimum,” katanya kepada SelangorKini.

Sebelum ini, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berharap kerajaan menangguhkan pelaksanaan PGM 2016 yang akan berkuatkuasa bermula 1 Julai 2016.

Pihaknya mendakwa dianggarkan 30,000 pekerja terutama di peringkat bawahan berdepan tindakan pemberhentian kerja oleh majikan sebelum Julai ini.

Melalui Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM 2016) kadar gaji minimum ditetapkan mengikut wilayah adalah RM1,000 sebulan atau RM4.81 sejam bagi Semenanjung Malaysia sementara RM920 sebulan atau RM4.42 sejam bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.

-AA-

Categories
NASIONAL

KEADILAN tuntut gaji minimum Sabah & Sarawak sama Semenanjung

OLEH : AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 3 MEI: KEADILAN kecewa dengan perbezaan kadar pelaksanaan gaji minimum berbeza antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak seperti diumumkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata beliau mempersoalkan tindakan itu yang disifatkan tidak seiring semangat Perjanjian Malaysia 1963.

Katanya, selepas 53 tahun Sarawak diperintah Barisan Nasional (BN) rakyatnya berhak untuk mendapat akses infratruktur sama seperti Semenanjung.

PEKERJA“Kekecewaan kita adalah kami menuntut tidak ada perbedaan dan jurang antara gaji minimum di Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.

“Kita adalah dalam satu negara dan tidak sepatutnya diturunkan nilai pekerja di mana-mana wilayah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN.

Melalui Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM 2016) kadar gaji minimum ditetapkan mengikut wilayah adalah RM1,000 sebulan atau RM4.81 sejam bagi Semenanjung Malaysia sementara RM920 sebulan atau RM4.42 sejam bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.

Kata Tian, KEADILAN tidak pernah mempertikaikan kuasa dan hak Sarawak sebaliknya mempertahankan serta mahu autonomi dipertingkatkan sekaligus menjawab Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya, sentimen mengatakan KEADILAN tidak menghormati Perjanjian Malaysia sering digunakan sedangkan mereka mahukan penyatuan ketiga-tiga wilayah itu.

“KEADILAN tidak pernah mempertikai hak, kuasa Kerajaan Sarawak dalam isu imigresen, penawaran tenaga kerja dan pentadbiran negeri.

“Malah kita sentiasa pertahankan supaya autonomi dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia 1963 ini dipertingkatkan dan kekayaan royalti minyak dinaikkan sehingga 20 peratus,” katanya.

PGM 2016 bakal berkuatkuasa mulai 1 Julai ini ke atas semua majikan tanpa mengira bilangan pekerja.

EZY

Categories
SELANGOR

Bukan setakat gaji minimum RM1,500 kebajikan & perubatan perlu diberi perhatian

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 4 MEI: Penetapan gaji minimum pekerja RM1,500 perlu disertai fokus kepada kemudahan perubatan dan kebajikan agar dapat menampung kenaikan kos sara hidup.

Juruteknik, Rahim Abd Samadi, 40, berkata penetapan had gaji minimum itu baik namun aspek lain perlu diberi perhatian bagi memastikan ia mampu menampung keluarga besar.

Rahim samadi “Akibat kos sara hidup yang tinggi, kemudahan seperti insuran perubatan kepada ahli keluarga pekerja dan kebajikan lain harus diperjuangkan.

“Kalau ada 10 ahli keluarga yang perlu ditanggung, had gaji minimum itu sangat tidak mencukupi buat kami.

“Peningkatan kebajikan sangat penting lebih-lebih lagi, orang tua yang duduk sekali bersama kami,” katanya kepada Selangor Kini.

Perunding Hartanah, Hafiza Safian, 47, berkata, masalah kos sara hidup semakin tinggi yang menjadi beban rakyat tidak kira sebanyak mana pun gaji dinaikkan.

Hafiza Safian“Bukan isu menaikkan gaji minimum, sepatutnya pengawalan harga barang yang menjadi punca masalah gaji tidak mencukupi pada zaman sekarang ini.

“Apabila gaji naik, harga barang akan turut naik, walau gaji tiga ribu sekali pun rakyat tetap merasakan beban kerana harga barangan yang mahal.

“Kerajaan Persekutuan sebenarnya memainkan peranan mengawal harga barang di pasaran supaya gaji minimum seperti RM1,500 masih dapat menampung keluarga,” katanya.

Pelajar, Muhammad Amir Amir, 21, berkata, hidup sebagai pelajar itu sendiri memerlukan perbelanjaan yang tinggi setiap hari.

“Walaupun saya seorang pelajar, perbelanjaan sebulan saya juga hampir RM1,000 lebih termasuk kos rumah sewa, minyak, makanan harian dan projek.

Muhammad Amir Amin“Inikan pula seisi rumah hanya RM1,500 sebulan untuk anak bini, kerajaan sepatutnya fikirkan kebajikan lain yang boleh membantu meringankan beban rakyat,” katanya.

Sebelum itu, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dalam perutusan Hari Pekerja berkata, Kerajaan Selangor konsisten memperjuangkan gaji minimum bukan sahaja di Selangor, malah ke peringkat nasional.

EZY

Categories
SELANGOR

Selangor perintis laksanakan gaji minimum RM1,500

Oleh: LIZAWATI MADFA/ SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 2 MEI: Di saat Kerajaan Persekutuan menetapkan kadar RM900 sebagai gaji minimum, Selangor mendahului dengan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sejak 2012.

Exco Kerajaan Selangor, Zaidy Abdul Talib berkata, pelaksanaan itu meliputi perjawatan baru seperti pegawai Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan Pusat Wanita Berdaya (PWB).

Zaidy“Begitu juga dengan ahli majlis seperti di Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang menerima RM1,500.

“Begitu juga dengan elaun ketua kampung dan guru KAFA yang meningkat berbanding zaman kerajaan terdahulu,” katanya kepada Selangor Kini.

Pada masa sama, Zaidy berkata, Kerajaan Selangor juga masih meneruskan kajian bagi pelarasan gaji minimum agar berpadanan dengan skop, bebanan dan disiplin kerja.

“Skim Hijrah turut diperkenalkan agar rakyat Selangor dapat melonjakkan pendapatan melebihi RM1,500,” katanya.

Beliau dihubungi bagi mengulas usaha Kerajaan Selangor membela kebajikan pekerja khususnya dalam perjuangan gaji minimum.

Skim Hijrah menerima peruntukan RM100 juta dan akan diperkasakan melalui Skim Mikrokredit Selangor (SkimSel) dan Program Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR).

Sementara itu, Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V. Ganabatirau berkata, ketetapan gaji minimum dilaksanakan mencapai matlamat kerana tidak ada kerajaan negeri lain membuat ketetapan seperti itu

PC YB Ganabatirao (1)“Namun kami tahu gaji minimum RM1,500 itu masih tidak mencukupi untuk menyara sesebuah keluarga kerana kos perbelanjaan yang tinggi.

“Untuk menaikkan gaji minimum, kita perlu faham pendapatan itu mesti setara dengan perbelanjaan pendapatan kerajaan negeri secara keseluruhan, melainkan kita adalah kerajaan pusat.

Katanya, Kerajaan Selangor mewujudkan 17 program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) untuk membantu rakyat berpendapatan di bawah RM1,500.

“Sebab itu wujudnya program kebajikan seperti MES dan projek perumahan Selangorku bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah ini,” katanya kepada Selangor Kini.

Ganabatirau berkata, program basmi kemiskinan dilancarkan memberi bantuan peralatan perniagaan kepada rakyat berpendapatan bawah RM1,500 seisi rumah.

Selain itu, kerajaan negeri juga memberi bantuan penuh selama setahun kepada anak pekerja berpendapatan rendah yang ingin melanjutkan pelajaran ke Kolej Antarabangsa Inpens (INPENS).

“Mereka diberi tempat tinggal di asrama penuh, makanan tiga kali sehari dan duit perbelanjaan sebanyak RM150,” katanya.

EZY