Categories
AGENDA NASIONAL

Peti sejuk belum kering, penduduk Raub dilanda gelombang kedua banjir

KUANTAN, 3 JAN: Belum pun hilang penat membersihkan rumah daripada kesan banjir, penduduk Kampung Ulu Sungai di Raub, diuji sekali lagi dengan gelombang kedua banjir pada hari pertama tahun baharu.

Pekerja am Arif Shah Sulaiman, 49, berkata dia sekeluarga masih belum selesai membersihkan rumah kerana mengutamakan kerja pembersihan di rumah emaknya yang terletak bersebelahan sejak mereka dibenarkan pulang ke rumah pada 26 Dis lepas.

“… tak sangka kali ini gelombang kedua terlalu dekat dengan banjir pertama. Peti sejuk pun belum sempat kering dan masih berada (dijemur) di laman rumah.

“Mungkin dah tak dapat diselamatkan kerana sudah tiga kali peti sejuk terendam banjir dalam tempoh setahun,” katanya semasa dihubungi Bernama di sini hari ini.

Arif Shah berkata banjir kali pertama pada awal 2021, dan pada 18 Disember lepas, adalah antara paling teruk pernah dialaminya kerana air naik hingga bahagian ruang tamu rumah yang dibina lebih tinggi daripada bahagian dapur.

Banjir gelombang kedua kali, menurut bapa kepada tiga anak lelaki berusia 18, 14 dan lima tahun itu, hanya melepasi tiga anak tangga bahagian dapur.

“Walaupun hanya di dapur, keadaan masih total lost kerana ada barangan dipindahkan ke ruang tamu ketika banjir pertama. Lantai dan tiang juga banyak rosak akibat arus deras menyebabkan kami perlu tinggal di rumah emak sehingga selesai membaiki rumah sendiri.

“Sebenarnya, saya sudah tak sedap hati kerana hujan tidak berhenti selama dua hari sebelum tahun baharu dan akhirnya firasat itu betul bila siren amaran banjir di belakang rumah berbunyi sekitar 12 tengah malam tahun baharu,” katanya.

Walaupun tiga kali diuji musibah banjir dalam setahun, Arif Shah masih mampu bergurau kerana menurutnya dia pernah mengalami banjir sebanyak tujuh kali dalam tempoh sama sejak 14 tahun menetap di kampung tersebut.

Ditanya jika dia pernah berfikir untuk berpindah, Arif Shah berkata faktor kewangan antara kekangan menghalangnya daripada berbuat demikian.

Sementara itu, bagi Rashdan Rashid, 50, yang sudah empat tahun berpindah ke kampung tersebut, ini adalah kali pertama dia berdepan banjir ‘hatrik’ dalam setahun dan lebih malang buatnya apabila banjir bulan lepas berlaku semasa mereka sekeluarga pulang ke kampung di Negeri Sembilan.

“Sempat bermalam (di rumah) dalam lima hari sahaja sebelum banjir kedua berlaku. Barang elektrik yang baru dicuci pun belum sempat diuji untuk tengok jika masih boleh digunakan,” katanya yang melakukan kerja kampung bagi menyara tujuh ahli keluarga.

Rashdan berkata dia memindahkan ahli keluarga ke rumah bapanya di Batu Malim, Raub tanpa menunggu siren amaran banjir berbunyi selepas rakannya yang berada di hulu memaklumkan sungai di bahagian sana sudah naik.

“Bimbang kalau air melimpah pada waktu malam, susah hendak pindahkan mereka terutamanya anak yang kecil hanya berusia setahun tiga bulan.

“Malah, masa kami keluar rumah pun, hujan masih lebat dan tepat tindakan saya apabila malamnya banjir mula berlaku,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Agong titah penduduk lima negeri siap sedia

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan rakyat khususnya di negeri-negeri pantai timur, Johor dan Sabah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir besar akibat hujan lebat yang berterusan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata titah nasihat Yang di-Pertuan Agong itu susulan amaran tahap waspada (kuning) iaitu hujan berterusan di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah sepanjang minggu ini hingga 2 Jan depan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi, kelmarin.

“Seri Paduka turut menasihati rakyat, khususnya di kawasan berisiko dilanda banjir juga peka terhadap ramalan dan amaran yang telah dikeluarkan serta sentiasa berwaspada sekiranya paras air naik secara mendadak akibat hujan lebat yang berterusan.

“Ini termasuklah mematuhi semua arahan dan panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya dikehendaki berpindah dari kediaman masing-masing demi keselamatan diri dan ahli keluarga tersayang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menzahirkan keprihatinan tinggi Seri Paduka terhadap kemaslahatan rakyat, Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah menyeru semua pihak mengambil iktibar daripada pengalaman bencana banjir sebelum ini untuk memperbaiki sebarang kelemahan dan kekurangan dalam menghadapi sebarang kemungkinan khususnya urusan pasca banjir.

Sehubungan itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata Seri Paduka menasihati agensi-agensi kerajaan berkaitan dan PBT supaya tidak leka dan proaktif dalam memastikan kesiapsiagaan, koordinasi dan penyelarasan pengurusan bagi menghadapi gelombang kedua banjir di tahap terbaik.

Beliau berkata Seri Paduka menzahirkan harapan dan keyakinan bahawa menerusi persediaan awal dengan disusuli tindakan terancang, operasi menyelamat dan bantuan kepada mangsa banjir yang terperangkap, khususnya mereka berada di kawasan berkepadatan tinggi dan pedalaman dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.

“Seri Paduka turut mengajak semua rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar gelombang kedua banjir yang akan berlaku ini tidak berpanjangan dan negara serta rakyat dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana,” kata Ahmad Fadil.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Bukan negeri berisiko, Selangor tetap waspada gelombang kedua banjir

SHAH ALAM, 28 DIS: Kerajaan Selangor tetap berwaspada berdepan gelombang kedua banjir walaupun tidak termasuk dalam negeri berisiko, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata gelombang itu dijangka melanda negeri di Pantai Timur dan Sabah serta Sarawak berdasarkan taklimat Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dengan wakil Kerajaan Negeri baru-baru ini.

Menurutnya, ramalan pakar meteorologi juga menjurus kepada lokasi terbabit.

“Walaupun ia agak melegakan tetapi kita harus tetap berwaspada sekiranya terkena tempias dan bersedia berdepan sebarang kemungkinan,” katanya selepas menyerahkan bantuan RM1,000 kepada mangsa banjir di bawah Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Gelombang kedua banjir dijangka melanda beberapa negeri susulan ramalan hujan lebat berterusan.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 mm, mengakibatkan banyak lokasi di Selangor ditenggelami air.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Risiko banjir berulang, mangsa mungkin kembali ke pusat pemindahan

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Mangsa banjir yang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas banjir surut, mungkin akan kembali ke pusat pemindahan sementara (PPS), berikutan terdapat risiko berlakunya kejadian gelombang banjir berulang, ketika Monsun Timur Laut.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Jailan Simon berkata kejadian banjir juga mungkin berlaku sekali lagi, sepanjang musim tengkujuh ini, walaupun cuaca semakin baik, sejak semalam.

“Terdapat kemungkinan berlaku hujan lebat di Kelantan dan Terengganu pada 8 dan 9 Januari,” katanya ketika menjadi tetamu program terbitan Bernama TV, Ruang Bicara bertajuk Monsun Timur Laut 2021: Peka dan Waspada yang disiarkan secara langsung, malam tadi.

Kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor mengangkat barang seperti tikar, selimut, bantal dan barang keperluan lain untuk diedarkan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kolej Vokasional Kota Tinggi pada 5 Januari 2021. Foto BERNAMA

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Norhafifi Ismail menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan pergerakan ketika musim tengkujuh.

“Pada musim tengkujuh, terdapat kemungkinan berlaku banjir, tanah runtuh, jalan putus yang boleh menyebabkan pengguna jalan raya terkandas. Keadaan akan menjadi lebih teruk jika pengguna jalan raya tidak membawa bekalan makanan dan minuman dalam perjalanan,” katanya.

Norhafifi berkata langkah mengurangkan pergerakan adalah bersesuaian dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya orang ramai tidak keluar rumah bagi perkara yang tidak mustahak untuk membendung penularan Covid-19.

Sehingga malam tadi, keadaan banjir yang melanda Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Johor, beransur pulih dengan jumlah mangsa dipindah ke PPS semakin berkurangan.

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di PPS Pahang merekodkan sedikit peningkatan iaitu 18,217 orang malam tadi berbanding 17,747 orang pada waktu siang.

-BERNAMA