Categories
GLOBAL

Korban gempa Lombok meningkat kepada 387 mangsa

MATARAM, Indonesia 12 OGOS: Kematian akibat gempa bumi di Pulau Lombok meningkat kepada 387 orang, kata pihak berkuasa semalam, manakala ribuan mangsa di pusat perlindungan berdepan kekurangan bekalan air bersih, makanan dan perubatan sejak seminggu lalu.

Gempa sekuat 6.9 magnitud itu telah meranapkan beribu-ribu rumah, masjid dan premis perniagaan di seluruh Lombok, hanya seminggu selepas satu gegaran susulan di pulau ber­kenaan menyebabkan 17 orang terbunuh.

Kebanyakan mangsa kini terpaksa tidur di bawah khemah atau kain rentang berhampiran rumah mereka yang rosak.

Malah, enam hari selepas gempa bumi itu, sejumlah mangsa dipercayai masih belum menerima sebarang bantuan terutamanya yang tinggal di kawasan pergunungan di utara Pulau Lombok.

“Masalah utama ialah pengagihan bekalan kepada beribu-ribu mangsa yang ditempatkan di khemah perlindungan. Kebanyakan jalan di utara Pulau Lombok telah musnah akibat gempa bumi berkenaan,” kata jurucakap agensi bencana kebangsaan Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho.

Menurutnya, pihaknya meramalkan angka kematian berkemungkinan akan terus meningkat memandangkan masih ada beberapa mangsa yang tertimbus di bawah tanah runtuh dan serpihan runtuhan.

“Terdapat beberapa penemuan mangsa yang masih belum direkodkan dan dilaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Kawasan di sekitar utara Pulau Lombok dilaporkan terjejas teruk dengan hampir 200,000 orang terpaksa meninggalkan rumah mereka dan 13,000 orang mengalami kecederaan, menurut perangkaan rasmi terbaharu.

Sutapo berkata, tempoh res­pons kecemasan telah dilanjutkan kepada 14 hari sekali gus membenarkan pihak berkuasa menangani pelbagai masalah yang masih wujud di situ.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Mangsa terperangkap diselamatkan di Lombok

PEMENANG, Indonesia 8 OGOS: Seorang wanita dikeluarkan dalam keadaan masih hidup dari sebuah bangunan yang runtuh di Pulau Lombok semalam, dua hari selepas gempa bumi kuat membunuh lebih 100 orang, memusnahkan perkampungan dan me­ngakibatkan ribuan penduduk hilang tempat tinggal.

Pada masa sama, petugas-petugas penyelamat turut menggali runtuhan sebuah masjid di utara Lombok, pulau yang digegarkan oleh gempa bermagnitud 6.9 pada Ahad lepas.

Mereka berharap sekurang-kurangnya seorang daripada empat mangsa yang terperangkap di bawah timbunan konkrit masih hidup.

Wanita tersebut, Nadia Reva­nale, 23, sedang membeli barangan keperluan di sebuah pasar mini di di sini ketika gempa berlaku, yang kedua melanda Lombok dalam masa seminggu.

Jiran-jiran terdengar suara meminta tolong dari celah runtuhan lalu menghubungi pasukan penyelamat. Mereka mengambil masa empat jam untuk mengeluarkan mangsa.

“Pada mulanya, kami menggunakan tangan kami untuk membersihkan serpihan, kemudian tukul, pahat dan mesin untuk mengalihkan konkrit,” kata sukarelawan penyelamat, Marcos Eric kepada agensi berita Reuters selepas sebuah ambulans membawa mangsa ke hospital.

“Kami mengambil masa beberapa jam dan kami bersyukur mangsa ditemui dalam keadaan selamat,” tambahnya.

Ia merupakan antara segelintir detik gembira sejak gempa bumi itu meragut sekurang-kurangnya 105 nyawa termasuk dua di Bali, pulau yang berjiran dengan Lombok.

Pulau Lombok sebelum ini dilanda gempa bumi kuat bermagnitud 6.4 pada 29 Julai lalu yang mengorbankan 17 orang dan mengakibatkan ratusan pendaki terperangkap di lereng Gunung Rinjani.

Sementara itu, beribu-ribu pelancong meninggalkan Lombok sejak petang Ahad lepas kerana bimbang gempa akan berlaku lagi. Sebahagian mereka menaiki penerbangan dan sebilangan lagi menaiki feri menuju ke Pulau Bali.

Menurut pihak berkuasa, lebih 3,000 pelancong dibawa keluar dari Kepulauan Gili yang terdiri daripada tiga pulau kecil di barat laut Lombok menjelang petang kelmarin, manakala ramai lagi masih menunggu untuk dipindahkan.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

13 maut akibat gempa, ribuan rumah rosak

LOMBOK (Indonesia) 29 JUL: Jumlah kematian akibat gempa bumi kuat berukuran 6.4 magnitud di Lombok meningkat kepada 13 orang, kata pihak berkuasa.

Gempa cetek awal pagi itu turut disusuli lebih 120 gegaran susulan termasuk yang terbesar berukuran 5.7 magnitud, kata agensi kaji cuaca Indonesia.

 

Pihak berkuasa tempatan mengumumkan darurat selama tiga hari, lapor beberapa stesen televisyen.

Jurucakap agensi pengurusan bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho berkata dalam satu kenyataan: “Tiga belas orang maut, ratusan cedera dan ribuan kediaman rosak dalam gempa bumi di Lombok Timur.”

Tiada amaran tsunami dikeluarkan, kata agensi geofizik dan meteorologi negara itu.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Angka korban gempa bumi Lombok meningkat 10 orang

JAKARTA 29 JUL: Angka korban gempa bumi sekuat 6.4 Richter di kepulauan Lombok meningkat kepada 10 orang dan banyak bangunan serta rumah mengalami kerosakan.

Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa yang berlaku pada pukul 6.47 pagi waktu tempatan itu dikesan pada kedalaman tujuh kilometer.

Gempa tersebut melanda 50 kilometer ke arah timur laut bandar Mataram.

Selain itu, sekurang-kurangnya berpuluh penduduk lain turut cedera. –
SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Gempa bumi 6.5 skala richter landa Sumbawa Indonesia

KUALA LUMPUR 29 JUL: Gempa bumi kuat berukuran 6.5 pada skala Richter melanda Rantau Sumbawa, Indonesia, kira-kira 6.45 pagi ini.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan, pusat gempa bumi berkenaan terletak di 8.5 darjah Selatan dan 116.6 darjah Timur dengan kedalaman 61 kilometer.

Bagaimanapun, ia tidak membawa ancaman tsunami.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Jumlah kematian gempa bumi Osaka terus meningkat

TOKYO 19 JUN: Jumlah kematian akibat gempa bumi yang menggegarkan Osaka semalam meningkat kepada empat manakala lebih 380 lagi disahkan tercedera.

Kematian terbaru itu membabitkan seorang wanita tua berusia 81 tahun, yang terbunuh apabila terperangkap di bawah runtuhan almari di rumahnya.

Mangsa lain yang terbunuh sebelum ini ialah seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun, selepas terperangkap dalam runtuhan tembok di sekolahnya susulan gempa berukuran 6.1 itu.

Dua lagi mangsa ialah lelaki, masing-masing berusia 80 dan 84 tahun yang maut akibat ditimpa runtuhan tembok dan almari buku.

Jurucakap kanan kerajaan, Yoshihide Suga memberitahu wartawan, empat kematian telah disahkan setakat ini dan 381 lagi mengalami kecederaan namun tidak tidak dipastikan tahap kecederaan semua mangsa terbabit.

“Kerajaan akan meneruskan usaha menyelamatkan orang ramai,” katanya sambil menambah, tiada laporan kehilangan mana-mana individu diterima setakat ini.

Katanya, kerajaan juga akan mengambil langkah segera bagi memulihkan semula bekalan gas dan air bersih yang terputus sejak gempa, semalam.

Agensi meteorologi Jepun memberi amaran, hujan lebat yang dijangka turun di Osaka hari ini dan esok boleh meningkatkan risiko berlakunya tanah runtuh.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Gempa bumi 5.3 landa Osaka

TOKYO 18 JUN: Satu gempa bumi kuat melanda Jepun awal pagi tadi, namun tiada sebarang laporan terkini diterima berhubung kesan kerosakan atau amaran tsunami.

Menurut Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi berukuran 5.3 itu berlaku pada kedalaman 15.4 kilometer pada jam 7.58 pagi berhampiran Osaka.

Agensi meteorologi Jepun pula memberitahu, tiada risiko tsunami dicatatkan setakat ini.

Perdana Menteri Shinzo Abe memberitahu wartawan, kerajaan sedang mengambil segala tindakan yang perlu dan keutamaan diberikan kepada usaha menyelamatkan nyawa penduduk.

Beliau berkata, semua petugas telah diberi arahan untuk mendapatkan maklumat lengkap berhubung kerosakan dan menumpukan kepada usaha menyelamatkan nyawa, selain membekalkan maklumat lengkap, tepat dan pantas bagi disebarkan kepada orang ramai.

Sementara itu polis tempatan memberitahu, mereka belum menerima sebarang laporan kerosakan manakala Lembaga Peraturan Nuklear pula berkata, tiada sebarang perkara tidak normal dikesan selepas gempa terbabit.

Gegaran berkenaan menyebabkan bekalan elektrik terputus dan menjejaskan ribuan kediaman serta operasi perkhidmatan kereta api yang tergendala selama beberapa jam.

Turut dilaporkan ialah kebakaran membabitkan sebuah rumah di bandar Osaka selepas gempa bumi itu berlaku.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Gempa bumi 6.0 landa Pulau Sumatera

JAKARTA 13 JUN : Satu gempa bumi berukuran 6.0 melanda Pulau Sumatera hari ini, namun tiada sebarang laporan kerosakan atau kecederaan.

Menurut Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi berkenaan berlaku 245 kilometer dari barat daya Padang.

Setakat ini tiada amaran dikeluarkan dari Pusat Amaran Tsunami berpangkalan di Hawaii.

USGS kemudian dilaporkan mengurangkan saiz gempa bumi berkenaan kepada 5.8.

SUMBER: REUTERS

Categories
NASIONAL

Gempa susulan selepas gempa bumi skala 5.2 gegar Sabah

KOTA KINABALU 8 MAC: Satu gempa bumi susulan pada kekuatan 2.8 skala Richter berlaku di Ranau pada kedalaman lima kilometer di dalam tanah pada 9.27 malam tadi.

Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan berkata, tiada amaran tsunami dikeluarkan.

“Lokasi tepat gempa bumi adalah di kedudukan 6.04 latitud utara dan 116.6 longitud timur,” kata jabatan itu.

Sebelum itu, satu gempa bumi berukuran 5.2 skala Richter melanda Ranau pada kira-kira pukul 9.06 malam ini.

Gempa bumi yang berpunca dari dalam tanah pada kedalaman kira-kira lima kilometer itu menyebabkan kesemua daerah di pantai barat Sabah merasai gegaran antara lima hingga 10 saat.

Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan berkata, pihaknya masih mendapatkan maklumat lengkap tentang kejadian itu, namun mengesahkan tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Kejadian kali ini adalah gempa bumi paling kuat di Sabah selepas gempa bumi 5.9 pada skala Richter berpusat di Gunung Kinabalu pada 5 Jun 2015 serta beberapa gempa susulan selepas itu.

Sementara itu MSTAR ONLINE melaporkan Lebih 100 pendaki bergegas turun ke tempat selamat di Laban Rata di Gunung Kinabalu selepas gempa bumi berukuran 5.2 magnitud melanda kawasan Ranau di Sabah pada Khamis malam.

Presiden Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Richard Soibi berkata, tiada laporan kecederaan atau kerosakan dalam kejadian yang berlaku pada pukul 9.06 malam.

Penduduk Kundasang berkata, gegaran kuat berlaku selama dua hingga tiga saat.

Gegarannya dirasai di bahagian barat Gunung Kinabalu dari Kota Belud, Tamparuli, Kiulu dan bandar di sini serta di Penampang dan Papar.

=EZY=

 

 

 

Categories
GLOBAL

Gempa Bumi: 18 maut gegaran terbaru di Papua New Guinea

GLOBAL 7 MAC: Sekurang-kurangnya 18 orang maut selepas satu gempa bumi berukuran 6.7 skala Richter menggegarkan kawasan pergunungan di Southern Highlands, Papua New Guinea, awal pagi ini.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan gempa tersebut berlaku sembilan hari selepas kira-kira 55 penduduk terkorban akibat gempa bumi kuat berukuran 7.5 skala Richter melanda negara ini.

Jurucakap wilayah Hela, William Bando berkata, kawasan Hides merupakan bahagian paling teruk terjejas akinat gempa tersebut.

“Kami belum menerima sebarang laporan di kawasan itu namun Hides merupakan kawasan perkampungan yang besar,” katanya.

Sebelum ini, angka korban ekoran gempa bumi di Papua New Guinea terus meningkat kepada 67 orang tatkala ribuan mangsa lagi berhadapan krisis bekalan air bersih dan kehilangan tempat kediaman.

Angka itu diperolehi oleh Palang Merah yang menjalankan misi kecemasan dan menyelamat di negara itu apabila gempa bumi kuat pada skala 7.5 magnitud melanda pada 26 Februari lalu.

Usaha pemulihan bergerak perlahan dengan anggota bantuan berdepan kesukaran akibat jalan raya yang terputus hubungan dan kehilangan bekalan elektrik yang menyukarkan mereka sampai ke perkampungan terpencil.

=EZY=

 

Categories
GLOBAL

Gempa Papua: Angka korban melonjak 67, ribuan hadapi krisis air dan rumah musnah

GLOBAL 5 MAC: Angka korban ekoran gempa bumi di Papua New Guinea terus meningkat kepada 67 orang tatkala ribuan mangsa lagi berhadapan krisis bekalan air bersih dan kehilangan tempat kediaman.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan angka itu diperolehi oleh Palang Merah yang menjalankan misi kecemasan dan menyelamat di negara itu apabila gempa bumi kuat pada skala 7.5 magnitud melanda pada 26 Februari lalu.

Usaha pemulihan bergerak perlahan dengan anggota bantuan berdepan kesukaran akibat jalan raya yang terputus hubungan dan kehilangan bekalan elektrik yang menyukarkan mereka sampai ke perkampungan terpencil.

Penduduk yang ketakutan di wilayah Southern Highlands, Western Highlands, Enga dan Hela juga berdepan gempa susulan kuat termasuk dua berukuran 6.0 pada awal pagi Isnin.

Ketua Persatuan Bulan Sabit Merah Syria dan Palang Merah Antarabangsa di PNG, Udaya Regmi berkata jumlah kematian dilaporkan Pusat Bencana Kebangsaan serta pasukan pengurusan bencana setakat Jumaat seramai 67 orang.

“Kira-kira 143,000 orang terjejas dengan 17,000 penduduk hilang tempat tinggal kerana kediaman mereka tidak dapat dihuni berikutan musnah sama ada sebahagian atau sepenuhnya,” katanya.

Katanya, masalah utama dihadapi penduduk kini adalah bekalan air dan kebersihan, manakala pekerja bantuan tidak dapat membawa masuk lori besar yang membawa makanan ke kawasan yang terputus hubungan akibat kerosakan jalan teruk dan tanah runtuh.

Kerajaan belum memberikan jumlah kematian rasmi.

Sementara itu hampir seminggu selepas gempa bumi melanda, hampir 150,000 orang masih memerlukan bantuan kecemasan segera, namun jalan rosak dan tanah runtuh menyukarkan bekalan dihantar kepada komuniti yang terperangkap, kata beberapa agensi.

Dilaporkan kediaman milik kira-kira 7,000 orang musnah atau rosak, manakala 147,000 penduduk amat memerlukan makanan, air dan sanitasi.

Tanah runtuh menyebabkan jalan raya tidak dapat dilalui sekali gus menghalang penghantaran bantuan ke tempat-tempat yang paling memerlukannya.

PNG mengisytiharkan darurat di rantau yang dilanda gempa bumi pada minggu lalu tetapi skala bencana itu belum diketahui sehinggalah pekerja bantuan dan pihak berkuasa dapat menyelesaikan pemeriksaan di kawasan terjejas.

SUMBER: AFP/ REUTERS

=EZY=

Categories
GLOBAL

Gempa 7.5 magnitud, lebih 30 maut gempa di PNG

GLOBAL 27 FEB : Lebih dari 30 orang dipercayai maut dalam gempa bumi yang melanda kawasan pergunungan Papua New Guinea, semalam.Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan gempa bumi berukuran 7.5 magnitud itu berlaku 90 kilometer di selatan Porgera dan diikuti dua gegaran susulan yang kuat.

Pengurus wilayah, William Bando dipetik akhbar PNG Post Courier berkata, sekurang-kurangya 13 orang dilaporkan meninggal dunia di Mendi manakala 18 lagi dipercayai terbunuh di Kutub dan Bosave.

Menurut laporan akhbar berkenaan, kira-kira 300 penduduk lagi mengalami kecederaan manakala beberapa kerosakan termasuk tanah runtuh dan mendapan lubang turut berlaku.

Laman web The Papua New Guinea Today memetik kenyataan Paderi Pius Hal melaporkan, sekurang-kurangnya 10 orang lagi termasuk empat kanak-kanak maut akibat tanah runtuh.

Pasukan penyelamat kerajaan dijangka diterbangkan ke kawasan terjejas hari ini bagi mendapatkan gambaran menyeluruh bencana berkenaan.

Ketua Setiausaha kerajaan, Isaac Lupari berkata, pasukan tentera akan digerakkan untuk membantu memulihkan semua perkhidmatan dan prasarana yang terjejas akibat bencana berkenaan.

SUMBER: AFP