Categories
AGENDA NASIONAL

Genting Highlands, Pulau Tioman dan Melaka bakal dibuka kepada pelancong

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mencadangkan tiga lagi destinasi yang akan dibuka kepada pelancong menerusi gelembung pelancongan domestik.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata destinasi itu ialah Genting Highlands, Pulau Tioman dan Melaka, dan cadangan itu telah diluluskan pada Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 hari ini.

“Hari ini kita telah luluskan tiga destinasi lagi (Genting Highlands, Pulau Tioman dan Melaka), ia akan dibawa ke mesyuarat sidang khas (Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19) esok,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Mesyuarat kedua itu dipengerusikan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan turut disertai Nancy dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Nancy berkata tatacara operasi piawai (SOP) perjalanan masuk ke tiga destinasi tersebut akan diperhalusi terutama SOP masuk ke negeri Melaka, yang mempunyai kawasan liputan yang luas sambil menyatakan pemain industri di tiga destinasi berkenaan diminta bersedia menanti kedatangan pelancong.

Memaklumkan perkembangan di Pulau Langkawi, sejak projek rintis itu bermula 16 hingga 19 Sept seramai 6,662 pelancong memasuki pulau itu melalui penerbangan, manakala 3,483 lagi menggunakan feri.

Sementara itu, Ahmad Faizal memaklumkan pada mesyuarat tersebut, KBS telah mencadangkan aktiviti pembukaan stadium kepada penonton bagi kejohanan sukan seperti bola sepak dan sukan lain yang sesuai.

“Ia juga bagi meraikan Piala Malaysia yang akan bermula tidak lama lagi, segala SOP akan diperhalusi dan ini mesti dipatuhi selaras dengan konsep ‘reopening safely,” katanya.

Jumaat lepas, aktiviti pembukaan gimnasium dan pusat boling, telah dibenarkan di negeri Fasa Dua dan seterusnya di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan SOP ketat.

Ia termasuk mematuhi garis panduan ventilasi yang telah ditetapkan memandangkan gimnasium merupakan kawasan tertutup, sekali gus meningkatkan risiko jangkitan COVID-19.

Dalam pada itu Hishammuddin berkata kelonggaran terbaharu sektor sukan itu mengambil kira kesejahteraan rakyat terutama dari sudut mental, dan memahami kehendak pengusaha gimnasium.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Anwar: Tingkat keselamatan elak tragedi korban 37 mangsa berulang

anwar basSHAH ALAM 22 OGOS : Kerajaan dan pihak yang bertanggungjawab diseru untuk mempertingkatkan usaha keselamatan agar tragedi kemalangan bas jatuh ke gaung yang mengorbankan seramai 37 orang dapat dielakkan di masa hadapan.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan medianya berharap mereka yang cedera dalam tragedi kemalangan ini dapat pulih segera.

Katanya, beliau menyatakan simpati dengan keluarga mangsa yang terkorban dan cedera dalam kejadian itu.

Seramai 37 orang terkorban dalam nahas bas terburuk di negara ini apabila bas yang dinaiki 53 orang terjunam 60 meter ke dalam gaung di Km3.5 Jalan Genting Highlands semalam.

Kejadian itu turut mengakibatkan 16 orang cedera dengan 14 daripada mereka dilaporkan kritikal.

Mereka yang cedera kini dirawat di Hospital Selayang (lapan), Hospital Kuala Lumpur (HKL) (lima), Hospital Sungai Buloh (dua) dan Hospital Bentong (satu).

Kemalangan kira-kira pukul 2.45 petang itu berlaku ketika bas berkenaan yang menawarkan perkhidmatan ulang alik dari Kuala Lumpur ke Genting Highlands menuruni jalan curam dari puncak pusat peranginan itu menuju ke ibu kota. – mza