Categories
BERITA UTAMA

5G: Kerajaan tidak kompromi aspek kesihatan, keselamatan

PUTRAJAYA, 29 JUL: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan dan kesihatan berhubung pelaksanaan 5G.

“Teknologi baharu 5G hanya akan digunakan setelah ia disahkan mematuhi kesemua standard keselamatan yang diperlukan,” kata beliau.

Ke arah itu, kata Gobind, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan Standard Mandatori Emisi Medan Elektromagnetik (EMF) dari infrastruktur komunikasi radio, yang dikuatkuasakan ke atas industri itu.

“Kesemua pemain industri dikehendaki menjalankan dan melaporkan pengukuran di lapangan bagi memastikan bahawa semua syarikat patuh kepada had-had keselamatan yang telah ditentukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Laporan Separuh Penggal Pasukan Petugas 5G di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Suriani Ahmad dan Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak.

Mengenai Laporan Separuh Penggal Pasukan Petugas 5G itu, Gobind melahirkan perasaan puas hati kepada kemajuan pantas yang dicapai pasukan petugas itu dalam mengenal pasti “use cases”, menawarkan spektrum penyelesaian pengurusan, menganalisis aspek kesihatan dan keselamatan, manakala pada masa sama mengadakan mekanisme kawal selia dan infrastruktur baharu yang diperlukan untuk 5G.

“Saya amat kagum dengan keluasan dan kedalaman laporan interim (sementara) ini yang menonjolkan komitmen yang ditunjukkan ke arah pembangunan infrastruktur 5G di Malaysia,” kata beliau.

Terdapat 113 ahli dalam pasukan petugas itu yang dibahagikan kepada empat kumpulan kerja iaitu pengawalseliaan, termasuk kesihatan dan keselamatan, pengurusan dan peruntukan spektrum, infrastruktur dan kes perniagaan.

Pasukan petugas itu, yang terdiri daripada pasukan-pasukan permintaan, para pembekal perkhidmatan, persatuan-persatuan perniagaan, para vendor peralatan, ahli akademik serta kementerian dan agensi kerajaan, telah mempamerkan cara berkolaborasi baharu dalam membina ekosistem berdasarkan Kemakmuran Bersama, kata beliau.

Gobind berkata 5G, yang menjanjikan kelajuan yang sangat tinggi, ketersambungan besar-besaran dan latensi rendah, akan memupuk transformasi industri dan masyarakat di Malaysia.

“Ia akan membuka inovasi dan peluang-peluang baharu dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, pendidikan, pentadbiran kerajaan, kesihatan, keselamatan awam dan pengangkutan, sekadar menyebut beberapa contoh,” tambah beliau.

Menurut Gobind, tiga faktor utama yang akan memberi impak kepada pertumbuhan 5G di rantau ini ialah peluang, kos melancarkannya dan kebergantungan ekosistem di mana SKMM dan pasukan petugas itu telah dengan secara proaktif cuba menyelesaikan perkara-perkara itu.

Dari segi kebergantungan ekosistem, Gobind berkata dasar seperti ketersediaan spektrum dan penetapan harga, kesediaan teknologi seperti ketersediaan standard dan peranti dan keadaan pasaran yang menerima, kesemuanya mempunyai peranan.

“Pandangan jauh Malaysia untuk menerima pakai 5G pada 2018 dan agresif dalam menjalankan ujian-ujian serta mengadakan demonstrasi projek-projek pada tahun ini juga, wajar meletakkan negara pada kedudukan antara peneraju dunia dalam menerima pakai 5G,” kata beliau.

Berhubung penyelesaian pengurusan spektrum, Gobind berkata kerajaan menerusi SKMM telah mengeluarkan Pertanyaan Awam mengenai Peruntukan Band Spektrum untuk Perkhidmatan Jalur Lebar Mudah Alih.

Pertanyaan awam itu, yang telah bermula pada 1 Julai hingga 30 Ogos, kini sedang dilaksanakan bagi mendapatkan input mengenai jalur lebar yang optimum, mekanisme penganugerahan, garis masa untuk proses peruntukan dan prinsip-prinsip luas dalam menentukan yuran spektrum untuk band spektrum 700 MHz, 2300 MHz dan 2600 MHz, kata beliau.

Setelah selesai pertanyaan awam nanti, Gobind berkata, satu pelan hala tuju spektrum untuk Malaysia akan dibangunkan menjelang suku pertama 2020. – BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kembara digital Malaysia: Inisiatif bantu rakyat depani era digital

IPOH, 27 JUL: Dalam satu lagi usaha membantu rakyat Malaysia menghadapi era digital, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) hari ini melancarkan Program Kembara Digital Malaysia (KDM) yang mempamerkan pelbagai kelebihan teknologi komunikasi dan perkhidmatan digital kepada rakyat dan negara.

Menterinya, Gobind Singh Deo menegaskan bahawa KKMM amat menyedari keperluan meningkatkan usaha mengukuhkan infrastruktur telekomunikasi bagi memastikan Malaysia mampu menghubungkan rakyatnya serta perniagaan dan industri ke dunia global.

Beliau mengutip dapatan Forum Ekonomi Dunia dalam menegaskan mengapa Malaysia perlu terus berusaha ke arah penembusan jalur lebar yang lebih besar.

“Laporan Forum Ekonomi Dunia mendapati peningkatan 10 peratus penembusan jalur lebar di sesebuah negara membangun menyumbang 1.38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM18 bilion dalam konteks Malaysia,” kata Gobind ketika berucap pada perasmian program itu.

IPOH, 27 Julai – Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo mencuba permainan pengembaraan realiti maya (VR) ketika melawat pameran sempena Perasmian Kembara Digital Malaysia 2019 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru hari ini.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Program itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim yang mewakili Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Dalam penyediaan infrastruktur telekomunikasi jalur lebar kepada penduduk Malaysia, menteri itu menarik perhatian bahawa ia tidak hanya tertumpu kepada penduduk di kawasan bandar sahaja malah turut merangkumi penduduk di kawasan pinggir bandar.

Dengan mengambil Perak sebagai contoh, Gobind berkata sehingga Mei lalu, 174,000 sambungan port jalur lebar telah dipasang di seluruh negeri meliputi kawasan bandar dan pinggir bandar dan 49 peratus telah dilanggan oleh penduduk.

“Saya amat mengalu-alukan agar rakyat Perak dapat menggunakan perkhidmatan jalur lebar yang disediakan supaya mereka menjadi masyarakat lebih berinformasi dan dapat menggunakan pelbagai manfaat daripada perkembangan teknologi digital pada masa kini dengan sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu Gobind memuji apa yang beliau sifatkan pencapaian sangat memberangsangkan inisiatif ‘Double the Speed, Half the Price’.

“Inisiatif ini berjaya menurunkan harga sebanyak 49 peratus dan meningkatkan kelajuan perkhidmatan sehingga tiga kali ganda,” katanya sambil menambah ia juga meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan jalur lebar tetap sebanyak 21.7 peratus dalam tempoh enam bulan.

Gobind berkata, kepentingan yang diletakkan kepada penembusan jalur lebar adalah kerana ia antara penentu kelangsungan ekonomi negara.

Beliau turut menjelaskan tentang komitmen kerajaan dalam mengiktiraf kesalinghubungan sebagai utiliti sama seperti bekalan air dan elektrik.

“Ini adalah penting bagi memacu pembangunan dalam sektor ekonomi, pendidikan, kesihatan, pengangkutan, pembangunan bandar pintar dan sebagainya,” katanya.

Program KDM itu antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat mengenai kepentingan dan kaedah penggunaan teknologi komunikasi selain merangsang pertumbuhan ekonomi digital dalam kalangan masyarakat khususnya di peringkat akar umbi.

Ia juga bertujuan merapatkan jurang saluran komunikasi antara kerajaan dan rakyat serta membina masyarakat bermaklumat melalui penyampaian informasi secara cepat, tepat dan cermat.

Kira-kira 50 khemah untuk pempamer terdiri daripada penyedia perkhidmatan jalur lebar, pengeluar/pengedar perkakasan dan perisian ICT serta agensi kerajaan Persekutuan dan negeri disediakan sepanjang dua hari KDM 2019.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ tema Hari Kebangsaan tahun ini

SHAH ALAM, 24 JUL: ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini bertujuan menekankan kepentingan perpaduan serta semangat cintakan negara demi kesejahteraan juga kemakmuran bersama.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, kerajaan optimis tema berkenaan boleh memupuk dan menyalakan nilai integriti serta jati diri rakyat Malaysia yang bersih juga tinggi.

Katanya, kerajaan juga memuktamadkan untuk mengekalkan logo rasmi sambutan tahun lalu dengan tambahan tema baharu berkenaan, manakala ‘Malaysia Bersih’ akan menjadi lagu utama sambutan pada tahun ini.

Namun, katanya, lagu “Kita Punya Malaysia” akan turut dinyanyikan untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan menyemai amalan budaya integriti serta menolak rasuah dalam kehidupan kita.

“Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2019 akan diadakan di Putrajaya pada 31 Ogos, manakala sambutan Hari Malaysia 2019 bakal diadakan di Kuching, Sarawak pada 16 September.

“Sementara itu, Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 akan diadakan pada 3 Ogos di Dataran Pahlawan, Melaka.

“Faktor Melaka dipilih sebagai lokasi pelancaran kerana negeri itu mempunyai sejarah sebagai tempat pengisytiharan kemerdekaan negara pada 20 Februari 1956 di Bandar Hilir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Gobind berkata, majlis berkenaan akan disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari; Menteri Kabinet dan EXCO Kerajaan Negeri.

Katanya, logo rasmi itu memaparkan simbol rakyat dalam pergerakan riang mengangkat tangan dengan satu bentuk hati yang menyatukan mereka.

“Logo ini menggambarkan warganegara Malaysia berbilang bangsa dalam keharmonian rasa seia, sekata, sehati dan sejiwa, membarakan perasaan sayang kepada negara manakala penggunaan warna Jalur Gemilang pula menggambarkan kepelbagaian dalam satu perasaan, ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’.

“Bagi memeriahkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan ini saya menyeru setiap rakyat menunjukkan cinta setianya kepada negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, pejabat, premis perniagaan, kereta dan di mana-mana tempat bersesuaian dengan penuh perasaan kebanggaan serta kegembiraan bahawa Malaysia ini kita punya,” katanya.

Katanya, pelbagai acara sempena sambutan Bulan Kebangsaan akan diadakan untuk membakar semangat cintakan negara dan patriotisme dalam kalangan masyarakat.

“Kerajaan amat menggalakkan pelbagai inisiatif dalam kalangan masyarakat bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia secara sukarela sekali gus memupuk semangat perpaduan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA

Hiburan digital mampu raih pulangan tinggi kepada negara

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Malaysia perlu terus memberi tumpuan kepada industri pembuatan ‘game’ digital kerana ia mampu menjana pendapatan sangat lumayan kepada negara, selaras usaha mempromosi kandungan kreatif digital tempatan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, industri hiburan digital seperti ‘game’ menunjukkan prestasi kian meningkat selain daripada pembuatan filem dan siri animasi yang mengharumkan nama negara.

Beliau menarik perhatian bahawa pada 2017, kira-kira 60 studio pembuatan game tempatan mencatat nilai eksport RM600 juta.

“Selain daripada kemampuan menjana berbilion ringgit kepada ekonomi negara, ia juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan terutama untuk anak muda,” katanya ketika berucap pada majlis berkaitan program Kre8tif!@Schools di sini hari ini.

Katanya, meletakkan Malaysia sebagai hab industri pembuatan kandungan digital juga akan menarik pelabur luar negara.

Gobind berkata, negara sebenarnya mempunyai bakat hebat tetapi masih kurang dikenali ramai seperti Wan Hazmer Wan Abd Halim yang merupakan pereka utama bagi permainan video Final Fantasy XV.
“Dulu Wan Hazmer bekerja di Jepun dengan sebuah syarikat pembuatan permainan video yang sangat terkenal di dunia, tetapi dia sudah kembali ke Malaysia untuk membantu bakat tempatan,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Animonsta Studios kerana filem animasi terbarunya, BoBoiBoy: Movie 2 akan mula ditayangkan pada 8 Ogos selain akan turut menemui penonton di negara seperti Singapura, Brunei, Indonesia dan Vietnam.

Pada masa sama, beliau menekankan bahawa pembangunan ekonomi digital di negara ini perlu dibuat secara inklusif tanpa meminggirkan golongan kelainan upaya.

“Marilah kita bekerjasama untuk membina sebuah Malaysia yang terangkum digital,” katanya sambil memberikan contoh langkah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan syarikat telekomunikasi seperti Celcom, Maxis, Digi, UMobile dan YTL memperkenal pakej talian mudah alih khusus buat orang kelainan upaya.

Beliau berkata, pakej pra dan pasca bayar itu sangat bermanfaat untuk golongan berkenaan kerana ia memberi mereka peluang menggunakan internet sebagai landasan berniaga, sekali gus membantu mereka hidup dengan lebih berdikari.

Mengulas lanjut, Gobind berkata, progKre8tif!@Schools untuk pelajar istimewa yang diperkenalkan KKMM dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memberi peluang kepada anak muda untuk belajar berhubung teknologi kreatif seperti ‘3D modelling’ dan animasi.

Kre8tif!@Schools, katanya, adalah komitmen KKMM dan MDEC dalam usaha membangunkan industri kandungan kreatif digital dengan lebih giat lagi.

“Banyak lagi program yang akan kami lakukan untuk memastikan ekonomi digital Malaysia terus meningkat dan rakyat dapat menikmati kemakmuran bersama,” katanya.

Gobind turut menarik perhatian bahawa Malaysia mempunyai platform seperti Kre8tif dan Level Up yang membantu meningkatkan industri pembuatan kandungan digital (digital content production).

Dalam sidang media, beliau berkata KKMM akan melakukan tindakan sewajarnya bagi membantu penggiat industri filem di negara ini untuk menceburi bidang animasi.

“Kita mahu menerajui industri ini, kita mempunyai keupayaan berbuat demikian dan Malaysia mempunyai banyak bakat.

“Sudah tentu penting bagi kerajaan untuk memainkan peranannya dalam mengenal pasti bakat ini dan juga memastikan kita memberi industri segala sistem yang diperlukan untuk berjaya, “katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Dua bidang utama jadi fokus kebebasan media – Gobind

LONDON, 12 JUL: Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang mengkaji dua fokus utama dalam usaha menggalakkan kebebasan media yang lebih baik di Malaysia, kata menterinya, Gobind Singh Deo.

”Kita perlu memperakui bahawa kita perlu berusaha lebih banyak untuk meneruskan agenda pembaharuan berhubung media dan kebebasan media.

“Dua bidang utama yang saya melihat ialah memastikan kesemua undang-undang yang perlu dipinda dan dimansuhkan dilakukan secepat mungkin dan juga penubuhan Majlis Media,” katanya kepada media Malaysia di sini, semalam.

Gobind sebelum itu berucap pada sesi pleno Persidangan Global Bagi Kebebasan Media, yang julung kali diadakan, di sini pada Rabu dan Khamis.

Dalam ucapannya bertajuk “Apakah Kebebasan Media: Mengapa ia Penting ?, menteri itu berkata, kerajaan baharu Malaysia telah menjanjikan lebih banyak ketelusan dan akauntabiliti dan menghapuskan undang-undang bercorak menindas yang pernah digunakan sebelum ini untuk menghalang media dan pandangan bertentangan.

“Salah satu janji pertama yang ditunaikan ialah memansuhkan akta kontroversial. Akta Anti-Berita Tidak Benar 2018,yang didapati digubal secara tergesa-gesa oleh kerajaan terdahulu untuk mengetatkan kawalan terhadap media, pembangkang dan masyarakat sivil.

“Walaupun rang undang-undang itu ditolak di Dewan Negara, undang-undang itu hari ini tidak lagi diguna pakai di Malaysia, “ katanya.

Mengenai Majlis Media, Gobind berkata, kerajaan sedang dalam proses mengadakan rundingan dan mendapatkan maklum balas menerusi perbincangan dengan pengamal media, wartawan, organisasi media, kesatuan, kumpulan masyarakat sivil dan kumpulan lain yang mempunyai kepentingan.

Majlis Media berperanan sebagai badan pengawalseliaan sendiri yang bebas untuk mendukung standard kewartawanan, menaikkan tahap profesionalisme dan menyediakan ruang untuk arbitrasi aduan awam.

Anggota panel sesi pleno tersebut termasuk peguam hak asasi manusia terkenal antarabangsa, Amal Clooney, Wakil Khas Mengenai Kebebasan Media di Pejabat Hal Ehwal Luar United Kingdom (UK) dan Ketua Pengarah UNESCO, Audrey Azoulay.

Anggota lain termasuk Menteri Komunikasi dan Informasi Indonesia, Rudiantara dan Ketua Pegawai Eksekutif dan pemilik laman berita dalam talian, Rappler, Maria Ressa.

Persidangan yang dianjurkan oleh kerajaan Kanada dan UK itu dihoskan Menteri Luar Kanada, Chrystia Freeland, dan Setiausaha Luar UK, Jeremy Hunt.

Persidangan itu adalah sebahagian daripada kempen antarabangsa menyerlahkan perhatian global terhadap kebebasan media.

Acara berkenaan mengumpulkan lebih 1,000 tetamu termasuk menteri dan pegawai kerajaan, komuniti diplomatik, agensi antarabangsa, wartawan, masyarakat madani dan ahli akademik.

Antara lain, persidangan itu meneliti cabaran yang dihadapi kebebasan media dan peluang yang akan diwujudkan untuk persekitaran yang lebih selamat bagi wartawan.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

KKMM letak KPI syarikat telco selesai aduan pelanggan

BATANG KALI, 3 JULAI: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) meletakkan sistem Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada semua syarikat telco di negara ini berkaitan tindakan menyelesaikan aduan pelanggan.

Mengakui perkhidmatan jalur lebar di kawasan luar dan pinggir bandar masih lemah, menterinya Gobind Singh Deo berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi peningkatan jumlah aduan pengguna.

Katanya, usaha penambahbaikan perlu dilakukan termasuk mewujudkan satu sistem bagi menangani setiap aduan dan diselesaikan dalam masa ditetapkan.

“Apa yang penting adalah kita perlu menambah baik sistem bagi menangani setiap aduan dikemukakan. Ia bukan sekadar bekalkan perkhidmatan yang murah dan laju malah syarikat-syarikat telco ini perlu juga memastikan segala aduan diselesaikan dalam masa ditetapkan,” katanya.

“Perkara ini yang diberi penekanan dan kita dalam proses melihat bagaimana syarikat telco boleh memastikan bahawa semua aduan ini diatasi dalam masa singkat. Kita letakkan KPI,” katanya.

Gobind berkata demikian selepas merasmikan pejabat Pos Malaysia Batang Kali baharu dan Majlis Mesra Aidilfitri yang turut dihadiri Pengerusi Pos Malaysia Bhd Datuk Yasmin Mahmood di perkarangan Pejabat Pos itu di Bandar Baru Batang Kali di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas masalah penembusan jalur lebar di kawasan luar bandar yang disuarakan Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM).

Menurut sistem aduan kualiti liputan CFM, sebanyak 390 aduan pengguna yang tidak berpuas hati mengenai kualiti Internet di pinggir bandar telah diterima sehingga Mei tahun ini manakala sebanyak 387 aduan mengenai perkara sama dilaporkan sepanjang tahun lepas.

Dalam pada itu Gobind berkata, kementerian berpuas hati dengan produk dan perkhidmatan yang disediakan Pos Malaysia Berhad selaku pemain industri pos, kurier, logistik serta e-dagang di negara ini.

Menurut beliau, Pos Malaysia mempunyai kira-kira 8,000 penghantar surat yang komited menghantar dokumen dan bungkusan membabitkan kira-kira tiga juta alamat setiap hari.

Kejayaan itu didokong keupayaan logistik darat, udara dan air demi keselesaan serta kemudahan rakyat.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Malaysia serius mengenai agenda pembangunan bakat teknologi

PUTRAJAYA, 28 JUN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan terus mengkaji semula semua inisiatif sedia ada selain membangunkan dasar-dasar penting baharu dalam memastikan Malaysia sentiasa di depan dalam persaingan, terutama melibatkan pembangunan bakat teknologi, kata menterinya Gobind Singh Deo.

“Kementerian amat memandang serius mengenai agenda pembangunan bakat teknologi,” katanya semasa melancarkan Data Futures Forum 2019: Shaping our Future Together-Towards a Data Enabled Society, di kampus Heriot Watt University Malaysia di sini hari ini.

Gobind berkata satu daripada bidang penting dalam perjalanan Malaysia ke arah menjadi sebuah negara maju adalah bakat.

“Sebagai penggerak utama IR4.0 (Revolusi Industri Keempat), adalah kritikal bagi kita untuk menyediakan saluran bakat yang kuat bagi memanfaatkan peluang-peluang sosioekonomi yang terhasil daripada pelaksanaan pendigitalan dan teknologi pintar,” katanya.

Memetik Laporan Bakat Digital Frost dan Sullivan yang ditauliahkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada 2017, beliau berkata permintaan terhadap bakat digital Malaysia dijangka tumbuh sebanyak 15 peratus setiap tahun yang memerlukan lebih daripada 540,000 pekerjaan menjelang 2020.

“Bakat-bakat digital kini menerima permintaan yang tinggi dan dilihat akan tumbuh dengan lebih pesat pada tahun-tahun yang akan datang,” tambah beliau.

Sementara Forum Ekonomi Dunia menganggarkan 75 juta peranan sedia ada mungkin akan menurun menjelang 2022, namun adalah diunjurkan bahawa 133 juta peranan baharu akan muncul kebanyakannya sebagai gangguan teknologi pintar jika tidak pun kesemua industri, kata beliau.

Peranan-peranan yang baru muncul ini adalah berkaitan dengan sains data, kecerdasan pintar (AI), pembangunan perisian, transformasi digital dan keselamatan siber, kata beliau.

“Kementerian saya faham ada keperluan mendesak untuk manjamin masa depan bakat-bakat digital pada masa depan dan sedang menangani agenda bakat digital menerusi MDEC, yang telah memainkan peranan utama dalam membangun dan memupuk bakat teknologi sejak beberapa tahun ini,” kata Gobind.

Beliau turut menyebut contoh kejayaan besar di peringkat sekolah adalah gerakan MyDigitalMaker yang secara perlahan-lahan mentransformasi para pelajar Malaysia daripada pengguna digital kepada pengeluar dalam ekonomi digital menenerusi kemahiran pembuat digital seperti pengekodan, pembangunan perisian, cetakan 3D, robotik, pengaturcaraan embedded, pengaturacaraan dan analisis data.

“Setakat ini, lebih 700,000 pelajar sekolah rendah dan menengah telah menerima kesan daripada aktiviti pembuatan digital di seluruh negara,” kata beliau.

Usaha lain oleh kementeriannya adalah di peringkat pendidikan tinggi melalui inisiatif Institusi Teknologi Digital Premier (PDTI), yang bermatlamat untuk memenuhi permintaan tinggi graduan Sains Komputer yang tersedia untuk industri, dengan melibatkan kumpulan institusi pengajian tinggi bersama-sama dengan rakan industri yang berkaitan bagi membekalkan graduan berkualiti tinggi untuk industri digital.

“Sepanjang satu tahun sahaja, terdapat peningkatan 33 peratus dalam pengambilan bagi kursus Sains Komputer dan teknologi maklumat untuk PDTI, dan peningkatan dalam kadar kebolehpasaran,” katanya.

Gobind berkata kementerian bekerjasama dengan rakan industri untuk memenuhi kerjaya teknologi lain yang semakin berkembang seperti keselamatan siber, sains data, AI, Internet of Things, pemasaran digital dan multimedia kreatif.

“Bagi memenuhi tuntutan industri ini yang berkembang pantas, Malaysia memerlukan kira-kira 20,000 profesional data untuk memenuhi keperluan yang secukupnya,” katanya sambil menambah bahawa tinjauan baru-baru ini menunjukkan gaji awal bagi profesional data antara RM50,000-90,000 setahun bergantung pada kelayakan akademik dan kecekapan teknikal.

Sementara itu, Gobind juga mengalu-alukan komitmen Heriot-Watt University untuk menyokong negara dalam menyediakan transformasi digital dengan menawarkan biasiswa berjumlah RM 2.6 juta bagi program sains data dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata komitmen universiti itu menyumbang kepada keperluan pendidikan pelajar tempatan agar mereka dapat terus mengasah kemahiran dan pengetahuan serta sebagai dorongan besar untuk pembangunan bakat teknologi tempatan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan tubuh jawatankuasa kaji isu penggiat seni muzik

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Jawatankuasa Awal (Pro-tem) Muzik akan ditubuhkan untuk mengkaji isu membabitkan penggiat seni muzik, dalam masa sebulan dari sekarang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Katanya, jawatankuasa itu ditubuhkan selepas pertemuan bersama penggiat industri semalam, bagi mendengar pandangan dan cadangan mereka tentang masalah pembangunan industri muzik, serta terdapat keperluan mengawal selia pembangunan industri muzik.

Jawatankuasa itu akan terdiri daripada wakil industri muzik bagi merangka strategi ke arah pembangunan industri muzik negara, selain mengemukakan cadangan penubuhan satu badan khusus untuk menerajui industri dan penyediaan Dasar Industri Muzik Negara.

“Dalam sesi perjumpaan ini, banyak perkara dibangkitkan termasuk keluhan yang isu siaran kandungan muzik antarabangsa diberikan keutamaan berbanding dengan kandungan atau penerbitan tempatan, isu kewangan dan dana kebajikan penggiat seni serta pembayaran royalti, semuanya yang mana memerlukan perhatian segera.

“Saya ingin menegaskan di sini bahawa kementerian saya amat prihatin dengan perlunya tindakan segera diambil untuk memperkukuhkan industri muzik di negara kita. Saya juga mengambil maklum dengan semua perkara yang dibangkitkan termasuk cabaran-cabaran yang dihadapi selaras dengan perubahan masa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Gobind berkata beliau juga setuju bahawa dana yang berasingan perlu dipertimbangkan untuk pembangunan industri muzik dan akan membincangkan perkara itu dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dengan kadar segera.

Sementara itu, beliau berkata perjumpaan itu merupakan permulaan usaha kementerian untuk memperkasa industri muzik Malaysia dengan kerjasama penggiat-penggiat muzik di negara ini.

Katanya, banyak lagi pertemuan sebegini akan diadakan untuk memastikan semua pandangan dan cadangan daripada industri ini diambil kira, dalam perkara pembentukan perbadanan yang akan menerajui industri muzik dan membentuk Dasar Industri Muzik Negara.

“Adalah menjadi harapan saya bahawa semua yang terlibat dalam industri ini akan membantu dan memberi kerjasama sepenuhnya untuk kita bersama-sama menjayakan industri muzik kita,” katanya.

Perjumpaan yang bertempat di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith dan Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Shakib Ahmad Shakir.

Lebih daripada 80 penggiat industri muzik yang terdiri daripada penyanyi, komposer, syarikat rakaman, label dan pengurusan, artis indie dan karyawan telah hadir ke sesi perjumpaan anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Latheefa calon sesuai terajui SPRM – Gobind

PUTRAJAYA, 5 JUN: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mengalu-alukan pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menyifatkan peguam itu layak dan sesuai untuk menggalas tanggungjawab baharu itu.

Katanya, beliau telah mengenali Latheefa kerana masing-masing menjadi pengamal guaman dan berharap bekas pengarah eksekutif Lawyers for Liberty itu diberi masa untuk melakukan yang terbaik dalam tugas baharu itu.

“Saya tidak terkejut dengan pelantikannya…beliau pasti seorang yang berkebolehan, berpengalaman dan mempunyai pemahanan dan pegangan mengenai perundangan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.

Gobind berkata, terdapat banyak percubaan dan usaha untuk ‘membersihkan’ negara yang menjadi tumpuan kerajaan Pakatan Harapan dalam tahun pertama pentadbirannya.

“Ia adalah satu tanggungjawab besar tetapi sekali lagi beliau adalah seorang yang mempunyai pengalaman dan kelayakan untuk tugas baharu itu,” katanya.

Mengenai dakwaan Latheefa tidak memiliki pengalaman yang mencukupi dalam menerajui agensi penguatkuasaan itu, Gobind berkata beliau sendiri tidak mempunyai pengalaman sebagai menteri dan percaya perlu ada titik permulaan.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Datuk seri Mohamed Azmin Ali percaya pelantikan Latheefa adalah berdasarkan merit dan bukannya ideologi politik.

“Saya pasti pelantikan itu berdasarkan merit kerana beliau telah menceburi bidang undang-undang untuk sekian lama. Tetapi saya pasti pelantikan itu dibuat berdasarkan merit itu dan tidak semestinya bukan berdasarkan ideologi,” katanya yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Mohamed Azmin juga berkata Latheefa, selaku Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, sudah lama tidak aktif dalam parti kerana beliau terlalu sibuk dengan kerja-kerja guaman di mahkamah.

“ Jadi saya fikir kita perlu beri beliau peluang untuk berkhidmat dengan badan itu (SPRM),” katanya sambil menambah beliau mengetahui pelantikan Latheefa melalui media.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri, dalam satu kenyataan, memaklumkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Latheefa menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memohon memendekkan kontrak beliau lebih awal daripada yang sepatutnya pada 17 Mei 2020.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Gobind puji sokongan Facebook tangani maklumat palsu

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, memuji inisiatif Facebook dalam menyokong usaha kementeriannya menangani maklumat salah dan palsu.

Beliau berkata, kerajaan menyedari bahawa penyedia media sosial melakukan banyak kerja pada kandungan yang dijana pengguna (UGC) untuk menentang pornografi kanak-kanak, keganasan dan ucapan kebencian.

“Usaha ini terdiri daripada sumber yang direka untuk membantu orang berfikir secara kritikal dan berkongsi secara bertanggungjawab, membantu mereka lebih memahami dan lebih mudah mengawal apa yang dilihat di media sosial, untuk bekerjasama dengan pihak ketiga yang memeriksa data dengan pantas bagi mengatasi maklumat yang salah.

“Cabaran sekarang adalah untuk menangani kepelbagaian dalam kandungan UGC yang akan memasukkan konteks tempatan untuk setiap negara yang mempunyai kebimbangannya sendiri,” katanya pada majlis pembukaan pejabat baru Facebook di Q Sentral, di sini semalam.

Pembukaan pejabat itu disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Gobind berkata, walaupun terdapat beberapa bentuk pengiktirafan terhadap keperluan untuk menangani ucapan kebencian dengan segera, terdapat juga bentuk ekspresi lain yang boleh menimbulkan ancaman kepada kestabilan, keharmonian dan keselamatan negara.

“Aliran maklumat bebas boleh menjadi sesuatu yang baik tetapi ia juga boleh disalah gunakan,” katanya.

Beliau berkata adalah baik apabila ia digunakan untuk menghubungkan orang dan masyarakat, namun ia juga boleh digunakan untuk menghasut kebencian, keganasan dan menyebarkan berita palsu serta maklumat salah.

“Kementerian saya memainkan peranan utama dalam memastikan semua orang boleh menggunakan platform media sosial dengan selamat dan bertanggungjawab, tetapi itu lebih mudah untuk diucapkan daripada dilakukan,” katanya.

Gobind berkata kementeriannya juga berharap untuk bekerja lebih rapat dengan Facebook, khususnya dalam bidang Penguatkuasaan Piawaian Komuniti.

Beliau turut berharap Facebook akan terus meneroka peluang untuk bekerjasama dengan usahawan tempatan dan masyarakat bagi mewujudkan dunia yang lebih berhubung.

Beliau berkata, kehadiran dan komitmen yang dipertingkatkan di Malaysia adalah langkah utama ke arah membantu meningkatkan kemahiran digital perusahaan kecil dan sederhana (SME) Malaysia, memperkasakan mereka untuk mengembangkan perniagaan dan berhubung dengan seluruh dunia melalui pendidikan, pandangan serta peralatan untuk berjaya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jangan ambil mudah soal perpaduan masyarakat majmuk – Gobind

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Rakyat Malaysia digesa supaya tidak leka dalam meneruskan usaha menjaga kepelbagaian budaya, agama dan bangsa, serta menyemai nilai murni dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, keunikan masyarakat Malaysia adalah sesuatu yang amat istimewa dan menjadi daya tarikan kepada warga seluruh dunia.

Menurutnya, pada masa sama, masyarakat Malaysia dan di seluruh dunia juga kini didepani dengan pelbagai ancaman dan cabaran terutama di alam maya.

“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan persekutuan komited dalam menangani isu-isu dan masalah-masalah yang bakal membawa impak yang negatif terhadap masyarakat berbilang kaum di negara kita,” katanya berucap pada majlis sambutan Rumah Terbuka Vaisakhi peringkat kebangsaan di sini, hari ini.

Vaisakhi menandakan permulaan musim menuai menurut kalendar masyarakat Sikh Punjabi.

Sementara itu, Gobind berkata ,walaupun kerajaan memastikan media kekal bebas, ia bukan bererti fitnah dan berita palsu boleh disebar dengan niat jahat untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab rakyat untuk sama-sama membantu kerajaan menghalang perbuatan pihak yang cuba mengeruhkan perpaduan antara kaum dan keharmonian rakyat.

“Kerjasama antara kaum adalah kunci kepada kita dalam menangani dan menghadapi ancaman dan cabaran, dan tidak harus dipandang ringan atau diperkecilkan.

“Kepelbagaian rakyat Malaysia wajib dipertahankan dan diperkukuhkan demi masa depan yang lebih cerah dan makmur,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Perayaan Gawai Dayak harus dapat liputan media arus perdana

BINTULU, 18 MEI: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menyokong penuh supaya perayaan Hari Gawai Dayak di Sarawak diangkat ke martabat selayaknya dan mendapat liputan serta tempat berpatutan di saluran media arus perdana.

Beliau berkata, ia bagi memastikan generasi muda dapat didedahkan kepada kekayaan dan kehalusan seni budaya serta adat masyarakat mereka yang mungkin jarang dapat disaksikan.

“Saya difahamkan bahawa masyarakat Dayak amat kaya dengan adat dan budaya yang tinggi.

“Kepelbagaian budaya dan bangsa adalah keistimewaan negara kita dan keharmonian yang terhasil daripada perpaduan rakyat berbilang kaum merupakan daya tarikan kepada warga seluruh dunia,” katanya ketika merasmikan Program Pemimpin Bersama Rakyat di Lapangan Terbang Lama Bintulu, di sini hari ini.

Beliau juga gembira dengan tema sambutan pada kali ini iaitu “Bejalai Betungkatka Adat, Tinduk Bepangalka Pengingat”, yang turut dimeriahkan dengan perserta kaum Dayak dari Kalimantan Barat, Indonesia.

Gobind yang menyampaikan ucapan Selamat Hari Gawai dan juga Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada hadirin yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama berkata, rakyat Malaysia bersyukur kerana dapat meraikan perayaan mereka dalam keadaan tenteram dan harmoni.

Katanya, situasi dan suasana aman serta selamat seperti itu membolehkan kerajaan menumpukan perhatian kepada program pembangunan negara demi mempertingkatkan taraf hidup rakyat sama ada dari segi ekonomi, pendidikan, infrastruktur massa, kebudayaan serta keagamaan.

“Kepelbagaian budaya dan bangsa adalah keistimewaan Malaysia dan keharmonian yang terhasil daripada perpaduan rakyat berbilang kaum merupakan daya tarikan kepada warga seluruh dunia.

“Kerjasama antara kaum adalah kunci kepada kita dalam menangani dan menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran, dan tidak harus dipandang ringan atau diperkecilkan.

“Kepelbagaian rakyat Malaysia adalah sesuatu yang patut diraikan dan diperkukuhkan bersama, demi masa hadapan lebih cerah dan makmur,” katanya.

Sebelum itu, beliau melepaskan dan menyertai lebih 3,000 peserta perarakan program ‘Ngerandang Jalai Gawai’ yang berarak sejauh 1.7 kilometer dari tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu ke sebahagian daripada pusat bandar Bintulu sebelum kembali ke tapak perlepasan semula.

Majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan dari persatuan Dayak tempatan dan dari Kalimantan Barat serta pertunjukkan fesyen etnik Dayak.

-BERNAMA