Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB puji usaha ketua polis Selangor mahu bantu golongan terkesan

SHAH ALAM, 2 JULAI: Dato’ Menteri Besar memuji usaha ketua polis Selangor dan kontinjennya yang mahu membantu golongan terkesan akibat Covid-19 walaupun sibuk menjalankan tugas.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata naluri kemanusian amat diperlukan ketika ini apabila Dato’ Arjunaidi Mohamed dan anggotanya turut bersama rakyat yang terkesan.

“Naluri kemanusiaan seumpama ini amat diperlukan ketika rakyat bergelut meneruskan kehidupan dan menghadapi pandemik ini. Syabas Dato’ Arjunaidi dan kontinjen Polis Selangor!” tulisnya menerusi Twitter.

Terdahulu, menerusi ‘Bual Bicara PKPD di Selangor: Yang Perlu Anda Tahu’ secara langsung di Media Selangor, Arjunaidi berkata pihaknya akan membantu golongan yang terkesan akibat pandemik khususnya di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

“Di Selangor saya pertingkatkan lagi supaya kita lebih proaktif untuk mengesan golongan ini. Selepas kenal pasti, kita akan bantu dengan menghubungkan mereka dengan agensi berkenaan seperti lembaga zakat,” katanya.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan PKPD akan dilaksana di 34 mukim di lapan daerah Selangor selama 14 hari bermula esok dan dijadual berakhir 16 Julai.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD: Polis Selangor kesan golongan terjejas untuk dibantu

SHAH ALAM, 2 JULAI: Polis Selangor akan membantu golongan terkesan akibat pandemik Covid-19 khususnya di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Ketua Polis Selangor Dato’ Arjunaidi Mohamed berkata pihaknya mengeluarkan arahan yang mana ketua balai dan anggota diminta untuk mengenal pasti golongan terbabit untuk segera dibantu.

“Di Selangor saya pertingkatkan lagi supaya kita lebih proaktif untuk mengesan golongan ini. Selepas kenal pasti, kita akan bantu dengan menghubungkan mereka dengan agensi berkenaan seperti lembaga zakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara ‘PKPD di Selangor: Yang Perlu Anda Tahu’ yang disiarkan secara langsung di Media Selangor hari ini.

Arjunaidi berkata orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat kepada pihaknya dengan menghubungi balai polis berdekatan.

“Mungkin ada yang menghadapi kemurungan kerana mempunyai masalah kewangan, jadi hubungi balai pada bila-bila masa. Kita akan bantu mereka bagi mendapatkan bantuan dari segi kewangan, kaunseling,” katanya.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan PKPD akan dilaksana di 34 mukim di lapan daerah Selangor selama 14 hari bermula esok dan dijadual berakhir 16 Julai.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Sedia latihan kemahiran bantu golongan terjejas

SHAH ALAM, 16 JUN: Kerajaan Negeri akan melaksanakan program latihan kemahiran khusus kepada golongan terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata program dijayakan dengan kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) bertujuan meningkatkan tahap kemahiran, latihan semula atau mempelajari kemahiran baharu bagi menyokong keupayaan sedia ada.

“Perincian berhubung pelaksanaan program akan diumumkan sedikit masa lagi dan perkara terpenting adalah komitmen Kerajaan Negeri untuk membantu golongan berkenaan.

“Kerajaan Negeri sentiasa berusaha meningkatkan keupayaan rakyat untuk terus bersaing bukan sahaja di peringkat dalam negeri tetapi juga global,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia memaklumkan kadar pengangguran negara meningkat 48.8 peratus kepada 778,800 orang setakat April lalu.

Angka tersebut menjadikan kadar pengangguran negara berada pada tahap 5.0 peratus, tertinggi sejak 1989 kesan penutupan sebahagian besar perniagaan sepanjang PKP.