Categories
SELANGOR

Pilihanraya hampir tiba, fitnah makin menular

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 17 NOV : Dakwaan yang mengaitkan kononnya Kerajaan Negeri mengedarkan pemberian kondom percuma di bawah Skim Peduli Sihat adalah tidak benar dan bersifat fitnah.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeo berkata, penularan dakwaan negatif berkenaan dibuat bagi mengelirukan masyarakat awam.

“Bukti pilihanraya sudah semakin dekat, ini taktik jijik untuk memfitnah dan mengelirukan masyarakat dan pengundi,” tulisnya di Twitter.

Terdahulu tular kononnya pemberian kondom percuma akan diedarkan kepada rakyat Selangor di bawah Skim Peduli Sihat bagi mengelak terdedah kepada penyakit HIV atau AIDS dalam kalangan generasi muda negeri.

Penularan dakwaan tu tular sejak beberapa hari lalu dan mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat seluruh negeri.

Sementara itu, Setiusaha Politik Menteri Besar, Shuhaimi Shafie berkata, ada pihak tidak bertangungjawab menularkan perkara berkenaan, termasuk meletakkan gambar Dato’ Menteri Besar, Dato Seri Mohamed Azmin Ali.

“Berita ini adalah fitnah semata-mata. Makin terdesa kaum dedak ini,” katanya lapor Sinar Harian.

Terdahulu, Skim Peduli Sihat dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi membantu rakyat mendapatkan akses kesihatan terbaik menerusi pengenalan beberapa inisiatif.

Antaranya pengenalan Kad Peduli Sihat yang bakal memberi manfaat kepada 1 juta rakyat Selangor untuk mendapatkan pembiayaan kos rawatan asas.

Categories
SELANGOR

162 Projek Tidak Diluluskan, SYABAS Tidak Layak Urus Air Selangor

SHAH ALAM, 10 JULAI : Sebanyak 162 buah projek pembangunan di Selangor tidak diluluskan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) membuktikan syarikat itu tidak layak untuk mengurus air di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, penswastaan air di Selangor sepatutnya diubah kerana syarikat-syarikat yang dipilih tidak mempunyai kemampuan kewangan dan keupayaan pengurusan yang baik.

“SYABAS perlu meluluskan projek-projek ini seperti mana apa yang dijanjikan mereka ketika mengambil alih pengurusan air ini pada tahun 2004,” katanya ketika menjawab soalan daripada Hannah Yeoh (DAP-Subang Jaya).

Katanya, pada tahun 2006, Kerajaan Pusat telah meluluskan akta bagi menyelesaikan isu pengurusan air di negeri-negeri di Malaysia.

“Kerajaan Negeri diminta untuk mengambil semula pengurusan air dan ini sudah mula dilakukan di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah mencadangkan untuk mengambil alih pengurusan air di Selangor supaya lebih teratur dan efektif.

Abdul Khalid berkata, pengambilan pengurusan air di Selangor adalah sangat penting kerana tidak mahu membebankan rakyat.

“Jika tidak diambil alih pengurusan, kita akan membebankan rakyat dengan peningkatan harga air lebih daripada 70 peratus,” katanya.

Namun begitu katanya, pemilik saham SYABAS tidak mempersetujui tawaran Kerajaan Negeri dengan mengatakan keuntungan yang diterima SYABAS masih tidak mencukupi.

“SYABAS mahu keuntungan sebanyak 1.2 billion sedangkan syarikat itu sudah mendapat keuntungan sejak 2004 lagi,” katanya lagi.