Categories
BERITA UTAMA

DYMM Sultan Sharafuddin ziarah makam bonda

SHAH ALAM, 11 DIS: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat menziarahi makam bonda baginda menjelang Hari Keputeraan ke-75.

Menurut Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin menziarahi makam Almarhumah Raja Saidatul Ihsan Almarhum Raja Bendahara Tengku Badar Shah yang mangkat pada 31 Mei 2011 di Makam Diraja Shah Alam semalam.

Turut mengiringi baginda ialah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah serta adinda baginda Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Alhaj dan Tengku Panglima Besar Selangor Tengku Abdul Samad Shah Alhaj.

Setiap tahun menjadi kelaziman Sultan Sharafuddin menziarahi makam berkenaan menjelang Hari keputeraan baginda.

Makam Almarhumah Raja Saidatul Ihsan Almarhum Raja Bendahara Tengku Badar Shah yang mangkat pada 31 Mei 2011 di Makam Diraja Shah Alam. Foto Facebook Selangor Royal Office.
Categories
AGENDA NASIONAL

8 Jun cuti umum Hari Keputeraan Agong

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Isnin (8 Jun) diisytiharkan sebagai hari kelepasan am bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan berkata pengisytiharan itu dibuat di bawah Seksyen 8, Akta Hari Kelepasan 1951 dan diwartakan pada 18 Mac lepas.

“Hari kelepasan am ini adalah termaktub sebagai hari cuti umum yang wajib diberikan kepada pekerja menurut Seksyen 60D (1)(a)(ii) Akta Kerja 1955 (Akta 265).

“Hari kelepasan am ini tidak boleh digantikan oleh tarikh lain dan pekerja yang diarahkan bekerja pada tarikh ini hendaklah dibayar gaji pada kadar bayaran bagi hari kelepasan am selaras dengan peruntukan Akta 265,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Agong terima kejutan Hari Keputeraan di Istana Negara

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Nyanyian lagu ‘Allah Selamatkan Tuanku’ berkumandang di Istana Negara malam tadi sebagai kejutan bagi meraikan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ke-60.

Kejutan itu berlangsung ketika Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersedia untuk berangkat pulang bersama Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha selepas selesai menghadiri Majlis Santapan Diraja malam ini.

“Allah Selamatkan Tuanku,

Allah Selamatkan Tuanku,

Allah Selamatkan Duli Tuanku,

Allah Selamatkan Tuanku.

Bait lagu berkenaan dinyanyikan penyanyi terkenal Dayang Nurfaizah dan anak-anak Permata Seni Koir yang turut disertai tetamu yang hadir.

Seri Paduka kemudian dipersembahkan kek berbentuk singgahsana dan berkenan memotong kek itu di hadapan lebih 700 tetamu yang hadir pada majlis berkenaan.

Lebih manis, Tunku Azizah berkenan menyuapkan Seri Paduka potongan kek dan kemudian memberikan salam hormat serta pelukan.

Seri Paduka berdua kemudian turut berkenan bersalaman dan bergambar dengan tetamu yang hadir sebelum berangkat meninggalkan majlis.

-BERNAMA