Categories
NASIONAL

Sambutan Hari Malaysia 2018 berbeza – Mahathir

KOTA KINABALU 17 SEPT: Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini berbeza kerana buat pertama kalinya disambut dengan kerajaan Persekutuan yang baharu dipimpin oleh gabungan parti politik berlainan, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu menyaksikan Pakatan Harapan telah menggantikan Barisan Nasional (BN), yang sebelum itu dikenali sebagai Perikatan, telah memerintah Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian Malaysia sejak merdeka lagi iaitu selama 61 tahun.

“Perubahan ini bukan sesuatu yang kecil. Ini kerana sebelum PRU-14, penganalisis dan pemerhati politik rata-rata mengatakan adalah sukar (menumbangkan BN) malah ada yang mengatakan mustahil untuk menjatuhkan kerajaan yang sudah bertapak sejak 61 tahun lalu.

“Alhamdulillah, Pakatan Harapan berjaya (menumbangkan BN) walaupun tidak dijangka. Kejayaan ini adalah kehendak rakyat. Ia adalah sejenis “people’s power”- kuasa rakyat.

“Barang siapa membelakangkan rakyat akan menerima nasib sama (dijatuhkan menerusi kuasa rakyat). Justeru, Pakatan Harapan dan Parti Warisan Sabah harus memahami hakikat ini,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka malam tadi.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA KENYATAAN MEDIA SELANGOR

Selamat Menyambut Hari Malaysia

Kepada seluruh rakyat Malaysia dari Perlis hinggalah ke Sabah saya ucapkan Selamat Menyambut Hari Malaysia.

Ternyata Persekutuan ini bukanlah semata-mata gabungan negeri-negeri bahkan juga ikatan kukuh rakyat negara ini demi untuk Maju Bersama di era Malaysia Baharu.

#MajuBersama

Categories
NASIONAL

Sambutan Hari Malaysia: Tun Dr Mahathir tiba di Sabah

KOTA KINABALU, 16 SEPT: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tiba di Kota Kinabalu bagi menghadiri upacara sambutan Hari Malaysia malam ini.

Pesawat khas yang membawa perdana menteri mendarat di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira 12.20 tengah hari.

Ketibaan beliau disambut Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, anggota kabinet negeri dan persekutuan, ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri serta ribuan penyokong Pakatan Harapan Parti Warisan Sabah.

Kira-kira 7 malam ini, Dr Mahathir dijadualkan menghadiri acara sambutan Hari Malaysia yang berlangsung di Padang Merdeka.

SUMBER: BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

Ke arah Malaysia lebih adil, saksama dan bersatu padu

Tarikh 16 September 1963 menyaksikan negeri-negeri Sabah dan Sarawak bersama Semenanjung yang telah merdeka pada 31 Ogos 1957, berpadu di dalam suatu permuafakatan besar negara kesatuan Malaysia.

Prinsip dan semangat Persekutuan telah dipersetujui untuk menjadi penyatu dan bumbung yang memayungi Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur. Kita juga menaruh harapan yang amat tinggi untuk melihat Malaysia yang adil, saksama dan bersatu padu.
⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀
Sudah tentu peristiwa bersejarah ini memberi kita kesempatan untuk mengimbau dan menyingkap peristiwa bersejarah terkait pembentukannya tanpa disisihkan perjuangan dan pengorbanan mana-mana pejuang dari pelbagai kaum, pemikiran dan aliran politik yang bergolok gadai segalanya demi nikmat yang kita kecapi hari ini.
⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀
Tarikh ini juga seharusnya dimaknai dengan iltizam dan tekad yang menjurus kepada perpaduan antara kaum dan agama serta kebersamaan dalam keluarga besar Malaysia ini tatkala kita telah melangkaui separuh abad kemerdekaan negara.

Kecurangan dan keangkuhan pimpinan lalu yang meremehkan Perlembagaan dan menginjak prinsip-prinsip demokrasi tidak harus diulangi. Dengan asas ini juga, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang ditegaskan Perlembagaan, sewajarnya menjadi penghubung dan alat penyatuan buat semua bangsa dan kaum di Malaysia.

Ia juga adalah bahasa peradaban yang luhur, bahasa perdagangan, dan pernah menjadi ‘lingua franca’ serantau yang melatari kurun ke-15 sehingga pertengahan kurun ke-19.

Penekanan terhadap penggunaan dan penguasaannya harus diberikan keutamaan, selain upaya untuk membuang syak wasangka segelintir pihak yang melihat Bahasa Melayu sebagai bahasa yang menyubur faham rasisme dan rasa curiga antara kaum. Sebaliknya, ia adalah milik anak semua bangsa di negara ini.
⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀
Menyentuh perihal hubungan antara kaum, toleransi kaum dan agama sewajarnya dibenih, disemai dan didukung sebagai perkakas dan pemampan kepada kacau bilau dan kebencian yang ditimbulkan sesetengah pihak yang tidak ada matlamat lain selain huru hara dan ketidakstabilan.

Kesiapsiagaan kita dalam menangani cabaran ini harus ditingkatkan melalui pelbagai usaha, selain dukungan tanpa berbelah bahagi kita terhadap Perlembagaan Persekutuan.
⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀
Semoga segala upaya dan usaha kita dalam mengekalkan dan melindungi keluarga besar Malaysia ini diredhai dan diberkati Tuhan.

Bersempena sambutan Hari Malaysia ini, saya mewakili keluarga dan KEADILAN seluruhnya mendoakan permulaan yang baharu buat negara tercinta ini. Semoga ia kekal aman dan toleran.
⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀
Dirgahayu Malaysiaku!
⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀
OLEH: DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

SELAMAT HARI MALAYSIA

OLEH: DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL, TIMBALAN PERDANA MENTERI

Lima dekad berlalu sejak tertubuhnya negara Malaysia hasil gabungan Persekutuan Malaya dengan Sarawak dan Borneo Utara (kini Sabah).

Peristiwa penyatuan tiga wilayah yang bersejarah ditambah manis dengan ciri-ciri unik dimiliki oleh setiap wilayah.

Perjuangan kita untuk mengecapi kemerdekaan dan menegak demokrasi dinikmati tanpa pertumpahan darah dan ini merupakan kejayaan yang dapat dibanggakan oleh setiap rakyat Malaysia.

Pada hari ini, marilah kita mengenangi perit jerih yang dilalui oleh nenek moyang kita dan pemimpin-pemimpin terdahulu dalam menjadikan Malaysia sebuah realiti.

Keindahan Malaysia sesungguhnya terletak pada rakyatnya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Peranan masyarakat Selangor, lakar masa depan negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 SEPT: Warga Selangor memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembentukan Malaysia Baru yang lebih dominan pada masa depan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tumpuan itu terarah kepada generasi pasca kemerdekaan yang sewajarnya bersatu untuk melakar kepada pembinaan Malaysia sejahtera.

“Masyarakat perlu sedar, dalam keadaan apa pun dengan sumbangan yang diberikan, ianya akan memberi kesan signifikan kepada pembentukan masa depan negara.

“Setiap tindakan dan keputusan yang kita ambil, bukan sahaja akan dinilai generasi hari ini, tetapi turut dilihat generasi akan datang.

“Justeru peranan kita sangat mencabar kerana generasi muda dengan idealisme baru mewakili suara majoriti untuk membentuk Malaysia baru,” katanya.

IMG_20170916_165642Mohamed Azmin berkata, lembaran baru negara juga dapat direalisasikan menerusi komitmen penyatuan bangsa yang kukuh dengan keinginan untuk memacu kepada imej bangsa membangun.

Beliau berkata, keberkesanan itu mampu dihasilkan sekiranya golongan muda yang menjadi penentu masa depan negara menolak pentadbiran korupsi di peringkat Persekutuan.

“Saya yakin, kita mempunyai masa depan cerah jika masyarakat khususnya anak muda bangkit untuk menolak kebatilan dengan menegakkan kebenaran hakiki.

IMG_20170916_165501“Iltizam dan tekad selain keyakinan tinggi yang wajar kita pegang bahawa seluruh rakyat akan berjaya untuk membuka lembaran baru buat negara yang kita cintai ini.

“Saya mahu kita bersama dalam satu perjalanan untuk mengemudi sebuah amalan politik nilai dengan pengurusan ekonomi peduli untuk kesejahteraan negara,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin bercakap pada sesi Dialog Malaysia Baru bersama Dato’ Menteri Besar di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah, petang ini.

Sesi dialog dipengerusikan, Aktivis Budaya Malaysia, Eddin Khoo dan turut dihadiri lebih 400 tetamu melibatkan penyertaan daripada golongan mahasiswa, pertubuhan bukan kerajaan, aktivis, penganalisis, ahli politik dan pengamal media.

Penganjuran forum berkenaan seiring sambutan Hari Malaysia ke-55 meraikan penyatuan Semenanjung, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Cuti umum Hari Malaysia cetusan Anwar

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 SEPT: Cuti umum sempena Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September setiap tahun diilhamkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu dimulakan pada 2008 di lima buah negeri; Kedah, Perak Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor yang berjaya ditawan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12).

Anwar selaku Ketua Umum KEADILAN dilaporkan berkata, cuti umum itu wajar kerana 16 September adalah tarikh ulang tahun penubuhan Malaysia dan ia merupakan hari bersejarah, sama seperti 31 Ogos.

”Kita mahu membuktikan kepada rakyat bahawa pakatan pembangkang tidak mahu menipu sejarah. Tarikh (16 September) ini merupakan hari yang amat bersejarah.

”Jadi, kita harap lima negeri yang kita kuasai sekarang boleh diberi cuti umum pada 16 September ini,” katanya.

anwar-cadang-cuti-16-septBeliau berkata demikian ketika berucap pada majlis kesyukuran sempena kemenangannya dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh di tapak Ekspo Seberang Jaya pada 1 September 2008.

Pembentukan Gagasan Malaysia pada 16 September 1963 merupakan cetusan idea Perdana Menteri Tanah Melayu yang pertama ketika itu, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang melibatkan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Brunei.

Pembentukan itu antaranya bertujuan mengelakkan ancaman dan pengaruh komunis, perkongsingan ekonomi serta memberikan kemerdekaan kepada Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei lebih awal.

Akhirnya Singapura berpisah dari Malaysia pada Ogos 1965 selepas berdepan pelbagai kesulitan antara Singapura dan Kuala Lumpur.

EZY

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Perutusan Dato’ Menteri Besar sempena Hari Malaysia

OLEH : Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

Tarikh keramat 16 September 1963 telah memperkukuh cita – cita bersama untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat, makmur dan sejahtera.

Bersama – sama Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi Persekutuan Malaysia, kita telah melafazkan ikrar dan janji dengan penuh kesedaran bahawa pembentukan ini didasari dengan semangat perjanjian Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963.

Sesungguhnya, inilah hasrat pendiri negara dan bangsa serta pengasas Perlembagaan Persekutuan.

Malaysia dibentuk berasaskan prinsip perlembagaan bagi menjamin pengagihan kuasa dan ekonomi yang saksama, adil serta membebaskan rakyat dari penjajahan minda dan jiwa demi mengangkat harga diri rakyat Malaysia.

malaysia-hari1Kerajaan Negeri tuntas untuk melaksanakan kerjasama bersekutu demi memperkasakan kedudukan setiap negeri sejajar dengan semangat federalisme.

Justeru, saya menyeru seluruh rakyat untuk memaknai erti dan makna sebenar Perjanjian Malaysia 1963.

Semoga hasrat murni ini merealisasikan impian dan harapan rakyat untuk memiliki sebuah Kerajaan yang melaksanakan keadilan kepada rakyatnya demi kemaslahatan semua.

Selamat Hari Malaysia.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan Hari Malaysia Presiden PKR: Selamatkan Malaysia!

16 September 1963 merupakan tarikh keramat lahirnya Malaysia, negara kita yang tercinta. Ia merupakan tarikh keramat di mana satu perjanjian telah dibuat demi masa depan bersama, yang terikat dan termaktub di dalam sebuah perlembagaan yang kita pegang dan amalkan hingga ke hari ini.

52 tahun sudah pun berlalu. Sudah pasti banyak halangan telah kita atasi, pelbagai dugaan telah kita hadapi, dan bermacam kemajuan telah kita nikmati bersama.

hari malaysiaNamun hari ini, akibat pelbagai kejadian dan tindakan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang memperalat isu perkauman dan keagamaan, ramai yang bertanya ke mana hala tuju negara kita kini.

Ditambah pula dengan masalah ekonomi seperti kejatuhan nilai matawang ringgit, hutang negara yang menggunung, skandal kewangan, bebanan GST, kesenjangan dan kekayaan negara yang tidak diagihkan secara adil, dan hilangnya keyakinan para pelabur.

Jelas rakyat Malaysia mendamba, mengharapkan serta mendoakan agar kita punyai pimpinan yang berintegriti, mengamalkan tata kelola yang baik, serta mampu melakukan reformasi dan perubahan terhadap institusi-institusi dan sistem-sistem untuk perbaiki dan perbetul hala tuju negara.

Tanpa reformasi dan perubahan menyeluruh, langkah-langkah yang diambil kerajaan pada waktu ini mungkin tidak akan dapat memperbetul keadaan.

Pada masa yang sama, jangan kita tunduk kepada pihak-pihak yang mahu memecah-belah atau menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat. Jangan termakan dakyah adu domba yang menimbulkan syakwasangka.

Hari Malaysia kali ini, marilah kita tanam semangat dan iltizam untuk terus berani bersuara dan selamatkan negara demi masa depan yang adil, saksama, telus dan harmoni untuk semua.

Selamatkan Malaysia!

DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN

16 September 2015

Categories
SELANGOR

MB: Kekalkan tradisi ‘umat Malaysia’

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 15 SEP : Rakyat di negara ini perlu memperbaharui tekad untuk memenuhi dan mengekalkan tradisi “umat Malaysia” seperti yang diperjuangkan Almarhum Tunku Abdul Rahman.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata ungkapan itu amat bermakna seperti Perlembagaan Madinah yang kosmopolitan, majmuk, pelbagai suku kaum dan agama sebagai satu ummah.

Katanya inisiatif itu mencipta suasana aman daman dan memberi jaminan keselamatan kepada semua masyarakat.

Selamat Malaysia“Sebelum kedatangan Rasulullah SAW, kabilah Arab dan Yahudi sentiasa berperang sesama sendiri, namun di bawah Perlembagaan Madinah, mereka itu adalah umat yang satu.

“Ini juga yang berlaku di negara kita apabila Tunku membentuk Persekutuan Malaysia yang menjadi lebih majmuk dan kosmopolitan,” katanya pada perutusan Hari Malaysia.

Katanya mantan Perdana Menteri itu tidak mahu mewujudkan penguasaan kaum di negara ini yang bertentangan dengan prinsip keadilan dan menggugat kestabilan.

Justeru, katanya mereka yang berhimpun dengan maksud untuk mengangkat penguasaan kaum adalah bertentangan dengan gagasan “umat Malaysia” yang diungkap Tunku Abdul Rahman.

“Tunku mengulangi prinsip Malaysia dengan izin dan kehendak Allah kekal menjadi negara demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kebebasan dan keadilan.

“Keamanan dan kemesraan umatnya perlu dikekalkan kerana Malaysia bukan sahaja perlu aman, tetapi umatnya perlu mesra di sebalik perbezaan warna kulit, keturunan dan agama.

“Kita boleh memilih untuk bersengketa atau hidup bersaudara dan aman, tetapi umat Malaysia memilih untuk hidup bersama dengan kemesraan, jadi kekalkan tradisi ini,” katanya.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata generasi hari ini perlu memahami fakta sejarah bahawa Sabah dan Sarawak bersama Semenanjung Tanah Melayu membentuk Malaysia.

Beliau berkata Perisytiharan Kuching yang dimeterai Pakatan Rakyat (Pakatan) pada 16 September 2012 tidak boleh disangkal untuk memastikan semua rakyat hidup bersatu padu.

“Perisytiharan itu tekad untuk memulihara intipati Perjanjian Malaysia dan memperkasakan kedudukan Sarawak dan Sabah setanding dengan Semenanjung mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.

“Perisytiharan itu juga komited untuk mempertingkatkan integrasi nasional di antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung melalui penggemblengan tenaga dan perkongsian kuasa secara adil yang menjunjung semangat Perjanjian Malaysia,” katanya.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan Hari Malaysia MB: ‘Umat Malaysia’, perbaharui tekad bina negara gagah

Oleh: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali

Pada hari ini, lima puluh dua tahun yang lalu, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengisytihar dan memahsyurkan pembentukan Persekutuan Malaysia. Beliau membuat perisytiharan tersebut bagi pihak “umat Malaysia”.

Tunku Abdul Rahman menggunakan ungkapan “umat Malaysia”. Ungkapan ini amat bermakna kerana ia sekaligus mengingatkan kita kepada Perlembagaan Madinah.

Apabila Nabi Muhammad SAW berhijrah dari Makkah al-Mukarramah kepada Madinah al-Munawwarah, Baginda membuat perjanjian dengan kabilah-kabilah Arab dan Yahudi yang menetap di kota tersebut.

Dokumen perjanjian tersebut kemudian disebut oleh Dr. Muhammad Hamidullah sebagai “The first written constitution in the world”; perlembagaan bertulis yang pertama di dalam sejarah dunia.

Di bawah Perlembagaan Madinah, Rasulullah SAW mengisytiharkan semua penduduk Madinah yang kosmopolitan, majmuk, pelbagai suku kaum dan agama adalah satu ummah – “ummatan wahidah”.

Inisiatif Rasulullah membuat perjanjian, satu perlembagaan, dengan semua kaum dan agama adalah untuk mencipta suasana aman damai dan demi jaminan keselamatan.

Sebelum kedatangan Rasulullah, kabilah-kabilah Arab dan Yahudi senantiasa berperang sesama sendiri. Di bawah Perlembagaan Madinah, semua kabilah-kabilah Arab dan Yahudi itu adalah umat yang satu.

Inilah juga yang berlaku di negara kita. Seumpama itu jugalah kejayaan kenegarawanan atau statesmanship Tunku Abdul Rahman.

Selamat MalaysiaDengan pembentukan Persekutuan Malaysia, negara kita menjadi lebih majmuk, lebih kosmopolitan. Melayu, Cina, India, Orang Asal ditambah dengan Kadazan, Dusun, Bajau, Iban, Dayak, Bidayuh, Melanau, Orang Ulu dan lain-lain membentuk Bangsa Malaysia. Kesemua suku-suku kaum ini disebut oleh Tunku Abdul Rahman sebagai “umat Malaysia.”

Apabila Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan semua kaum di Malaysia sebagai “umat Malaysia”, sudah tentu beliau tidak mahu mewujudkan hegemoni mana-mana kaum di negara ini kerana hegemoni tersebut adalah bertentangan dengan prinsip keadilan dan akan menggugat kestabilan.

Justeru itu, mereka yang berhimpun dengan maksud untuk mengangkat hegemoni kaum adalah bertentangan dengan gagasan “umat Malaysia” yang diungkap oleh Tunku Abdul Rahman.

Dalam Permasyhuran Malaysia, Tunku Abdul Rahman mengulangi prinsip-prinsip yang beliau ungkapkan dalam Permasyhuran Kemerdekaan bahawa Malaysia “dengan izin dan kehendak Allah Rabbul–Alamin akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kebebasan dan keadilan dan senantiasa mempertahankan serta memelihara keamanan dan kemesraan umatnya dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa di dunia ini.”

Bukan sahaja Malaysia perlu aman; umatnya perlu mesra. Bukan sekadar toleransi; kita perlu wujudkan kemesraan. Takdir menentukan kita berbeda warna kulit, keturunan dan agama.
Tetapi kita boleh memilih dan menentukan untuk bersengketa atau hidup dalam keadaan bersaudara dan aman. Umat Malaysia memilih untuk hidup bersama dengan kemesraan. Marilah kita kekalkan tradisi ini.

Generasi hari ini perlu memahami fakta sejarah bahawa Sabah dan Sarawak bersama dengan Semenanjung Tanah Melayu membentuk Malaysia. Untuk mengembalikan ingatan sejarah, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat telah memeterai Perisytiharan Kuching pada 16 September 2012.

Perisytiharan tersebut adalah “satu perjanjian yang tidak boleh disangkal dan dipersoalkan lagi, termaktub di antara Pakatan Rakyat dan segenap lapisan masyarakat Malaysia; pada hari ini, tanggal 16 September 2012, bersempena dengan sambutan Hari Malaysia, agar tersohorlah gegak gempitanya dari puncak tertinggi di bumi Malaysia tercinta, dan akan tersebar seluas samudera yang terbentang supaya kebebasan dapat kita capai dan kita semua boleh hidup bersatu padu dalam suasana aman dan damai.”

Perisytiharan tersebut adalah satu tekad untuk “memulihara intipati Perjanjian Malaysia dan memperkasakan kedudukan Sarawak dan Sabah setanding dengan Semenanjung Malaysia dengan mengembalikan autonomi Sarawak dan Sabah mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.”

Perisytiharan tersebut komited untuk “mempertingkatkan integrasi nasional di antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia melalui penggemblengan tenaga dan perkongsian kuasa secara adil yang menjunjung semangat Perjanjian Malaysia.”

Maka, sempena Hari Malaysia, marilah kita semua memperbaharui tekad untuk memenuhi dan melaksanakan apa yang telah kita janjikan dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang gagah di mana semua rakyatnya adalah umat Malaysia.

Categories
SELANGOR

Hannah : Bangkitlah selamatkan Malaysia

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 SEP: Rakyat diseru untuk bangkit selamatkan negara agar kembali gemilang dan layak dibanggakan sepertimana suatu masa dahulu.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh berkata, semua pihak perlu memastikan wujudnya pengasingan kuasa bagi mengelak mereka yang di atas memanipulasi serta menyalahguna kuasa untuk kepentingan peribadi.

PC Hannah Yeoh Pejabat Tanah di Kompleks 3C PJS (3)“Percayalah, masih ada individu yang mampu mengangkat martabat dan nilai tinggi bahkan menjadikan kita sebangai bangsa yang hebat.

“Saya juga percaya masih ada individu sedemikian dalam perkhidmatan kerajaan di Purtajaya, pasukan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara dan lain-lain.

“Sesungguhnya, kita perlu bebas,” katanya dalam status facebooknya, semalam.

Gesaan itu bersandarkan kepada situasi negara yang kini berdepan pelbagai cabaran termasuk nilai riggit menyusut, penutupan perniagaan kilang dan kedai, golongan profesional terpaksa melakukan kerja tambahan dan kemungkinan pelajar di luar negara terpaksa pulang.

Selamat MalaysiaStatus Hannah sempena sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia itu juga mengajak ibu bapa memainkan peranan menyemai semangat cintakan negara di kalangan anak-anak.

“Bercakaplah dengan anak-anak tentang harapan dan impian kita untuk Malaysia, juga tentang rasuah serta sebarang ketidakadilan.

“Mari bersama berusaha agar anak-anak kita tidak sampai mempertimbang untuk meninggalkan tanah ini untuk mencari harapan di tempat baru,” katanya.

-NR-