Categories
AGENDA NASIONAL

Jadikan Rukun Negara asas cara hidup, bentuk masa depan Malaysia

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Rukun Negara yang berfungsi sebagai falsafah negara, teras serta kunci kepada kejayaan perpaduan di negara ini perlu dihayati sebagai asas cara hidup rakyat dan membentuk masa depan Malaysia, kata aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye.

Lee yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia berkata Rukun Negara merupakan agenda perpaduan negara dan adalah sangat penting bagi masyarakat mengamalkan Rukun Negara sebagai cara hidup masing-masing.

“Saya harap, tidak kira mana-mana parti politik yang menjadi pemerintah, Rukun Negara harus diberikan pendedahan lebih meluas kepada semua lapisan masyarakat,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam siaran khas ‘Rukun Negara Hour’ oleh Bernama TV dan Bernama Radio di sini hari ini.

Selain itu, Lee berkata Rukun Negara harus dijadikan pegangan hidup dan diberi pendedahan, terutamanya kepada generasi muda kerana mereka merupakan pelapis pucuk pimpinan negara.

Sementara itu Lee menegaskan, pendedahan Rukun Negara bergantung pada tiga faktor dikenali sebagai tiga ‘P’ iaitu pendidikan, penghayatan dan pengamalan.

Beliau turut mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan supaya membuat kajian berhubung pendidikan Rukun Negara di sekolah.

“Kita tidak mahu melihat Rukun Negara (hanya) dihafal oleh murid dan pelajar tetapi tidak merasai (menghayati) isi dan maksud kelima-lima prinsip berkenaan.

“Sistem pendidikan Rukun Negara itu bagi saya patut menjadi silibus di sekolah… ia harus bermula di sekolah kerana sekolah merupakan satu tempat, saluran amat penting untuk memupuk perpaduan,” katanya.

Sementara itu, penerbit dan pengarah terkenal Datuk Rosyam Nor yang turut menjadi tetamu dalam program hari ini, berharap kerajaan memikirkan satu penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi industri seni di negara ini.

Menurut Rosyam, sekiranya industri seni mempunyai R&D yang boleh mewujudkan rangka tindak untuk diguna pakai sebagai satu hala tuju, industri itu akan memberikan impak besar kepada negara dalam mempromosikan Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Saya difahamkan di Korea Selatan mereka membelanjakan beratus-ratus juta (wang) untuk membuat R&D, tetapi hasilnya pada hari ini mereka membuat (pulangan) berbilion-bilion.

“Saya rasa R&D untuk Malaysia ini juga kita bukan hanya memanggil orang industri, tetapi keseluruhan orang yang bijak pandai (pakar) dalam bidang masing-masing untuk kita bersama dapat melakukan satu blueprint (rangka tindak) yang hebat,” katanya.

Sehubungan itu, Rosyam berharap kerajaan tidak melihat industri seni sebagai picisan kerana industri itu memainkan peranan penting dalam segala bentuk kemajuan dalam negara termasuk ekonomi, budaya dan lain-lain.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

65 sertai kayuhan Hari Malaysia MPKK Kampung Baru Batu Caves

GOMBAK, 16 SEPT: Seramai 65 penggemar sukan berbasikal menyertai program kayuhan anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru Batu Caves sempena sambutan Hari Malaysia ke-57 hari ini.

Program julung kali dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 8 serta Team KKG & Cabin 8 membabitkan kayuhan sejauh 10 kilometer (km) melalui Kampung Melayu Wira Damai dan Kampung Sungai Kertas.

Dato’ Menteri Besar yang menyempurnakan pelepasan peserta jam 9.30 pagi berkata acara itu menggantikan sukan rakyat yang lazimnya diadakan setiap tahun.

“Walaupun disambut secara kecil-kecilan tetapi ia memberi peluang untuk meraikan dan menghayati penubuhan Malaysia lebih 56 tahun lalu selepas tanah air mencapai kemerdekaan pada 1957.

“Saya percaya kayuhan ini akan mengingatkan kepada semua bahawa begitu sukar untuk membangunkan negara dan perjalanan kita selama ini lebih-lebih lagi dengan ancaman Covid-19,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ditemui.

Sementara itu Pengerusi MPKK Adnan Mohd Yatim berkata semua peserta memberi kerjasama dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Walaupun diadakan dalam skala kecil dan sedikit berbeza namun kita bangga kerana masyarakat menyambut baik program ini yang mampu menggalakkan mereka bergerak aktif dalam sukan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Hari Malaysia: MB, ADN rakam video muzik Standing In The Eyes Of The World

SHAH ALAM, 16 SEPT: Dato’ Menteri Besar serta beberapa Ahli Dewan Negeri (ADN) merakam video muzik Standing In The Eyes Of The World nyanyian ratu rock negara sempena sambutan Hari Malaysia ke-57.

Video muzik enam minit itu turut menampilkan Lah Ahmad selaku penyanyi utama selain penampilan khas Ella yang merupakan penyanyi asal lagu tersebut.

ADN terlibat ialah Najwan Halimi dari Kota Anggerik, Juwairiya Zulkifli (Bukit Melawati); R Rajiv (Bukit Gasing); Michelle Ng Mei Sze (Subang Jaya); Lim Yi Wei (Kampung Tungku); Edry Faizal Eddy Yusof (Dusun Tua); Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama) dan Chua Wei Kiat (Rawang).

Dato’ Seri Amirudin Shari serta beberapa ADN turut menunjukkan bakat sebagai ‘rapper’ dalam rakaman video muzik tersebut.

Sementara itu Najwan berkata rakaman dibuat minggu lalu dan ia merupakan idea ADN muda di Selangor.

“Lagu ini dipilih kerana lirik serta mesejnya menunjukkan perpaduan dan kita mahu tunjukkan ADN Selangor menyokong perkara itu selain mahu Malaysia kembali gah di persada dunia,” katanya kepada SelangorKini.

Lagu Standing In The Eyes Of The World hasil karya Wah Idris bersama Habsah Hassan mula diperdengarkan sempena Sukan Komanwel 1998.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kerjasama semua pelihara kerencaman rakyat Malaysia

SHAH ALAM, 16 SEPT: Kerjasama dan keprihatinan antara negara serta insan harus ditekankan dalam memelihara kerencaman budaya dan fahaman di Malaysia.

Dato’ Menteri Besar berkata ungkapan ‘For there is no place like Malaysia’ harus difahami dan dianggap sebagai kekuatan yang membentuk perpaduan rakyat.

“Itulah resipi kekuatan Selangor. Negeri bunga rampai atau ‘melting pot’ ini mendapat manfaat daripada kebijaksanaan dan kemahiran warganya yang berasal sejauh Perlis hingga ke Sabah.

“Baik dari segi budaya, agama, latar belakang ekonomi mahupun fahaman politik. Cogan kata ‘bersekutu bertambah mutu’ ternyata benar serta menjadi pegangan untuk menguatkan hubungan antara kita seperti diikrarkan dalam Rukun Negara,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam perutusan sempena Hari Malaysia hari ini.

Beliau berkata sebagai rakyat Malaysia kita boleh mendabik dada ekoran keadaan negara lebih baik berbanding negara jiran dalam berdepan pandemik Covid-19

Katanya, tindakan mengurus serta mengekang penularan wabak dengan cemerlang diperakui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta menjadi bualan negara lain.

“Kini kita ‘standing in the eyes of the world’ seperti tajuk lagu Ella yang popular sewaktu Sukan Komanwel 1998 dahulu.

“Marilah kita berdoa mengharapkan yang terbaik buat negara jiran yang masih bergelut mengawal penularan wabak yang mengganas ini. Semoga kita sama-sama dapat bangkit lebih kuat daripada saki-baki virus ini,” katanya.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

McDonald’s giat bangunkan bakat, kembang kerjaya generasi muda

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Setelah 63 tahun Malaysia menghela nafas kemerdekaan, belia perlu mempunyai anjakan paradigma selaras dengan kemajuan yang dikecapi negara.

Selaras dengan itu, McDonald’s Malaysia telah melaksanakan inisiatif pembangunan bakat khusus untuk belia sejak 2018.

“McDonald’s Malaysia yang mempunyai 14,000 kakitangan di seluruh negara, berharap untuk menarik 10,000 lagi bakat tempatan menjelang 2025 dengan adanya program vokasional untuk belia,” kata francais khidmat makanan segera itu dalam satu kenyataan hari ini.

Program Perantis Vokasional McDonald’s, yang dilancarkan pada 2018 dengan usaha sama Kementerian Sumber Manusia (MOHR) melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), memfokuskan pembelajaran berlandaskan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang memberi peluang kepada belia untuk mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3.

Program ini juga mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Bahagian Pembangunan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV), untuk diperluaskan lagi ke peringkat menengah sekali gus akan melibatkan pelajar dari kolej-kolej vokasional.

Selain itu, menurut kenyataan itu lagi, lebih 1,200 belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Tingkatan 3 (PT3) sudah menyertai program itu, sejak dilancarkan dan McDonald’s Malaysia berhasrat untuk mencapai sasaran 3,000 belia, menjelang penghujung tahun ini.

Modul pembelajaran untuk SKM Tahap 4 yang setara dengan pendidikan di peringkat diploma juga sedang dibangunkan, dengan kerjasama MOHR dan graduan mempunyai pilihan sama ada memulakan kerjaya di McDonald’s atau terus menyambung pengajian ke peringkat seterusnya, selepas tamat program.

Seorang penerima Anugerah Graduan Cemerlang Noor Fazriza Fazlin Abdul Rahim, 20, menyatakan bahawa program ini banyak mengubah dirinya, dan disebabkan tajaan penuh yang ditawarkan beliau tidak perlu lagi menyusahkan ibu bapa atau adik beradik lain.

Ibu Noor Fazriza Fazlin Noor Hashimah Salehuddin, 59, berkata, bahawa dia bangga dengan anaknya kerana mendapat Anugerah Graduan Cemerlang itu dan berharap Noor Fazriza Fazlin dapat terus kembangkan kerjayanya di McDonald’s.

Sementara itu, Naib Presiden Sumber Manusia McDonald’s Malaysia Azhar Darbi berkata, pihaknya mengutamakan belia yang bersikap positif dan bersemangat untuk memajukan diri.

“Program ini membolehkan belia mempelajari amalan terbaik bertahap global dalam bidang perkhidmatan makanan, yang menjadi rahsia kejayaan serta reputasi kukuh McDonald’s selama ini,” katanya.

Belia lepasan PT3 dan SPM yang berminat menyertai program vokasional yang disediakan oleh McDonald’s Malaysia, boleh melayari www.maukerja.my/mcd/ untuk maklumat lanjut.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Kerencaman yang menyatukan resipi kekuatan Selangor

Perutusan Khas Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Hari Malaysia pada 16 September 2020

Lima puluh tujuh tahun yang lalu, ketika era kolonialisme mulai pudar dan cengkamannya pula satu per satu dileraikan, beberapa watan telah mengambil keputusan yang bersejarah untuk mencipta suatu negara persekutuan yang baharu.

Makanya Brunei, Sabah, Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu telah mengikat janji untuk berada di bawah naungan suatu negara yang kita kasihi dan kenali sebagai Malaysia. Meminjam istilah Benedict Anderson, Malaysia merupakan suatu ‘imagined community’ yang baharu, yang segar, yang meraikan kepelbagaian dan yang gagah—yang disebut sebagai “Mighty Malaysia” oleh Tunku Abdul Rahman dua tahun lebih awal di Hotel Adelphi, Singapura.

Pada tanggal 16 September lahirlah sebuah negara persekutuan yang dipanggil Malaysia disaksikan lebih 30,000 orang di Stadium Merdeka. Malaysia bersilat menempuhi Perang Dingin dan permainan geopolitik di London, Moscow, Beijing dan Washington.

Ternyata Malaysia dibidankan daripada bara api.Hanya beberapa tahun mengecapi kemerdekaan, penubuhan Malaysia mendapat tentangan kuat Soekarno, Diosdado Macapagal serta A.M Azahari sehingga terbatalnya kerjasama MAPHILINDO dan terkeluarnya Brunei daripada rancangan besar tersebut.

Negara kita yang baru bertatih saat itu harus mempertahankan kedaulatannya daripada serangan Indonesia menerusi kempen ‘Ganyang Malaysia’ yang hanya berakhir pada Ogos 1966.

Hari ini, rata-rata negara yang disebutkan telahpun secara aman bersatu di bawah platform ASEAN. Lanskap geopolitik juga telah berubah, dengan China serta rencana One Belt One Road sedang berhadapan Perang Perdagangan Dunia Amerika.Banyak tindak balas berlaku antara kedua-duanya serta negara yang berkiblatkan mereka, daripada urusan imigresen kepada pemilikan saham syarikat seperti yang terlihat dalam kes aplikasi TikTok.

Dan yang terkini, wabak pandemik Covid-19 telah merebak dan sekali lagi tatanan dunia berada dalam keadaan tidak menentu.

Kita sebagai rakyat Malaysia boleh mendabik dada bahawa kita berada dalam keadaan yang lebih baik berbanding jiran tetangga yang lain. Cara pengurusan wabak kita telah diperakui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan menjadi bualan banyak negara.

Atau secara mudahnya, kita kini “standing in the eyes of the world”, meminjam bait lagu Ella yang popular sewaktu Sukan Komanwel 1998 dahulu.

https://www.facebook.com/MediaSelangor/videos/3935578049791162/

 

Marilah kita berdoa mengharapkan yang terbaik buat negara-negara jiran yang masing-masing bergelut menguruskan perebakan wabak yang mengganas ini. Semoga kita sama-sama dapat bangkit lebih kuat daripada saki-baki virus ini.

Kerjasama dan keprihatinan sesama negara malahan sesama insan harus kita tekankan dalam menjaga serta memelihara kerencaman budaya dan fahaman di Malaysia. For there is no place like Malaysia. Ungkapan ini bukan sekadar klise tetapi harus kita dalami sebagai kekuatan kita bersama kerana kerencaman dan kepelbagaian bukanlah suatu hal yang memecahbelahkan tetapi sewajarnya menyatukan kita.

Itulah resipi kekuatan Selangor. Negeri bunga rampai atau melting pot ini mendapat manfaat limpahan yang besar daripada kebijaksanaan dan kemahiran warganya yang berasal sejauh Perlis hingga ke Sabah.

Baik dari segi budaya, agama, latar belakang ekonomi mahupun fahaman politik, cogan kata Malaysia yakni “bersekutu bertambah mutu” ternyata benar lagi penting serta menjadi pegangan untuk menguatkan hubungan antara kita semua, bersekali dengan Rukun Negara yang kita ikrarkan buat sekian kalinya.

Tulisan ini adalah kenangan kepada pengorbanan semua pihak, daripada para leluhur yang mengangkat senjata bagi melakar masa depan yang lebih baik kepada anak-cucu serta kita semua yang sama-sama bingkas lagi bertungkus-lumus untuk mengisi kemerdekaan yang terbina dengan membangunkan ekonomi dan mempertahankan kedaulatannya sama ada sempadan wilayah mahupun kedaulatan bentuk baharu seperti kedaulatan digital dan kedaulatan bekalan makanan.

Selamat menyambut Hari Malaysia!

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Kukuh persefahaman kaum, junjung Perlembagaan

SHAH ALAM, 15 SEPT: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat mengukuh persefahaman antara kaum dan agama serta terus menjunjung Perlembagaan dan semangat federalisme.

Ketua pembangkang berkata kedudukan Sabah dan Sarawak juga perlu direncana sebaik mungkin supaya kedua-dua negeri mendapat pembangunan seimbang dan munasabah.

“Tanggal 16 September 1963 memberi makna besar buat negara kerana terbentuknya Malaysia dan semangat federalisme menjadi paksi yang mengikat muafakat sehingga hari ini.

“Atas semangat ini kita harus bertekad dan berpadu atas asas-asas penting iaitu keamanan, kesejahteraan dan kerukunan. Janji kemerdekaan adalah janji agar khazanah negara dirasai segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, suku mahupun agama,” katanya dalam perutusan sempena Hari Malaysia.

Anwar berkata kemerdekaan sangat bermakna buat rakyat Malaysia selepas lebih 400 tahun dijajah, justeru sumbangan dan pengorbanan semua pihak perlu dihargai.

Beliau berkata Hari Malaysia pula menjadi kesinambungan dan titik penting yang menjanjikan keadilan dan kesaksamaan kepada seluruh warganya yang berbilang kaum.

“Apa erti kemerdekaan jika dasar dan kebijakan yang diupayakan pemerintah sejak puluhan tahun lampau masih belum berhasil membela yang miskin dan melarat.

“Merdeka jenis apa jika masih ada rakyat yang dinafikan akses pada sumber elektrik dan air di kawasan pedalaman manakala elit politik menampuk kekayaan dan nikmat ekonomi tidak sampai kepada yang benar-benar memerlukan,” katanya lagi.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tukang jahit terima lebih 1,000 tempahan pakaian tema Jalur Gemilang

GEORGE TOWN, 13 SEPT: Setiap kali menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan, sudah semestinya banyak persiapan dilakukan bagi menyambut Bulan Kebangsaan dan tahun ini tidak ada perbezaan di sebalik ancaman pandemik Covid-19.

Seorang tukang jahit, Mahani Udit, 31, berkata Bulan Kebangsaan lazimnya bulan yang sibuk bagi beliau kerana menguruskan tempahan kostum berdasarkan corak Jalur Gemilang.

Beliau berkata pada mulanya tempahan yang diterima agak perlahan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun rezekinya bertambah murah menjelang sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

“Saya mula menerima tempahan sejak awal bulan Ogos untuk sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia kira-kira 1,000 pasang kostum berasaskan Jalur Gemilang. Hingga kini saya masih menerima tempahan daripada pelanggan yang rata-ratanya pelanggan tetap,” katanya kepada Bernama.

Ibu tunggal kepada tiga anak itu berkata kebanyakan kostum adalah berbentuk baju tradisional masyarakat negara ini seperti baju kurung, ceongsam, sari, baju melayu dan tudung.

“Saya kenakan harga yang berpatutan disebabkan PKP iaitu antara RM40 dan RM200 sepasang bergantung pada rekaan dan corak, berbanding tahun-tahun sudah bermula dari RM70 hingga RM350,” katanya yang menerima sekitar 3,500 tempahan pada tahun lepas dengan kebanyakannya daripada badan bukan kerajaan dan sekolah.

Menurutnya, pada tahun ini kebanyakan tempahan datang daripada orang perseorangan melibatkan kanak-kanak selain 12 tempahan untuk bayi berusia enam bulan ke bawah.

Ini menunjukkan rakyat negara ini tetap bersemangat patriotik sekalipun berdepan pandemik Covid-19, kata Mahani, menambah beliau mampu menyiapkan hingga 30 pasang kostum sehari.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Tourism Selangor promosi lima muzium sempena Hari Malaysia

SHAH ALAM, 10 SEPT: Tourism Selangor mempromosi lima muzium bersejarah yang boleh dilawati sebagai memperingati jasa pejuang tanah air sempena Hari Malaysia tahun ini.

Pengurus Besarnya, Azrul Shah Mohamad berkata tempat terbabit ialah Muzium Insitu Jugra, Kuala Langat; Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Klang; Muzium Kuala Selangor, Kuala Selangor; Pusat Warisan Kajang, Kajang dan Muzium Sultan Alam Shah, Petaling.

“Muzium Insitu Jugra merupakan bangunan runtuhan lama dan menjadi balai polis daerah pada 1878 yang dibina oleh pegawai British Kapten Harry Charles Syers sebelum dijadikan pusat pemerintahan serta pentadbiran Kesultanan Melayu Selangor.

“Tempat ini mempunyai tiga ruang pameran berisi paparan sejarah serta boleh dikunjungi bermula 9.30 pagi hingga 5.30 petang (Sabtu hingga Khamis) dan 9.30 pagi hingga 5.30 petang (Jumaat). Tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke muzium ini tetapi fotografi tidak dibenarkan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau menjelaskan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Klang yang dibina sebagai memperingati Almarhum Sultan Selangor Salahuddin Abdul Aziz Shah dibuka pada Selasa hingga Ahad mulai 10 pagi hingga 5 petang manakala Isnin dan cuti umum ditutup. Masuk adalah percuma.

Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Klang. Foto Facebook

Selain itu, katanya, pengunjung yang melawat Muzium Kuala Selangor berpeluang melihat peninggalan sejarah seperti batu nisan, senjata, tombak dan meriam yang digunakan semasa zaman peperangan awal Kesultanan Selangor.

“Muzium ini terletak berhampiran Altingsburd Lighthouse dan pengunjung boleh lawati selepas ke Muzium Kuala Selangor. Muzium ini dibuka setiap hari bermula 9.30 pagi hingga 5.30 petang.”

Muzium Kuala Selangor. Foto Facebook

Beliau berkata Pusat Warisan Kajang menawarkan pelbagai koleksi berkaitan Bandar Kajang dan Hulu Langat yang boleh dikunjungi pada hari minggu bermula 10 pagi hingga 5 petang.

“Penubuhan bandar Kajang adalah hasil daripada perlombongan bijih timah dan penanaman getah pada 1850 dan Hulu Langat merupakan tempat pertama perlombongan bijih timah yang berada di Rekoh,” katanya.

Azrul menambah Muzium Sultan Alam Shah yang menjadi lambang utama warisan budaya dan pembangunan memaparkan artifak prasejarah penempatan manusia awal dan serpihan gendang dari zaman Gangsa (Dong Son).

“Muzium ini boleh dilawati secara percuma dan dibuka pada Selasa hingga Ahad sahaja bermula pada 9.30 pagi hingga 5.30 petang.”

Categories
ADN SELANGOR

Jom derma baju hasilkan Jalur Gemilang

SHAH ALAM, 7 JULAI: Penduduk dipelawa menderma baju terpakai mereka sama ada warna merah, putih, biru atau kuning kepada Pusat Khidmat Parlimen Bangi dan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Balakong mulai hari ini.

Ahli Dewan Negeri Balakong, Wong Siew Ki berkata sumbangan itu bertujuan menghasilkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia tidak lama lagi.

“Kita mengalu-alukan penduduk menderma pakaian mulai hari ini hingga 17 Julai bagi merealisasikan Jalur Gemilang yang dihasilkan dengan kerjasama warga Balakong.

“Objektif program untuk menunjukkan Malaysia ditubuhkan oleh setiap daripada kita dan semangat bersatu-padu itu perlu walaupun berbeza bangsa dan warna kulit,” katanya kepada SelangorKini.

Siew Ki berkata orang ramai juga boleh menghantar baju itu ke balai raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung masing-masing.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Kepelbagaian bahasa mampu erat perpaduan

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Berbeza bahasa ibunda tidak seharusnya menjadi tembok yang memisahkan jati diri dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

Perbezaan itu sepatutnya diraikan kerana ia menjadi alat perpaduan yang menyatukan rakyat. Namun, mampukah negara menzahirkan aspirasi ‘bersatu dalam kepelbagaian’ dalam aspek bahasa, satu realiti

Sempena Hari Malaysia ke-56, tiga rakyat Malaysia daripada latar belakang kaum yang berbeza berkongsi pengalaman serta pendapat mereka dalam menguasai banyak bahasa.

Seorang jurutera kualiti K. Viknesvaran, 28, menekankan supaya semua orang tampil berani untuk mempelajari bahasa selain bahasa ibunda mereka kerana ia satu alat komunikasi yang paling berguna apabila berlakunya kekangan bahasa ketika berinteraksi.

“Kita kena ajar anak-anak kita untuk tidak berasa takut. Jangan takutkan mereka seperti mendakwa bahasa Inggeris itu adalah bahasa penjajah, jadi tidak perlu belajar. Ini adalah konsep yang salah.

“Macam mana kalau kita pergi suatu negara, mereka tidak bercakap dalam bahasa yang kita tahu. Secara tidak langsung, ia akan menyukarkan kita sendiri. Sama juga konsepnya di Malaysia, kita perlu belajar bahasa lain (selain bahasa kebangsaan),” katanya kepada Bernama selepas program bual bicara Integrasi Citra Bangsa Malaysia terbitan Bernama Radio.

Program itu adalah antara pengisian Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dalam usaha mencatat rekod ‘Siaran Langsung Kebangsaan Pelbagai Bahasa Tanpa Henti Paling Lama’ dalam Malaysia Book of Records (MBOR) 2019 bersempena Hari Malaysia.

Melihat daripada segi pertuturannya, Viknesvaran yang pernah menjadi juri untuk Pesta Pantun Antara Desasiswa Universiti Sains Malaysia itu sangat lancar berbahasa Malaysia tanpa ada sedikit pun slanga bahasa ibundanya.

Anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu menyedari kecenderungan terhadap seni bahasa dalam dirinya sedari kecil apabila sering bertutur dalam bahasa Malaysia bersama saudara-mara serta adik-beradiknya selain turut mengikuti kursus bahasa Mandarin ketika meningkat dewasa.

Dalam pada itu, beliau berharap agar kerajaan mempertimbangkan satu dasar yang menjunjung bahasa kebangsaan tanpa menyisihkan bahasa-bahasa ibunda lain, contohnya mewujudkan badan khas yang mempunyai tujuan sama seperti Dewan Bahasa dan Pustaka.

“Umum maklum, bahasa Malaysia ialah bahasa kebangsaan, bahasa komunikasi rasmi. Tapi Malaysia juga mengiktiraf bahasa-bahasa ibunda lain. Jadi perlu ada badan khas, versi yang melihat perkembangan bahasa setempat,” katanya.

Bagi Siti Munirah Mohd Faizil, 24, yang mahir bertutur dan menulis dalam Mandarin berpendapat, penguasaan bahasa yang pelbagai mampu menyatukan masyarakat kerana ia membantu seseorang untuk mempelajari budaya lain, sekali gus menjaga sensitiviti antara kaum.

“Saya ada kawan Cina tidak fasih bahasa Malaysia. Oleh sebab saya pandai Mandarin, kami sama-sama buat kamus untuk saling belajar bahasa masing-masing. Secara tidak langsung, usaha ini membantu perhubungan antara kami yang berbeza latar belakang,” ujarnya yang mula bertutur Mandarin sejak Tahun Satu.

Lebih menarik, dua adik lelakinya turut mengikut jejak langkah beliau dalam menguasai bahasa Mandarin apabila ibu bapanya membuat keputusan untuk mereka adik-beradik mendapat pendidikan di sekolah aliran Cina agar boleh bertutur dalam bahasa Mandarin.

Siti Munirah, yang merupakan pembantu pemerolehan dalam bahasa Mandarin di sebuah syarikat berkaitan kerajaan, turut menasihatkan mereka yang berminat dengan bahasa lain agar tidak malu untuk terus belajar selain sentiasa mempraktikkan ilmu itu supaya tidak ‘berkarat’.

Sementara itu, Chai Kheng Hao, 21, menegaskan bahawa bahasa kebangsaan perlu dipelajari oleh setiap kaum termasuk bangsa Melayu sendiri kerana ramai di antara mereka yang kini cenderung mengagungkan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian.

“Jika perkara ini terus berlaku, bagaimana bahasa kebangsaan hendak dimartabatkan Sebagai contoh, saya seorang guru berbangsa Cina tetapi mengajar bahasa Malaysia, perkara ini mengejutkan anak murid saya.

“Tetapi secara tidak langsung saya menjadi teladan kepada mereka untuk belajar bahasa kebangsaan dengan lebih tekun lagi,” katanya yang baru menamatkan latihan industri sebagai guru pelatih di Sekolah Kebangsaan Desa Aman Puri, Kepong.

Berasal dari Batu Pahat, Johor, Chai pernah memenangi tempat ketiga bagi Pertandingan Tulisan Khat Jawi sempena Maal Hijrah 2017 peringkat Kampus Bahasa Melayu, Institut Pendidikan Guru.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sambutan Hari Malaysia terjemah konsep ‘Malaysia’

SHAH ALAM, 13 SEPT: Penglibatan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai budaya, agama dan bangsa dalam meraikan sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini, disifatkan cerminan dalam menterjemahkan konsep ‘Malaysia’.

Timbalan Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, rakyat negara ini perlu meraikan sambutan Hari Malaysia dengan satu semangat untuk mendorong mereka supaya sentiasa mengingati sejarah bagaimana Malaysia itu ‘dilahirkan’.

“Rakyat Malaysia perlu meraikan Hari Malaysia supaya kita terus mengingati sejarah negara sama ada melibatkan sudut politik, sosioekonomi dan sosial yang sememangnya berbeza.

“Konsep Persekutuan yang menjadi tunjang negara ini penting untuk difahami agar tidak timbul atau berlakunya konsep negara dalam negara, pemahaman sempit atau etnosentrik atau etnonasionalisme melampau-lampau sehingga akhirnya menggugat serta memberikan ancaman kepada tanah air kita,” katanya.

Awang Azman yang juga penganalisis sosiopolitik berkata, tanpa sambutan Hari Malaysia, rakyat negara ini mungkin kurang menyedari atau tidak mengetahui sejarah pembentukan Malaysia.

Beliau berkata, pembentukan Malaysia adalah detik bersejarah kerana ia kayu pengukur kepada situasi perubahan negara dan sekiranya tidak berlaku, keadaan negara tidak akan sama seperti hari ini.

Jelasnya, Hari Malaysia juga seharusnya membawa erti yang signifikan kepada rakyat Malaysia tidak kira di Semenanjung, Sabah ataupun Sarawak.

Katanya, menerusi pembentukan Malaysia, pemimpin dan rakyat di ketiga-tiga wilayah (Semenanjung, Sabah, Sarawak) tersebut bersetuju untuk hidup bersama sebagai sebuah negara dan bangsa.

“Hari Malaysia ialah hari memperingati pembentukan Malaysia apabila persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, Borneo Utara (Sabah) dan Singapura disatukan sebelum Singapura kemudian menarik diri dari Malaysia.

“Tanpa sambutan Hari Malaysia, pastinya ramai yang akan kurang menyedari kepentingan hari tersebut dalam sejarah pembentukan negara ini, yang seharusnya diingati sampai bila-bila,” katanya.

– BERNAMA