Categories
AGENDA SUKANKINI

Ratu gimnastik negara impi buka akademi sendiri

PUTRAJAYA, 9 OKT: Ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi memasang impian untuk membuka akademi sendiri apabila bersara daripada dunia sukan itu satu hari nanti.

Farah Ann berkata pembukaan akademi itu merupakan sebahagian daripada rancangannya untuk memperkasakan bakat pada peringkat akar umbi dalam usaha memastikan negara tidak ketandusan pelapis bagi sukan gimnastik.

“Akademi Farah Ann itu merupakan satu daripada impian saya satu hari nanti, mungkin rancang tubuhkan dalam masa lima hingga 10 tahun dari sekarang.

“Selain daripada penubuhan sebuah akademi yang bagus, saya juga mahu menganjurkan program atau kem gimnastik buat kanak-kanak pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2021, di sini hari ini.

Dalam pada itu, atlet berusia 27 tahun itu juga berminat untuk menjadi juri pertandingan mahupun menceburi bidang komunikasi selepas mengucapkan selamat tinggal kepada sukan kesayangannya itu.

Beliau pada masa sama memaklumkan banyak cabang yang boleh diterokai oleh para atlet sekiranya mereka bersara kelak seperti menjadi jurulatih bersama Majlis Sukan Negara ataupun bekerja bersama Institut Sukan Negara mahupun Kementerian Belia dan Sukan.

Sementara itu, mengulas mengenai peruntukan dana RM10 juta untuk menjayakan pelaksanaan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan, Farah Ann memuji inisiatif kerajaan itu dalam menggalakkan wanita menceburi bidang sukan pada masa akan datang.

Atlet kelahiran Selangor itu juga percaya pelan berkenaan mampu mengangkat konsep kesamarataan bagi aspek jantina sehingga menyaksikan wanita turut serta memacu industri sukan negara.

Pelan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada majlis perasmian sambutan HSN 2021 di sini, menggariskan objektif, strategi dan inisiatif yang terancang ke arah memperkasa penglibatan dan penyertaan wanita dalam pelbagai bidang sukan ke arah menjadikan pembangunan sukan negara yang lebih inklusif dan seimbang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Covid-19 melonjak, sambutan Hari Sukan Negara 2020 ditangguh

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menangguhkan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2020 yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 10 Okt ini ke satu tarikh bersesuaian, susulan peningkatan kes Covid-19 ketika ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam satu kenyataan berkata penangguhan berkenaan diputuskan sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan risiko penyebaran wabak itu selain memastikan keselamatan semua pihak yang bakal terlibat pada sambutan berkenaan nanti.

“Negeri-negeri, kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan, sekolah-sekolah, mahupun persatuan-persatuan dan komuniti sukan yang bercadang untuk menganjurkan sambutan bersama bagi merancakkan lagi suasana Hari Sukan Negara juga disarankan supaya mengambil langkah yang sama,” kata Reezal Merican.

Beliau turut menasihatkan semua penggiat sukan di negara ini supaya sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai ditetapkan pihak berkuasa seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan, KBS dan pihak berkuasa tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media semalam memaklumkan sebanyak 287 kes baharu Covid-19 dikesan, jumlah kes harian tertinggi pernah direkodkan sejak permulaan pandemik itu di Malaysia yang sekali gus menjadikan kes positif virus itu kini berjumlah 11,771 kes.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

EXCO: Ketengah pelbagai jenis sukan sempena Hari Sukan Negara

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 14 MEI: Kerajaan Negeri berhasrat mengetengahkan pelbagai acara sukan kepada masyarakat, khususnya belia sempena meraikan Hari Sukan Negara, pada Oktober ini.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, Hari Sukan Negara adalah program di bawah Kementerian Belia dan Sukan yang diwujudkan sebagai usaha memajukan sukan di semua peringkat lapisan umur.

Di Selangor, katanya, selain daripada acara sukan yang biasa dianjurkan, pihaknya juga akan mengambil pendekatan berbeza dengan mengadakan himpunan khas buat penggemar kereta dan motosikal.

“Jadi, apa yang kita buat adalah dengan cara kita sendiri seperti program sukan luar bandar dijalankan baru-baru ini yang meliputi pelbagai acara sukan.

“Kita mahu mendekati rakyat dan memberi peluang kepada mereka untuk bersukan. Tidak semestinya sukan berprestasi tinggi sahaja, tetapi sukan rakyat lain seperti lari dalam guni.

“Malah, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyasarkan golongan belia untuk hadir bersama menjayakannya kerana kita mahu melaksanakan aktiviti disukai belia dan paling penting tidak ‘syok’ sendiri, apatah lagi di zaman milenial ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Semarak Ramadan Generasi Muda Selangor 2019, di Hotel De’Palma, di sini malam ini.

Turut hadir, Pemangku Pengarah Eksekutif Sukan Negeri Selangor, Mohamad Nizam Marjugi; Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin; ADN Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof; wakil Penggerak Belia Tempatan (PeBT) dan wakil mahasiswa termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia.

Mohd Khairuddin yang juga ADN Paya Jaras berkata, program seperti itu bertujuan memperkukuh hubungan ukhwah dan semangat muhibbah antara pemimpin, anak muda, mahasiswa serta NGO generasi muda.

Katanya, ia juga dianggap sebagai medan terbaik untuk membina jaringan selain bertukar-tukar buah fikiran, terutama dalam mencari idea menyemarakkan lagi aktiviti generasi muda, di Selangor.

“Program ini bukanlah hanya semata-mata memberi impak signifikan kepada generasi muda, akan tetapi perlu dilihat sebagai satu pendekatan menyemai benih kasih sayang dan memupuk nilai murni dengan meraikan anak yatim di bulan mulia ini,” katanya.

Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan duit raya kepada beberapa anak yatim dari Rumah Aman dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Saujana Utama termasuk pelajar Maahad Tahfiz Darul A’raf, Klang serta Maahad Tahfiz Sulaimaniyah, Bukit Kapar, Meru.

Dalam majlis sama, replika cek berjumlah masing-masing RM1,000 juga diberikan kepada kedua-dua wakil pengurusan maahad tahfiz berkenaan.

Categories
SELANGOR SUKANKINI

SUK Selangor bersama memeriahkan Hari Sukan Negara

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 OKT: Hampir 200 penjawat awam Kerajaan Negeri Selangor bersama-sama menyertai aktiviti zumba, piloxing dan senamrobik dalam program Fit SUKSEL bersempena Hari Sukan Negara 2018.

Hujan renyai awal pagi tidak menghalang aktiviti yang bermula sejak jam 8.30 pagi yang menampilkan dua pelatih di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS).

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Pengerusi Kelab SUK, Fazlina Hashim & Timbalan Pengarah Seksyen Sektoral UPEN, Amri Ismail.

Hari Sukan Negara di isytiharkan pada setiap hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun.

Bagi tahun ini, Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2018 disambut esok, di KL Sports City, Bukit Jalil.

Ia merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan sebagai langkah pro aktif dalam proses transformasi ke arah mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Bersukan’ (Sporting Nation).