Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat diharap kekal disiplin patuhi SOP – Agong

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar rakyat terus beristiqamah dalam kawalan kendiri dan berdisiplin mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam keadaan negara kritikal menghadapi pandemik Covid-19.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah juga menasihati rakyat supaya terus bertenang, tabah dan cekal menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta pelaksanaan Proklamasi Darurat demi kepentingan dan keselamatan diri bersama serta negara.

“Sememangnya, dengan pelaksanaan PKP, Seri Paduka Baginda amat memahami cabaran yang dihadapi, khususnya aktiviti ekonomi harian rakyat yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan kepada media bersempena Hari Wilayah esok.

Pada masa yang sama Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat, khususnya petugas barisan hadapan, yang telah menunjukkan semangat solidariti, kesepaduan dan daya ketahanan yang tinggi dalam menghadapi serta memerangi penularan wabak Covid-19.

Pandemik Covid-19 telah memberikan satu pengajaran yang amat bermakna kepada rakyat Malaysia dan Seri Paduka Baginda menzahirkan kesyukuran kerana semua pihak mampu menangani dan memerangi krisis ini kerana sikap prihatin, katanya.

Al-Sultan Abdullah yang genap dua tahun menjadi Ketua Negara hari ini bertitah semangat keprihatinan ini amat terserlah melalui usaha-usaha petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus siang dan malam membendung wabak Covid-19.

“Ia juga terserlah melalui usaha-usaha murni kerajaan dan sukarelawan membantu golongan yang memerlukan serta juga melalui pematuhan SOP oleh rakyat jelata.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa prihatin ini bukan sekadar slogan sahaja, tetapi merangkumi keseluruhan pembentukan dan pemikiran dasar kerajaan sehingga ke peringkat pelaksanaan dan penyampaiannya.

“Walaupun kerajaan berada dalam situasi yang sukar, kebajikan rakyat tidak akan diabaikan,” kata Ahmad Fadil.

Sementara itu sesuai dengan tema Hari Wilayah Persekutuan pada tahun ini “Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin”, Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat agar menghayati semangat patriotisme dan cintakan Wilayah Persekutuan dengan sentiasa menanam sikap prihatin yang mendalam terhadap satu sama lain.

Sikap itu termasuk prihatin terhadap keluarga, sahabat, jiran, pekerja dan semua insan yang berada di sekeliling.

Bersempena Hari Wilayah esok, Seri Paduka Baginda menasihati rakyat agar menunaikan tanggungjawab sosial dan nilai-nilai murni terhadap komuniti setempat bagi memastikan keharmonian terpelihara dan kekal berpanjangan.

Titah Al-Sultan Abdullah, ia selari dengan tema sambutan kali ini, bersesuaian dengan aspirasi Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensinya, mengutamakan kebajikan rakyat melalui pelbagai inisiatif seperti ekonomi, kebajikan dan kelangsungan hidup warganya.

“Seri Paduka Baginda dimaklumkan bahawa Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi program Wilayah Prihatin telah menyediakan pelbagai inisiatif kepada warganya yang terkesan akibat ancaman Covid-19.

“Ia selaras dengan semangat inisiatif tersebut membantu golongan terbabit, tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik, bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka,” kata Ahmad Fadil.

Al-Sultan Abdullah bertitah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya juga menjadi antara nadi yang menjana pertumbuhan negara ini dengan menyumbang sebanyak 13.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lepas.

Angka pertumbuhan ekonomi hanya akan bermakna apabila rakyat mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi, kediaman yang selesa, pendidikan yang sempurna, kesihatan yang baik, alam sekitar yang lestari dan keselamatan yang sentiasa terpelihara, titah Seri Paduka.

Sementara itu, bersempena genap dua tahun Al-Sultan Abdullah menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, Ahmad Fadil turut mengambil kesempatan merafak sembah tahniah dan setinggi-tinggi syukur.

“Semoga Allah SWT terus memberkati pemerintahan Tuanku – Daulat Tuanku – menjunjung kasih,” kata Ahmad Fadil.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Wilayah Persekutuan nadi ekonomi negara – Azmin

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya merupakan nadi yang menjana pertumbuhan negara ini, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam perutusan bersempena Hari Wilayah hari ini, beliau berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017 menunjukkan sumbangan Wilayah Persekutuan kepada ekonomi negara adalah sebanyak 13.5 peratus.

Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pula menunjukkan penduduk Wilayah Persekutuan pada 2018 dianggarkan adalah seramai 1.98 juta orang.

“Matlamat Kuala Lumpur sebagai bandar raya komersial bertaraf antarabangsa dan kosmopolitan, Putrajaya sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Labuan sebagai pusat kewangan antarabangsa telah menjadikan Malaysia mampu bersaing dengan negara-negara yang pesat membangun maju,” katanya.

Hari Wilayah Persekutuan disambut pada 1 Februari setiap tahun bermula 1974 susulan pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya.

Selain itu, Mohamed Azmin turut mengingatkan agar masyarakat menunaikan tanggung jawab sosial dan nilai-nilai murni terhadap komuniti setempat bagi ​​​​​​​memastikan keharmonian dan pembangunan seimbang, khususnya bagi mereka yang menetap di kawasan bandar.

“Sehubungan itu, marilah kita bersama-sama merealisasikan impian dan menjadikan Wilayah Persekutuan terus berkembang pesat, mampan dan setanding dengan negara-negara maju lain,” katanya.

– BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA

Nurul Izzah: Selamat Hari Wilayah Persekutuan ke-40

2014 menandakan tahun keenam perayaan Hari Wilayah Persekutuan bagi saya sebagai seorang Ahli Parlimen yang dipilih di Kuala Lumpur; hari ini disambut bukan sahaja oleh orang-orang di Kuala Lumpur, tetapi ia turut disertai para penduduk di Labuan dan Putrajaya.

Kerajaan Persekutuan telah memberi alasan empat dekad lalu bahawa Kuala Lumpur akan ditadbir dengan lebih baik di bawah pentadbirannya – dan melalui pemansuhan pilihan raya tempatan pada tahun 1965, ia direalisasikan.

nurul izzah parlimen 11.10.2012 01Sebagai wakil tempatan dari sebuah pakatan politik yang mendapat sokongan menggalakkan sebanyak 67 peratus pada pilihan raya umum lalu, saya tidak dapat mengelak dari memikirkan tentang kedudukan demokrasi pada hari penuh bermakna ini.

Pertama, sejak permulaan baru hampir empat dekad yang lalu, penduduk Kuala Lumpur telah semakin tidak berkebolehan membuat keputusan berkaitan dengan hak-hak mereka, perkhidmatan dan kemudahan di bandar.

Datuk Bandar yang dilantik memuktamadkan konsesi dalam perkhidmatan asas – antaranya pengumpulan sampah dan rawatan kumbahan, dan baru-baru ini tamparan kepada rakyat Kuala Lumpur dengan kenaikan cukai taksiran.

Kuala LumpurWalaupun menyedari bahawa bantahan sedang berlaku, ramai menjangkakan DBKL tidak akan berganjak, memandangkan keputusan unilateral oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan kadar penilaian dari 6% kepada 4% untuk hartanah kediaman, dan dari 12 % kepada 10% untuk hartanah komersil.

Pengurangan unilateral ini gagal untuk menangani keperluan lebih asas dalam melindungi ketelusan proses penilaian itu sendiri ataupun hak pihak berkuasa tempatan untuk menaikkan kadar penilaian tanpa mempertingkatkan perkhidmatan.

Realiti semasa jauh tersasar dari dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja di Pihak Berkuasa Tempatan, ditubuhkan pada bulan Jun 1965.

Suruhanjaya ini, yang juga dikenali sebagai Suruhanjaya Nahappan, menyokong penuh kehadiran badan-badan majlis yang dipilih.

Seorang ahli majlis yang dipilih membolehkan anda untuk menyalurkan rasa tidak puas hati melalui tiga peringkat struktur demokrasi yang betul – pihak berkuasa persekutuan, negeri dan tempatan.

Kuasa Datuk Bandar , serta orang-orang eselon atasan akan sentiasa disemak, dan penelitian yang lebih besar akan diberikan kepada bagaimana bajet dibelanjakan tahun demi tahun.

Kedua, jika ia bukan untuk struktur tadbir urus yang lebih baik, mengapa perlu kita mengekalkan sistem Datuk Bandar persekutuan yang dilantik sedang pilihan raya tempatan dikembalikan?

Ramai yang lupa bahawa Kuala Lumpur adalah sebahagian daripada Selangor – sehingga insiden malang pilihan raya 1969 di mana parlimen tergantung, meninggalkan Parti Perikatan dengan hanya 14 daripada 28 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri.

Kuala Lumpur1Dengan itu, Kuala Lumpur telah dilampirkan kepada Kerajaan Persekutuan pada Februari 1974, memastikan Selangor sentiasa di dalam tangan yang selamat .

Sedang kita meraikan Hari Wilayah Persekutuan, adalah penting bagi kita mencari jalan untuk memastikan bandar yang lebih baik dan pemerintahan yang lebih cekap.

Sedang kita meraikan tahun ke-40 Wilayah Persekutuan, adalah penting untuk memastikan Kuala Lumpur dibebaskan dari keputusan-keputsan politik yang banyak dicemari pelantikan berbaur politik.

Dengan itu merampas hak dari para penduduk Kuala Lumpur untuk sebuah kerajaan negeri yang kerap memberi laporan serta mempunyai Belanjawan telus untuk mengurangkan kebimbangan orang awam di Kuala Lumpur. Lagipun, bukankah Putrajaya kini ibu kota rasmi Malaysia?

Raikan Hari Wilayah Persekutuan dengan mengingatkan Kerajaan Persekutuan bahawa tiada cukai tanpa perwakilan, terutama sekali memandangkan sudah 40 tahun berlalu!

Selamat Hari Wilayah Persekutuan ke 40!

* Nurul Izzah Anwar adalah Naib Presiden Keadilan dan Ahli Parlimen Lembah Pantai