Categories
NASIONAL SELANGOR

Elizabeth: Semak Daftar Pemilih Agar Tidak Berubah

SHAH ALAM, 27 APR : Setiap pengundi berdaftar di negara ini khasnya di Selangor diminta memastikan maklumat diri serta tempat mengundi mereka tidak berubah tanpa pengetahuan mereka.

Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong berkata, biarpun Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) seringkali menafikan wujudnya cubaan menukar dan mengubah status pengundi tetapi beberapa contoh telah dikesan amat meragukan dan bermasalah.

Antara yang dikesan, katanya, kes seorang pengundi di kawasannya iaitu Ho Heng Tong yang dikeluarkan dari senarai pengundi berdaftar pada awal tahun ini atas alasan telah meninggal dunia.

“Ho tidak meninggal dunia dan segala percubanya untuk membetulkan kesilapan telah gagal. Pejabat Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa yang menghubungi pejabat SPR, tetapi nama Ho tetap tidak dapat dimasukkan semula dalam senarai pengundi.

“Bagaimanapun atas desakan berterusan termasuk dari pejabat saya maka akhirnya nama Ho berjaya dimasukkan semula selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Jelas Elizabeth lagi, kes Ho adalah salah satu daripada banyak kes penyelewengan dalam sistem pilihanraya yang berjaya dikesan pihaknya di negeri Selangor.

Orang ramai yang berdaftar sebagai pengundi, nasihatnya supaya menyemak senarai daftar pengundi di lawan web SPR iaitu daftarj.spr.gov.my.

“Bagi mendapatkan kembali hak kita, saya juga mengambil kesempatan ini untuk menyeru semua rakyat turun bersama-sama ke Dataran Merdeka pada hari esok(Sabtu, 28 April) untuk berhimpun bersama dalam perhimpunan aman Bersih 3.0,” katanya.