Categories
AGENDA SUKANKINI

Impian skuad hoki ke Olimpik 2020 lebur

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Impian skuad hoki negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas 20 tahun terkubur apabila tewas 5-2 kepada Great Britain pada aksi play-off kedua kelayakan terakhir di Lee Valley Hockey & Tennis Centre, London, lewat malam tadi.

Justeru, Great Britain menjadi pasukan ke-11 layak ke Tokyo dengan agregat 9-3 selepas membenam Malaysian Tigers 4-1 pada perlawanan timbal balik pertama kelmarin.

Kali terakhir skuad negara beraksi di pentas Olimpik adalah pada temasya Sydney 2000, yang mana pasukan kebangsaan menamatkan saingan di tempat ke-11 dalam kalangan 12 negara yang bertanding.

Malaysia yang turun dengan wajib memburu kemenangan besar, bagaimanapun dikejutkan dengan keputusan pengadil menghadiahkan pukulan penalti kepada Great Britain.

Skuad kendalian ketua jurulatih Roelant Oltmans itu meminta rujukan video bagi menyelamatkan kedudukan Malaysia, namun keputusan berpihak kepada Great Britain.

Alan Forsyth menyempurnakan pukulan penalti itu dengan satu tolakan yang cukup baik sehingga mengelirukan penjaga gol negara, S.Kumar pada minit kesembilan.

Dua minit kemudian, Sam Ward menggandakan gol sebelum pemain tengah Mohd Fitri Saari merapatkan jurang dengan menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-24.

Bagaimanapun, Ward sekali menambah derita skuad negara dengan menyumbat gol ketiga Great Britain menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-31.

Malaysia seterusnya memproleh pukulan sudut penalti kedua selepas penyerang negara, Faizal Saari dikasari sehingga terjatuh pada minit ke-32 namun ia gagal diterjemahkan kepada gol.

Sebelum perlawanan suku masa ketiga berakhir, Muhammad Razie Abdul Rahim berjaya merapatkan jurang kedudukan pada minit ke-40.

Malaysia Tigers, yang tertekan untuk memburu gol, pada suku terakhir perlawanan, dikejutkan dengan gol padang Forsyth pada minit ke-56 sebelum pemain itu melengkapkan jaringan hatrik peribadinya dengan penyudahan pukulan penalti pada minit berikutnya.

-BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Hoki: Jumlah pemain sertai NHDP meningkat

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) kini mencatatkan penyertaan 2,583 pemain hoki, berbanding 1,794 yang direkodkan pada September lalu.

Ekoran penambahan jumlah pemain, NHDP menambah seramai 76 jurulatih, di samping membuka 50 lagi pusat latihan di seluruh negara.

Menurut kenyataan Timbalan Presiden Persekutuan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Dr S.Shamala, jumlah pemain berumur bawah 16 tahun (U-16) menokok daripada 234 tahun lalu kepada 281 tahun ini, manakala pemain berumur bawah 14 tahun (U-14) juga naik daripada 234 tahun lalu kepada 399 tahun ini.

Beliau berkata, oleh kerana aspek pembangunan sentiasa menjadi keutamaan MHC, Presidennya Datuk Seri Subahan Kamal telah membuat kenyataan yang jelas pada mesyuarat lembaga eksekutif tahun lepas, bahawa usaha membina kemahiran pemain di peringkat akar umbi amat kritikal terhadap pembangunan sukan itu.

“Majlis Sukan Negara dan MHC sedang merangka program semasa kita, supaya menjadi lebih baik lagi, dan banyak perbincangan sudah diadakan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

NHDP, yang sebelum ini dikenali sebagai program 1MAS, dibentuk bagi melahirkan lebih ramai pemain untuk Pasukan MHC.

-BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Malaysian Tigress belasah Singapura 12-0

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Skuad hoki wanita negara mempamerkan aksi seperti yang dijangkakan apabila membelasah Singapura 12-0 pada Kejohanan FIH Siri Akhir di Banbridge, Ireland, pada petang Ahad (tengah malam di Malaysia).

Pemain pertahanan veteran Nuraini Rashid menjaringkan hatrik apabila pakar sudut penalti berusia 30 tahun itu meledak tiga gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-12, 28 dan 35 dalam perlawanan Kumpulan A, bermain dalam keadaan hujan dengan suhu 13 darjah Celsius.

Malaysian Tigress, yang berada di kedudukan ranking ke-22 dunia, membuka tirai jaringan gol melalui Hanis Nadia Onn menerusi pukulan padang pada minit kesembilan dan diikuti oleh Surizan Awang Noh (19’) dan Kirandeep Kaur (21’) pada separuh masa pertama.

Skuad Muhammad Dharma Raj Abdullah itu terus berpesta gol menentang ranking ke-35 dunia, Singapura pada separuh masa kedua apabila terus menambah jaringan menerusi ​​​​​​​Nurmaizatulhanim Syafi (39’), Siti Zulaikha Husain (42’ dan 47’), Fazilla Sylvester Silin (44’) dan Wan Norfaiezah Saiuti (51’).

Pemain pertahanan Raja Norsharina Raja Shabuddin menyempurnakan kejayaan berganda apabila meledak gol menerusi pukulan sudut penalti pada detik akhir perlawanan separuh masa kedua untuk mengutip mata penuh, kekal di tempat kedua dalam kumpulan di belakang tuan rumah Ireland.

Dengan kemenangan itu, Malaysia hampir pasti mengesahkan tempat ke pusingan kelayakan terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020, melainkan Singapura berjaya mencipta kejutan menewaskan Ireland dalam perlawanan terakhir Kumpulan A pada Selasa.

Malaysia memulakan kempen dengan aksi yang memberangsangkan serta memberi saingan sengit apabila tewas 2-1 kepada pasukan ranking kelapan dunia, Ireland pada Sabtu.

Dalam perlawanan terakhir bagi pusingan round robin, Tigress Malaysia akan menentang ranking ke-19 dunia, Republik Czech pada hari Selasa dan kumpulan teratas mara ke separuh akhir, manakala pasukan kedua dan ketiga ditentukan dalam peringkat kalah mati.

-BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Skuad hoki wanita terpaksa korbankan raya demi Olimpik

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Skuad hoki wanita negara nampaknya terpaksa mengorbankan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini kerana perlu melakukan persiapan menghadapi Kejohanan Siri Final Wanita Dunia FIH di Banbridge, Ireland Utara, dari 8 hingga 16 Jun ini.

Skuad Malaysian Tigress perlu muncul antara dua pasukan terbaik dalam kejohanan lapan negara itu untuk mengesahkan tiket ke pusingan kelayakan terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 antara Oktober dan November ini.

Umat Islam di negara ini dijangka menyabut Aidilfitri pada 5 Jun ini, justeru skuad bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah akan meneruskan latihan semasa Ramadan yang bermula hari ini.

Muhammad Dharma berkata pada bulan Ramadan ini, anak buahnya akan akan mengikuti latihan dua sesi sehari iaitu dari jam 3 hingga 4.30 pagi dan 9 hingga 11 malam.

“Bukan mudah untuk bangun dari tidur pada jam 3 pagi dan berlatih pada waktu itu tetapi kami tahu akan menghadapi pasukan yang kuat seperti Korea Selatan dan Ireland,” katanya pada sidang media di Stadium Hoki nasional, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

“Selain itu, ini adalah peluang terakhir untuk beraksi di Sukan Olimpik bagi beberapa pemain yang mungkin bersara selepas kempen ini,” katanya.

Justeru, katanya, anak buahnya berazam untuk menampilkan aksi yang terbaik bagi memburu dua tiket yang disediakan untuk ke pusingan kelayakan terakhir nanti.

Pada kempen di Ireland, Malaysia, yang menduduki ranking ke-22 dunia, diundi dalam Kumpulan A bersama-sama dengan negara tuan rumah, Irealand (8), Republik Czech (19) dan Singapura (35) manakala Kumpulan B terdiri daripada Korea Selatan (11), Scotland (18), Ukraine (26) dan Perancis (30).

Muhammad Dharma berharap skuad negara dapat menduduki sekurang-kurang tempat ketiga dalam kumpulan sebelum beraksi pada perlawanan playoff untuk memburu tempat ke peringkat separuh akhir.

Juara kumpulan akan layak secara automatik ke separuh akhir manakala dua lagi pasukan separuh akhir ditentukan menerusi playoff.

Sebagai persediaan, jurulatih itu berkata skuad negara akan berlepas ke Rome, Itali, pada 23 Mei ini untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan, kemudian ke Glasgow, Scotland pada 1 Jun untuk perlawanan persahabatan sebelum ke Ireland pada 6 Jun.

– BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Aksi menentang pasukan Eropah penting perkuatkan pasukan

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Perlawanan persahabatan menentang pasukan Eropah seperti Belanda, Jerman dan Belgium penting untuk memperkuatkan skuad hoki kebangsaan menjelang pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang bermula tahun depan.

Penjaga gol veteran negara, S. Kumar berkata skuad ‘The Malaysian Tigers’ memerlukan lebih banyak aksi kompetitif menentang pasukan yang menduduki ranking teratas dunia.

“Kita jarang bermain dengan pasukan ternama seperti Belanda dan Jerman atau pasukan menduduki ranking lima teratas dunia. Kalau dapat main pun, selalunya dengan kelab atau pasukan simpanan mereka.

“Jadi, saya rasa perancangan mengadakan perlawanan persahabatan memang bagus untuk meningkatkan prestasi pasukan. Ia juga penting kerana kita tidak boleh jangka aksi pasukan Eropah kerana kita akan bertemu Austria, Itali dan Wales selain berdepan Kanada dan China pada Siri Hoki Final nanti​​​​​,” kata pemain berusia 39 tahun itu.

Ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans sebelum ini, dilaporkan mahu melakukan persiapan selama sebulan di Eropah sebelum mengharungi pusingan ‘playoff’ kelayakan Sukan Olimpik, selepas skuad kendaliannya tersingkir awal pada Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India baru-baru ini.

Di Bhubaneswar, Malaysia gagal meloloskan diri ke pusingan kalah mati selepas menduduki tempat tercorot dalam Kumpulan D berikutan kekalahan 0-7 kepada pasukan di kedudukan keempat dunia, Belanda; seri 1-1 berdepan Pakistan (13) dan tewas 3-5 di tangan Jerman (6).

Malaysia, yang menjadi tuan rumah Siri Hoki Final pada April depan, pusingan kedua kelayakan temasya sukan berkenaan, perlu meraih dua tempat teratas untuk mara ke pusingan terakhir atau ‘playoff’ yang akan berlangsung pada Oktober dan November 2019.

Sementara itu, kapten pasukan negara Mohamad Sukri Abdul Mutalib berkata rakan sepasukannya tidak harus mengalah berikutan prestasi kurang baik pada akhir musim ini, tetapi harus bersedia mengharungi cabaran lebih sengit pada 2019 dalam usaha meraih tiket ke Sukan Olimpik 2020.

“Perlawanan pertama (menentang Belanda), kita tidak begitu baik, tetapi kita beraksi baik pada perlawanan kedua dan ketiga…ada peningkatan pada setiap perlawanan. Memang sesuatu yang sukar apabila berada dalam kumpulan maut.

“Kita tidak boleh mengalah dan putus asa. Kita harus bekerja keras dan fokus kerana 2019, tahun yang agak mencabar dan besar harapan untuk kita capai sasaran layak ke Sukan Olimpik,” katanya.

Sebagai rekod, Malaysia sedang memburu penampilan ke-10 pada Sukan Olimpik, selepas kali terakhir beraksi di pentas itu pada Sukan Olimpik 2000 di Sydney.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
SUKANKINI

Selangor, Kuala Lumpur bakal berentap pada final wanita Piala Tun Abdul Razak

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Juara bertahan, Selangor bakal berentap dengan Kuala Lumpur pada aksi final kategori wanita Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak, esok setelah kedua-dua pasukan berkenaan mengatasi lawan masing-masing pada aksi separuh akhir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini, semalam.

Selangor menewaskan Pulau Pinang 3-0 hasil pukulan sudut penalti Liyana Aqilah Mohd Sepawi pada minit ke-24 dan kapten pasukan, Nurul Safika Mat Isa (minit ke-44) serta gol padang Nur Iman Shahiera Bedrul Hisam pada minit ke-53.

Kuala Lumpur pula terpaksa bergelut sebelum menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 4-3 pada satu lagi aksi separuh akhir.

Pada perlawanan berkenaan, ATM terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi jaringan Aishah Zulkifli sebelum Qasidah Najwa Muhd Halimi menyamakan kedudukan untuk Kuala Lumpur menerusi gol padang pada minit ke-15.

Gol tersebut nyata menyemarakkan semangat pemain Kuala Lumpur yang berjaya meledak dua gol padang pada minit ke-20 dan minit ke-21, menerusi dua pemain kebangsaan, Nur Zafirah Aziz dan Norazlin Sumantri.

ATM bagaimanapun berjaya mengurangkan defisit jaringan menerusi pukulan sudut penalti oleh Nur Syuhada Suhaimi pada minit ke-30, sebelum Hazatul Hudzra Abd Razak meledak gol keempat untuk Kuala Lumpur hasil gol padang pada minit ke-33.

ATM tidak berputus asa dan berjaya meraih gol ketiga menerusi gol padang Siti Rahmah Othman pada minit ke-55, namun ia gagal menghalang Kuala Lumpur daripada mengesahkan kemaraan ke final.

Pulau Pinang dan ATM yang kalah pada aksi separuh akhir, bakal membuat perhitungan untuk penentuan tempat ketiga/keempat, esok.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menamatkan saingan di tempat kelima kategori wanita setelah berpesta gol dengan membelasah Terengganu 11-0 pada perlawanan penentuan kelima/keenam.

Dalam kategori lelaki, Johor menang besar 6–1 ke atas Pulau Pinang pada aksi penentuan kelima /keenam Divisyen Satu manakala Kelantan mengalahkan pasukan jemputan, Singapura 4-2 pada aksi penentuan kelima/keenam Divisyen Dua.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Penantian 24 tahun hoki wanita Selangor akhiri kemarau emas berakhir

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 SEPT: Penantian Selangor selama 24 tahun untuk memenangi pingat emas dalam acara hoki wanita terbayar apabila berjaya menewaskan Sabah 1-0 dalam aksi final Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Stadium Azlan Shah.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari juga sempat menzahirkan ucapan tahniahnya kepada pasukan tersebut.

“Kerja yang bagus, tahniah, penantian selama 24 tahun dalam acara ini akhirnya terbayar apabila Selangor meraih emas pada SUKMA2018,” katanya menerusi twitternya.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Siti Nur Aliah Amnuruddin menerusi gol padang pada minit ke-23.

Jurulatih Selangor, Ikmal Abdul Jabar berkata, kemenangan itu amat bermakna buat pasukannya selepas menanti hampir 24 tahun untuk memenangi emas dalam hoki wanita SUKMA.

“Tetapi kemenangan kali ini lebih manis kerana kami mengulangi kejayaan pada 1994.

“Saya terpaksa berdepan cabaran yang hebat sebelum menghadapi SUKMA 2018 di mana kami kekurangan bakat pemain dan saya berharap dengan kejayaan ini dapat menjadi pemangkin semangat kepada Selangor untuk membentuk pasukan yang lebih mantap,” katanya.

Categories
SUKANKINI

Piala Sultan Azlan Shah: Malaysia dibelasah India

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 8 MAC: Malaysia gagal mengekang kehebatan India apabila tunduk 1 – 5 pada kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah ke 27 di sini, semalam.

Meskipun berjaya memberikan cabaran pada separuh masa pertama namun ketahanan pasukan tuan rumah gagal mengekalkan momentum dan dibolosi empat gol dalam tempoh kurang 30 minit pada babak akhir perlawanan.

Skuad bimbingan Stephen Van Huizen menyamakan kedudukan 1 – 1 pada minit ke 33 melalui Faizal Saari dengan satu kuisan ke gawang lawan.

India sebelum itu mendahului menerusi jaringan Shilanand Laksa (m10) pada suku pertama.

Kelonggaran pertahanan Malaysia diambil kesempatan pasukan pelawat dengan melancarkan serangan balas dan Gurjant Singh (m43) mendapat ruang bagi gol kedua.

Sumit Kumar terus menghukum The Speedy Tigers dengan gol ketiga India pada minit ke 48 diikuti Ramandeep Singh (m55).

Gurjant menghasilkan gol keduanya dalam perlawanan itu dan kelima untuk India pada tiga minit terakhir perlawanan untuk kemenangan 5 – 1.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Piala Sultan Azlan Shah: England sekat Argentina

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 8 MAC: Argentina terpaksa berpuas hati dengan catatan seri 1 – 1 ketika menentang England pada kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah ke 27 di sini, semalam.

Juara Olimpik itu yang mengintai peluang ke final, memperoleh gol melalui Juan Gilardi pada minit ke 41.

Ketika berbaki empat minit perlawanan, England menghampakan Argentina dan menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti David Condon.

Argentina yang turun bagi memgubat kekecewaan tumpas 1 – 2 kepada Malaysia, banyak mencipta peluang tetapi melihat serangan diatur gagal menemui sasaran.

Skuad Amerika Selatan itu kini mengumpul tujuh mata manakala England (lima) dengan keduanya masih berpeluang ke final melalui kemenangan dalam perlawanan terakhir sambil mengharapkan lawan masing-masing tewas.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Piala Sultan Azlan Shah: Australia belasah Ireland, layak ke final

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH 8 MAC : Australia menempah tempat ke perlawanan akhir apabila mengalahkan Ireland 4 – 1 dalam kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah ke 27 di sini, malam tadi.

Juara sembilan kali itu beraksi cemerlang di Stadium Azlan Shah, mudah mengatasi lawannya untuk catatan empat kemenangan berturut-turut dengan 12 mata dan akan melengkap jadual bertemu Argentina selepas ini.

Aussies memperoleh gol perbukaan dalam suku pertama melalui Jake Whetton pada minit ke-11 hasil gerakan pantas melepasi penjaga gol, Mark Ingram.

Tiga minit selepas itu skuad bimbingan Colin Batch menggandakan jaringan menerusi percubaan tepat Daniel Beale.

Blake Govers yang terlepas beberapa peluang, bertindak cemerlang pada suku kedua dan meletakkan juara dunia itu pada kedudukan selesa 3 – 0 dengan gol pada minit ke-21.

Jake Harvie pula mengambil giliran pada sepuluh minit terakhir suku keempat dengan pukulan menepati sasaran ke pintu gol lawan selepas mendapat umpanan bola dari Beale.

Selepas ketinggalan dengan empat gol, Ireland yang terus berusaha bagi menyaingi Australia mendapat gol saguhati hasil percubaan Shane O’Donoghue tiga minit sebelum perlawanan tamat.

Australia akan tampil dalam aksi akhir ke-13 dalam kejohanan jemputan itu dengan kali terakhir muncul juara pada dua tahun lalu.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Piala Sultan Azlan Shah: Australia terus cemerlang, atasi India

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 7 MAC: Australia mengekalkan rekod kemenangan apabila mengatasi India 4 – 2 dalam kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-27 di sini, semalam.

Juara dunia itu merakam kemenangan ketiga berturut-turut dengan sebelumnya mengalahkan England (4 – 1) dan Malaysia (3 – 1) bagi mengukuhkan kedudukan dengan sembilan mata.

Gol pertama pasukan itu dihasilkan Mark Knowles pada minit ke-28 melalui pukulan penalti melepasi Krishan Pathak.

Pasukan Aussies terus mempamerkan kehebatan di Stadium Azlan Shah dengan serangan pantas ke kubu lawan dan mendapat gol kedua melalui Aran Zalewski (m35).

Pasukan bimbingan Colin Batch terus bergaya mendahului 4 – 0 pada suku ketiga dengan dua lagi menambah jaringan oleh Daniel Beale (41) dan Blake Govers (43).

India menghadirkan cabaran pada suku keempat dengan dua gol Ramandeep Singh (m52 dan 53) tetapi Australia berjaya mengekalkan kelebihan hingga akhir perlawanan.

Dalam satu lagi perlawanan, England mencatat kemenangan pertama selepas menundukkan Ireland 4 – 1.

Pasukan Inggeris itu kini di tangga keempat dengan empat mata mengatasi India (satu) dan Ireland (kosong).

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Hoki Piala Razak 2017: Selangor juara tumbangkan Pahang

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 27 NOV : Pasukan Hoki Wanita Selangor muncul juara Hoki Wanita Piala Razak 2017 selepas menewaskan juara bertahan Pahang 5-2 pada aksi akhir di sini, malam tadi.

Jurulatih Selangor, Ikmal Abdul Jabar berkata, beliau mahukan anak buahnya ulangi aksi cemerlang ketika membenam tuan rumah, Kuala Lumpur di separuh akhir kelmarin.

Ketika pertemuan itu, Selangor memperagakan kebangkitan menakjubkan apabila berjaya menewaskan Kuala Lumpur 3-2.

“Kami menyedari kekuatan Pahang. Mereka sebuah pasukan yang serba lengkap dengan status diperkuat tujuh pemain kebangsaan.

“Oleh itu, saya mengatur strategi baharu kepada Selangor untuk menentang Pahang,” katanya.

Malah, Abdul Jabbar berkata, beliau juga memberi dorongan kepada anak buahnya untuk tidak terlalu tertekan menentang pasukan juara bertahan itu.

“Kejuaraan milik Selangor hari ini sememangnya sangat istimewa memandangkan kami tidak pernah menjulang gelaran Piala Razak selepas hanya berpuas hati dikedudukan ketiga pada tahun lalu,” katanya.

Disamping itu, Fatin Shafikah Mahd Sukri, 22, yang juga penyerang hoki pasukan Selangor muncul sebagai wira skuad hoki wanita pada malam itu selepas membantu pasukannya muncul juara.

Pada malam itu, pasukan hoki wanita Selangor yang berjaya menewaskan Pahang menerima piala pusingan, medal dan wang tunai RM5,000.

=EZY=