Categories
SUKANKINI

Yakinkan syarikat swasta melabur dalam sukan hoki

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 OKT: Kesukaran meyakinkan syarikat swasta melabur dalam sukan selain bola sepak dilihat antara punca ia kurang mendapat perhatian penyokong tempatan, walaupun mempamerkan aksi cemerlang serta mengecap kejuaraan di peringkat antarabangsa.

Penganalisis sukan, Muhammad Rizal Hashim berkata, bola sepak sepenuhnya profesional di Malaysia, berbanding hoki yang bersifat semi-pro walaupun mempunyai penganjuran Liga Hoki Malaysia (MHL).

“Bola sepak merupakan sukan profesional yang menyerlah di Malaysia tetapi tidak menyerlah di peringkat antarabangsa, manakala hoki dan sukan lain pula tidak mempunyai struktur khas dalam negara tetapi menyerlah di peringkat antarabangsa.

“Hoki secara tradisinya layak ke Sukan Olimpik sejak 1970-an, malah ada pemain hoki dibayar lumayan tetapi bermain separuh masa kerana komitmen selaku pekerja di syarikat luar.

“Saya berpandangan jika kita ingin membandingkan sukan bola sepak dengan hoki, ia tidak sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan pembelaan ganjaran dan kebajikan pasukan hoki negara yang sering mempamerkan aksi cemerlang di peringkat antarabangsa berbanding skuad bola sepak.

Muhammad Rizal berkata, walaupun negara tidak mempunyai struktur khas seperti sukan olahraga, renang, berbasikal dan tenis, atlet seperti Azizulhasni Awang dan Datuk Nico Ann David berjaya menarik penajaan secara individu.

Katanya, tiada kekangan untuk menjadikan sukan hoki profesional penuh di Malaysia, malahan Konfiderasi Hoki Malaysia (MHS) memiliki ‘master plan’ untuk jangka masa panjang.

“Mereka cuba memasarkan produk menerusi pelan pemasaran baik tetapi banyak syarikat swasta enggan melabur secara besar-besaran dalam hoki kerana memikirkan pulangan pelaburan.

“Kita perlu memikirkan cara meyakinkan pelabur berpotensi dari sektor swasta bahawa mereka juga mampu memperoleh pulangan lumayan atas pelaburan, penjenamaan produk dan tayangan siaran langsung.

“Walaupun bola sepak mempunyai ramai penonton di negara kita, mereka juga bergelut mencari penaja,” katanya.

Categories
SUKANKINI

Hoki: Malaysia ke final Piala Asia buat kali pertama sejak 1982

DHAKA 22 OKT: Malaysia menempah tempat dipentas final Piala Asia buat pertama kali dalam tempoh 35 tahun apabila mengikat Korea Selatan 1-1.

Malaysia yang hanya memerlukan keputusan seri untuk layak bagaimanapun menempuh detik mencabar sepanjang perlawanan apabila Korea Selatan yang memerlukan kemenangan mendahului Malaysia 1-0 pada minit ke-24.

Sebelum ini, skuad negara yang sudah layak ke Piala Dunia menang ke atas Pakistan dan tewas kepada India dalam pusingan round robin dalam dua perlawanan awal.

Pada perlawanan yang ditunda ke jam 11.30 tengah malam tadi (waktu Malaysia) akibat hujan lebat.

Korea Selatan mendahului pada minit ke-24, menerusi pukulan sudut penalti Yang Jihun yang menembusi kawalan S Kumar sekaligus menyalakan harapan mereka untuk mara ke Piala Dunia.

Namun, Malaysia meleburkan harapan mereka apabila Faizal Shaari mengikat kedudukan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-59.

Kemenangan itu membolehkan skuad negara menempah tiket ke final bertemu India, hari ini.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Hoki Piala Asia: Malaysia belasah Oman 7-1

KUALA LUMPUR 17 OKT: Malaysia menamatkan aksi pusingan awal Kejohanan Hoki Piala Asia 2017 dengan membelasah Oman 7-1 pada perlawanan terakhir Kumpulan B di Dhaka, Bangladesh, pada Isnin.

Kejayaan itu menyaksikan anak buah Stephen Van Huizen muncul juara Kumpulan B dengan mengutip maksimum sembilan mata, selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut menewaskan China 7-1 pada 12 Okt, sebelum mengejutkan juara bertahan Korea Selatan 2-1, dua hari kemudian.

Pada perlawanan itu, Malaysia mendahului selesa 5-1 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Faizal Saari pada minit ke-16 dan 26, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil (minit ke-18 dan 23), dan Muhammad Shahril Saabah (minit ke-20) sebelum Oman mengurangkan defisit melalui Salmeen Al Nofali pada minit ke-25, demikian menurut laman Facebook Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Skuad senior kebangsaan melengkapkan kemenangan bergaya itu dengan menambah dua lagi jaringan selepas permainan bersambung menerusi dua pemain muda – Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad dan Muhammad Najmi Farizal Jazlan, masing-masing pada minit ke-40 dan 42.

Bercakap kemudian, Van Huizen memuji dua pemain muda, Marhan Nabil Asri Joel dan Muhammad Aideed yang beraksi dengan baik pada Isnin, walaupun tanpa khidmat pemain tengah berpengalaman, Mohd Fitri Saari yang terpaksa pulang ke tanah air, semalam, selepas anaknya dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

“Faizal telah melaksanakan tugasnya begitu baik dengan menjaringkan gol pada setiap perlawanan dan beberapa lagi pemain juga berusaha keras untuk memantapkan pasukan setakat ini.

“Kita memulakan aksi agak santai pada perlawanan hari ini, kerana tahu kita sudah pun layak ke separuh akhir, namun selepas kita mendapatkan rentak, kita terus mencipta banyak peluang untuk mencatat kemenangan selesa,” kata Van Huizen kepada Bernama melalui aplikasi Whatsapp.

Malaysia akan berdepan naib juara Kumpulan A, Pakistan manakala juara Kumpulan A, India akan menentang naib juara Kumpulan B, Korea Selatan pada aksi separuh akhir. Kedua-dua perlawanan berkenaan akan berlangsung Rabu ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Hoki Piala Asia: Mohd Fitri Saari terpaksa pulang, anak dalam kritikal

KUALA LUMPUR 15 OKT: Malaysia terpaksa melupakan khidmat pemain berpengalaman, Mohd Fitri Saari apabila menentang Oman pada aksi terakhir kumpulan B Kejohanan Hoki Piala Asia di Dhaka, esok selepas pemain itu meminta kebenaran untuk pulang ke tahanair.

Pengurus pasukan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata pemain tengah berusia 24 tahun itu meminta kebenaran untuk kembali ke Malaysia bagi melihat anaknya, Muhammad Adam Zafran, yang dikatakan berada dalam keadaan kritikal di sebuah hospital swasta.

“Kami membuat keputusan untuk menerbangkan Mohd Fitri pulang ke Malaysia pada malam ini,”kata Mohd Nasihin yang dipetik sebagai berkata menerusi laman sesawang Konfederasi Hoki Malaysia;www.mhc.org.my.

Beliau berkata keputusan sama ada Mohd Fitri kembali ke Dhaka atau tidak bergantung kepada keadaan anak pemain berkenaan dan kem negara bersedia dengan sebarang kemungkinan bagi mengisi kekosongan dalam pasukan itu.

Mohd Nasihin bagaimanapun berkata, pemain berkenaan dijangka kembali menyertai skuad kebangsaan pada Selasa ini sekiranya keadaan anaknya bertambah baik.

Malaysia kini mendahului kumpulan B selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut iaitu menewaskan China 7-1 selain menundukkan juara bertahan, Korea Selatan 2-1 pada kejohanan berkenaan yang berlangsung dari 11-22 Oktober ini.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
SUKANKINI

Malaysia mara ke Piala Dunia Hoki 2018

SHAH ALAM, 23 JUN: Malaysia melayakkan diri ke Piala Dunia Hoki Lelaki 2018 setelah berhasil menewaskan India 3-2 dalam aksi perlawanan suku akhir, Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, semalam.

Tempat keempat teratas sudah mencukupi untuk skuad bimbingan Stephen Van Huizen melayakkan diri ke Piala Dunia yang akan berlangsung di India untuk kali kelapan selepas layak sebanyak tujuh kali – 1973, 1975, 1978, 1982, 1998, 2002 dan 2014.

Malaysia akan bertemu Argentina di perlawanan separuh akhir Sabtu ini selepas pasukan dari Amerika Selatan itu menewaskan Pakistan 3-1 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan pernah bertemu pada pusingan awal Kumpulan A pada 16 Jun lepas yang mana Argentina menewaskan Malaysia 5-2. – Bernama

Categories
SUKANKINI

Malaysia raih tempat ketiga Kejohanan Hoki Trofi Juara-juara Asia

KUANTAN 31 OKT: Skuad hoki Malaysia bermain dengan baik dan mempamerkan banyak penambahbaikan selepas menduduki tempat ketiga dalam Kejohanan Hoki Trofi Juara-juara Asia 2016.

Bagaimanapun, Ketua Jurulatih Negara, Stephen Van Huizen berkata banyak perkara perlu dilakukan untuk mengukuhkan pasukan itu di masa hadapan.

“Adalah menyedihkan kami tewas kepada Pakistan semalam tetapi saya gembira kami bangkit kembali dengan mengalahkan Korea Selatan untuk menduduki tempat ketiga dalam kejohanan ini.

“Kami akan menumpukan pada kelemahan kami dan cuba menguatkan lagi para pemain sebagai persiapan menghadapi cabaran akan datang,” katanya lapor BERNAMA.

India muncul juara Kejohanan Hoki Trofi Juara-juara Asia 2016 selepas tewaskan Pakistan 3-2.

Van Huizen berkata salah satu pendekatan beliau ialah untuk melihat rakaman video melibatkan pasukan negara dalam kejohanan ini bagi mengenal pasti dan menganalisis apa yang kurang pada pasukannya.

“Satu perkara yang membimbangkan ialah kemahiran pemain melakukan pukulan sudut penalti yang kami perlu berbuat sesuatu.

“Secara keseluruhan saya berfikir jika kami ingin memenangi pertandingan yang sengit seperti ini, pemain perlu cergas mental dan fizikal dan saya akan pastikannya,” kata beliau.

EZY

Categories
SELANGOR

Stadium Hoki MBPJ siap 60 peratus

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 OKT: Naik taraf Stadium Hoki Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sudah berada di tahap 60 peratus menjelang tarikh akhir kerja baik pulih yang dijangka siap hujung tahun ini.

Perkembangan terkini itu menyaksikan kerja menaik taraf dilakukan lebih pantas iaitu 10 peratus daripada kemajuan mengikut jadual.

Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBPJ, Ismail Shafie nyata gembira dengan perkembangan berkenaan dan berharap ia dapat dibuka dan digunakan lebih awal.

Stadium Hoki“Antara kerja yang sudah dilakukan adalah membongkar dan membuang bata, membersihkan rumput ‘turf’, mengalih pagar ‘chain link’, mengecat pagar dan memasang pam serta motor untuk sistem saliran padang.

“Semua kerja ini dilakukan kontraktor yang dilantik iaitu Usaha Prakarsa (M) Sdn Bhd, sejak 16 Jun lalu,” katanya, di sini, baru-baru ini.

Dianggarkan kos baik pulih bernilai RM2.9 juta yang dikongsi antara Kerajaan Negeri dan MBPJ dengan rumput ‘turf’ baru dibeli khas dari Belanda yang dijangka tiba November ini.

Stadium itu dibina pada tahun 1994, namun ia tidak lagi digunakan sejak enam tahun lalu disebabkan kerosakan padang ‘turf’.

Adun Bukit Gasing, R Rajiv yang turut hadir nyata gembira dengan perkembangan kerja baik pulih stadium itu dan berharap orang awam akan memanfaatkannya bila dibuka serta menggalakkan kelab juga pemain hoki berlatih selain mengadakan perlawanan persahabatan.

Tinjauan Selangor Kini mendapati tumpuan diberikan kepada kerja mengecat dengan warna biru, merah, putih dan kuning.

-NFN-