Categories
NASIONAL SELANGOR

Kajian UM : Disebalik Selaran MCA, Kaum Cina Makin Faham Hudud

SHAH ALAM, 5 NOV: Meskipun isu hudud semakin kerap dijadikan bahan mainan politik MCA dan Umno, sokongan masyarakat bukan Islam khususnya kaum Cina didapati makin meningkat.

Keadaan ini berlaku apabila masyarakat bukan Islam di negara ini mulai memahami isu sebenar mengenai undang-undang jenayah Islam ini.

Selain itu, kejadian jenayah yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini juga menjadi pendorong utama kepada golongan bukan Islam itu menerima hudud sekiranya dilaksanakan.

Demikian menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad kepada TV Selangor ketika mengulas kajian yang dijalankan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).

“Alhamdullilah, ini juga disebabkan usaha kita memberikan penerangan kepada orang ramai termasuk yang bukan Islam bahawa hudud itu adil untuk semua.

“Mereka juga semakin tertekan dengan peningkatan kadar jenayah di negara ini lalu mereka perlu memilih samada peningkatan jenayah atau hudud,” kata beliau.

Beliau juga percaya masyarakat bukan Islam semakin percaya bahawa hukum hudud mampu membendung peningkatan kadar jenayah di negara ini.

Dalam kaji selidik terbaru UMCEDEL, menunjukkan masyarakat Cina di seluruh negara semakin ramai yang memberikan sokongan perlaksanaan hukum hudud.

Menurut kajian yang dijalankan pada 1 hingga 16 September tersebut, sokongan pengundi Cina meningkat sebanyak 12 peratus kepada 24 peratus berbanding kajian sama yang dijalankan kira-kira sembilan bulan lalu.

Kesimpulan kajian yang melibatkan seramai 385 responden dari kaum Cina itu turut menyebut peningkatan hanya satu peratus penentangan dan penurunan 13 peratus bagi golongan tidak pasti terhadap perlaksanaan hukum hudud menjelaskan bahawa pengundi Cina semakin memahami isu tersebut.

Kajian tersebut turut menjelaskan bahawa generasi muda Cina menunjukkan kecederungan untuk memahami perlaksanaan hukum hudud berbanding dengan mereka yang lebih berumur.

 

Kartun Rakyat : 26 Oktober – 2 November, 2012

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tempoh Seminggu Untuk Chua Soi Lek Minta Maaf

 

KUALA LUMPUR, 24 OKT – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memberikan tempoh seminggu kepada Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan penghinaan terhadap hudud.

Desakan ini dinyatakan oleh Setiausaha DPMM, Khairul Faizi Ahmad Kamil ketika menyampaikan memorandum bantahan tersebut di Wisma MCA di sini hari ini.

Tegasnya, sekiranya Soi Lek gagal berbuat demikian, DPPM akan menggerakan satu himpunan besar ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang Di Pertuan Agong.

Jelasnya, kenyataan biadap ini hanya untuk menarik kembali sokongan kaum Cina kepada MCA-BN yang semakin goyah dengan kebangkitan rakyat.

“Kenyataan Chua Soi Lek serta pemimpin MCA yang lain sebagai keterlaluan dan melampau.

“Perkara ini menyentuh sensitiviti umat Islam dan tidak boleh diterima sama sekali dan mengundang kemarahan seluruh umat Islam di negara ini,” katanya.

Memorandum bantahan ini diserahkan oleh Khairul Faizi sambil diiringi oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS, Ustaz Idris Ahmad dan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin kepada Pegawai Pemuda MCA, Leonnard Tan Soon Huat pada jam 3.15 petang.

Hadir sama, NGO Jingga 13 yang turut menyerahkan memorandum berasingan melalui setiausahanya Dk Vicky dengan desakan sama seperti yang dikemukakan DPPM.

Hampir 150 orang penyokong hadir berkumpul di luar perkarangan Wisma MCA, Jalan Ampang sambil melaungkan Takbir dan membawa sepanduk ‘Soi Lek Wajib Minta Maaf’ dan ‘Jangan Hina Islam’.

Shamsul dalam ucapan ringkas menyatakan, kebiadapan Soi Lek ini ‘diwarisi’ dari Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

“Perkara ini (penghinaan hudud) sudah lama berada di dalam Umno.

“Mahathir semasa menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri menyatakan perkara mengenai janggut. Tiada pisau cukur Gillette. Sekarang giliran Chua Soi Lek,” tegasnya.

Datuk Seri Chua Soi Lek pada 18 Oktober mendakwa hudud akan menjejaskan mata pencarian seramai 1.2 juta rakyat Malaysia.

Seterusnya, beliau membawa isu berkenaan ke perhimpunan agung MCA pada Ahad lalu dengan dakwaan bahawa, lapan daripada 11 negara yang melaksanakan hudud dianggap sebagai antara negara paling korup, tidak stabil dan tidak selamat.

Hadir sama membantah pada petang ini ialah artis wanita popular Abby Abadi, Adam Ahmad, Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad dan Ketua Penerangan Pemuda PAS, Ridhuan Mohd Nor.