Categories
AGENDA NASIONAL

Polis perketat sekatan jalan, elak rentas negeri hujung minggu

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperketatkan sekatan jalan raya (SJR) pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad untuk mengelakkan pergerakan rentas negeri dalam kalangan orang ramai sebagai usaha memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata ini berikutan PDRM mendapati setiap petang Jumaat hingga Ahad ramai orang mula melakukan perjalanan rentas negeri dengan pelbagai alasan, terutama untuk keluar dari Selangor dan Lembah Klang.

“Hanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tertentu sahaja membenarkan (rentas negeri) dengan permit atas alasan seperti suami isteri yang berjauhan, hantar anak balik asrama dan sebagainya tetapi kita tengok setiap Jumaat trafik meningkat takkan kecemasan hanya berlaku pada hari Jumaat?

“Oleh itu, saya ambil langkah untuk memperketatkan SJR kerana Selangor masih diisytiharkan sebagai negeri di bawah PKP Bersyarat dan akan melonggarkan SJR sekiranya Selangor bertukar status kepada PKP Pemulihan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sekatan jalan raya di Selangor hanya dilonggarkan untuk jalan-jalan di dalam bandar sahaja.

“Saya amat memahami kesusahan yang mereka (rakyat) alami dan saya amat bersimpati tetapi mereka perlu ambil pedoman bahawa apa yang polis lakukan adalah untuk kebaikan mereka.

“Kepada mereka yang curi-curi keluar menggunakan alasan remeh walaupun dibenarkan atas budi bicara polis, usahlah buat pergerakan…hari demi hari pihak Kementerian Kesihatan (KKM) beri amaran bahawa kluster ‘interstate’ (rentas negeri) di Kelantan dan Johor yang dari Selangor,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

CIMB buka hujung minggu bantu pelanggan isu moratorium

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd akan membuka semua cawangan dan pusat pembiayaan auto di seluruh negara pada dua hujung minggu terakhir pada September, 2020 bagi menyediakan bantuan kewangan kepada pelanggan berikutan moratorium pinjaman enam bulan akan berakhir pada 30 September, 2020.

Semua cawangan CIMB akan beroperasi mulai jam 9.30 pagi hingga 1.00 petang pada hari Sabtu dan Ahad di kedua-dua hujung minggu tersebut manakala pusat pembiayaan auto CIMB juga akan dibuka dari 9 pagi hingga 1.30 petang pada hari Sabtu dan Ahad bagi kedua-dua hujung minggu itu bermula dari 19 September, 2020.

Dalam satu kenyataan semalam, kumpulan itu berkata pembukaan pada hujung minggu iaitu pada 19, 20, 26 dan 27 September, 2020 akan membolehkan peminjam mengadakan perbincangan untuk lebih memahami mengenai bantuan tersebut.

Ia termasuk pelanggan yang layak untuk mendaftar ke dalam Program Bantuan Bersasar CIMB (TAP) dan juga peminjam yang tidak terjejas oleh pandemik Covid-19 tetapi masih memerlukan bantuan pembayaran.

CIMB akan mengirim surat dan e-mel kepada semua peminjam yang belum menghubungi CIMB sebagai peringatan kepada mereka mengenai bayaran ansuran yang akan bermula pada Oktober depan.

Pelanggan individu yang memerlukan bantuan kewangan untuk kemudahan pinjaman/pembiayaan mereka diminta untuk mengunjungi mana-mana cawangan CIMB atau pusat pembiayaan auto dalam tempoh ini untuk mengajukan pertanyaan mengenai pilihan bantuan, termasuk penyusunan semula dan penjadualan semula (R&R), kata kumpulan itu.

Sementara itu, pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula boleh melayari https://www.cimb.com.my/frap untuk mendapatkan pilihan bantuan lain yang sedia ada.

Sejak awal bulan Ogos, CIMB secara proaktif telah menghubungi 330,000 individu dan 10,000 PKS yang berkemungkinan paling terjejas akibat penularan Covid-19.

“CIMB sudah berunding dan turut menasihati mereka untuk menghantar permohonan kepada pihak bank.Sejak itu, CIMB telah meluluskan TAP CIMB dan lain-lain bantuan kewangan sebanyak hampir RM5 bilion kepada lebih 25,000 orang pelanggan,” katanya.

Bagi pelanggan PKS, CIMB telah meluluskan lebih RM2.5 bilion untuk Program Bantuan Bersasar CIMB, hampir RM700 juta di bawah Tabung Bantuan Khas Bank Negara Malaysia (SRF / SRF-i) dan RM300 juta untuk kemudahan bantuan tambahan (CIMB BRF / BRF -i) oleh CIMB sendiri.

CIMB juga komited sepenuhnya dalam menyokong skim pembiayaan PENJANA bernilai RM1 bilion yang baru dilancarkan oleh kerajaan untuk PKS.

Pelanggan dinasihati untuk menghubungi Pusat Panggilan CIMB di talian +603-6204 7788 atau e-mel [email protected] untuk berbincang secara lanjut berkenaan bantuan kewangan yang ditawarkan oleh CIMB.

Pelanggan PKS pula boleh menghubungi Pusat Panggilan Perniagaan CIMB di talian 1300 888 828 (Tempatan) dan +603 2297 3000 (Luar Negara) dari Isnin hingga Jumaat dari 7.00 pagi hingga 7.00 malam dan Sabtu dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali cuti umum).

PKS dan pelanggan korporat juga boleh menghubungi Pengurus Perhubungan CIMB mereka untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pilihan pembiayaan yang sedia ada.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.cimb.com.my/covid19support.

-BERNAMA