Categories
AGENDA NASIONAL

Bapa empat anak pukul isteri hingga mati terlepas tali gantung, dipenjara 25 tahun

PUTRAJAYA, 24 NOV: Seorang lelaki yang sebelum ini dijatuhi hukuman mati kerana memukul isterinya bertubi-tubi sehingga meninggal dunia, terselamat daripada tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman itu dengan penjara selama 25 tahun.

Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf membuat keputusan itu selepas pendakwaan memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi yang dikemukakan oleh Jamaluddin Ali, 47.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari memaklumkan bahawa pihaknya bersetuju mengurangkan pertuduhan daripada kesalahan membunuh mengikut Sesyen 302 Kanun Keseksaan kepada menyebabkan kematian tanpa niat mengikut Sesyen 304(a) kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan denda.

Pada 20 Januari 2017, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman mati ke atas Jamaluddin selepas dia didapati bersalah atas pertuduhan membunuh Nurhidayah A Ghani, 29, di Kampung Petaling Bahagia, Batu 5 1/2 Jalan Puchong di sini pada 9 malam antara 15 hingga 17 Mei 2013 dan hukuman itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 26 Mei 2020.

Terdahulu Rohana yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Abdul Rahman Sebli berkata setelah mengambil kira hujahan dan fakta kes, panel itu memutuskan bahawa hukuman penjara 25 tahun adalah setimpal serta memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 20 Mei 2013.

Mohd Zawawi pula berkata perkahwinan adalah satu ikatan yang suci, setia dan penuh dengan kasih sayang tetapi apabila pasangan mengkhianati maka timbul perasaan marah.

“Tetapi setiap perselisihan ada penyelesaian iaitu dengan mendekati saluran yang betul seperti mahkamah,” katanya.

Sebelum itu, peguam Athari Bahardin berhujah anak guamnya bertindak sedemikian kerana mangsa mempunyai hubungan dengan lelaki lain dan kerap meluangkan masa untuk berparti.

“Ketika perbicaraan kes ini, mahkamah diberitahu bahawa perayu telah membawa mangsa ke hospital setelah melihat wanita itu berada dalam keadaan tenat. Menurut keterangan saksi, perayu juga menangis apabila mengetahui isterinya telah meninggal dunia.

“Perayu mempunyai empat orang anak berusia antara 10 dan 18 tahun yang kini berada di bawah jagaan ibu perayu,” kata peguam itu sambil menambah ini adalah kesalahan pertama anak guamnya.

Mohd Fairuz pula memohon hukuman penjara 25 tahun dikenakan terhadap perayu kerana kejadian itu menyebabkan satu nyawa melayang.

“Sejak berlaku konflik rumah tangga, mangsa telah memfailkan fasakh di Mahkamah Syariah dan beberapa laporan polis dibuat oleh mangsa berkaitan penderaan yang dilakukan oleh perayu. Kes keganasan rumah tangga bukan perkara asing di negara ini dan satu mesej perlu disampaikan kepada masyarakat,” katanya.

– BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Singapura tolak rayuan gantung hukuman mati dua rakyat Malaysia

SINGAPURA, 14 OGOS: Dua rakyat Malaysia gagal dalam rayuan untuk menggantung hukuman mati yang dijatuhkan terhadap mereka sementara menunggu siasatan berhubung dakwaan terdapat penggunaan ‘kaedah ganas dan menyalahi undang-undang’ dalam pelaksanaan proses kehakiman di Singapura.

“Kami tolak rayuan ini,” demikian putus Hakim Mahkamah Agung Singapura iaitu Andrew Phang, Judith Prakash dan Woo Bih Li dalam penghakiman bertulis mereka yang disiarkan dalam laman sesawang mahkamah itu.

Kedua-dua rakyat Malaysia iaitu A Gobi dan K Datchinamurthy disabitkan bagi kesalahan berkaitan dadah dan dijatuhkan hukuman mati.

Mereka mengemukakan permohonan itu pada 28 Jan namun ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 13 Feb.

Afidavit mereka bagi menyokong permohonan itu, antara lain, menyebut kenyataan media Lawyers for Liberty (LFL) bertarikh 16 Jan yang mendakwa ia mempunyai bukti kaedah ganas dan menyalahi undang-undang digunakan dalam pelaksanaan proses kehakiman telah dikemukakan sebagai eksibit.

Kedua-duanya, yang diwakili peguam M Ravi daripada Carson Law Chambers, kemudian mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Mahkamah Agung, ketika memutuskan untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, antara lain berkata kenyataan media LFL tidak mempunyai asas yang mencukupi bagi membolehkan kebenaran diberikan kepada mereka untuk memulakan semakan kehakiman.

“Kenyataan media itu sendiri bukanlah satu bukti yang boleh dipercayai dan kenyataan media LFL, secara khusus tidak menamakan sumber maklumat atau kaitannya dengan kaedah pelaksanaan proses kehakiman pada masa ini,” menurut penghakiman itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

RUU pinda hukuman mati dibentang Oktober

SANDAKAN, 13 JULAI: Rang undang-undang bagi meminda hukuman mati mandatori dijangka dibentang pada Oktober ini di Dewan Rakyat selepas kerajaan memutuskan hukuman penjara setimpal bagi menggantikan hukuman maksimum itu yang diperuntukkan bagi 11 kesalahan berat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, untuk itu, satu pasukan petugas akan ditubuhkan bagi mengkaji hukuman pemenjaraan terhadap kesalahan berat berkenaan.

“Ini akan membabitkan peralihan besar dalam dasar hukuman, oleh itu kerajaan memerlukan masa untuk mengkaji dan membuat keputusan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Vui Keong juga berkata pasukan petugas itu akan turut mengkaji semula hukuman penjara seumur hidup sama ada tempoh pemenjaraan dikurangkan antara 10-30 tahun bagi 11 kesalahan berat berkenaan.

Ketika ini, undang-undang memperuntukkan hukuman mati mandatori terhadap kesalahan di bawah Kanun Keseksaan seperti bunuh, rompakan bersenjata dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, dan juga kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Dalam perkembangan lain, Vui Keong berkata, pada Selasa (16 Julai), kerajaan akan membentangkan rang undang-undang untuk meminda Perlembagaan bagi membolehkan rakyat berumur 18 tahun didaftarkan sebagai pengundi secara automatik.

Beliau berkata apabila pindaan itu diluluskan, kira-kira 3.8 juta pengundi baharu termasuk rakyat berumur 18 tahun dijangka mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Selain itu, beliau berkata, pada Rabu kerajaan akan membentangkan rang undang-undang bagi menambah 13 kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah yang baharu kepada 60 kerusi sedia ada.

-BERNAMA