Categories
AGENDA NASIONAL

Bapa empat anak pukul isteri hingga mati terlepas tali gantung, dipenjara 25 tahun

PUTRAJAYA, 24 NOV: Seorang lelaki yang sebelum ini dijatuhi hukuman mati kerana memukul isterinya bertubi-tubi sehingga meninggal dunia, terselamat daripada tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman itu dengan penjara selama 25 tahun.

Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf membuat keputusan itu selepas pendakwaan memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi yang dikemukakan oleh Jamaluddin Ali, 47.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari memaklumkan bahawa pihaknya bersetuju mengurangkan pertuduhan daripada kesalahan membunuh mengikut Sesyen 302 Kanun Keseksaan kepada menyebabkan kematian tanpa niat mengikut Sesyen 304(a) kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan denda.

Pada 20 Januari 2017, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman mati ke atas Jamaluddin selepas dia didapati bersalah atas pertuduhan membunuh Nurhidayah A Ghani, 29, di Kampung Petaling Bahagia, Batu 5 1/2 Jalan Puchong di sini pada 9 malam antara 15 hingga 17 Mei 2013 dan hukuman itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 26 Mei 2020.

Terdahulu Rohana yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Abdul Rahman Sebli berkata setelah mengambil kira hujahan dan fakta kes, panel itu memutuskan bahawa hukuman penjara 25 tahun adalah setimpal serta memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 20 Mei 2013.

Mohd Zawawi pula berkata perkahwinan adalah satu ikatan yang suci, setia dan penuh dengan kasih sayang tetapi apabila pasangan mengkhianati maka timbul perasaan marah.

“Tetapi setiap perselisihan ada penyelesaian iaitu dengan mendekati saluran yang betul seperti mahkamah,” katanya.

Sebelum itu, peguam Athari Bahardin berhujah anak guamnya bertindak sedemikian kerana mangsa mempunyai hubungan dengan lelaki lain dan kerap meluangkan masa untuk berparti.

“Ketika perbicaraan kes ini, mahkamah diberitahu bahawa perayu telah membawa mangsa ke hospital setelah melihat wanita itu berada dalam keadaan tenat. Menurut keterangan saksi, perayu juga menangis apabila mengetahui isterinya telah meninggal dunia.

“Perayu mempunyai empat orang anak berusia antara 10 dan 18 tahun yang kini berada di bawah jagaan ibu perayu,” kata peguam itu sambil menambah ini adalah kesalahan pertama anak guamnya.

Mohd Fairuz pula memohon hukuman penjara 25 tahun dikenakan terhadap perayu kerana kejadian itu menyebabkan satu nyawa melayang.

“Sejak berlaku konflik rumah tangga, mangsa telah memfailkan fasakh di Mahkamah Syariah dan beberapa laporan polis dibuat oleh mangsa berkaitan penderaan yang dilakukan oleh perayu. Kes keganasan rumah tangga bukan perkara asing di negara ini dan satu mesej perlu disampaikan kepada masyarakat,” katanya.

– BERNAMA

 

 

Categories
NASIONAL

Memo Kepada Agong Sekiranya Tiada Tindakan Terhadap Pendedahan Deepak

mahfuz AES 01

KUALA LUMPUR, 27 DIS : Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengecam tindakan berdiam diri pihak berkuasa berhubung dakwaan peniaga permaidani Deepak Jaikishin terhadap keluarga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Tegasnya, sikap Polis, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan Deepak membabitkan maruah Yang di-Pertuan Agong.

“Saya mengharapkan dalam tempoh dua minggu semua pihak ini dapat memberikan rekasi kepada rakyat.

“Jika tidak, saya akan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu sidang media di ibupejabat PAS di sini.

Dalam siri temuramahnya, Deepak mendakwa Najib mempunyai peranan dalam isu penarikan balik pengakuan berkanun (SD) pertama penyiasat persendirian P Balasubramaniam pada tahun 2008.

SD pertama itu dikatakan mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Categories
NASIONAL

Mahfuz : Kabinet Lindungi Kepentingan Kroni AES

aes

KUALA LUMPUR, 27 DIS : Pengerusi Kempen Anti Saman Ekor (KASE) Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan tindakan Kabinet yang meneruskan proses pengeluaran saman AES meskipun Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menangguhkan prosiding mahkamah.

Menurutnya, tindakan ini dilihat sebagai usaha menjaga kepentingan kroni yang mempunyai pegangan di dalam syarikat konsesi yang mengendalikan sistem penguatkuasaan automatik (AES).

“Apakah kerajaan begitu bimbang menagguhkan operasi AES ini bagi menjaga kepentingan pihak tertentu.

“Apakah kerajaan ingin menjaga kepentingan Tan Sri Azman Yahya iaitu menganggotai beberapa GLC kerajaan termasuk Khazanah Nasional.

“Saya menyebut perkara berkenaan kerana ATES Sdn Bhd (sebuah syarikat yang mengendalikan AES), adalah dimiliki oleh satu syarikat yang bernama Angsana Tiara Sdn Bhd sebanyak 67.74 peratus.

“Angsana ini dimiliki oleh Tan Sri Azman Yahya sebanyak 66.60 peratus pemegang saham,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS.

Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Poko Sena, syarikat tersebut mempunyai kerugian terkumpul berjumlah RM 781 juta.

Mahfuz mendakwa pemberian kontrak AES adalah usaha membaik pulih syarikat tersebut.

Tegas Mahfuz, selepas prosiding mahkamah ditangguhkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepatutnya menghentikan pengeluaran saman baru AES dan memulangkan saman yang telah dibayar.

“Saya bersedia berdebat, dengan seorang bertaraf menteri tentang pelaksanaan AES,” cabar Mahfuz.

Semalam, dilaporkan bahawa Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha mengatakan saman AES akan tetap dikeluarkan walaupun prosiding mahkamah telah ditangguhkan.

Cho Ha turut mengakui saman AES bermasalah dari sudut perundangan dan kementeriannya sedang mencari jalan untuk menyelesaikan perkara itu.

Setakat ini hampir 300,000 saman telah dikeluarkan sejak AES mula dilaksanakan 23 September lalu.