Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Taman eko rimba dibuka esok, laluan pendakian HSK 9 Oktober

SHAH ALAM, 1 OKT: Sepuluh taman eko rimba di negeri ini akan dibuka mulai esok dan pengunjung perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Jabatan Perhutanan Negeri Selangor memaklumkan laluan pendakian dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) pula dibuka kepada orang ramai mulai 9 Oktober depan.

Menurutnya semua pengunjung dimohon mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara bagi sektor ekopelancongan sumber asli (Taman Eko Rimba dan Hutan Taman Negeri) bertarikh 17 September.

“Orang ramai yang ingin melakukan aktiviti pendakian perlu memohon permit memasuki hutan terlebih dahulu di pejabat hutan berkenaan.

“Pengunjung juga diminta membawa sampah keluar selepas aktiviti kerana perbuatan tersebut bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah menyebabkan konflik hidupan liar,” katanya di Facebook.

Taman eko rimba itu di Sungai Gabai, Gunung Nuang, Sungai Congkak, Sungai Tekala dan Kota Damansara.

Kanching, Komanwel, Templer, Sungai Tua dan Sungai Sendat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan PAKATAN prihatin kekalkan hutan simpan, buat penggantian serentak

SHAH ALAM, 24 SEPT: Kerajaan Negeri ditadbir Pakatan Harapan (PAKATAN) mengamalkan proses penggantian secara serentak bagi mana-mana kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang ingin dinyahwarta.

EXCO alam sekitar Hee Loy Sian berkata ia selaras dengan pindaan Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor (APN) 1985 yang telah dilaksanakan Kerajaan Negeri pada 2011 iaitu berkaitan keperluan penyiasatan awam bagi cadangan penyahwartaan HSK.

Menurutnya penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah bagaimanapun telah berlaku sebelum pindaan Enakmen APN 1985 iaitu pada 2006.

“Justeru, penggantian kawasan HSK secara serentak didapati tidak diamalkan oleh kerajaan negeri pada masa tersebut.

“Hal ini membukitkan dengan jelas bahawa Kerajaan Negeri Selangor pada masa kini adalah lebih prihatin dan komited dalam melindungi hutan simpanan kekal di samping meningkatkan peratus keluasannya dari masa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas isu projek pembangunan berhampiran Hutan Simpan Bukit Cherakah dan Hutan Komuniti Shah Alam (SACF) yang ditularkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar serta turut dilaporkan portal berita beberapa hari lalu.

Laporan berkenaan mendakwa satu lagi kawasan hutan di Selangor iaitu SAFC berdepan risiko pembangunan dengan draf rancangan tempatan terbaharu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menetapkan sebahagian SACF sebagai tanah perkuburan dan projek pembangunan bercampur.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Nyahwarta sejak 2006, Kerajaan Negeri pastikan pembangunan patuhi peraturan

SHAH ALAM, 24 SEPT: Projek pembangunan berhampiran Hutan Simpan Bukit Cherakah dan Hutan Komuniti Shah Alam (SACF) berlaku di luar kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK), menurut EXCO alam sekitar.

Hee Loy Sian memaklumkan kawasan projek pembangunan jalan raya dan perumahan yang ditularkan adalah sebahagian daripada kawasan yang terlibat dengan penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah oleh kerajaan negeri terdahulu.

“Ianya telah dinyahwartakan bagi tujuan pemberimilikan pada 2006 melalui PW1443.

“Justeru, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) pada masa kini tidak lagi mempunyai bidang kuasa yang khusus dalam aspek pengurusan dan pembangunan di kawasan tersebut kerana ianya bukan berstatus tanah HSK,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata kawasan HSK yang terhampir dengan pembangunan iaitu Hutan Simpan Bukit Cherakah dan Hutan Simpan Bukit Cherakah Tambahan telah diwartakan di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.

“Hutan Simpan Bukit Cherakah telah diwartakan sebagai HSK pada 1909 seluas 23,826 ekar. Ia mengalami beberapa kali penyahwartaan sejak 1976 bagi tujuan pembangunan seperti Bandar Puncak Alam, Alam Budiman, UiTM Puncak Alam, dan lain-lain.

“Kini, Hutan Simpan Bukit Cherakah yang masih kekal adalah seluas 3,208 ekar dan masih diuruskan JPNS sebagai kelas Hutan Perlindungan,” katanya.

Tambah beliau pada 2007, sebahagian daripada kawasan Hutan Simpan Bukit Cherakah yang telah dinyahwartakan tersebut telah diwartakan semula sebagai Hutan Simpan Bukit Cherakah Tambahan dengan keluasan 2,427.51 ekar.

“Kawasan hutan simpan ini juga dikenali sebagai Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) yang merupakan antara taman rekreasi awam utama di sekitar Shah Alam, Daerah Petaling.

“Pada dasarnya, dengan keluasan HSK sedia ada ini adalah masih mencukupi bagi tujuan riadah di kalangan masyarakat tempatan mahupun luar negara,” katanya.

Loy Sian berkata, Kerajaan Negeri pada masa kini akan memastikan segala aktiviti pembangunan di sekitar kawasan tersebut mematuhi prosedur dan peraturan yang berkuat kuasa pada masa kini.

“Antaranya adalah seperti keperluan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) di bawah Perintah Alam Sekeliling 2015 dan Kelulusan Merancang (KM) di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976,” katanya.

Terdahulu isu projek pembangunan berhampiran Hutan Simpan Bukit Cherakah dan SACF ditularkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar serta turut dilaporkan beberapa portal berita beberapa hari lalu.

 

Categories
SELANGOR

Selangor kedua terbaik pengekalan Hutan Simpanan Kekal

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 1 MAC: Selangor berjaya mencapai pengekalan Hutan Simpanan Kekal (HSK) kedua tertinggi, di Malaysia sepanjang tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kejayaan itu dicapai melalui Dasar Moratorium ke atas aktiviti pembalakan (pengeluaran) diamalkan Kerajaan Negeri, dalam kawasan HSK selama 25 tahun berkuat kuasa, pada 2010 hingga 2035.

“Sehingga 30 Jun 2017, keluasan HSK di Selangor adalah seluas lebih kurang 250,209 hektar dengan anggaran lebih kurang 31 peratus daripada keluasan negeri.

“Kerajaan Negeri komited meningkatkan jumlah keluasan HSK menjelang 2020 sehingga melebihi 250,500 hektar atau 31.6 peratus berbanding keluasan tanah Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), di Bilik MTES, di bangunan SUK, semalam.

Berdasarkan perkembangan positif itu, katanya, HSK perlu diuruskan secara mampan bagi menjamin kelestariannya yang berkekalan.

“HSK adalah aset dan khazanah yang bernilai kerana mampu menyumbangkan hasil dan faedah hutan secara berterusan kepada rakyat juga negeri,” katanya.

Untuk rekod, HSK meliputi Hutan Darat Asli, Hutan Paya Gambut dan Hutan Paya Laut.