Categories
NASIONAL SELANGOR

Yakin Dengan Prestasi Pakatan Rakyat Punca Pelabur Meningkat

SHAH ALAM 22 NOV : Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat (PR) menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan mencatatkan jumlah nilai pelaburan tertinggi iaitu sejumlah RM44.91 bilion sejak mentadbir empat tahun lalu.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok berkata, sejak Ogos 2012, Selangor mencatatkan 20 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan di seluruh negeri di Malaysia.

Katanya, sebanyak 1,338 projek perkilangan diluluskan dengan sebanyak RM20.85 bilion adalah daripada pelaburan tempatan dan sebanyak RM24.6 bilion daripada pelaburan asing.

“Selangor menduduki tangga teratas jumlah nilai pelaburan diikuti dengan Sarawak dengan RM40.65 bilion dan Pulau Pinang sebanyak RM35.38 bilion,” katanya ketika sesi perbahasan di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Sementara itu, prestasi sektor pelaburan bagi tahun 2012 mulai Januari sehingga Ogos menunjukkan sebanyak 170 projek perkilangan diluluskan di Selangor dengan nilai pelaburan bernilai RM6.9 bilion.

“Jumlah keseluruhan modal pelaburan yang diluluskan di Malaysia adalah sebanyak RM29.78 bilion dan sebanyak RM6.9 bilion iaitu 23.18 peratus daripada jumlah keseluruhan modal pelaburan yang diluluskan adalah di Selangor,” katanya yang merupakan Adun Kinrara.

Teresa berkata, sebanyak RM5.23 bilion adalah daripada pelabur tempatan dan sebanyak RM1.66 bilion daripada pelabur asing terutamanya Switzerland dan Singapura.

Katanya, industri pembuatan barangan kelengkapan kenderaan mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi iaitu RM2.76 bilion dengan 29 projek.

“Dari segi peluang pekerjaan, industri ini juga mencatatkan potensi peluang pekerjaan yang tinggi iaitu sebanyak 4,049 peluang pekerjaan diwujudkan diikuti industri pembuatan mesin dan peralatan iaitu sebanyak 1,600 peluang pekerjaan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, daerah Hulu Selangor mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi iaitu sebanyak RM2.12 bilion diikuti Petaling dengan sebanyak RM952 juta dan Klang sebanyak RM834 juta.

“Bagi tempoh Januari sehingga November 2012 sebanyak 119 projek diluluskan dengan nilai pelaburan berjumlah RM2.98 bilion.

“Sebanyak RM2.30 bilion daripada pelabur tempatan dan RM674 juta daripada pelabur asing dan sebanyak 11,118 peluang pekerjaan diwujudkan,” jelasnya.