Categories
SELANGOR

Bantuan IPR rentasi fahaman politik

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 OKT: Masyarakat di Dewan Undangan Negeri Permatang disaran tidak melepaskan peluang menyertai skim di bawah program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang dilancarkan Kerajaan Negeri tanpa mengira fahaman politik masing-masing.

Pegawai Pusat Khidmat Rakyat DUN Permatang, Rozana Zainal Abidin berkata, langkah menyertai skim itu memberi banyak kelebihan seperti dinikmati 424 penduduk di kawasan terbabit, baru-baru ini.

“Penduduk menerima banyak manfaat antaranya skim mikrokredit HIJRAH seramai 65 orang dengan lima daripadanya menerima pembiayaan RM50,000. Nilai keseluruhan penerima kali ini adalah RM684,000.

“Kita ada juga penerima bagi nelayan dan petani dalam pelbagai skim termasuk bentuk makanan iaitu food stamp, kad peduli sihat dan tidak ketinggalan sumbangan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor untuk ibu tunggal serta asnaf,” katanya kepada SelangorKini.

Rozana berkata, sumbangan itu diterima dalam satu program turun padang iaitu Majlis Menyemarak IPR dan Ramah Mesra Bersama Dato’ Menteri Besar, di Masjid Al-Munawarah, Sawah Sempadan, baru-baru ini.

Katanya, sumbangan itu diharap dapat membantu rakyat berhadapan tekanan kos sara hidup yang semakin melambung tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Apabila Kerajaan Negeri belanjakan hasil di jalan yang betul, jujur dan telus, maka duit cukup untuk dikongsikan dengan rakyat serta menyebabkan mereka ternanti-nanti apa lagi Kerajaan Negeri ingin tawarkan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

IPR berjaya, Kerajaan Negeri teruskan dalam Belanjawan 2018

OLEH HAFIZAN TAIB

BATU CAVES, 1 OKT: Kerajaan Negeri meneruskan program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dalam Belanjawan 2018 berikutan kejayaannya yang memberi manfaat kepada rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata keberkesanannya membuktikan dasar digariskan Kerajaan Negeri adalah tepat apabila hasil kekayaan negeri disalurkan kepada rakyat dalam bentuk program.

“Ia amat berjaya dan setakat ini kita ada 42 program IPR di mana Kerajaan Negeri telah membelanjakan lebih RM2 bilion yang diserahkan kepada rakyat.

“Oleh kerana keberkesanan program ini yang dapat memberdayakan rakyat maka ia akan diteruskan dalam Belanjawan 2018 akan datang,” katanya kepada media.

IPR 1Beliau berkata demikian selepas Majlis Menyemarakkan IPR dan Ramah Mesra Bersama Dato’ Menteri Besar di Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Mohamed Azmin menyampaikan sumbangan RM1.06 juta kepada 207 penerima iaitu peserta Hijrah Selangor, penerima FoodStamp dan yang lain.

Ia juga termasuk bantuan kepasa masjid, surau serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Turut hadir, Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Hasbullah Ridzwan dan ADN Hulu Kelang, Saari Sungib.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Selangor bayar RM211.8 juta kepada waris SMUE sehingga Julai

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 SEPT: Walaupun berhabis berbilion ringgit, namun kebajikan rakyat dalam pelbagai aspek kehidupan terus mendapat keutamaan Kerajaan Negeri termasuk ketika berhadapan dengan detik kehilangan orang tersayang.

Hal ini dapat dilihat apabila sehingga 31 Julai 2017, Kerajaan Negeri membelanjakan RM211,877,000 untuk khairat kematian kepada waris peserta Skim Mesra Usia Emas (SMUE) bagi membantu meringankan tanggungan perbelanjaan urusan pengkebumian dan urusan lain selepas kematian si mati.

Statistik terbaru dikeluarkan laman sesawang Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bagi program yang diperkenalkan selepas Pakatan menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri pada 2008 itu juga menunjukkan sebanyak 83,964 keluarga atau waris si mati telah menerima bayaran penuh berjumlah RM2,500.

http://ipr.selangor.gov.my/statistik-skim-mesra-usia-emas-sehingga-31072017/

SMUESementara itu seramai 1,749 waris lagi masih menunggu proses untuk bayaran kedua yang dijalankan dari semasa ke semasa.

Statistik itu juga menunjukkan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Julai Kerajaan Negeri membelanjakan RM18,100,000 bagi meringankan tanggungan waris si mati.

Categories
SELANGOR

Contohi IPR bukan cadang rakyat buat dua kerja

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 24 JUN: Kerajaan Persekutuan perlu mencontohi langkah Kerajaan Negeri yang memperkenalkan pelbagai program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bagi meringankan beban rakyat bukan mencadangkan mereka melakukan dua pekerjaan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, cadangan supaya rakyat Malaysia melakukan lebih dari satu pekerjaan yang disokong Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan melalui ‘tweet’ beliau boleh meruntuhkan institusi keluarga.

“Jika bapa atau ibu terpaksa melakukan kerja kedua dan masa bersama anak semakin berkurangan, maka kemungkinan hubungan kekeluargaan akan menjadi renggang.

“Akibatnya, anak akan kurang menerima kasih sayang dan perhatian sewajarnya daripada ibu bapa. Maka, anak akan menjadi lebih rapat dengan kawan atau pihak yang cuba mengambil kesempatan di atas kekosongan yang dirasakan mereka,” katanya.

iskandar01Katanya, tindakan ibu bapa yang terpaksa melakukan dua pekerjaan boleh mendorong anak memberontak untuk mendapatkan perhatian dan jika tidak dikawal ia dibimbangi boleh mewujudkan gejala sosial.

Beliau berkata, tindakan Kerajaan Persekutuan memperkenalkan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) menjadi punca utama peningkatan kos sara hidup selain kejatuhan nilai ringgit.

Antara usaha Kerajaan Selangor membantu rakyat adalah dengan mengecualikan cukai pintu untuk rumah kos rendah dan memperkenalkan skim rawatan kesihatan percuma Peduli Sihat.

Categories
NASIONAL

Inisiatif Peduli Rakyat bukti tawaran terbaik untuk rakyat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 MEI: Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang diperkenalkan kepada rakyat Selangor merupakan antara bukti pimpinan KEADILAN mampu untuk meneraju tampuk pemerintahan di Putrajaya.

Perwakilan KEADILAN Selangor, Nurainie Haziqah Shafi’i berkata, rakyat kini melihat apa yang mampu KEADILAN tawarkan sekiranya dipilih menjadi pemerintah.

“Kita perlu tekankan isu dan perkara yang mampu ditawarkan kepada rakyat Malaysia sekarang,” katanya.

Secara keseluruhan, lebih 17 program IPR ditawarkan kepada rakyat Selangor sejak PAKATAN memerintah pada 2008.

Jelasnya, Selangor perlu dipertahankan sebagai kubu kuat KEADILAN dan menjadi jambatan ke Putrajaya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Rakyat terus sokong Kerajaan Negeri

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 10 MEI: Rakyat menyambut baik dan berpuas hati terhadap pentadbiran integriti serta bertanggungjawab diamalkan Kerajaan Negeri diterajui Pakatan Harapan (PAKATAN) di Selangor.

Tinjauan dilakukan SelangorKini mendapati kebanyakannya memberi sokongan kepada PAKATAN dan berharap gabungan itu kekal mentadbir negeri ini, seterusnya mengambilalih pentadibran negara di Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Mazni Mat Dani, 44, berkata, sejak mengambilalih pentadbiran Kerajaan Negeri pada 2008, banyak pembaharuan dilakukan PAKATAN demi manfaat rakyat melalui pelbagai program bantuan.

“Pembaharuan dilaksanakan dengan mengutamakan kebajikan rakyat adalah baik selain pentadbiran penuh bertanggungjawab, maka diyakaini rakyat akan terus memberi sokongan

“Kerajaan Negeri harus mengekalkan prestasi sebegini bagi meraih kepercayaan rakyat dalam usaha memenangi PRU akan datang,” katanya kepada SelangorKini.

Screenshot_2017-05-10-17-19-06Sementara itu, K Ambasaran berkata, perkembangan positif di Selangor ketika ini membanggakan dan sokongan rakyat kepada PAKATAN dipercayai semakin bertambah.

Katanya, ia dapat dilihat menerusi sambutan menggalakkan terhadap program dijalankan seperti Karnival Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) di Kota Damansara, di sini.

“Dengan sambutan diberikan kepada Kerajaan Negeri seperti karnival ini, saya kira ia satu kejayaan dan memberi gambaran rakyat menyokong PAKATAN.

“Malah, pentadbiran Kerajaan Negeri yang cemerlang pasti menyakinkan rakyat untuk terus memberi sokongan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

38 program IPR demi kesejahteraan rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 10 MEI: Sebanyak 38 program dilaksanakan Kerajaan Selangor dalam usaha membantu rakyat menikmati hasil kekayaan negeri bersesuaian dengan agenda peduli rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran PAKATAN sejak 2008 memberi penekanan terhadap pembangunan dan kepentingan rakyat.

Justeru, katanya, pelbagai program dirancang saban tahun demi mencapai sasaran ditetapkan.

“Bermula pada 2008 dengan tujuh program, Kerajaan Negeri menambah sehingga 38 program yang dapat memberi manfaat kepada rakyat, maka tercetusnya nama baru iaitu Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Saya rasa bangga dengan pelaksanaan program ini yang membantu rakyat kerana sememangnya rakyat berhak berkongsi hasil kekayaan negeri,” katanya sempena Karinival IPR di Pasaraya Giant, Kota Damansara, di sini, hari ini.

KARNIVAL IPR 2017 (14)Beliau berkata, melalui amalan bertanggungjawab dan integriti, Kerajaan Negeri mampu meningkatkan hasil negeri dan mengukuhkan ekonomi hingga rizab mencecah lebih RM3.6 bilion.

Dalam karnival itu, Mohamed Azmin menyampaikan sumbangan dan bantuan IPR iaitu Skim Hijrah Selangor (RM2.6 juta), Program Bantuan Sekolah Agama Selangor (RM3.6 juta), Smart Selangor Food Stamp (RM5,000) Skim peduli Sihat (RM50,000), selain Program Khas Peduli Siswa dan Bantuan Warga Emas.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri, Dr Daroyah Alwi, Elizabeth Wong, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Amirudin Shari; Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa; Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian; Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain dan Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Kota Damansara, Radzlan Jalaluddin.

Program terbabit dianjurkan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor).

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

IPR bebas rakyat daripada belenggu kemiskinan

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA SELANGOR, 24 MAC: Kerajaan Selangor terus berikrar memelihara agenda sosial dan menjamin kebajikan rakyat secara berterusan di negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, usaha gigih itu dipersembahkan menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan sejak 2008.

Katanya, ia turut memperlihatkan kejayaan apabila Selangor terlepas daripada belenggu kemiskinan dan mencatatkan 0.2 peratus insiden kemiskinan berbanding Malaysia, pada kadar 0.6 peratus.

“Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap kualiti dan taraf hidup rakyat ekoran kos sara hidup meningkat memberi kesan kepada kehidupan seharian dan akhirnya rakyat menjadi mangsa.

“Maka, Kerajaan Negeri tampil dengan hasrat memberdaya rakyat demi memastikan pendapatan isi rumah dapat ditingkatkan serta keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya ketika Program Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) di Bukit Badong, di sini.

Mohamed Azmin berkata, kecemerlangan Selangor ketika ini menjadi tuntas menjamin perlindungan dan mensejahterakan rakyat.

CP2A0759-800x533Katanya, ia dizahirkan melalui Insiatif Peduli Rakyat (IPR) bagi menguatkan martabat status sosio ekonomi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Sehingga 21 Mac lalu, sebanyak 82,872 orang memohon untuk menjadi ahli Skim Peduli Sihat dan 77 peratus daripada pemohon diluluskan menjadi ahli aktif,” katanya.

Dalam majlis itu, seramai 300 peserta menerima pelbagai bantuan melalui IPR antaranya bantuan am, Food Stamp, insentif perkahwinan, bantuan petani, peduli sihat dan Hijrah.

IPR terus disemarakkan dengan program turun padang oleh Mohamed Azmin dan pimpinan Kerajaan Negeri selama dua hari ke Kuala Selangor.

-AA-