Categories
SELANGOR

Kejayaan Selangor model PAKATAN ke Putrajaya

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 7 DIS: Kejayaan pentadbiran Kerajaan Negeri diketuai Pakatan Harapan (PAKATAN) dengan agenda Inisiatif Peduli Rakyat (IPR), akan menjadi model terbaik untuk diangkat ke Putrajaya, selepas pillihan raya umum (PRU) nanti.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia terbukti menerusi pelbagai kejayaan ekonomi diraih Selangor, sekali gus menafikan dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa PAKATAN tidak bersedia mengambil alih pentadbiran negara.

“Kita berjaya melaksanakan banyak program IPR dan kejayaan ini yang ingin dibawa ke peringkat nasional supaya rakyat Malaysia yakin PAKATAN berkemampuan mentadbir negara dan mengurus ekonomi dengan lebih cekap juga berintegriti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Jelajah IPR, di kawasan Flat Sri Sementa, Jalan Kapar, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, PAKATAN menunjukkan contoh pentadbiran baik bagi mengagihkan hasil kekayaan secara adil kepada semua kaum dengan rakyat menikmati kehidupan lebih baik, sejak 2008 berbanding lebih 50 tahun di bawah Umno-BN.

“Kalau kita berjaya di Selangor dan sudah pun berjaya di Selangor, mudah untuk mentadbir di Putrajaya selepas PRU akan datang,” katanya sambil meminta rakyat tidak terpedaya dengan dakwaan Najib kononnya rakyat khususnya Melayu akan ‘menjadi bangsat’ tanpa Umno-BN.

Categories
NASIONAL

IPR berjaya, kini dicontohi Umno-BN

OLEH HAFIZAN TAIB

JOHOR, 27 NOV: Kejayaan program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dipraktikkan di Selangor, terbukti apabila dicontohi Kerajaan Persekutuan dan Negeri diterajui Umno-Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pihaknya mengalu-alukan langkah diambil itu demi kebaikan rakyat di seluruh negara.

“Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentang belanjawan Persekutuan untuk 2018, dia pun ikut apa dibuat Selangor.

“Untuk tabungan anak baru lahir, kita panggil TAWAS, Najib buat ADAM50, kita ada Selangor Brain Bank yang sudah tiga tahun, Najib baru buat MyBrain, kita ada Off River Storage (ORS) dan beliau juga ikut buat ORS.

“Kalau dia nak ikut Selangor, bagus tetapi lebih baik kita sahaja duduk di Putrajaya, selesai masalah,” katanya dalam ceramah umum Peduli Rakyat di Penggaram, Batu Pahat, di sini, semalam.

Ia adalah antara sesi program dalam Jelajah KEADILAN Peduli Rakyat dijalankan selama dua hari di Johor.

Mohamed Azmin membuat kenyataan sebegitu memberi gambaran betapa Umno-BN kini ketandusan idea sehingga terpaksa mencontohi program kebajikan dilaksanakan Pakatan Harapan (PAKATAN) di Selangor termasuk Pulau Pinang.

Bagaimanapun, katanya, perkembangan itu amat menggembirakannya dan ternyata IPR dengan 42 program dijayakan mendapat perhatian banyak pihak di negara ini.

“Program air percuma diberikan di Selangor dengan peruntukan RM180 juta setahun, kini dicontohi Kerajaan Kedah yang mengumumkan akan melaksanakannya, baru-baru ini.

“Alhamdulillah siapa nak ikut Selangor, ikutlah,” katanya.

Beliau seterusnya berkata, program turun padang ke Johor dijayakan KEADILAN, memberi peluang kepadanya menyantuni rakyat negeri itu dan memahami hasrat mereka yang mahukan perubahan dalam pemerintahan negeri dan negara.

“Daripada air muka rakyat Johor, saya melihat mereka sudah bersedia membuat perubahan besar dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

IPR terus disemarakkan di Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

HULU KELANG, 18 NOV: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berbesar hati meluangkan masa menyampaikan sumbangan dan Inistaitif Peduli Rakyat (IPR) pada Majlis Penyelesaian Hak Milik Strata Pangsapuri Keramat Permai AU 1B dan Program Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Acara dimulakan dengan penyerahan fail permulaan dan sijil kepada tujuh pengerusi badan pengurusan bersama (JMB) yang melibatkan 12 blok kediaman.

Kemudian beliau menyerahkan sumbangan masjid dan surau bagi kawasan Gombak berjumlah RM160,000 dan diikuti kawasan Hulu Kelang berjumlah RM320,000.

Turut menerima sumbangan adalah lima buah Sekolah Rendah Agama (SRA) dengan masing-masing mendapat bantuan komputer riba.

Tidak ketinggalan lapan orang penerima kad Peduli Sihat yang menawarkan pembiayaan pemeriksaan kesihatan bernilai RM500 setiap keluarga serta 12 peserta Porgram Pembiayaan Perniagaa Hijrah Selangor (HIJRAH).

=EZY=

Categories
NASIONAL

Selangor prihatin nasib wanita dalam IPR

OLEH HAFIZAN TAIB

CHEMOR, 18 NOV: Kerajaan Selangor menjayakan agenda Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dengan berkesan untuk manfaat rakyat tanpa meminggirkan kaum wanita.

Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin, berkata keprihatinan pentadbiran negeri diketuai Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali terhadap mereka terbukti melalui program khusus diwujudkan.

“Pentadbiran Kerajaan Selangor bukan setakat menjaga kebajikan rakyat secara keseluruhan tetapi juga prihatin terhadap nasib dan masa depan kaum wanita menerusi skim khusus dilaksanakan.

“Sekiranya rakyat Perak mahu menikmati kemudahan sama seperti apa diperoleh rakyat Selangor maka harus melakukan perubahan dalam pilihan raya umum nanti,” katanya dalam Majlis Kenduri Rakyat di Kampung Ulu Chemor, di sini, semalam.

Ia adalah sebahagian daripada program Inisiatif KEADILAN Peduli Rakyat diadakan di Perak.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, dengan hasil kekayaan dimiliki, Perak mampu melakukannnya seandainya perubahan pentadbiran berlaku di negeri berkenaan.

“Keprihatinan Selangor terhadap kaum wanita terbukti dengan pemberian kemudahan melalui program dijayakan,” katanya mengambil contoh program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang memperuntukkan bantuan RM2,400 setahun kepada golongan berkenaan.

=EZY=

Categories
SELANGOR

IPR: Dari 7 program, kini lebih 40

OLEH LIZAWATI MADFA

HULU SELANGOR, 17 NOV: Kerajaan Negeri berjaya menambah program kebajikan rakyat dari tujuh sahaja pada 2009, kepada lebih 40 program sehingga kini.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, pelaksanaan tujuh program pada awal pentadbiran Kerajaan Negeri itu selaras janji menjayakan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Katanya, antara program berkenaan termasuk pemberian air percuma, Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan hadiah masuk universiti dengan peruntukan sekitar RM150 juta setahun.

“Pada masa itu, pemimpin Barisan Nasional menjangkakan Kerajaan Negeri akan bankrap dan tidak akan mampu membangunkan Selangor.

“Namun, sebaliknya berlaku apabila kita menambah kepada lebih 40 program yang kini dijenamakan sebagai Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Malah, kita terus gah sebagai tiang seri ekonomi negara dengan sumbangan 1 per empat hasil Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Karnival IPR dan Sambutan Deepavali Hulu Selangor 2017, di Tapak Pasar Malam Bukit Sentosa, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan lebih RM600 juta setahun bagi menyemarak program IPR.

“Inilah bukti kita tidak boleh duduk diam, sebaliknya terus berlumba melakukan kebaikan kepada rakyat selaras konsep fastabiqul khairat,” katanya.

Setakat Disember 2016, sejumlah RM1.9 bilion hasil kekayaan negeri diagihkan kepada 5.9 juta rakyat.

Selain itu, kira-kira 1.3 juta purata pengguna turut menerima 20 meter padu air percuma setiap tahun.

Categories
SELANGOR

Karnival IPR: 154 terima bantuan lebih RM700,000

OLEH LIZAWATI MADFA

HULU SELANGOR, 17 NOV: Seramai 154 individu menerima bantuan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bernilai RM742,300 merangkumi lima program dan skim, sempena penganjuran karnival IPR, hari ini.

Ia termasuk 68 penerima baucar Hijrah Selangor bernilai RM675,000, enam penerima Insentif Perkahwinan Belia (RM3,000), tujuh penerima Tabung Warisan Anak Selangor (RM10,500), 52 penerima (termasuk 40 Orang Kelainan Upaya) bagi Skim Peduli Sihat RM12,800 dan empat penerima Food Stamp (RM250).

Turut menerima bantuan, 10 komuniti India bagi sumbangan Deepavali dan 10 asnaf masing-masing berjumlah RM500 serta penyerahan ‘food truck’ kepada usahawan Hijrah bernilai RM40,000.

Majlis disempurnakan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan & Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari mewakili Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Sementara majlis penyampaian dan penyerahan diiringi Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang) dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Azman Dahlan.

Karnival siri ketiga itu turut menyaksikan lebih 2,000 membanjiri Tapak Pasar Malam Bukit Sentosa yang juga meraikan sambutan Deepavali Hulu Selangor 2017, di sini.

Ia merupakan anjuran bersama Kerajaan Negeri, Perangsang, Yayasan Hijrah Selangor dan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor.

Categories
SELANGOR

Sasar RM2.55 bilion, dapat RM2.95 bilion

OLEH LIZAWATI MADFA

HULU SELANGOR, 17 NOV: Selangor berjaya mencatatkan pendapatan negeri berjumlah RM2.95 bilion, sekali gus melebihi sasaran RM2.55 bilion, tahun ini.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, hasil dicatatkan setakat 15 November lalu dilihat cukup memberansangkan bagi Kerajaan Negeri.

Katanya, pencapaian itu dilaporkan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noordin Sulaiman ketika Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) terbaharu.

“Kerajaan Negeri sentiasa mencatatkan hasil melebihi sasaran dan sangat berbeza dengan Kerajaan Persekutuan.

“Dalam tempoh empat hingga lima tahun kebelakangan ini, Kerajaan Persekutuan gagal mencapai sasaran dan sekadar mencatat defisit, hasil pelaburan besar dalam pengurusan dan tidak kepada pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Karnival Inisiatif Peduli Rakyat dan Sambutan Deepavali Hulu Selangor 2017, di Tapak Pasar Malam, Bukit Sentosa, di sini, hari ini.

Untuk rekod, Belanjawan Selangor 2018 sekali lagi mencatatkan lebih 53 peratus belanja pembangunan iaitu RM1.66 bilion dan selebihnya belanja pengurusan iaitu RM1.46 bilion.

Ia sangat berbeza dengan formula Bajet 2018 dibentangkan Perdana Menteri yang memperuntukkan RM234.25 bilion bagi perbelanjaan mengurus, manakala selebihnya iaitu RM46 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA SELANGOR

Jamin kesejahteraan, IPR tingkat ekonomi rakyat Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

Pentadbiran Pakatan sejak 2008 memberi penekanan terhadap aspek kebajikan rakyat tanpa mengambil kira sebarang perbezaan sentimen politik, agama dan bangsa.

Iltizam itu dilaksanakan penuh konsisten bagi memastikan rakyat dapat menikmati hasil kekayaan negeri bersesuaian dengan agenda peduli rakyat yang diumumkan, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Justeru, bagi merealisasikan hasrat itu, Dato Menteri Besar memperkenalkan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) meliputi keperluan seluruh rakyat.

“Bermula pada 2008 dengan tujuh program, Kerajaan Negeri menambah sehingga 38 program yang dapat memberi manfaat kepada rakyat, maka tercetusnya nama baru iaitu Inisiatif Peduli Rakyat.

“Saya rasa bangga dengan pelaksanaan program ini yang membantu rakyat kerana sememangnya rakyat berhak berkongsi hasil kekayaan negeri,” katanya.

PENJENAMAAN IPR

Sebelumnya, prgoram yang dikenali sebagai Merakyat Ekonomi Selangor (MES) itu dijenamakan semula bagi mendukung hasrat pembangunan berkebajikan di Selangor.

Dimulakan dengan 7 agenda utama, ia kemudian ditambah dan meningkat dari semasa ke semasa melalui fasa demi fasa.

Visi dan Misi Kerajaan Negeri Selangor dalam program Inisiatif Peduli Rakyat adalah dengan mengutamakan kebajikan rakyat di samping kualiti hidup rakyat dipertingkatkan.

Malah, objektif utama dalam pentadbiran baharu adalah untuk memastikan Selangor menjadi negeri idaman dengan kemajuan dikekalkan dan kebajikan rakyat diutamakan.

Di samping itu, peningkatan kualiti hidup rakyat dijamin dapat dipertingkatkan, agar rakyat dapat menikmati hidup yang lebih sejahtera di negeri ini.

KESEIMBANGAN PEMBANGUNAN IPR

Kejayaan Selangor maju perlu diterjemahkan dengan erti kata sebenar agar rakyat menerima limpahan kekayaan Selangor yang melimpah ruah.

Bagaimanapun, keberkesanan pelbagai program di bawah inisiatif IPR juga mampu mewujudkan keseimbangan dalam semua aspek pembangunan seimbang dan spiritual.

Ia turut diakui Mohamed Azmin yang merujuk dasar digariskan Kerajaan Negeri adalah tepat apabila hasil kekayaan negeri disalurkan kepada rakyat dalam bentuk program berkebajikan kepada rakyaat.

“Ia amat berjaya dan setakat ini Kerajaan Negeri telah membelanjakan lebih RM2 bilion yang diserahkan kepada rakyat.

“Oleh kerana keberkesanan program ini yang dapat memberdayakan rakyat maka ia akan diteruskan dalam Belanjawan 2018 akan datang.

“Saya ingin menegaskan bahawa inisiatif Peduli Rakyat adalah teras utama pembangunan Negeri Selangor. Pembangunan yang berkualiti adalah teras peduli rakyat.

“Pembangunan yang tidak peduli rakyat adalah pembangunan yang tempang. Justeru itu, kita perlu menggembeleng segala tenaga dan sumber untuk sama-sama Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri,” katanya.

BASMI KEMISKINAN RAKYAT

Lebih membanggakan, laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2016 mendedahkan insiden kemiskinan Selangor berkurangan kepada kosong peratus pada 2016, berbanding 0.2 peratus pada 2014.

Keberkesanan itu menyaksikan kejayaan program Inisiatif Peduli Rakyat dapat membasmi kemiskinan dan masalah kesenjangan pendapatan antara bandar dan luar bandar.

Keberkesanan pelaksanaan inisiatif itu juga turut dipuji Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dr Shaharuddin Badaruddin yang menyifatkan pelaksanaannya sejajar dengan kemajuan ekonomi pembangungan negeri terkaya itu.

“Ini merupakan satu contoh pengorbanan dibuat di mana Kerajaan Negeri tidak menyimpan duit itu tetapi kembalikan terus kepada rakyat dengan program biasiswa, Bas Smart Selangor, Peduli Sihat, Hijrah dan lain-lain,” katanya.

Jelas Pengarah Institut Darul Ehsan (IDE) itu, pengorbanan wang ringgit dalam program seperti IPR seperti ini jelas untuk membantu rakyat semata-mata walaupun tidak memberikan pulangan keuntungan wang ringgit seperti mana dalam konteks perniagaan atau pelaburan.

Kata penganalisis politik terkenal itu lagi, pentadbiran Kerajaan Negeri turut diberikan kestabilan politik dan mampu menjalankan urusan pentadbiran dengan licin dan berkesan untuk rakyatnya.

Justeru, keyakinan rakyat terhadap pelaksanaan dasar itu mewujudkan keberkesanan positif yang secara langsung dapat memberi manfaat berterusan kepada masyarakat Selangor.

Inisiatif itu wajar dipuji dan dincontohi pentadbiran di peringkat kerajaan bagi memastikan kesejahteraan dan peningkatan ekonomi rakyat dapat dipulihkan.

Categories
EKONOMI SELANGOR

IPR lonjak pendapatan isi rumah di Selangor

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 27 OKT: Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri berjaya meningkatkan pendapatan isi rumah, sekali gus mengikis jurang pendapatan dalam kalangan rakyat.

Dekan Selangor Business School, Prof Dr Mohd Faiz Abdullah berkata, hal itu terbukti apabila pendapatan isi rumah dalam kalangan rakyat, di Selangor mencatatkan pertumbukan positif dan berkembang lebih cepat berbanding di peringkat nasional.

Katanya, Kaum Cina mencatatkan pendapatan isi rumah tertinggi iaitu RM9,290, pada 2016 berbanding RM8,033, pada 2014 diikuti kaum Melayu yang meningkat dari RM5,776 hingga RM6,784 serta kaum India, dari RM5,215 hingga RM6,457.

“Manakala pertambahan pendapatan isi rumah di peringkat nasional untuk kaum Melayu ialah RM4,214 kepada RM4,846, RM5,708 hingga RM6,582 (Cina) dan RM4,627 kepada RM5,428 (India).

“Pendapatan isi rumah keluarga untuk mereka yang menetap di bandar meningkat dari RM6,484 kepada RM7,443, manakala bagi keluarga di luar bandar meningkat dari RM4,003 kepada RM5,119,” katanya yang merujuk kepada statistik dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika forum “Selangor Synergies 1: Economic Outlook for 2018”, di The Saujana Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

IPR diperkenalkan bagi menampung kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat dalam suasana ekonomi yang semakin lembab, hari ini.

Pada 10 Oktober lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan purata pendapatan isi rumah di luar bandar Selangor menunjukkan peningkatan mendadak menerusi kadar pertumbuhan 12.3 peratus dalam tempoh dua tahun sehingga 2016.

Sementara itu, purata pendapatan isi rumah di bandar pula bertumbuh 6.9 peratus setahun.

Untuk keseluruhan, purata pendapatan di Selangor mencatat pertumbuhan 7.5 peratus setahun dari RM6,214, pada 2014 kepada RM7,225, pada 2016.

 

 

Categories
SELANGOR

RM2.6 bilion di Selangor untuk seluruh rakyat, bukan ‘makan seorang’

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 22 OKT: Sehingga 31 Julai 2017, Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM2.6 bilion yang diagihkan kepada seluruh rakyat negeri itu yang menyertai 47 skim di dalam program Inisitif Peduli Rakyat (IPR).

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, isu membolot RM2.6 bilion untuk diri sendiri sama sekali tidak berlaku di Selangor.

“Kalau kita lihat ada 47 program IPR di mana sehingga 31 Julai 2017 lebih RM2.6 bilion dibelanjakan Kerajaan Negeri untuk rakyat seluruh Selangor yang memerlukan di mana RM2.6 bilion itu bukan hanya untuk seorang tetapi untuk seluruh rakyat negeri Selangor.

“Ini adalah jumlah yang cukup besar tetapi saya dapati misalnya dalam program Perkahwinan Perdana di mana ada lagi pasangan yang tidak tahu inisiatif perkahwinan untuk belia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) Daerah Kuala Selangor dan Penyampaian Anugerah Kampung Tradisi Terbaik dan Inovasi Desa Terbaik Negeri Selangor 2017 di Masjid Darussalam, Kampung Bukit Kuching Jeram di sini, malam tadi.

Katanya, Kerajaan Negeri terus berusaha menyampaikan maklumat mengenai inisiatif ditawarkan Kerajaan Negeri kepada rakyat khususnya di desa-desa termasuk melalui program Karnival Kampungku Kesayangan (3K).

Katanya, sebelum ini beliau mendapati sebahagian masyarakat di luar bandar masih tidak menyertai program IPR ekoran kurang mendapat maklumat berhubung skim itu.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan 2018: IPR ditambah baik, diperkemas demi rakyat

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Belanjawan Selangor 2018 bakal memberi tumpuan untuk menambah baik dan memperkemas lebih 40 program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia bagi memaksimumkan kesan program berkenaan kepada kumpulan sasaran terutama untuk mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Katanya, Kerajaan Negeri mahu memastikan rakyat diperkasa menerusi IPR bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat dalam suasana lembab ekonomi.

“Kita percaya program IPR dan pengagihan adil diamalkan Kerajaan Negeri mampu memberikan kesan cukup positif kepada semua rakyat.

“Lebih penting, kita mahu mengangkat martabat rakyat dan melebarkan kumpulan kelas menengah dalam kalangan rakyat Selangor,” katanya.

Beliau diminta mengulas Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2016 yang mendedahkan insiden kemiskinan Selangor berkurangan kepada kosong peratus pada 2016, berbanding 0.2 peratus pada 2014.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri akan terus berusaha meningkatkan kualiti hidup rakyat selaras dengan titah DYMM Sultan Selangor.

“Saya juga sudah menyembah maklum laporan Jabatan Perangkaan Malaysia itu kepada Sultan Selangor.

“Kita sudah melihat kejayaan seperti dilaporkan dan Belanjawan Selangor 2018 akan fokus kepada usaha menambah baik semua program untuk manfat langsung kepada rakyat,” katanya.

Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan purata pendapatan isi rumah di luar bandar Selangor menunjukkan peningkatan mendadak menerusi kadar pertumbuhan sebanyak 12.3 peratus dalam tempoh dua tahun sehingga 2016.

Sementara itu, purata pendapatan isi rumah di bandar pula bertumbuh 6.9 peratus setahun.

Untuk keseluruhan, purata pendapatan di Selangor mencatat pertumbuhan 7.5 peratus setahun daripada RM6,214 pada 2014 kepada RM7,225 pada 2016.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor bebas insiden kemiskinan, Program IPR berjaya

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 OKT: Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2016 mendedahkan insiden kemiskinan Selangor berkurangan kepada kosong peratus pada 2016, berbanding 0.2 peratus pada 2014.

Pengarah Komunikasi Strategik, Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong berkata, ia merupakan pencapaian terbesar Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan pimpinannya dalam menyemarak program Inisiatif Peduli Rakyat.

Katanya, ia sekaligus membuktikan kejayaan Kerajaan Negeri membasmi kemiskinan dan masalah kesenjangan pendapatan antara bandar dan luar bandar.

“Selangor membuktikan masalah ketidakseimbangan pendapatan antara bandar dan luar bandar, isu yang membelenggu kebanyakan masyarakat boleh diatasi dengan dasar berteraskan rakyat.

“Dato’ Seri Mohamed Azmin secara konsisten turun padang setiap minggu melawat luar bandar di Selangor untuk penyampaian program IPR kepada rakyat dan statistik rasmi menunjukkan usaha ini membuahkan hasil,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan purata pendapatan isi rumah di luar bandar menunjukkan peningkatan mendadak menerusi kadar pertumbuhan sebanyak 12.3 peratus dalam tempoh dua tahun sehingga 2016.

Sementara itu, purata pendapatan isi rumah di bandar bertumbuh 6.9 peratus setahun.

Untuk keseluruhan negeri, purata pendapatan di Selangor mencatat pertumbuhan 7.5 peratus setahun daripada RM6,214 pada 2014 kepada RM7,225 pada 2016.

Shao Loong berkata, ketidakseimbangan seperti ditetapkan pekali Gini, menunjukkan peningkatan pendapatan paling baik adalah luar bandar Selangor, yang mana meningkatkan keseimbangan pendapatan bagi keseluruhan negeri.

Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia

“Angka terbaru juga menunjukkan Negeri Selangor adalah penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Diambil bersama data minggu ini, kita sekarang dapat melihat bahawa lebih besar kemakmuran dan kesaksamaan hadir dengan produktiviti lebih baik,” katanya.

=EZY=