Categories
AGENDA NASIONAL

Ahmad Maslan mengaku tidak bersalah gagal isytihar terima RM2 juta kepada LHDN

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi hari ini atas dua pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahmad, 55, pertama kali membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh selepas mahkamah membenarkan permohonannya untuk memindahkan kes berkenaan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 13 Julai lepas.

Ketika ditanya sama ada beliau faham kedua-dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya, Ahmad menjawab, “Faham, saya mengaku tidak bersalah”.

Mahkamah juga membenarkan jaminan RM500,000 yang dikenakan di Mahkamah Sesyen ketika beliau didakwa kali pertama pada 21 Jan 2020 dikekalkan dan menetapkan 29 Sept ini untuk pengurusan kes.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil 10 orang saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan yang akan bermula tahun depan.

Tarikh perbicaraan sebelum ini ditetapkan selama 23 hari bermula 7 hingga 9 Jun dan 13-15 Jun, 18-21 Julai dan 25-28 Julai serta 15-19 Ogos serta 22- 25 Ogos 2022 dan tarikh itu dipersetujui peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar di dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan dengan tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada Najib berjumlah RM2 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov, 2013, dan cek itu ditunaikannya sendiri pada hari sama.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 April 2014.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ahmad juga dituduh memberi penyataan palsu semasa percakapannya dirakam mengikut Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram oleh pegawai penyiasat SPRM di bilik sidang media, Bangunan Parlimen antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor wajibkan MB, EXCO isytihar harta

SHAH ALAM, 11 NOV: Dato’ Menteri Besar dan EXCO Selangor diwajibkan mengisytiharkan harta masing-masing bagi memastikan integriti dan akauntabiliti dijunjung sekali gus semua komponen Kerajaan Negeri mengamalkan budaya kerja yang bersih, telus serta kompeten.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri juga menerima cadangan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya Ahli Dewan Negeri (ADN) turut mengisytiharkan harta masing-masing.

“Ini dapat dilihat melalui kolaborasi bersama SPRM melalui penandatanganan Ikrar Bebas Rasuah melibatkan semua Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam yang diadakan pada 19 Ogos 2019 lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri berpendapat cadangan terbabit adalah praktikal untuk dilaksanakan sekiranya ada keperluan.

Katanya, Kerajaan Negeri juga mengambil kira sebahagian besar ADN tidak terlibat dalam kuasa eksekutif.

“Maka cadangan ini akan terus diteliti dan dilaksanakan berdasarkan aspek praktikal dan kesesuaian supaya pelaksanaannya bersifat holistik,” katanya.

Categories
SELANGOR

Isytihar harta: Hadi ‘jatuh cinta’ dengan Najib

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 JUL: “Dia u-turn sebab dia ‘jatuh cinta’ sama (Datuk Seri) Najib (Razak),” kata Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN), Dr Siti Mariah Mahmud mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam isu pengisytiharkan harta.

Abdul Hadi dalam laporan sebuah portal sebelum ini menyifatkan isytihar harta sebagai konsep ataupun idea komunis dan sosialis.

“Saya tidak setuju kenyataan beliau (Abdul Hadi) sebab dulu kami pernah bersama-sama dalam satu parti dan dia setuju jika harta diisytiharkan.

“Macam mana pula dia u-turn? Itu tidak betul, jadi saya sanggah. Sekarang apa yang Najib cakap dan buat, semua okay. Dulu dia tak suka Najib,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Dr Mariah berkata, pengisytiharan adalah penting bagi menjamin ketelusan seseorang ahli politik khususnya.

“Kita perlu ada perubahan, tidak boleh statik sahaja. Saya sebagai EXCO Selangor juga kena buat begitu (pengisytiharan).

“Esok lusa jika ada peningkatan aset yang mendadak orang akan tanya dari mana datag sumber itu? Ini penting untuk ketelusan. Jadi apa masalahnya?,” soalnya.

Terdahulu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua anggota Parlimen, termasuk pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Isytihar harta: Selangor sudah lama praktik

OLEH NAZLI IBRAHIM

SELAYANG, 7 JUL: Amalan mewajibkan pimpinan mengisytiharkan harta sudah lama dipraktikkan oleh pentadbiran Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, amalan mengisytihar harta mencerminkan kebertanggunjawaban pemimpin selain rakyat mempunyai hak untuk melihat sejauh mana kejujuran pemimpin apabila diberikan amanah dan kuasa.

Amirudin turut menyangkal dakwaan kononnya ia amalan bertentangan dengan ajaran Islam.

“Inilah konsep yang saya percaya sangat rapat, sangat dekat dengan pentadbiran dan ketulusan kerana Islam menjamin hak untuk rakyat mengetahui dan melihat pemimpin itu adakah menjalankan amanah dan melaksanakan tugas dengan baik ataupun mengambil kesempatan daripada peluang yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri Taman Templer dan Parlimen Selayang di Dataran Ilmu, Selayang Baru di sini, malam tadi.

Amirudin turut memetik kisah ketelusan kerajaan di bawah pentadbiran Saidina Umar Al Khattab apabila menguruskan harta rampasan perang.

“Saya telah menukilkan bagaimana kisah Saidina Umar Al Khattab yang ditanya tentang jubahnya sedikit panjang daripada selayaknya yang diperolehi sewaktu menyampaikan khutbah kerana kain yang mereka perolehi hasil daripada rampasan perang sepatutnya tidak panjang sedemikian rupa.

“Inilah bagaimana sikap Umar tidak marah, sebaliknya beliau menjelaskan bahawa kainnya itu lebih kerana dia menggunakan kain yang dimiliki oleh anak beliau iaitu Abdullah Umar yang turut berperang dan mendapat harta rampasan perang,” katanya.

Amirudin berkata, pengisytiharan Umar itu membuktikan bahawa Islam menuntut supaya pemimpin bertanggungjawab mengisytiharkan harta supaya setanding dengan kelayakan atau kemampuan yang dimilikinya.

 

Categories
NASIONAL

Dewan Rakyat lulus usul wajib semua Anggota Parlimen isytihar harta

KUALA LUMPUR, 1 JUL: Usul mewajibkan semua Anggota Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing diluluskan sebulat suara pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong ketika menggulung usul itu berkata ia adalah usaha pertama kerajaan pimpinan Pakatan Harapan bagi memastikan prinsip akauntabiliti dan ketelusan diamal secara lebih menyeluruh selain bertujuan menangani rasuah.

“Pembanterasan rasuah adalah paling penting bagi kerajaan Pakatan Harapan… usul ini juga menjadi langkah pertama dalam menangani isu rasuah dan akauntabiliti.

“Langkah-langkah lain akan dilakukan pada masa (lain) sesi persidangan Dewan Rakyat,” katanya.

Menurut Liew, usul itu akan terpakai kepada semua Anggota Parlimen dan suami atau isteri masing-masing, anak mereka berumur 21 tahun ke bawah, dan pemegang amanah berkaitan.

Terdahulu semasa perbahasan, usul berkenaan rata-ratanya mendapat sokongan para anggota Parlimen kerajaan.

Antara mereka ialah Cha Kee Chin (PH-Rasah), yang berkata langkah mewajibkan pengisytiharan harta tidak akan menghalang Anggota Parlimen untuk menambah harta atau menjadi kaya jika terlibat dalam perniagaan.

“Yang penting, setiap harta yang kita peroleh melalui jalan sah dan tertakluk kepada pembayaran cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri yang akhirnya kerajaan mengutip hasil daripada pendapatan kita,” katanya.

Anggota Parlimen pembangkang termasuk Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) yang secara umumnya bersetuju dengan usul itu mahu cadangan dilakukan dengan lebih terperinci menerusi penggubalan rang undang-undang khusus atau meminda rang undang-undang sedia ada bagi memastikan pelaksanaannya mengikut landasan undang-undang. – BERNAMA

Categories
SELANGOR

Jika dasar Kerajaan Negeri, Adun BN sedia isytihar harta

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 11 MAC: Adun pembangkang sedia mengisytiharkan harta jika perkara itu menjadi dasar Kerajaan Selangor ke atas semua barisan adunnya.

Adun Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, jika ia bukan menjadi dasar Kerajaan Negeri, maka terpulang kepada individu itu untuk melakukannya atau tidak.

Datuk-Johan-Abd-Aziz“Ini soal dasar, adakah isytihar harta itu diwajibkan ke atas setiap adun di Selangor. Seandainya dasar, maka kami sebagai Adun Selangor akan isytiharkan harta.

“Jika tidak, ini soal pribadi, terpulang kepada adun untuk isytihar atau sebaliknya,” katanya kepada Selangor Kini.

Pengisytiharan harta dalam kalangan pemimpin mula menjadi hangat apabila Ketua Umno Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mencabar adun dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) mengisytihar harta mereka.

Sebaliknya, perkara itu sudah dilaksanakan kepimpinan PR Selangor sejak 2008 dan tidak menjadi masalah besar untuk melakukannya sekali lagi.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Exco Selangor sedia isytihar harta, pimpinan BN-Umno bila?

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 11 MAC: Exco Selangor bersedia mengisytihar harta mereka pada bila-bila masa seperti yang dilakukan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, semalam.

Mereka juga meminta kepimpinan Umno mencontohi Kerajaan Selangor yang sentiasa bersedia mengisytihar harta tanpa perlu melindungi sebarang bentuk kepentingan peribadi.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, pihaknya tiada masalah berhubung perkara itu, bahkan pernah dilakukannya sejak menggalas jawatan Exco, bermula 2008.

yb iskandar 1“Kami bersedia untuk itu. Malah ia sudah jadi polisi dalam kepimpinan Kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat (PR), Menteri Besar dan barisan Exco perlu isytihar harta yang dimulakan sejak 2008.

“Sebaliknya, mereka (Umno) yang perlu mulakan. Jangan suruh perkara yang mereka sendiri teragak-agak untuk lakukan kerana itu amat memalukan,” katanya kepada Selangor Kini.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, beliau berikrar akan memastikan seluruh barisan Exco negeri itu mengisytiharkan harta mereka seperti yang dilakukan Rafizi atas kapasiti individu.

“Ia akan dilaksanakan kerana sudah menjadi dasar kami sejak 2008,” katanya di Parlimen, semalam.

pc dr daroyah 2Beliau berkata demikian sebagai respon kepada cabaran Ketua Umno Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee supaya Adun dan Ahli Parlimen PR mengisytihar harta.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Kebajikan, Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, Umno perlu berasa malu kerana PR sudah lama melaksanakan pengisytiharaan harta.

“Ini adalah bukti Kerajaan Selangor telus. Sudah tentu kami sebagai Exco tiada masalah dan bersedia untuk itu seperti yang dicadangkan Dewan Negeri Selangor (DNS),” katanya.

-NFN-