Categories
AGENSI SELANGOR

Baca al-Quran setiap hari, rahsia pelajar cemerlang

SHAH ALAM, 20 NOV: Amalan membaca ayat suci al-Quran setiap hari antara kunci kejayaan Nor Syamimi Mohd Fuad, 6, yang diumumkan sebagai Murid Cemerlang Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) 2019 di negeri ini.

“Nor Syamimi merupakan anak sulung daripada tiga adik-beradik menjadi contoh kepada adiknya lain.

“Rezeki saya bila anak saya menerima anugerah ini, walaupun dia suka belajar saat-saat akhir tetapi kekuatannya adalah menghafal,” kata bapanya, Mohd Fuad Ibrahim, 39.

Berasal dari Klang, Mohd Fuad berkata, sebagai ayah, dia sentiasa mendoakan anaknya itu mendapat keputusan yang terbaik.

“Makanan sunnah juga tidak pernah tinggal, saya berikan kepada dia. Dia anak yang baik, solat dan mengaji memang dia tidak tinggal,” katanya.

Sementara itu, Nor Syamimi berkata, dia bertuah kerana bapa dan ibunya sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi.

“Saya terkejut bila cikgu telefon minta saya hadir untuk terima anugerah ini, memang terkejut dan tidak sangka.

“Saya sering mengulang kaji pelajaran dengan membuat nota ringkas dan peta minda,” kata pelajar yang sering mendapat tempat pertama di dalam kelas.

Pada sama sama, Anugerah Murid Cemerlang PSRA bagi kategori lelaki dimiliki oleh Muhammad Uwais AlQarni Fairus dari Gombak.

Uwais berkata, dia terharu dan tidak menyangka menerima keputusan yang baik, sekali gus mengangkatnya sebagai pelajar lelaki terbaik peringkat negeri.

“Apa yang boleh saya kongsikan, saya jarang menonton televisyen dan bermain telefon bimbit. Setiap hari saya akan belajar kira-kira sejam.

“Bapa saya banyak membantu dari segi latihan dan bahan bacaan,” katanya.

Pencapaian Peratus Kelulusan Keseluruhan bagi PSRA 2019 merosot 2.77 peratus dengan pencapaian 90.13 peratus berbanding 92.9 peratus tahun lalu.

Manakala, Anugerah Daerah Terbaik PSRA ialah daerah Sepang.

Categories
AGENSI SELANGOR

Soalan susah faktor keputusan PSRA merosot

SHAH ALAM, 20 NOV: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak menolak kemungkinan kemorosotan Pencapaian Peratus Kelulusan Keseluruhan bagi Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) 2019 adalah disebabkan soalan peperiksaan yang sukar.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad berkata, faktor soalan yang sukar bukan hanya pada PSRA, malah kertas peperiksaan diperingkat lain.

“Ia bukanlah kerana pelajar yang tidak menguasai subjek, tetapi standard soalan yang tinggi, sekali gus menyebabkan pelajar tidak memahaminya.

“Keputusan pada tahun ini berlaku penurunan, namun penurunan itu bukanlah pencapaian terendah untuk tempoh lima tahun terakhir pencapaian Peperiksaan PSRA selama ia dilaksanakan.

“Selangor masih berada dalam kerangka ‘cemerlang – 90 peratus’.Saya yakin dan percaya bahawa untuk mencapai kecemerlangan hari ini juga adalah hasil dari usaha gigih semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pengisytiharaan Keputusan PSRA Selangor 2019, di Masjid Negeri, di sini.

Mohd Shahzihan berharap, keputusan tahun ini tidak dinilai hanya pada gred yang diperolehi tetapi pelbagai aspek.

“Pihak Jabatan akan mengenal pasti punca penurunan seterusnya mengambil langkah yang sewajarnya bagi mempertingkatkan mutu pencapaian PSRA di masa akan datang,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Modul Pemberdayaan Bahasa Arab Dan Bahasa Inggeris dan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) akan menjadi sekolah rintis bagi menjayakan projek itu.

“Kita maklum bahawa Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris merupakan dua bahasa yang penting bagi seseorang yang ingin lebih jauh dalam menimba ilmu pengetahuan.

“Justeru itu jabatan melihat perlu adanya usaha bagi memberdayakan kedua- dua bahasa ini khususnya di sekolah,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pengurangan peruntukan JAIS tidak kecilkan jumlah guru

SHAH ALAM, 8 NOV: Pengurangan peruntukan kepada Jabatan Agama Islam (JAIS) sebanyak empat peratus tidak akan mengecilkan jumlah guru institusi agama tersebut kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari pada Sidang Dewan Negeri hari ini.

Menjawab pertanyaan Najwan Halimi (PAKATAN-Kota Anggerik), Amirudin berkata, pengurangan berkenaan selaras dengan dasar pengurusan Kerajaan Negeri daripada sudut urusan pentadbiran.

“JAIS masih mempunyai bilangan guru yang mencukupi untuk berkhidmat di sekolah.

“Penurunan yang dibangkitkan Kota Anggerik selaras dengan dasar kita kepada pengurangan empat peratus dalam sudut pengurusan, namun ia tidak membabitkan pengurangan bilangan guru sekolah JAIS dan kita masih mempunyai bilangan guru secukupnya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Mufti Kemboja: Pimpin hingga kami mampu berlari

PHNOM PENH, 30 OKT: Masyarakat Islam Kemboja menyifatkan kejayaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membawa sistem pendidikan Islam negeri sebagai detik yang penting.

Mufti Kemboja, Kamarudin Yusuf berkata, beliau berharap JAIS terus memimpin pendidikan Islam di Kemboja dengan memberikan bimbingan dan panduan sehingga sistem pendidikan Islam di Kemboja mantap.

“Sekarang kami di Kemboja diibaratkan baru belajar berjalan dengan tangan dipimpin, masih lemah dan saya harap Selangor terus pimpin tangan kami sehingga kami mampu berlari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengisytiharan Keputusan peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama Kemboja (PSRAK) 2019 dan Pelancaran Buku Teks Sirah Sumbangan PKNS di Masjid Ammar bin Yasir, KM9, Crang Comreh di sini, semalam.

Ketika ditemui Media Selangor, Kamarudin berkata, sistem diterapkan JAIS berjaya mengubah amalan lama sekolah agama di Kemboja.

Katanya, pendidikan agama di Kemboja sebelum ini tidak sistematik dengan menggunakan bahan rujukan tanpa penyelarasan betul mengikut tahap sepatutnya.

Kamarudin berkata, walaupun guru-guru di sekolah agama di Kemboja mempunyai pengetahuan agama Islam yang baik tetapi mereka tidak dibekalkan dengan ilmu perguruan.

Selain itu, sekolah agama di Kemboja turut tidak memeliki modul peperiksaan yang boleh dijadikan sebagai indikator mengukur tahap pencapaian pelajar.

“Dulu kami gunakan apa sahaja buku yang ada tanpa mengambil kira kesesuaian tahap pelajar tetapi Alhamdullilah sekarang kami ada modul yang boleh dijadikan panduan, guru-guru pula mendapat latihan perguruan dan dibantu menyiapkan modul PSRAK,” katanya.

PSRAK yang setaraf dengan peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama di Selangor diwujudkan oleh pasukan penyelidik JAIS dengan kerjasama Majlis Tertinggi Kepimpinan Islam Kemboja.

Pada majlis sama, Kamarudin mengumumkan keputusan PSRAK 2019 yang diadakan kali pertama dengan pencapaian kelulusan membanggakan.

“Pada tahun ini seramai 268 pelajar menduduki sesi pertama PSRAK dan pencapaian kelulusan keseluruhan peperiksaan 85.5 peratus dengan 29 calon memperolehi pangkat Mumtaz,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kerajaan Negeri dan Kemboja sokong usaha JAIS

PHNOM PENH, 29 OKT: Usaha Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membawa sistem pendidikan Islam ke Kemboja mendapat sokongan penuh kerajaan masing-masing.

Ketua Projek Pembangunan Islam Kemboja JAIS, Muhamad Asmadi Mustakim berkata, usaha dijalankan sejak 2012 itu turut mendapat sokongan dan kerjasama erat Mufti Kemboja melalui Majlis Pimpinan Tertinggi Islam Kemboja.

 

“Kita mulakan usaha ini sejak 2012 dengan melahirkan Perancangan Strategik 2013 hingga 2018 dan dilanjutkan lima tahun berikutnya sehingga 2022.

“Bagi tempoh tujuh tahun bermula 2013, hasil pencapaian kita membanggakan khususnya bantuan dari syarikat milik Kerajaan Negeri, Lembaga Zakat Selangor, Majlis Agama Islam Selangor dan Unit Pendidikan Islam Petaling.

“Kerajaan Kemboja yakin usaha dijalankan ini mampu meningkatkan taraf pendidikan masyarakat Islam negara itu khususnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada Program Lawatan Tangungjawab Sosial Koporat Delegasi Unit Pendidikan Islam Petaling Ke Sekolah Agama Kampung Kancong, Wilayah Kampung Chanang di sini, semalam.

Muhamad Asmadi berkata, antara usaha penting bagi menjayakan pemindahan sistem pendidikan itu adalah menghasilkan terjemahan buku teks sekolah agama JAIS dalam Bahasa Cham dan Khmer.

Katanya, sehingga kini sistem pendidikan dan buku teks itu digunakan di hampir 25 wilayah dan semakin berkembang ke seluruh Kemboja.

Selain menterjemahkan buku teks, JAIS turut menyediakan latihan kepada guru, panduan modul pembelajaran dan kaedah peperiksaan untuk pelajar di Kemboja.

Terdahulu, delegasi Unit Pendidikan Daerah Petaling melihat sendiri suasana pembelajaran membabitkan 350 pelajar di Sekolah Agama Kampung Kancong.

Sekolah berkenaan dijangka menjadi model kepada sekolah agama lain berikutan ia antara sekolah terawal menggunakan sistem pendidikan Islam JAIS sepenuhnya.

Mereka turut menyerahkan sumbangan set komputer lengkap bersama mesin pencetak dan naskhah Al-Quran kepada sekolah itu.

Categories
AGENSI SELANGOR

Ketirisan, salah guna kuasa MJSAA tidak tepat

SHAH ALAM, 24 SEPT: Ketirisan dan salah guna kuasa seperti diuar-uarkan berkenaan pengurusan Masjid Sultan Abdul Aziz, Jalan Templer, Petaling Jaya (MJSAA) adalah tidak tepat.

Unit Korporat, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam kenyataan memaklumkan, telahan dan kenyataan yang dilontarkan Pengerusi Gagasan Bertindak MJSAA bersifat tuduhan semata-mata.

Katanya, pihak pengurusan masjid sudah melantik firma juruaudit bertauliah untuk menyediakan penyata kewangan tahunan bagi masjid berkenaan.

“Penyata kewangan beraudit disediakan bagi tahun 2015, 2016 dan 2017 manakala, penyata kewangan bagi 2018 sedang diaudit oleh firma audit berkenaan.

“Semua isu penggantian dan baik pulih kelengkapan alat penghawa dingin serta pembesar suara sudah diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Tadbir,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya, proses perolehan masjid berkenaan dibuat secara sebut harga dan dinilai oleh jawatankuasa sebut harga.

Justeru, katanya, aspek ketelusan sangat dititik beratkan oleh pihak pengurusan MJSAA dalam membuat keputusan.

“Selepas dinaik taraf oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 1 Januari 2016, MJSAA ditadbir dengan menggunakan sistem Jawatankuasa Pengurusan Masjid diketuai seorang pengurus masjid bagi menggantikan Jawatankuasa Kariah Masjid yang dahulunya diketuai seorang Nazir.

“Sistem ini dilaksanakan oleh MAIS selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Oleh itu, masjid yang dinaik taraf menggunakan kaedah ini tidak perlu mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan sebagaimana sistem jawatankuasa masjid yang diketuai Nazir,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

JAIS rekod 2,399 permohonan sijil Halal sehingga Julai

SHAH ALAM, 27 OGOS: Sejumlah 2,399 permohonan sijil halal oleh syarikat bukan bumiputera direkodkan Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di negeri ini bermula Januari hingga Julai tahun ini.

Ketua Penolong Pengarah JAIS, Mahdi Al-Hilmy Arshad berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 67 peratus berbanding 1,654 permohonan diterima pada tempoh sama tahun lalu.

Katanya, kesemua pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang mendapat sijil berkenaan akan dipantau sekurang-kurangnya satu kali sepanjang tempoh permohonan bagi memastikan piawaian halal dipatuhi secara konsisten.

“Kami menjalankan proses audit di lapangan bertujuan mengesahkan pematuhan kepada standard serta manual prosedur pensijilan halal, selain menerima, memproses dan membuat semakan kepada permohonan halal.

“Hasil auditan akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengesahan Halal Negeri Selangor yang dianggotai badan berautoriti dan profesional untuk mendapatkan kelulusan,” katanya kepada SelangorKini.

Dalam perkembangan sama, Mahdi berkata, pengeluaran sijil dan logo halal yang seragam di seluruh negara antara kejayaan besar dicapai setakat ini bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Pengeluaran sijil halal membantu pengguna mengenalpasti produk halal, selamat dan berkualiti, sekali gus mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa penyelewengan serta penipuan pihak tidak bertanggungjawab.

“Malah, pensijilan halal di negara ini bukan hanya menekankan pematuhan hukum syarak, malahan menggungakan standard antarabangsa, khususnya daripada aspek keselamatan dan kebersihan makanan serta produk.

“Ini juga menjamin produk halal Malaysia benar-benar berkualiti bagi tujuan eksport,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

SIHC 2019: Kerjasama JAIS-HIS mampu tarik pelaburan industri Halal

AMPANG, 20 SEPT: Kolaborasi strategik antara Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Halal International Selangor (HIS) menerusi Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (SIHC) 2019 diyakini mampu menarik minat negara luar melabur di Selangor, terutama membabitkan industri halal.

Ketua Penolong Pengarah JAIS, Mahdi Al-Hilmy Arshad berkata, hampir 500 peserta terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri termasuk beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) akan dihimpunkan bagi menguatkuasakan perundangan berkaitan halal.

Katanya, beberapa badan pensijilan halal dari luar negara melalui Majlis Halal Malaysia seperti Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei turut dijemput untuk menjayakan konvensyen berkenaan.

“Ia menjadi satu anjakan paradigma kepada peserta melalui perkongsian percambahan maklumat pemantauan dan penguatkuasaan halal di Malaysia serta memantapkan kefahaman perundangan halal, seterusnya mencapai kehendak Akta Perihal Dagangan 2011.

“Kita akan mendapatkan beberapa resolusi menerusi persidangan itu nanti yang sekali gus menjadi penanda aras dan panduan terhadap tindakan serta gerak kerja dalam mengurus juga menguatkuasakan perundangan halal,” katanya dalam temubual eksklusif bersama SelangorKini pada seminar anjuran JAIS,di De Palma Hotel, di sini, baru-baru ini.

Mengetengahkan tema ‘Halal Untuk Semua’, konvensyen itu bakal diadakan pada 10 Oktober ini di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2019 di bawah kelolaan agensi penggerak pelaburan negeri, Invest Selangor Berhad.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan HIS, Mohd Hanafi Jamiat berkata, persidangan julung kali menggabungkan elemen daripada penguatkuasaan dan industri terbabit menampilkan kelainan dengan memberi fokus terhadap industri halal secara keseluruhan.

“Kita akan mengetengahkan elemen inovasi dan teknologi terkini, selain membincangkan secara lebih mendalam berkaitan strategi pemasaran dalam industri halal termasuk perkara dipraktikkan pemain industri yang sudah berjaya.

“Kita juga berkongsi inisiatif dibangunkan bersama pihak industri seperti Konsultansi Klinik Halal kepada peserta Penilaian Kesediaan Sijil (CRA) dan panel yang dipilih terdiri daripada pakar dalam bidang masing-masing,” katanya.

Sesi pertama persidangan yang dikendalikan JAIS akan memperincikan beberapa topik antaranya ‘Meneraju Mesra Halal: Halal Merentasi Sempadan’, ‘Premis Makanan: Dilema Penguatkuasa’ dan ‘Ayam Oh Ayam: Fiqh vs Law’.

Manakala, HIS mengupas topik ‘Redefining the Next Trillion Industry: Creating Effective Marketing Strategies for Halal Industries’ dan ‘Digitalising Islam Economy: Implementing Halal Blockchain and Traceability in Supply Chain’.

SIBS yang dijadual berlangsung selama empat hari merangkumi Selangor International Expo, Edisi ke-5 (10-13 Okt); Selangor ASEAN Business Conference, Edisi ke-3 2019 (10-11 Okt); Selangor Smart City and Digital Economy, Edisi ke-4 (11-13 Okt) dan Selangor R&D and Innovation Expo (10-13 Okt).

Serentak itu, sidang kemuncak memasuki edisi ketiga turut membawakan Malaysia International Tea & Coffee Expo (10th – 13th Okt 2019) Malaysia China Entrepreneur Conference, Edisi ke-9 (12th Okt 2019) Selangor International Halal Conference (10th Okt 2019).

Aktiviti disediakan termasuk ‘2nd Battle of Teh Tarik’ (12 Oktober) dan Selangor International Culinary Festival (10-13 Okt 2019).

Difahamkan, sebanyak 850 ruang pameran dari 40 negara bakal diketengahkan dan dijangka menerima kunjungan lebih 30,000 pelawat perdagangan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mohd Shahzihan Ahmad dilantik Pengarah JAIS

SHAH ALAM, 13 SEPT: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melantik Mohd Shahzihan Ahmad sebagai Sahibus Saadah Pengarah JAIS yang baharu berkuatkuasa 10 September lalu.

JAIS dalam kenyataan memaklumkan, Mohd Shahzihan adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Syariah Wal-Quran dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Beliau memulakan karier perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir Agama daerah di Pejabat Agama Islam Sepang pada 4 Disember 1994.

“Lebih 25 tahun berpengalaman bersama JAIS dan beliau sangat dekat dengan perundangan hal ehwal Islam serta penguatkuasaan undang-undang, selain pernah diberi kepercayaan mengetuai hampir keseluruhan bahagian di JAIS,” kata kenyataan itu.

Sehingga kini, beliau pernah dianugerahkan lima kali Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada 1998, 2000, 2005, 2007, 2015 dan terakhir dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Pengarah JAIS pada 2016.

Khidmat bakti beliau turut diiktiraf Kerajaan Negeri apabila dianugerahkan Pingat Pekerti Terpilih pada 2001 dan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor pada 2010 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pasangan kembar penyeri Aqdun Mubarak 2019

GOMBAK, 31 OGOS: Program Aqdun Mubarak Zon 1 berlangsung di Masjid Al-Hidayah Taman Melawati di sini, diserikan dengan penyertaan pasangan kembar, Zulfadhli dan Zulhazmi Kasim, 38.

Mereka berdua adalah antara 35 pasangan pengantin yang menyertai majlis pernikahan perdana dengan hanya membayar RM1,000.

Lebih menggembirakan, Zulfadhli yang memilih Ermeeza Esa, 39, turut memenangi hadiah cabutan bertuah berbentuk pakej umrah tajaan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd.

Ditemui SelangorKini, Zulfadhli berkata, beliau bersama adik kembarnya memang merancang untuk mendirikan rumah tangga bersama-sama.

“Syukur kepada Allah kerana memakbulkan impian saya dan adik yang memilih Siti Noor Syariza Yahya, 32, sebagai isteri.

“Rezeki saya menang pakej umrah dan Insya-Allah akan membawa isteri tercinta ke Tanah Suci bersama-sama nanti,” katanya.

Zulfadhli Kasim bersama pakej umrah dimenangi pada Program “Aqdun Mubarak 2019” Zon Petaling, Gombak, Hulu Selangor anjuran JAIS di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati Gombak pada 31 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau yang berasal dari Ipoh, Perak berkata, program dianjurkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) adalah inisiatif yang baik untuk memudahkan pasangan kurang berkemampuan untuk mendirikan rumah tangga.

“Saya menyambut baik program ini kerana dengan pembayaran RM1,000, pasangan boleh bernikah serta merangkumi majlis kenduri bersama keluarga.

“Ia detik manis buat kami, kebetulan jatuh pada tarikh sama bersempena sambutan kemerdekaan kali ke-62,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Aqdun Mubarak ceriakan sambutan kemerdekaan 35 pengantin

GOMBAK, 31 OGOS: Sambutan Kemerdekaan kali ke-62 menjadi detik penuh bermakna buat 35 pasangan pengantin baharu apabila selamat dinikahkan pada majlis Aqdun Mubarak di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati di sini, hari ini.

Dengan tema ‘Memeterai Kontrak Keberkatan Ilahi’, semua peserta Zon 1 itu terdiri daripada pasangan dari daerah Gombak, Petaling dan Hulu Selangor.

Majlis perasmian disempurnakan Pembantu EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang mewakili Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Mohd Zawawi dalam ucapannya berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memudahkan pasangan pengantin mendirikan rumah tangga.

Katanya, ia juga dapat menjauhkan diri daripada melakukan perkara bertentangan dengan ajaran Islam.

“Saya melihat program ini amat baik kerana dapat membantu dan memudahkan masyarakat yang kurang berkemampuan.

“Ini satu pendekatan teladan yang boleh mendidik masyarakat untuk melaksanakan konsep keutamaan dalam Islam sebenar,” katanya.

Mohs Zawawi Ahmad Mughni bersama 35 pasangan pengantin pada majlis Perasmian Program “Aqdun Mubarak 2019” Zon Petaling, Gombak, Hulu Selangor anjuran JAIS di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati Gombak pada 31 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Aqdun Mubarak anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama Masjid Al-Hidayah buat pertama kali tahun ini dan terbahagi kepada tiga zon.

Program sama akan dijalankan di dua zon lain iaitu di Masjid Puncak Alam dan Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya.

Setiap pasangan hanya perlu membayar RM1,000 untuk menyertai Aqdun Mubarak dengan syarat pasangan berpendapatan RM1,500 ke bawah.

Program ini turut mendidik masyarakat khususnya ibu bapa supaya memudahkan urusan perkahwinan anak mereka dengan menekankan konsep keutamaan dalam Islam.

Categories
SELANGOR

MB bangga JAIS terbit buku teks bahasa Kemboja

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 JUN: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berjaya menerbitkan tujuh buku teks miliknya menggunakan Bahasa Champa dan Khmer untuk kegunaan sekolah agama di Kemboja.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau berbangga dengan kesungguhan JAIS yang berusaha membangunkan sistem pendidikan Islam di negara itu sejak 2013.

“Tahniah kepada Bahagian Pendidikan Islam JAIS, dan sehingga kini Kerajaan Kemboja telah mengiktiraf dan membenarkan kurikulum kita diguna pakai di negara mereka.

“Semua usaha ini dijalankan secara sukarela tanpa peruntukan kerajaan. Semoga usaha murni ini terus dikekalkan demi syiar Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru dan Apresiasi Guru KAFA JAIS di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Operasinya, Salwana Ahmad Dahlan serta hampir 700 guru KAFA dari seluruh Selangor.

Pada majlis sama, seramai 320 guru Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018, 212 (Anugerah Jasamu Dikenang 2019 Khidmat 25 Tahun) dan 16 (Anugerah Persaraan 2019 Guru KAFA bersara 60 tahun).

Sementara 31 (Anugerah Persaraan 2019 Guru KAFA bersara 60 tahun), 29 (Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 Ketua Guru KAFA) dan 17 (Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 Murabbi Cemerlang).

JAIS turut mengiktiraf 10 sekolah cemerlang antaranya Sekolah Rendah Agama Pandamaran Klang, Tadika Islam Cahaya Murni Rawang dan Sekolah Menengah Tahfiz Harapan dan Maahad Ihya Al Ahmadi Banting.

Amirudin berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga mengiktiraf dan mengalu-alukan Selangor sebagai satu-satunya negeri di Malaysia yang menyediakan anugerah kepada guru KAFA berbanding negeri lain.

“Begitulah besarnya khidmat JAIS khususnya Bahagian Pendidikan Islam, setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan saya ucapkan kepada semua guru yang telah dipilih menerima anugerah sempena sambutan hari guru pada tahun ini.

“Saya berharap sambutan ini akan diteruskan di pelbagai peringkat sebagai bukti penghargaan kita kepada golongan yang berjasa ini.

“Semoga khidmat bakti para guru sekelian diberkati dan diberi ganjaran terbaik daripada ALLAH SWT,” katanya.