Jais gagalkan cubaan hidupkan Al Arqam

RAWANG, 2 NOV : Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melancarkan operasi serbuan di Bandar Perniagaan RSA Country Homes, Bandar Tasek Puteri di sini malam tadi bagi menggagalkan cubaan didakwa menghidupkan kembali pertubuhan Al Arqam yang diharamkan pada 1994.

Seramai kira-kira 20 hingga 30 orang ditahan Jais dalam serbuan dilakukan pada kira-kira jam 10.00 malam semalam diketuai Ketua Operasinya, Sahrom Maarof bersama anggota penguatkuasa Jais dan polis seramai 70 orang.

Sebuan dibuat berikutan dakwaan satu perhimpunan sambutan Ulangtahun Memperingati Hari Kelahiran bekas pemimpin tertinggi Al Arqam, Allahyarham Ashaari Muhammad anjuran Global Ikhwan Sdn Bhd (Global Ikhwan) di adakan di lokasi terbabit.

Di antara mereka ditahan bagi membantu siasatan pihak berkuasa tersebut ialah beberapa Ahli Lembaga Pengarah dan kaki tangan Global Ikhwan.

Berlaku sedikit kekecohan berikutan anggota penguatkuasa Jais cuba menahan seorang ahli Global Ikhwan dan merampas kameranya yang menyebabkan ramai turut campurtangan dalam insiden berkenaan.

Sementara itu, jurucakap Global Ikhwan, Sallehuddin Abu Bakar berkata, perhimpunan diadakan yang didakwa dihadiri kira-kira 5,000 orang itu adalah semata-mata memperingati hari kelahiran Ashaari atau lebih dikenali sebagai Abuya.

Beliau menjelaskan dakwaan bagi menghidupkan kembali Al Arqam yang diharamkan adalah tidak benar kerana perhimpunan diadakan adalah sekadar jamuan makan malam di kalangan ahli dan tetamu jemputan selain menggerakkan program pertubuhan tersebut.

Menurut Salehuddin, beliau pernah bersama Ashaari ketika bekas ketuanya menyatakan tidak akan menghidupkan kembali Al Arqam biarpun sekiranya diminta berbuat demikian.

 

Categories
SELANGOR

Diskusi Khas Bagi Tingkatkan Ilmu Muslimat

SHAH ALAM, 4 OGOS : Selaras dengan hasrat Kerajaan Selangor untuk memartabatkan peranan wanita, sebanyak 37 masjid dan surau dari sembilan daerah di negeri ini dikenalpasti untuk menjayakan Program Diskusi Khas Muslimat Sempena Ramadan.

Program yang dianjurkan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu bertujuan
meningkatkan ilmu wanita, khususnya bagi mereka yang bertadarus secara berkumpulan di masjid dan surau.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, program itu merangkumi sebahagian daripada usaha pemberdayaan wanita Selangor dalam bidang sosial, budaya dan agama yang menjadi teras kehidupan rakyat.

Menurutnya, program yang julung kali diadakan ini merangkumi pelbagai aktiviti, antaranya tadarus, zikir dan ceramah ramdan.

“Dalam konteks bidang agama, amatlah sesuai kerjasama bersama Jais dilakukan secara berterusan agar usaha memantapkan aqidah di kalangan wanita dapat dikekalkan.

“Fahaman itu seterusnya dapat kita terapkan kepada masyarakat bukan Islam terhadap sensitiviti masyarakat Muslim dan begitulah sebaliknya,” katanya semasa merasmikan program itu di Masjid Negeri, pagi tadi.

Program itu dihadiri kira-kira 200 orang dengan disertai beberapa tetamu jemputan antaranya, Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Anhar Opir serta pendakwa bebas terkemuka, Datuk Siri Nur Bahyah Mahamood.

Categories
SELANGOR

Lagi Maahad Tahfiz Dapat Biasiswa Lebih RM 100,000 Dari Yayasan Selangor

KLANG 19 JUL : Keprihatinan Kerajaan Negeri melalui Yayasan Selangor memberi biasiswa kepada maahad tahfiz membuka lembaran baru dalam arena pendidikan yang sebelum ini seolah-olah menganak-tirikan golongan pelajar tersebut.

Terbaru, Yayasan Selangor menyumbang biasiswa sebanyak RM 116,900 kepada 170 pelajar tingkatan tiga dan empat Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITS) di sini malam tadi.

“Sumbangan sebegini bukan sahaja dapat meringankan beban ibu bapa kami tetapi juga memberi semangat kepada kami untuk terus belajar dan cemerlang dalam pelajaran.

“Pemberian biasiswa ini juga sama seperti amanah yang harus dijaga dengan baik dan tidak boleh dipersiakan,” jelas Shahrul Hanif Fadli16, yang memperolehi keputusan cemerlang 9A dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.

Sumbangan berupa cek itu disampaikan Exco Pendidikan, Dr. Halimah Ali pada satu majlis di Pusat Sumber Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Yayasan Selangor turut menyumbang RM 2,000 tambahan kepada MITS bagi aktiviti pelajar.

Pengetua MITS, Syeihkul Maqari Othman Hamzah dalam ucapannya berkata sumbangan biasiswa tersebut menjadi penyuntik semangat kepada pelajar untuk lebih komited terhadap visi maahad dalam melahirkan golongan insan yang celik Quran.

“Semoga satu hari nanti kita ada golongan yang digelar ‘Proniq’ iaitu golongan professional yang bukan sahaja mampu menghafaz Al-Quran malah mengamalkannya.

“Ini akan menjadikan golongan generasi akan datang bukan sahaja mantap kariernya di dunia malah tinggi martabatnya di akhirat,” ujar Othman yang turut mengharapkan sumbangan biasiswa sebegini diperbanyakkan kepada maahad tahfiz.

Turut hadir pengurus kanan, Jabatan Pendidikan Yayasan Selangor, Zahura Zakry, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JAIS, Mohd Amir Danuri serta Ketua Bank Simpanan Nasional (BSN) Damansara, Eddie Affendi Mokhtar.

Pada 25 Jun lalu, Yayasan Selangor turut memberikan biasiswa RM 172, 000 kepada 223 pelajar Maahad Integrasi Tahfiz Sains & Teknologi (MITIB), Banting.

Categories
SELANGOR

MB: Perkasa Pendidikan Islam, Selangor Tambah 5,161 Guru

SABAK BERNAM 26 MEI : Bagi menampung kekurangan guru pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor bersetuju menambah 5,161 jawatan guru agama di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, lantaran kerajaan negeri memiliki kemampuan kewangan yang mencukupi untuk melaksanakan penambahan jawatan ini bagi menampung kekurangan guru masa kini.

Katanya, setakat ini seramai 9,128 orang guru mengurus dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran seramai 238,572 pelajar.

“Jumlah pertambahan pelajar setiap tahun menyebabkan guru yang dipertanggungjawabkan tidak mencukupi.

“Jumlah guru itu juga merangkumi pelbagai jawatan sama ada tetap, kontrak dan sambilan,” katanya dalam ucapannya di Majlis Sambutan Hari Guru JAIS Peringkat Negeri Selangor di Kompleks Pendidikan Islam JAIS, Bagan Terap, Sabak Bernam di sini.

Hadir sama, Pengarah JAIS, Datuk Marzuki Hussin dan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Selain itu, Abdul Khalid juga mengumumkan kerajaan negeri meluluskan permohonan kenaikan pangkat guru JAIS Gred DG41 ke Gred DG44 dan kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma Gred DGA29 ke Gred DGA32.

Tambahnya lagi, dalam tempoh terdekat ini juga, kerajaan negeri akan mengiklankan kekosongan 60 jawatan tetap guru bagi gred jawatan DG41, DGA29, DG48, DG44 dan DG41.

“Pada masa yang sama juga bagi mengisi perjawatan gred DGA34, DGA32 dan DGA29,” katanya.

Sistem pendidikan Islam kelolaan JAIS bermula sejak tahun 1945 dan apabila mengambil alih pentadbiran negeri pada tahun 2008, banyak perubahan dibuat terhadap sistem pendidikan Islam.

Antaranya, penstrukturan semula dasar dan hala tuju pendidikan Islam dengan menjadikan Al-Quran sebagai kukikulum teras pendidikan Islam, penambahan bilangan sekolah agama dan perlaksanaan Skim Pinjaman Buku Teks kepada semua murid.

Pada masa ini, JAIS mengurus sebanyak 12 buah Pra Sekolah, 11 buah Sekolah Rendah Agama Integrasi, 212 buah Sekolah Rendah Agama, 286 buah KAFA Integrasi, 23 buah Sekolah Agama Menengah dan dua buah Sekolah Agama Menengah Tahfiz Sains dan Teknologi.

Categories
SELANGOR

LZS Peruntuk RM55 Juta Perkasa Pendidikan Islam di Selangor

SABAK BERNAM 26 MEI : Sejumlah RM55 juta diperuntukkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk disalurkan kepada bahagian pendidikan Islam yang dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Penyerahan ‘Mock Up Check’ itu disampaikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Majlis Sambutan Hari Guru JAIS peringkat negeri, di sini yang turut dihadiri Pengarah JAIS, Datuk Marzuki Hussin.

Peruntukkan itu melibatkan 14 jenis bantuan dan sumbangan antaranya bantuan elaun guru Kursus Asas dan Fardu Ain(KAFA) negeri berjumlah RM26 juta.

Selain itu, sumbangan pembelian perabot bagi Sekolah Agama sebanyak RM600,000, sumbangan pembelian bilik darjah dan baik pulih bangunan sekolah sebanyak RM2 juta dan sumbangan baik pulih Sekolah Agama Menengah(SAM) dan Sekolah Agama Menengah Tinggi(SAMT) berjumlah RM4,407,016.

Manakala sumbangan baik pulih Mahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi(MITS), Sekolah Rendah Agama(SRA) dan Pra Sekolah pula sebanyak RM9,026,535 dan sumbangan baik pulih KAFA Integrasi sebanyak RM5,782,901.

Selain itu, sebanyak RM997,200 diberikan sebagai sumbangan biasiswa galakan pelajar, RM34,000 kepada anugerah pendidikan Sultan Idris dan RM160,000 bagi sumbangan kursus Bahasa Arab ke Timur Tengah dan sebanyak RM189,680 kepada program jati diri pelajar MITS

Bagi peruntukkan khas tambahan bilik darjah untuk dua buah KAFA Integrasi pula sebanyak RM969,180 dan tambahan bilik darjah bagi lapan buah Sekolah Rendah Agama sebanyak RM3,876,720.

Peruntukkan pembinaan surau di Sekolah Rendah Agama sebanyak RM715,000 dan sumbangan pembinaan kantin Sekolah Rendah Agama pula sebanyak RM276,850.

Sambutan hari guru peringakat Selangor kali ini disambut meriah dengan kehadiran guru-guru agama dari seluruh negeri yang memenuhi Kompleks Pendidikan Islam JAIS, Bagan Terap, Sabak Bernam di sini.

Dalam majlis ini bekas pendidik Sarbini Ismail,64, dan Masirah Maslan,64, menerima angugerah tokoh guru yang disampaikan Menteri Besar.

Turut hadir Exco Selangor, Dr Halimah Ali.