Categories
NASIONAL SELANGOR

Tubuh Jawatankuasa Siasat Banglo Runtuh

SHAH ALAM 24 OKT : Satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menyiasat kejadian bumbung rumah banglo dua tingkat yang runtuh minggu lalu.

Datuk Bandar Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA), Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata perbincangan itu akan diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Selain MBSA, jawatankuasa ini turut melibatkan Jabatan Jabatan Bomba dan Penyelamat (bomba), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), polis, Jabatan Kerja Raya, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia dan Kementerian Perumahan.

“Pihak kami mahu berlaku adil, oleh itu kami mahu mendengar dan berbincang dengan semua pihak mengenai perkara ini.

“MBSA juga tidak mahu membuat sebarang kesimpulan dan tidak mahu menghukum sesiapa. Biar jawatankuasa itu yang membuat keputusan selepas perbincangan dengan beberapa jabatan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh bulanan MBSA, di Wisma MBSA, di sini.

Jaafar berkata, jawantankuasa itu ditubuhkan rentetan daripada terdapat dakwaan yang mengatakan pemilik rumah sudah menerima kelulusan untuk membuat pengubahsuaian rumah, namun pihak MBSA tidak menerima permohonan daripada pemilik terbabit.

Dalam kejadian kira-kira empat petang, Jumaat lalu, dua pekerja buruh yang dikenali sebagai Ghadami maut ditempat kejadian manakala Totok Mochamad Anthony meninggal dunia di hospital.

Empat lagi pekerja binaan berusia lingkungan 30-an yang dikenali sebagai Afifin, Waras, Kabir dan Kasmuji masih dirawat di hospital.

Kejadian itu berlaku ketika enam buruh binaan berkenaan sedang melakukan ubah suai di banglo mewah milik seorang ahli perniagaan yang masih belum diduduki di Jalan Jed 1 7/5A, Seksyen 7.

Categories
NASIONAL

Infrastruktur Kampung Gombak Utara membahayakan

GOMBAK SETIA, 3 APRIL : Kampung Gombak Utara berhadapan masalah infrastruktur yang kurang memuaskan meskipun berada di bawah jagaan mantan Exco Infrastruktur Selangor, Datuk Dr Hasan Ali.

Tinjauan Selangor Kini mendapati, kemudahan asas seperti jalan raya kawasan itu tidak seimbang dan membahayakan keselamatan pemandu dan penunggang motosikal.

Ahli Jawatankuasa Kebajikan, Mohd Sapri Matlum memberitahu, jalan di kawasan kampung tersebut tidak diturap semula sejak enam tahun dan menjadi tempat takungan air apabila hujan lebat.

“Keadaan jalan ini tinggi sebelah dan bila hari hujan, jalan akan ditakungi air. Keadaan ini membahayakan pengguna terutamanya penunggang motosikal kerana dikhuatiri ada lubang dan boleh mengakibatkan kecederaan.

“Longkang juga tiada di beberapa kawasan maka air tidak boleh mengalir keluar selain kerosakkan beberapa longkang sedia ada tanpa penyelenggaraan pihak bertanggungjawab,” katanya.

Katanya, masalah ini sudah dimaklumkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) , namun sehingga kini tiada sebarang tindakan dibuat melainkan alasan semata-mata.

Selain itu, tinjauan mendapati, terdapat beberapa mendapan tanah di tepi sungai yang mengancama keselematan struktur jalan utama.

Lebih mengejutkan, terdapat kejadian tanah runtuh kecil di tepi hentian bas dengan kedalaman 3 meter.

Jalan utama kawasan ini juga mempunyai dua selekoh maut yang telah mengakibatkan kejadian kemalangan yang meragut nyawa penunggang motosikal.

“Dua selekoh utama ini iaitu selekoh Palembang dan Hasrat Kita perlu distruktur semula supaya jalan seperti ini dapat diluruskan memandangkan dahulunya jalan dibuat mengikut aliran sungai.

“Tanah ini perlu dipotong memandangkan masih terdapat pokok-pokok besar yang tidak ditebang dan tidak dipotong kemas. Ada diantaranya telah tumbang dan menggusarkan penduduk,” katanya.

Tambah Sapri, sebuah gerai makan di tepi jalan baru-baru ini mengalami kerosakan akibat dihempap pokok yang tumbang.

Rimbunan pepohon hijau di sepanjang jalan juga telah mula condong ke wayar elektrik.

Jelas Mohd Sapri, perkara ini telah dibangkitkan sejak zaman pentadbiran Umno-BN namun tidak diendahkan .Pelbagai janji telah ditaburkan namun sehingga kini tidak ada sebarang tindakan.

Selain itu, terdapat juga masalah lampu di beberapa lokasi sepanjang jalan dan ketiadaan papan tanda amaran ‘Kurangkan Laju, Kawasan Kampungí. Juga diperlukan adalah cermin pantulan di beberapa simpang jalan.

Penduduk di kampung ini turut berhadapan dengan masalah pengangkutan awam terutamanya pada hujung minggu selain ketiadaan hentian bas untuk menunggu.
Mohd Sapri juga berkata terdapat banyak longgokan sampah yang tidak dipungut oleh pihak kontraktor dan petugas kebersihan dilihat mengambil sikap memilih semasa bertugas.

“Banyak sampah yang dikutip hanya yang terdapat dalam tong sahaja. Di luar tong mereka tidak ambil. Ada sampah yang telah berbulan tidak diambil.

“Saya mencadangkan agar tempat meletakkan tong sampah tersebut disimen dengan baik agar lebihan sampah yang tidak masuk ke dalam tong masih berada di tempat sepatutnya,” katanya.

Categories
SELANGOR

Geran Selangorku Lulus 20 Projek Pembangunan

SHAH ALAM 23 MAC : Jawatankuasa Pemandu Geran Selangorku meluluskan 20 projek pembangunan insfrastruktur serata Selangor dengan peruntukan lebih RM2 juta bagi fasa pertama.

Projek yang diluluskan ini antaranya bertujuan untuk menurap semula jalan dan membaiki jalan termasuk pemasangan lampu jalan dan pembinaan longkang di Seksyen 17 Shah Alam, Sekinchan, Meru, Ampang, Hulu Klang, dan Kuala Langat.

Menurut Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor, pemilihan kontraktor bagi menjalankan projek insfrastruktur oleh jawatankuasa berkenaan dibuat berdasarkan harga terendah dan menepati spesifikasi yang ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Jawatankuasa Pemandu Geran Selangorku menetapkan setiap projek insfrastruktur ini perlu disiapkan dalam tempoh antara dua hingga lima minggu.

Geran Selangorku memperuntukkan RM50 juta untuk projek insfrastruktur daripada jumlah keseluruhan peruntukan RM300 juta.