Categories
AGENDA GLOBAL

Gempa bumi sederhana landa Indonesia, tidak ancam Malaysia

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Gempa bumi sederhana berukuran 5.4 pada skala Richter berlaku di Halmahera, Indonesia, pada 12.15 tengah hari ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gegaran terletak 1.3 darjah utara dan 127 darjah timur dengan kedalaman 126 kilometer (km), kira-kira 68 km barat laut dari Ternate, Indonesia.

Gempa itu tidak membawa ancaman tsunami pada Malaysia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gempa bumi kuat landa Jepun, tidak ancam Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Gempa bumi kuat berukuran 6.6 pada skala Richter berlaku di Kepulauan Ryukyu, Jepun, pada pukul 11.51 malam semalam.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gegaran terletak 28.6 darjah utara dan 128.5 darjah timur dengan kedalaman 213 kilometer (km) kira-kira 279 km utara dari Naha, Jepun.

Gempa itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Mendung, hujan di enam daerah Selangor hingga 7 Jun

SHAH ALAM, 1 JUN: Enam daerah di Selangor diramalkan mengalami cuaca hujan dan mendung sehingga 7 Jun ini, demikian laporan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Daerah terlibat adalah Kuala Langat, Gombak, Klang, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Tiga daerah lain iaitu Sepang, Hulu Langat dan Petaling pula dijangka hujan bermula hari ini sehingga Jumaat namun bertukar panas keesokannya.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang www.met.gov.my untuk mendapatkan maklumat terbaharu mengenai keadaan cuaca semasa di negeri ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Banjir di beberapa negeri semakin pulih

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Keadaan banjir yang melanda beberapa negeri beransur pulih dengan jumlah mangsa semakin berkurangan, setakat petang ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan keadaan cuaca di Kelantan, Terengganu, serta beberapa kawasan di Pahang dan Sabah dijangka bertambah baik.

Berikutan itu notis amaran cuaca buruk yang dikeluarkan pada 3.35 petang semalam ditamatkan.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 2,076 daripada 644 keluarga setakat 6.30 petang berbanding 4,065 (1,205 keluarga), pagi tadi.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan tiga jajahan masih terkesan banjir manakala pusat pemindahan sementara (PPS) Kuala Krai dan Pasir Puteh telah ditutup.

Seramai 1,298 mangsa daripada 445 keluarga ditempatkan di sembilan PPS Pasir Mas; 500 mangsa (121 keluarga) di 11 PPS Tanah Merah, dan 278 mangsa (78 keluarga) di tiga PPS Jeli.

Sementara itu, laman sesawang ebanjir.kelantan.gov.my menunjukkan hanya Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu 10.48 meter (bahaya 9 meter).

Di PAHANG, banjir turut dilapor semakin pulih dengan hanya 386 mangsa daripada 105 keluarga masih berada di empat PPS di Rompin, Bera dan Temerloh.

Daripada jumlah itu, Temerloh mencatatkan 351 mangsa, Rompin (26 mangsa) dan Bera (sembilan mangsa).

Di TERENGGANU, empat PPS yang beroperasi di dua daerah iaitu Dungun dan Hulu Terengganu ditutup secara berperingkat, menurut Ketua Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Left Kol Che Adam A Rahman.

Beliau berkata ketika ini hanya satu PPS masih beroperasi di Dewan Orang Ramai Kampung Minda di Dungun yang menempatkan 38 mangsa (13 keluarga).

“Walaupun cuaca baik di seluruh Terengganu hari ini, mereka masih tidak dibenarkan pulang kerana rumah mereka masih digenangi air,” katanya.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir juga terus berkurangan kepada 1,314 orang daripada 327 keluarga setakat 6 petang ini berbanding 2,669 orang daripada 716 keluarga yang direkodkan pada 8 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon berkata kesemua mangsa masih ditempatkan di 24 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan lima daerah iaitu Kluang, Kota Tinggi, Pontian, Batu Pahat dan Segamat.

“Banjir di daerah Mersing pulih sepenuhnya apabila sembilan PPS di daerah itu telah pun ditutup hari ini berikutan kesemua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, dua laluan di daerah Segamat meliputi Jalan Paya Balai Badang dan Jalan Putting serta dua lagi di Mersing iaitu Jalan Telok Arong dan Jalan Tanah Abang ditutup kepada semua jenis kenderaan kerana dinaiki air.

Manakala, Jalan Tumang, Segamat hanya dibuka kepada kenderaan berat sahaja, katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Hujan lebat, angin kencang di utara Semenanjung

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Perlis, Kedah dan Pulau Pinang akan mengalami hujan lebat, angin kencang serta laut bergelora ekoran bermulanya Monsun Barat Daya, sejak kelmarin.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata Monsun Barat Daya akan lebih memberi cuaca kepada negeri berkenaan kerana keadaannya (geologi) yang agak terbuka daripada segi pengaruh angin.

“Monsun Barat Daya biasanya akan membawa angin dari sebelah barat negara kita. Bagaimanapun, ini berbeza dengan keadaan di pantai barat dan selatan tanah air yang dilindungi oleh Kepulauan Sumatera, Indonesia.

“Jadi kita yang berada di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor agak selamat,” katanya kepada segmen Ekstra, program Ruang Bicara keluaran Bernama News Channel malam tadi.

Kelmarin, Jabatan Metereologi Malaysia mengeluarkan amaran cuaca waspada yang mana hujan lebat dijangka berlaku di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang bermula semalam sehingga hari ini.

Dalam pada itu, mengulas berkenaan kejadian puting beliung di Tanjung Tokong Pulau Pinang baru-baru ini, Mohd Hisham berkata ia ekoran penumpuan angin kencang dari Lautan Hindi yang bergerak bukan sahaja ke utara Semenanjung tetapi juga di Selatan Thailand.

“Angin ini semestinya akan membawa banyak kelembapan tinggi dan ini boleh membawa hujan lebat di sesetengah tempat.

“Selain daripada hujan lebat, kita juga menjangkakan angin agak kuat ketika ini dan akan berterusan sehingga Khamis (9 Mei) ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua penduduk di negeri berkenaan sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan keadaan terbabit.

“Kita lebih risaukan keadaan angin kencang berbanding dengan hujan. Kita jangkakan hujan mungkin sekejap-sekejap dan akan lebat tetapi tidak berterusan.

“Namun, angin kencang pula lebih membahayakan dan mungkin boleh menerbangkan struktur yang tidak kukuh atau pokok tua boleh tumbang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Angin kencang, laut bergelora dijangka berlaku hari ini

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Angin kencang dan laut bergelora kategori kedua dijangka terus berlaku di kawasan perairan barat Samui dan Phuket, hari ini.

Dalam kenyataan, Jabatan Meteorologi Malaysia berkata, angin berkelajuan 50 – 60 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter (m) adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Jabatan itu turut memaklumkan, angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dijangka berlaku di kawasan perairan Timur Samui dan Selat Melaka Utara dalam tempoh sama.

Keadaan sama juga dijangka berlaku di kawasan perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Angin berkelajuan 40 – 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 m adalah berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

MET: Cuaca panas diramal kembali normal pada Jun

KUALA LUMPUR 8 MAC: Cuaca panas dialami sekarang diramal kembali normal pada bulan Jun, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Datuk Che Gayah Ismail.

Beliau berkata ini berikutan fenomena El Nino yang mengakibatkan cuaca menjadi panas dijangka berakhir mulai bulan itu.

Suhu-panas-eksterm-416x250El Nino dikesan pada bulan Disember tahun lalu hingga Januari lepas, didapati mula menurun dan dijangka terus menjadi lemah, katanya.

Che Gayah berkata peralihan monsun pada bulan April ini juga dijangka mengurangkan kesan cuaca panas kerana hujan dan ribut petir diramal kerap berlaku terutama pada waktu petang.

“Namun walaupun El Nino berada dalam keadaan neutral mulai bulan Jun, tetapi negara akan mengalami musim kering semasa monsun barat daya dari bulan Mei hingga September,” katanya dipetik BERNAMA.

El Nino merupakan fenomena pemanasan suhu permukaan laut di timur dan tengah Lautan Pasifik kawasan Khatulistiwa yang berlaku setiap dua hingga tujuh tahun.

Fenomena El Nino kuat yang pernah melanda negara ialah pada tahun 1997/1998 dengan suhu tertinggi dicatatkan pada 40.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis.

EZY

Categories
SELANGOR

Ketampakan rendah di perairan, bahaya kepada kapal

SHAH ALAM, 1 OKT: Ketampakan rendah kurang 5km membabitkan perairan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang dan Sarawak dijangka berterusan sehingga Sabtu.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) keadaan itu berbahaya kepada kapal yang tidak dilengkapi alat navigasi.

JEREBU“Keadaan sama turut berlaku di perairan Selat Melaka, Tioman, Bunguran, Kuching dan Reef South dan dijangka berterusan sehingga Sabtu,” jelas MetMalaysia dalam kenyataan.

Perairan berkenaan termasuk dalam 19 kawasan yang dilanda jerebu di negara ini setakat 9 pagi dengan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat melebihi 101.

-NR-

Categories
NASIONAL

Angin kencang timur laut sehingga 4 Januari

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), hari ini mengeluarkan amaran kategori kedua berhubung angin kencang dan laut bergelora.
Dijangkakan, angin kencang timur laut dengan kelajuan 50-60 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter berlaku berterusan di kawasan perairan Samui, Tioman, Condore, Bunguran, Reef North, Layang-layang, Reef South, Labuan, Sulu dan Palawan, sehingga  4 Januari ini.
BanjirMerujuk laman seswang JMM, keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.
Amaran ribut petir menyeluruh turut berlaku di perairan Tioman, Bunguran, Reef South, Reef North, Layang-Layang, Palawan dan Sulawesi dijangka berterusan ,sehingga petang ini.
Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter dan berbahaya kepada bot kecil.
Sementara itu, angin kencang timur laut dengan kelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Sandakan dan Kudat) dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan , sehingga 4 Januari ini.
banjirKeadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.
Pada masa sama, aktiviti ribut petir juga berlaku di perairan Sabah meliputi Kudat dan Pantai Barat, WP Labua, Sarawak  dan Selangor serta Johor, sehingga petang ini.
Semalam, JMM turut mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat jingga dengan hujan sekejap-sekejap, kadangkala sederhana di Sabah iaitu di Kudat, Pantai Barat, Pedalaman dan Sandakan serta WP Labuan yang dijangka berterusan sehingga hari ini.
-NFN-
Categories
SELANGOR

Empangan kritikal dijangka pulih selepas peralihan monsun

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 20 MAC: Status terkini kapasiti empangan di Selangor yang kritikal ketika ini dijangka akan semakin pulih selepas kitaran Monsun Timur Laut beralih ke Monsun Peralihan penghujung bulan ini, kata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Menurut agensi itu, monsun peralihan akan membawa taburan hujan yang lebih menyeluruh terutama pada waktu petang dan awal malam di kawasan pendalaman Semenanjung Malaysia.

“Berdasarkan arah tiupan angin pada ketika ini, kita masih berada dipenghujung monsun timur laut.

empangan  air lembah kelang“Paras air di empangan akan meningkat setiap kali musim monsun peralihan berlaku berikutan jumlah hujan yang turun adalah lebih banyak berbanding musim-musim lain,” katanya kepada Selangor Kini.

Bagaimanapun, kapasiti empangan tetap bergantung kepada jumlah hujan di kawasan tadahan.

MetMalaysia juga menjelaskan kualiti udara juga akan jauh lebih baik pada ketika itu dan kehadirannya membantu memulihkan Indek Pencemaran Udara (IPU) yang sebelum ini teruk akibat jerebu.

“Cuaca adalah lebih lembab pada musim ini dan keadaan ini dijangka tidak akan menghasilkan jerebu,” katanya.

-NFN-

Jerebu Bertambah Buruk : JAS Selangor Arah Kilang Kurangkan Pengeluaran Hingga 30 Peratus

jerebu-masjid1

SHAH ALAM, 24 JUN: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada sebelah petang di beberapa kawasan yang mengalami jerebu di Selangor petang ini didapati mencatatkan peningkatan berbanding bacaan yang dicatatkan pada petang semalam dan pada jam 7.00 pagi tadi.

Di Pelabuhan Klang kualiti udara sehingga jam 5.00 petang tadi menunjukkan bacaan melepasi 317, di Banting pula mencatatkan bacaan lebih 200.

Sementara itu di Shah Alam pula mencatat IPU 171 dan Petaling Jaya 196, iaitu mendekati ke tahap sangat tidak sihat.

Justeru, menurut Exco Alam Sekitar Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mengeluarkan arahan agar kilang perindustrian yang terletak di daerah yang mempunyai bacaan IPU pada tahap merbahaya agar mengurangkan pengeluaran mereka sehingga 30 peratus.

“Di Pelabuhan Klang oleh kerana tahap jerebu di kawasan tersebut telah mencecah lebih 300, jadi kalau kita ikut pelan tindakan Prosedur Arahan Tetap (SOP) menangani jerebu, beberapa kilang di kawasan Klang akan diberi arahan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengurangkan pengeluaran mereka sampai 30 peratus supaya tidak menambah kepada kualiti udara yang semakin merosot,” kata Elizabeth Wong ketika dihubungi TV Selangor.

Menurut beliau lagi arahan tersebut dikeluarkan cecara automatik berdasarkan SOP yang terdapat dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan yang dikeluarkan oleh jabatan itu.

Menurut Elizabeth, Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini turut menjangkakan beberapa kawasan di Selangor bakal menerima sedikit hujan dalam minggu ini.

“Saya jangka keadaan ini mungkin tidak ada perubahan yang besar selagi api di Sumatera tidak dipadamkan, cuma sekarang kita melihat di mana arah angin sekarang bertiup ke utara, jadi ada kemungkinan jerebu itu boleh keluar dari Lembah Klang dalam beberapa hari yang akan datang.

“Tambahan pula Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan minggu ini kita akan mendapat sedikit hujan. Itu boleh menolong dari segi kualiti udara,” kata beliau lagi.

Berdasarkan indeks kualiti udara, bacaan antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Banjir Di Dengkil 800 Dipindah

SHAH ALAM, 6 NOV : Seramai 800 orang mangsa yang terlibat dalam kejadian banjir di DUN Dengkil dipindahkan segera oleh pasukan penyelamat ke beberapa pusat pemindahan yang disediakan.

Sehubungan itu,  Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar  mengadakan lawatan dan meluangkan masa bersama mangsa serta diberikan taklimat oleh Pegawai Daerah Sepang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah, Haris Kassim.

Taklimat diadakan di pusat operasi utama pemindahan di Dewan Orang Ramai Dengkil di mana Dr Xavier diberi penerangan mengenai operasi kerja menyelamat dan bantuan serta perkembangan semasa mengenai banjir.

Dr Xavier merakamkan penghargaan terima kasih Kerajaan Negeri kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Rela dan Jabatan Pertahanan Awam, Majlis Perbandaran Sepang serta polis yang telah bersiap sedia 24 jam untuk menghulurkan bantuan kemanusian.

Beliau melahirkan kerisauan kerana berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (Ramalan Cuaca) bahawa hujan dijangka akan berterusan selama 7 hari lagi dan ini memerlukan pihak terlibat untuk menyediakan lebih banyak pusat pemindahan bagi menempatkan lebih ramai mangsa banjir dalam beberapa hari nanti.

Selain pusat itu, sebuah lagi pusat pemindahan adalah Dewan Orang Ramai Desa Gemilang, Dengkil.

Selepas sesi taklimat berakhir, Dr Xavier dibawa melihat beberapa kawasan dinaiki air di Kampung Ampar Tenang, rumah pangsa Taman Permata dan kawasan berhampiran.

Turut hadir, Penyelaras Pusat Khidmat DUN Dengkil, Borhan Aman Shah.