Categories
AGENSI SELANGOR

Guru positif Covid-19, tiada penutupan sekolah di Selangor

SHAH ALAM, 5 OKT: Sesi persekolahan di Selangor berjalan seperti biasa walaupun terdapat laporan kes Covid-19 melibatkan sebuah sekolah rendah di Ampang, dekat sini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) berkata tindakan menutup sekolah tertakluk kepada prosedur tertentu antaranya perlu mendapat nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang memantau penularan wabak tersebut.

“Berhubung kes positif melibat seorang guru di sekolah tersebut, senarai kontak rapat telah diberikan kepada PKD untuk proses saringan Covid-19.

“Selain itu pihak sekolah dengan dibantu Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) turut melakukan sanitasi pagi tadi dan sesi persekolahan berjalan seperti biasa,” kata Izmi Ismail kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata pihaknya mengarahkan pentadbir sekolah mengetatkan tatacara operasi piawai (SOP) selain pegawai JPN kerap turun padang untuk memantau tahap pematuhan guru dan murid.

“Kita memahami kebimbangan ibu bapa berhubung peningkatan kes Covid-19, namun ingin ditekankan setakat ini tiada kes penularan disebabkan pelanggaran SOP di sekolah,” katanya.

Hari ini tular seorang guru di Sekolah Kebangsaan Taman Tasik, Ampang dikesan positif Covid-19.

Pada 28 September dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandamaran Jaya, Klang disahkan positif Covid-19 selepas dijangkiti daripada keluarga yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Umno Salahguna Sekolah Untuk Kepentingan Politik

SHAH ALAM, 2 NOV: Beberapa pemimpin Umno yang dijangka akan dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum ke 13 didakwa menggunakan sekolah untuk raih sokongan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.

Kegiatan mereka dikesan apabila terdapat beberapa bakal calon tersebut hadir dalam majlis penyampaian anugerah kecemerlangan di beberapa sekolah di Selangor meskipun tidak mendapat jemputan oleh pihak sekolah.

Kehadiran mereka itu menyebabkan pihak sekolah ‘terpaksa’ memberikan layanan istimewa sebagaimana tetamu kehormat lain dan diberikan tempat duduk di barisan hadapan.

Demikian menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad dalam sidang media yang diadakan di pejabat beliau di sini hari ini.

“Saya juga dapat maklumat bakal calon Parlimen Shah Alam serta calon-calon Dun mereka hadir dalam majlis di sebuah sekolah di Shah Alam minggu lepas, tetapi bila pemimpin Pakatan Rakyat (PR) pula tak dibenarkan,” ujar beliau.

Abdul Khalid juga berkata, walaupun Kerajaan Negeri memberi tanah kepada Kerajaan Persekutuan untuk dijadikan tapak sekolah, pemimpin Kerajaan Negeri dan pemimpin lain dari PR tetap tidak dibenarkan menjejakkan kaki ke kawasan sekolah termasuk untuk menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Julai lalu, Kerajaan Negeri membidas tindakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang menghalang Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghadiri majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di SMK Sultan Sulaiman, Bestari Jaya.

Meskipun Abdul Khalid tidak dapat memasuki sekolah tersebut namun beliau tetap memberi sumbangan sebanyak RM 24,000 dari Kerajaan Negeri.