Categories
AGENSI SELANGOR

PIBG bantu sekolah lancarkan operasi buka semula

SHAH ALAM, 25 JUN: Kerjasama pihak sekolah dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) melancarkan operasi pembukaan semula sesi persekolahan semalam, kata Penggerak Ibu Bapa Komuniti (PIBK).

Wakilnya, Datuk Shuhery Shuib berkata PIBG bukan sekadar menyumbang tenaga sebaliknya memperuntukan dana membeli keperluan pelajar dalam usaha memastikan keselamatan terjamin.

“Selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dikuatkuasakan, sekolah ditutup dan banyak aktiviti dirancang tergendala. Jadi peruntukan yang ada kita gunakan untuk membeli cecair pembasmi kuman serta keperluan lain.

“Dua minggu sebelum sekolah dibuka, PIBG juga turun ke sekolah melihat dan membantu proses pengendalian SOP (tatacara operasi piawai) serta tidak menyerahkan semua tanggungjawab kepada sekolah kerana ingin pastikan tahap keselamatan anak-anak memuaskan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Shuhery berkata, PIBG juga bersedia sekiranya kerajaan mengumumkan pembukaan sepenuhnya sesi persekolahan memandangkan ia membabitkan lebih ramai pelajar dengan tanggungjawab besar sekolah termasuk ibu bapa mengendalikan mereka terutama sekolah rendah.

Semalam, sekolah kembali dibuka membabitkan 500,444 pelajar yang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tunggakan Bil Elektrik: JAIS Nafi Dakwaan SRABU

Jais-elektrik

SHAH ALAM 11 JAN : Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini menafikan dakwaan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bahawa JAIS sekadar berdiam diri dalam isu tunggakan bil elektrik di Sekolah Rendah Agama Bandar Utama (SRABU).

Sebaliknya, Pengarah JAIS, Datuk Marzuki Hussin dalam kenyataan medianya berkata, sejak menerima surat permohonan pembayaran dari Guru Besar SRABU, pihak JAIS mengadakan beberapa siri tindakan bagi menyelesaikan permasalahan tersebut.

“Antaranya, kita mencapai kata sepakat dalam mesyuarat bersama ketua-ketua penolong pengarah JAIS pada 4 Januari lalu untukĀ  menyelesaikan tunggakan tersebut.

“Malah surat penyambungan semula juga telah dikeluarkan Pejabat Agama Islam Hulu Selangor kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan sepatutnya bekalan elektrik disambung semula pada 9 Januari,” tegas Marzuki.

Beliau juga menafikan wujudnya penyelewengan dalam isu tersebut kerana menurutnya peruntukan pembayaran bil utiliti diberikan kepada PAID pada setiap tahun bagi menyelesaikan utiliti SAR.

Dua hari lalu, laporan sebuah akhbar memetik gesaan PIBG SRABU agar JAIS dan PAID campur tangan dalam isu tunggakan bil elektrik berjumlah RM 14, 804.20.

Bagaimanapun, hasil perbincangan pihak JAIS bersama TNB memutuskan pada 4 Januari lalu memutuskan jumlah yang perlu dijelaskan adalah sebanyak RM 11,946.06 sahaja.

Susulan persetujuan itu, pada 7 Januari lalu, pihak JAIS mengeluarkan cek bagi menjelaskan tunggakan tersebut dan arahan penyambungan semula juga telah dikeluarkan dua hari selepas itu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Umno Salahguna Sekolah Untuk Kepentingan Politik

SHAH ALAM, 2 NOV: Beberapa pemimpin Umno yang dijangka akan dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum ke 13 didakwa menggunakan sekolah untuk raih sokongan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.

Kegiatan mereka dikesan apabila terdapat beberapa bakal calon tersebut hadir dalam majlis penyampaian anugerah kecemerlangan di beberapa sekolah di Selangor meskipun tidak mendapat jemputan oleh pihak sekolah.

Kehadiran mereka itu menyebabkan pihak sekolah ‘terpaksa’ memberikan layanan istimewa sebagaimana tetamu kehormat lain dan diberikan tempat duduk di barisan hadapan.

Demikian menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad dalam sidang media yang diadakan di pejabat beliau di sini hari ini.

“Saya juga dapat maklumat bakal calon Parlimen Shah Alam serta calon-calon Dun mereka hadir dalam majlis di sebuah sekolah di Shah Alam minggu lepas, tetapi bila pemimpin Pakatan Rakyat (PR) pula tak dibenarkan,” ujar beliau.

Abdul Khalid juga berkata, walaupun Kerajaan Negeri memberi tanah kepada Kerajaan Persekutuan untuk dijadikan tapak sekolah, pemimpin Kerajaan Negeri dan pemimpin lain dari PR tetap tidak dibenarkan menjejakkan kaki ke kawasan sekolah termasuk untuk menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Julai lalu, Kerajaan Negeri membidas tindakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang menghalang Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghadiri majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di SMK Sultan Sulaiman, Bestari Jaya.

Meskipun Abdul Khalid tidak dapat memasuki sekolah tersebut namun beliau tetap memberi sumbangan sebanyak RM 24,000 dari Kerajaan Negeri.