Categories
NASIONAL

Aduan WhatsApp: JPJ keluar lebih 200 notis

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Lebih 200 notis dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hasil aduan pengguna menerusi aplikasi Whatsapp dalam tempoh tiga hari operasi penguatkuasaan perayaan Hari Raya Adilfitri (HRA) yang bermula 29 Mei lepas.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata antara kesalahan yang kerap dilaporkan sehingga Jumaat lepas adalah memandu di lorong kecemasan, memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan bas yang menggunakan laluan kanan secara berterusan.

Menurutnya, JPJ mewujudkan sekretariat aduan yang beroperasi 16 jam iaitu 8 pagi sehingga 12 malam sepanjang tempoh operasi kecuali pada sambutan perayaan pada 5 dan 6 Jun ini.

“Aduan ini diwujudkan bagi memastikan tindakan diambil terhadap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan di musim perayaan dan aduan tersebut hendaklah tepat dengan maklumat yang lengkap bagi memudahkan tindakan.

“Pada operasi lepas, JPJ telah menerima 288 aduan tidak lengkap dari orang ramai,” katanya pada sidang media selepas melakukan pemeriksaan bas sewaktu operasi penguatkuasaan perayaan Hari Raya Adilfitri di Terminal Bersepadu Selatan di sini hari ini.

Beliau menegaskan pemandu tidak dibenarkan untuk mengunakan telefon bimbit namun penumpang boleh mengambil gambar atau video pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan dan menyalurkan maklumat berkenaan menerusi aplikasi Whatsapp di talian 013-4498997.

Sementara itu, dalam operasi HRA tersebut, tiga pemandu bas di Pulau Pinang, Perak dan Selangor dikesan positif dadah jenis ganja dan methamphetamine ketika pemeriksaan di terminal bas di tiga negeri itu.

Shaharuddin berkata susulan itu syarikat pengendali bas perlu menggantikan pemandu sebelum meneruskan perjalanan.

“Operasi pemeriksaan terhadap pemandu bas ini akan berterusan sehingga 16 Jun bagi memastikan perjalanan penumpang selamat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, sebanyak 21,948 notis saman dikeluarkan dalam tempoh lima hari operasi HRA dilaksanakan sejak 29 Mei dengan 34,595 buah kenderaan diperiksa.

Beliau berkata walaupun kadar pematuhan pengguna jalan raya meningkat namun kesedaran pemandu terutamanya pemandu bas masih berkurangan.

Menurutnya perkara tersebut dapat dilihat apabila masih ada pemandu bas yang melakukan kesalahan ketika JPJ menempatkan pegawainya di dalam 87 bas untuk tujuan penyamaran.

“Notis telah dikeluarkan terhadap pemandu ini dan kesalahan yang kerap dilakukan adalah memandu di lorong kanan secara berterusan, menggunakan telefon bimbit dan tatakelakuan tidak baik.

“Pegawai mengeluarkan notis selepas selamat tiba di terminal bas dan ada bukti kukuh menunjukkan kesalahan pemandu itu, ” katanya.

Sementara itu, bagi memastikan kelancaran perjalanan pada musim perayaan ini, JPJ melaksanakan tempoh larangan pemanduan bagi kenderaan barangan iaitu pada 1 hingga 3 Jun dan 8 hingga 9 Jun. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sistem bidaan nombor plat dalam talian mulai 15 April

KUALA LUMPUR, 2 APR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan dalam talian (e-bidding) bermula 15 April ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, sistem e-bidding itu membolehkan pemilik kenderaan membida nombor plat pilihan tanpa perlu ke pejabat JPJ.

Katanya, ia juga bertepatan dengan tema Hari Ulang Tahun Penubuhan JPJ ke 73 – ‘Digitalisasi Ke Arah Integriti’.

“e-bidding akan bermula dengan siri nombor plat FC… bermakna, nombor itu akan ditender melalui online. Ia juga bukan tertakluk kepada kawasan sekitar negeri berkenaan contohnya di Putrajaya sahaja… ia akan bergerak, dibida oleh rakyat Malaysia di mana-mana menggunakan dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas muncul dalam program Nine 11 terbitan Bernama News Channel (saluran Astro 502) di sini hari ini.

Tahun lepas, keputusan tender bagi siri nombor plat FB menunjukkan harga paling mahal ialah RM660,000 bagi siri FB 1, yang mirip kepada singkatan Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika (FBI).

Pada 2016, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar memenangi bidaan ke atas nombor plat F1 dengan nilai RM836,660 selain berjaya membida plat W1N pada 2014 dan WWW1 pada 2012 masing-masing bernilai RM748,000 dan RM520,000.

JPJ memperoleh RM280 juta melalui bidaan pendaftaran nombor plat kenderaan pada 2017 manakala RM137 juta diperoleh menerusi belian biasa.

Shaharuddin berkata, e-bidding memudahkan pengguna mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan tanpa perlu menghantar borang seperti sebelum ini.

Katanya, JPJ akan memperkenalkan satu lagi projek iaitu sistem pemanduan kenderaan secara elektronik yang menguji kenderaan di dalam bilik kawalan menggunakan pemanduan secara digital.

Sementara itu, beliau berkata, Sambutan Hari Ulang Tahun Penubuhan JPJ ke-73 akan diadakan di Ibu Pejabat JPJ di Putrajaya pada 15 April.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiada tawaran diskaun kompaun JPJ

SEPANG, 29 JAN: Dasar tiada tawaran diskaun terhadap mana-mana notis kompaun yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi kesalahan lalu lintas dikekalkan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia bertujuan mengurangkan kadar kemalangan dan tidak mahu pengguna jalan raya yang mendapat saman mengamalkan sikap menunggu tawaran diskaun sebelum membayar saman.

“Kita tidak mahu pengguna jalan raya ambil ringan saman tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya 2019 sempena Tahun Baru Cina di kawasan rehat dan rawat Dengkil arah selatan di sini, hari ini.

Loke berkata, beliau juga bercadang untuk berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya saman trafik dan saman dikeluarkan PBT tidak menawarkan sebarang diskaun.

“Hendak marah Menteri Pengangkutan pun marahlah. Tugas saya ialah untuk kurangkan kemalangan jalan raya. Ini KPI (Petunjuk Prestasi Utama) saya,” katanya.

Antara kesalahan lalu lintas yang sering dilakukan pengguna jalan raya adalah tidak mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memotong barisan, tidak memakai tali pinggang keledar, memandu di lorong kanan secara berterusan dan memandu di lorong kecemasan.

Mengenai Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya yang bermula hari ini sehingga 12 Februari depan, Loke berkata ia mebabitkan 10,000 pegawai dan anggota penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia, JPJ dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya.

Bertemakan ‘Pandu Cermat, Sampai Selamat’ Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya 2019 merangkumi empat program utama iaitu pendidikan, penguatkuasaan, pencegahan bersekali dengan pemantauan dan penilaian.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Nombor plat khas ‘Malaysia’ jana pendapatan RM13juta

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Nombor siri plat khas kenderaan ‘Malaysia’ yang diperkenalkan Ogos lalu menjana pendapatan RM13 juta untuk kerajaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penjualan nombor plat khas kenderaan yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan kerajaan itu menjana pendapatan kepada tabung kerajaan.

“Bagi nombor siri ‘Malaysia 1’ sahaja, kerajaan menjana RM1,111,111,” katanya menjawab soalan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ma’mun bertanya, sama ada nombor pendaftaran kenderaan istimewa yang selalu mendapat permintaan tinggi dapat dikenakan harga siling dalam pembelian terbuka kepada orang ramai.

Loke turut mengulangi bahawa nombor pendaftaran khas tidak lagi akan diberi kepada badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak persendirian.

Katanya, dasar baharu menetapkan semua nombor pendaftaran khas akan dikeluarkan oleh JPJ dan kerajaan sahaja.

“Sebelum ini apabila mereka (NGO dan persendirian) membuat permohonan, kerajaan benarkan mereka bayar RM1 juta kepada kerajaan padahal satu siri nombor boleh menjana mungkin RM10 juta, dan itu menyebabkan kerajaan ketirisan RM9 juta,” katanya.

Loke juga menegaskan kerajaan tidak bercadang menetapkan harga siling bagi nombor pendaftaran kenderaan.

-Bernama

Categories
NASIONAL

Kementerian Pengangkutan serius tangani isu beg udara Takata

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 19 SEPT: Kementerian Pengangkutan memandang serius isu beg udara Takata dan akan menghantar surat peringatan kepada pemilik kenderaan berkaitan bagi tujuan penukarannya.

Jurucakapnya berkata, kementerian berasa dukacita dengan reaksi orang ramai tidak memandang serius inisiatif diambil dalam usaha mencegah daripada kejadian maut beg udara Takata berulang kembali.

“Dari 26 Jun hingga 4 September lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghantar 408,551 pucuk surat peringatan kepada semua pemilik kenderaan berkaitan dan sepanjang tempoh surat peringatan sehingga ke hari ini, sebanyak 70,853 bilangan kenderaan dihantar ke bengkel syarikat pengeluar dan selesai urusan penukaran beg udara.

“Ini menunjukkan peratus orang ramai mengambil tindakan terhadap surat peringatan ini adalah sebanyak 17.43 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, katanya, pihak industri automotif terbabit dikehendaki mewujudkan Pelan Komprehensif Panggilan Semula Dan Stok Beg Udara.

“Pengeluar perlu meningkatkan keupayaan Pusat Servis dan penyediaan stok untuk memudahkan pemilik kenderaan memerlukan penukaran beg udara.

“Pihak industri juga dikehendaki untuk mewujudkan pelan promosi lebih efisien di mana syarikat pengeluar perlu memastikan komunikasi serta maklumat mengenai usaha ini sampai kepada kumpulan sasaran,” katanya.

Sementara itu, JPJ akan meneruskan ‘task force’ selama dua bulan lagi dengan membuat pemantauan terhadap status panggilan semula dan kesediaan stok.

“Bagi melancarkan tindakan gerak kerja ini, pengeluar dikehendaki menyediakan stok mencukupi dalam tempoh dua dan Honda bersetuju akan menghantar peringatan akhir kepada pelanggannya dalam tempoh dua minggu,” katanya.

Categories
SELANGOR

Tangkapan warga asing pandu kenderaan berat meningkat

SHAH ALAM, 10 OKT: Tangkapan pemandu kenderaan berat membabitkan warga asing meningkat sekali ganda dan membimbangkan.

Perkara itu dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor apabila 42 pemandu warga asing ditahan berikutan membawa lebih muatan sepanjang Ops Ganda 2 yang berlangsung sebulan berakhir 4 November lalu di seluruh Selangor.

Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib berkata, daripada jumlah itu, seramai 22 warga Indonesia, India (14) dan Pakistan (6).

“Berbanding Ops Ganda 1 bermula 26 April berakhir 26 Mei lalu, tangkapan pemandu warga asing hanya 26 sahaja membabitkan 12 warga Indonesia, India (8) dan Pakistan (6).

“Operasi ini memberi tumpuan terhadap kenderaan berat untuk memastikan ia membawa muatan mengikut had dibenarkan dan tidak mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain,” lapor Bernama.

Pemandu kenderaan berat melanggar peraturan akan diambil tindakan mengikut Seksyen 63 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman kompaun maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

“Kami akan meneruskan operasi ini bagi mengesan kenderaan berat yang membawa lebih muatan sekaligus mengekang kegiatan tonto yang menjadi salah satu punca wujudnya gangguan terhadap anggota JPJ,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL

Putrajaya diminta hebah peraturan baru cermin gelap kenderaan

Oleh AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 OKT: Pengamal undang-undang, Zulhazmi Shariff meminta Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai atau Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Ismail Ahmad menghebahkan kandungan peraturan baru cermin gelap kenderaan yang akan dikuatkuasakan 1 November nanti.

Hal ini kerana para pengguna dan pemain industri harus diberikan ruang masa dan maklumat terperinci berkaitan peraturan baru tersebut sebelum dilaksanakan.

“Saya juga ingin menyatakan bahawa sehingga hari ini setelah Ketua Pengarah JPJ menyatakan bahawa JPJ akan mula melaksanakan peraturan baru tersebut, tiada sebarang hebahan atau siaran kepada awam apakah isi peraturan baru tersebut.

“Harus diambil perhatian bahawa setiap peraturan yang hendak dilaksanakan atau dikuatkuasakan mestilah diwartakan.

“Kegagalan mewartakan peraturan akan menyebabkan peraturan tersebut tidak sah dan melanggar undang-undang negara malah akan memberi kesan yang teruk kepada para pengguna dan pemain industri,” katanya.

Hasil carian di Portal Rasmi E-Warta Persekutuan (http://www.federalgazette.agc.gov.my/) mendapati tiada sebarang maklumat tentang pewartaan peraturan baru tersebut.

Jelasnya, kenyataan yang menyebut berhubung peraturan membenarkan kadar ketelusan cahaya bagi cermin depan ialah 70 peratus, 50 peratus cermin sisi pemandu, 30 peratus cermin sisi penumpang belakang dan 30 peratus cermin belakang disifatkan tidak lengkap dan tidak jelas.

“Kalau mahu kuatkuasa peraturan baru, perlu siarkan dan hebahkan keseluruhan peraturan baru untuk dilihat & diteliti oleh masyarakat. Bukan setakat sebut sebaris saja,” ujarnya lagi.

Difahamkan, peraturan baru ini adalah hasil Bengkel Kajian Penggunaan Cermin Gelap Kenderaan yang telah diadakan selama dua (2) hari di Hotel Holiday Inn Glenmarie Subang pada 2 dan 3 Jun 2014 yang lalu.

Beliau turut mencadangkan agar kaedah perlaksanaan dan penguatkuasaan juga dikaji semula dan diselaraskan di antara semua agensi penguatkuasa iaitu JPJ dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Menyentuh soal hukuman kepada pesalah yang melibatkan hukuman penjara beliau menyarankan supaya ia dimansuhkan bahkan meminda hukuman lama kerana kesalahan menggunakan cermin gelap bukan kesalahan jenayah berat.

Mengikut peraturan sedia ada, pesalah boleh dikenakan tindakan mengikut Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 iaitu kompaun maksima RM300.

Jika didapati bersalah di mahkamah boleh dihukum dengan denda tidak melebih RM500 atau penjara tidak melebihi dua (2) minggu bagi kesalahan pertama manakala denda tidak melebihi RM1000 atau penjara tidak melebihi sebulan bagi kesalahan kedua atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.

HM

RM80 juta untuk mengindahkan bandaraya Shah Alam – MBSA

Sinopsis

FOKUS Untuk 13112013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT . Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memperuntukkan sebanyak RM80 juta sepanjang tahun bagi tujuan pembersihan sampah sarap, longkang dan penjagaan alam sekitar.

2. Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan Tan Sri Syed Mokhtar Bukhari yang didakwa mengambil alih sepenuhnya syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) untuk keuntungan peribadinya.

3. Seramai 250 peserta bakal menyertai Kejohanan Tenis Remaja Terbuka Antarabangsa Genting-Selangor 2013 yang bakal berlangsung pada 20 hingga 24 November ini.

4.Pakatan Rakyat (PR) menafikan bahawa blog ‘Negara Pakatan Rakyat’ dikendalikan dan dimiliki oleh gabungan parti PKR, PAS dan DAP itu.

5.Kerajaan pusat digesa menghentikan pelaksanaan sistem ‘MySikap’ oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ekoran kegagalan sistem itu berfungsi dengan baik sehingga menyusahkan pengguna sejak dilaksanakan, pada 1 November lalu.

6.Syarikat pengeluar roti, Roti Sedap Sdn Bhd terpaksa menaikkan harga produk keluarannya bagi mengimbangi peningkatan kos pengeluaran syarikat yang semakin melonjak sejak kebelakangan ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Zuraidah: KPN tidak perlu ‘ugut’ rakyat

zuraidah trafik

SHAH ALAM, 22 OGOS ? Tekanan yang semakin hebat berikutan peningkatan kadar jenayah berat yang semakin serius serta kegagalan pihak keselamatan mengawal keadaan menyebabkan Ketua Polis Negara (KPN) cuba melarikan isu sebenar kepada isu yang membabitkan pesalah trafik.

Kenyataan Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk membatalkan lesen memandu 1.7 juta individu yang enggan menjelaskan tunggakan saman trafik merupakan satu kenyataan yang dangkal dan cadangan yang tiada penelitian, kata Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, cadangan tersebut seolah-olah KPN cuba lari dari hakikat bahawa orang awam amat mengharapkan pihak keselamatan dapat mengawal kegiatan jenayah yang semakin menakutkan.

“Hentikan kenyataan melulu, jangan ugut rakyat, KPN perlu buat kajian menyeluruh dan teliti agar rakyat tidak lagi dibebankan dengan pelbagai isu yang timbul sejak kebelakangan ini.

“Ini sebenarnya perkara-perkara yang tidak ada penelitian dan kajian sebelum ia diumumkan. Dengan senang sahaja keluarkan kenyataan dangkal ini langsung tidak memikirkan kesannya kepada rakyat.

“Rakyat akan terbeban, tarif letrik akan naik, GST akan dilaksana, harga barang juga akan naik, rakyat tak mampu bayar saman, lesen pula akan dibatalkan. Tak terfikirkan hal yang bebankan rakyat ini.” kata Zuraidah

Bercakap kepada TVSelangor beliau berkata, bidang kuasa bagi menyenarai hitam pemilik lesen memandu mahupun kenderaan boleh diserahkan kepada pihak yang sepatutnya seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“KPN sepatutnya memberi tumpuan dan fokus yang lebih menyeluruh untuk membanteras kegiatan jenayah berat yang semakin menakutkan rakyat dari membuat cadangan yang boleh dikendalikan oleh pihak lain (JPJ).

Semalam, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tindakan itu akan dilaksanakan ekoran tidak berpuas hati dengan keputusan statistik kemalangan Ops Selamat ketika musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini.- MZA

 

Categories
SELANGOR

Hasnul Janji Selesai Masalah Terminal Teksi Kuala Langat

hasnul adun morib hentian teksi 01

BANTING 23 MEI : Pengusaha teksi di Terminal teksi Kuala Langat boleh menarik nafas lega apabila Adun Morib, Hasnul Baharuddin berusaha membantu menyelesaikan masalah kekurangan penumpang sejak sejak lima tahun lalu.

Kekurangan pelanggan ini ekoran kedudukan terminal yang agak terlindung dan jauh daripada hentian bas yang menurunkan penumpang.

Situasi ini mengundang kepada berleluasanya aktiviti kereta sapu yang mengambil penumpang sewenang-wenangnya.

Menurut Hasnul, beliau akan membawa perkara ini untuk dibincangkan ketika sidang Dewan Negeri Selangor(DNS) supaya satu tindakan khusus dapat diambil pada kadar segera.

Jelasnya, beliau mencadangkan supaya Kerajaan Negeri mengambil semula tanah berkenaan daripada pemaju swasta, Ehsan Istimewa Sdn Bhd untuk dibangunkan semula.

“Kalau boleh, Kerajaan Negeri ambil semula tanah ini kerana pemaju ternyata gagal memenuhi janji yang akhirnya membebankan pengusaha teksi dan penduduk secara amnya,” ujarnya.

Sebelum ini, mantan Menteri Besar, Dr Khir Toyo menyerahkan tanah yang berkeluasan tiga ekar itu kepada syarikat swasta yang didakwa kroninya untuk dibangunkan.

Bagaimanapun, pemaju hanya membina sebuah bazar, beberapa buah kedai dan gerai namun tidak mengalihkan terminal teksi itu jauh daripada terminal bas berhampiran.

Dalam pada itu, wakil pengusaha Persatuan Teksi Kuala Langat, Anwar Sidek, 34, berkata, beliau dan pengusaha teksi lain sudah mengadakan beberapa sesi dialog bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta agensi lain namun tiada tindakan sehingga kini.

“Kalau dahulu, ahli persatuan kami 80 orang, tetapi kini hanya tinggal 50 orang kerana ramai yang tak dapat cari makan kerana masalah ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

PKR Dakwa BL1M Tetap Ada Penipuan

BL1M chang lih kang 02

PETALING JAYA, 11 MAC: PKR tidak akan mengemukakan permohonan maaf mahupun menarik balik kenyataan berhubung dakwaan wujudnya penipuan terhadap program Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M).

Adun Teja, Chang Lih Kang berkata, pendirian ini jelas dan mereka bersedia berhadapan sebarang tindakan undang-undang yang bakal dikenakan terhadap mereka.

“Kami ingin nyatakan kepada MYEG dan Pemuda Umno, kami takkan tarik balik kenyataan dan mengemukakan permohonan maaf.

“Kami bertanggungjawab sepenuhnya di atas kenyataan yang kami keluarkan minggu lepas di dalam sidang media,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Minggu lalu, Chang bersama Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail mendakwa, BL1M merupakan skim penipuan yang diilhamkan Pemuda Umno-BN untuk digunakan sebagai ruang mengaut keuntungan dan menindas pengusaha institut memandu.

Menurut kenyataan Chang sebelum ini, melalui skim itu, yuran ujian memandu dikurangkan dari RM261 kepada RM199, malah kerajaan langsung tidak mengeluarkan sebarang dana.

Sebaliknya pengurangan sebanyak RM62 terpaksa ditanggung sendiri oleh pengusaha institut memandu.

Sementara itu hari ini Siti Aishah memaklumkan, sebanyak 167 institut memandu bernaung di bawah Persatuan Institut Memandu Malaysia (Pima) dan Pemuda Umno perlu menjawab bagaimanakah nasib pemohon sekiranya semua institut memandu bertindak untuk tidak menyertai program ini.

“Pima juga dimaklumkan pihak Pemuda Umno dan MYEG akan membuka tender kepada semua institut memandu (IM) yang berminat dan memberikan harga terendah bagi mendapatkan lesen B2.

“Ini jelas terbukti harga yang pernah ditawarkan kepada IM sebelum ini sehingga hanya RM100 setiap calon.

“Dengan harga terlalu rendah, Pima bimbang serta memandang serius perkara ini kerana institut memandu boleh terjejas seperti kualiti perkhidmatan serta untuk mematuhi SOP (Standard of Procedure) yang telah ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

Tambah beliau, pihak bertanggungjawab perlu memperincikan setiap bayaran dan nama institut memandu yang menyertai program ini.

Categories
NASIONAL

Saman AES Dibatalkan Sekiranya PR Tawan Putrajaya

AES

KLANG, 22 FEB: Semua saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dibatalkan sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya memenangi pilihan raya yang bakal diadakan tidak berapa lama lagi.

Keputusan tersebut dicapai dalam satu mesyuarat Majlis Pimpinan PR yang diadakan pada minggu lepas.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi, saman tersebut dibatalkan bukan sahaja kerana ia membebankan rakyat, malah syarikat pengendali sistem tersebut juga dimiliki individu tertentu dalam Umno.

“Satu saman RM300. 400,000 saman sudah ada berapa bilion ringgit? Siapa dapat? Syarikat orang Umno dapat. Siapa bayar? Kita bayar. Dua saman RM600, habis duit BR1M RM500.

“Dahulu kita kata tangguhkan perlaksanaan, dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PR minggu lalu, PKR, PAS dan DAP sudah ambil keputusan, kita ambil alih Putra Jaya semua saman AES dibatalkan,” kata Anwar dihadapan hampir 7,000 hadirin yang membanjiri tapak ceramah di Taman Rakyat di Seri Andalas di sini.

AES merupakan sistem penguatkuasaan automatik yang menyaman pemandu yang memandu melebihi had laju.

Bagaimanapun projek swasta bernilai RM700 juta yang dimulakan pada bulan September tahun lalu itu mendapat bantahan orang ramai kerana dikatakan mempunyai sistem tidak cekap sehingga menyebabkan pemandu yang tidak memandu laju turut dikenakan saman.

Sementara itu, dalam satu kenyataan Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham), Ahmad Zamri As?aad Khuzaimi sebelum ini, AES diwujudkan semata-mata bertujuan menghalalkan niat busuk Umno-BN mendapatkan keuntungan secara mudah kepada kroni-kroni mereka.

Pada 18 Disember lalu, beberapa mahkamah yang mengendalikan prosiding kes saman AES termasuk di Kuala Lumpur dan Putrajaya memutuskan melepaskan tanpa membebaskan semua orang kena saman (OKS) bagi kes AES.

Keputusan itu diambil apabila mendapat bantahan awal dari peguam JUHAM dan Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) berikutan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyalahi undang-undang dengan menjalankan pendakwaan tanpa menunjukkan surat kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara.