Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Keluaran getah asli meningkat kepada 34,616 tan metrik pada April

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Banci Getah Bulanan bagi April 2020 menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 0.3 peratus pada April 2020 kepada 34,616 tan metrik berbanding 34,506 tan metrik pada bulan sebelumnya.

Laporan itu dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan perbandingan tahun ke tahun juga menunjukkan peningkatan 2.0 peratus daripada bulan sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata eksport getah asli Malaysia turun 10.2 peratus kepada 40,596 tan metrik pada April 2020 daripada 45,198 tan metrik pada Mac.

China kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli iaitu 48.9 peratus daripada jumlah eksport pada Mac diikuti Jerman (12.1 peratus), Amerika Syarikat (6.2 peratus), Iran (5.3 peratus) dan Taiwan (3.5 peratus).

“Eksport tertinggi adalah bagi item sarung tangan getah dengan nilai RM1,984.4 juta pada April, peningkatan 11.6 peratus berbanding Mac,” katanya pada taklimat media mengenai perangkaan tenaga buruh dan getah bulanan, di sini, hari ini.

Mohd Uzir berkata Malaysia mengeksport sarung tangan tertinggi ke Amerika Syarikat sebanyak 97,905 tan metrik pada April berbanding 24,737 tan metrik pada Mac, peningkatan 295.8 peratus, diikuti China (28.8 peratus) dan Jerman (9.9 peratus), didorong oleh permintaan tinggi disebabkan penularan pandemik Covid-19.

“Harga purata bagi lateks pekat merekodkan penurunan kepada 413.26 sen sekilogranm (kg) pada April berbanding Mac (435.66 sen sekilogram). Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) juga turun kepada 472.64 sen sekilogram berbanding 517.45 sen sekilogram bagi tempoh yang sama,” katanya.

Mohd Uzair berkata stok getah asli terus mencatatkan peningkatan sebanyak 0.5 peratus daripada 319,486 tan metrik pada Mac kepada 321,214 tan metrik pada April.

“Pembuatan sarung tangah getah kekal mendominiasi industri pembuatan getah asli dengan penggunaan sebanyak 35,080 tan metrik atau 89.5 peratus daripada jumlah penggunaan domestik (39,208 tan metri) pada April,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Jualan sektor pembuatan April susut 33 peratus

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Jualan sektor pembuatan Malaysia pada April 2020 susut sebanyak 33 peratus kepada RM75.8 bilion berbanding RM113.1 bilion bagi tempoh sama tahun lepas, demikian menurut Jabatan Perangkaan.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bagi bulan ke bulan, nilai jualan sektor itu merosot sebanyak 31.2 peratus (RM34.3 bilion) manakala dalam pelarasan bermusim nilai tersebut turun sebanyak 29.5 peratus.

“Penurunan tahun ke tahun yang direkodkan bagi nilai jualan April 2020 adalah disebabkan oleh penyusutan dalam produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (-69.5 peratus), produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (-67.5 peratus) dan produk peralatan elektrik & elektronik (-39.6 peratus),” katanya.

Mohd Uzir berkata ini juga disebabkan oleh penutupan sementara perniagaan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Menurutnya, dalam keadaan biasa sebaliknya nilai jualan sektor pembuatan itu akan mencatat pertumbuhan dianggarkan sebanyak 6.9 peratus.

Beliau berkata industri perkhidmatan bukan utama juga merekodkan penurunan ketara apabila kapasiti penggunaan kilang susut di bawah 50 peratus.

Selain itu jumlah pekerja yang terbabit dalam sektor pembuatan bagi April 2020 juga berkurangan sebanyak 3.2 peratus tahun ke tahun kepada 2,169,473 orang.

Gaji dan upah dibayar pula berjumlah RM6,825.4 juta iaitu turun sebanyak 6.2 peratus atau RM448.7 juta pada April 2020 berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

Menurut laporan bulanan itu, nilai jualan bagi setiap pekerja menguncup 30.8 peratus kepada RM34,918 berbanding tempoh sama pada 2019 manakala purata gaji dan upah setiap pekerja adalah RM3,146 pada April lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

PKP: Produktiviti buruh turun 0.8 peratus suku pertama 2020

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Produktiviti buruh Malaysia bagi bagi suku pertama 2020, mencatatkan penurunan 0.8 peratus daripada 1.4 peratus pada pada suku keempat 2019 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Nilai ditambah per pekerja adalah sebanyak RM22,578 pada suku pertama 2020 berbanding RM24,263 pada suku keempat 2019.

Produktiviti buruh, atau nilai ditambah per pekerja dianggar dengan membahagikan nilai ditambah dan pekerja yang merangkumi majikan, pekerja, bekerja sendiri dan pekerja keluarga tanpa gaji.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata produktiviti buruh Malaysia yang diukur sebagai nilai ditambah per jam bekerja meningkat 2.1 peratus (S4 2019: 1.4 peratus) dengan nilai ditambah per jam bekerja adalah RM40 per jam (S4 2019: RM42 per jam).

Peningkatan produktiviti buruh per jam bekerja pada suku ini adalah berikutan penurunan besar dalam jam bekerja berbanding pengeluaran output yang sederhana, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Pelaksanaan fasa pertama PKP menyebabkan kejatuhan jumlah jam bekerja pada suku ini.

“Purata jam bekerja pada suku ini hanya 44.3 jam seminggu (S4 2019: 45.0 jam seminggu). Nilai ditambah yang menunjukkan output barangan dan perkhidmatan domestik yang dihasilkan tumbuh marginal 0.7 peratus pada S1 2020 berbanding 3.6 peratus pada suku sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata meskipun prestasi ekonomi yang perlahan pada 0.7 peratus pada suku pertama, pekerjaan meningkat 1.6 peratus dengan merekodkan sebanyak 15.2 juta orang.

Mohd Uzir berkata dari sudut sektor ekonomi, produktiviti buruh mengikut pekerja bagi sektor Pertanian turun 8.9 peratus (S4 2019: -6.1 peratus) manakala bagi sektor perlombongan dan pengkuarian susut 0.4 peratus (S4 2019: -4.0 peratus).

Sektor Pembuatan mencatatkan penurunan pertumbuhan produktiviti buruh mengikut pekerja pada 0.2 peratus (S4 2019: 0.8 peratus) manakala sektor pembinaan jatuh 5.3 peratus (S4 2019: 3.2 peratus).

Sektor Perkhidmatan merupakan satu-satunya sektor yang mencatatkan peningkatan positif produktiviti buruh per pekerja pada kadar 0.5 peratus (S4 2019: 2.9 peratus), katanya.

Mohd Uzir berkata selain permintaan global yang lebih perlahan, peristiwa luar jangka ini telah turut mempengaruhi ekonomi Malaysias.

Kejatuhan produktiviti buruh mengikut pekerja pada masa yang mencabar ini adalah berikutan kebanyakan industri mengekalkan pekerja di sebalik pertumbuhan perlahan pengeluaran.

Bagaimanapun, beliau berkata prestasi produktiviti buruh mengikut jam bekerja meningkat berikutan berlakunya pengurangan ketara jumlah jam bekerja terutamanya dalam tempoh PKP dan tidak dipengaruhi penggunaan automasi dalam industri.

Di sebalik kejutan ekonomi yang dialami, Mohd Uzir berkata industri dengan penggunaan teknologi tinggi berupaya mengekalkan produktiviti dan perniagaan mereka.

“Industri yang berintensifkan modal serta mengadaptasi automasi dilihat lebih berdaya tahan dan mempunyai produktiviti buruh yang lebih tinggi berbanding industri yang berintensifkan buruh.

“Sebagai contoh, aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman di Malaysia yang sinonim dengan penggunaan guna tenaga yang ramai dalam operasi sesebuah restoran atau kedai makan, akan berhadapan dengan isu kejatuhan produktiviti buruh semasa berlakunya krisis seperti pandemik Covid-19.

“Ini kerana, walaupun berlaku kekurangan permintaan perkhidmatan tersebut, pengusaha masih mengekalkan pekerja dan meneruskan pembayaran gaji,” katanya.

Beliau berpandangan bahawa penggunaan automasi, penyesuaian operasi perniagaan dapat dilaksanakan dengan segera semasa menghadapi krisis dan seterusnya produktiviti buruh dapat dikekalkan.

Dalam hal ini, industri perlu memanfaatkan krisis ini untuk menilai kembali struktur perniagaan sedia ada dengan melaksanakan inovasi ke arah norma perniagaan baharu.

Seterusnya, dalam jangka masa panjang, negara akan dapat menangani isu ketidakpadanan pekerja dengan mewujudkan lebih banyak pekerjaan mahir.

Beliau berkata krisis ini juga sewajarnya dijadikan titik perubahan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah.

Ia sekaligus akan meningkatkan pulangan kepada faktor pulangan bersesuaian dengan tahap pendidikan tertiari penduduk di negara ini yang semakin meningkat.

Memandangkan kebanyakan industri di negara ini masih berintensifkan buruh, pada masa ini setiap pengeluaran bernilai RM1, pengagihan kepada pekerja adalah sebanyak RM0.36 sahaja, katanya.

Mohd Uzir berkata, jalinan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan dan industri adalah penting ke arah transformasi industri berintensifkan modal dan peralihan kepada teknologi tinggi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Statistik baharu, terkini pantau sosioekonomi negara

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Jabatan Perangkaan sedang menyediakan statistik baharu dan terkini meliputi statistik yang lebih terperinci dan di peringkat kecil, menurut Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Katanya persediaan itu adalah selaras dengan keperluan statistik yang semakin diperlukan untuk memantau perkembangan sosioekonomi negara dalam menghadapi krisis ekonomi terutamanya disebabkan pandemik Covid-19.

“Kami juga sedang merancang pengeluaran anggaran segera Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi membolehkan prestasi ekonomi negara dapat dikeluarkan lebih awal berasaskan indikator dan statistik bulanan yang keluarkan oleh jabatan,” katanya ketika membentangkan prestasi ekonomi negara pada suku pertama 2020 yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Jabatan Perangkaan hari ini.

Berikutan itu, Mohd Uzir menggesa kerjasama perkongsian data dengan semua pihak berkaitan untuk membantu negara keluar daripada krisis ekonomi dengan lebih awal dan mencapai tahap sosioekonomi lebih makmur.

Terdahulu, beliau mengumumkan KDNK Malaysia susut 0.7 peratus pada suku pertama 2020 berbanding 3.6 peratus pada suku keempat 2019.

Ia merupakan kadar pertumbuhan terendah yang dicatatkan sejak suku ketiga 2009 iaitu negatif 1.1 peratus.

“Situasi ekonomi dunia berdepan permintaan yang perlahan akibat penularan Covid-19 di mana sesetengah negara telah melaksanakan sekatan keluar masuk lebih awal iaitu pada Januari dan ia memberi kesan kepada ekonomi negara mereka.

“Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi terbuka dengan jumlah dagangan hampir RM2 trilion setahun turut mendapat kesan negatif,” katanya.

China sebagai rakan dagang terbesar Malaysia misalnya mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang rendah dalam sejarah iaitu -6.8 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding enam peratus pada suku keempat 2019.

Ini diikuti Amerika Syarikat iaitu 0.3 peratus pada suku pertama 2020 berbanding 2.3 peratus pada suku keempat 2019 dan Hong Kong -8.9 peratus pada suku pertama 2020 berbanding -3.0 peratus pada suku keempat 2019.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Jualan sektor pembuatan susut tiga peratus pada Mac

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia mencatatkan penurunan tiga peratus kepada RM110.2 bilion pada Mac 2020 berbanding RM113.5 bilion pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata jualan produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain merosot -7.4 peratus; produk makanan, minuman dan tembakau (-5.9 peratus) dan produk peralatan elektrik dan elektronik (-5.7 peratus).

Berasaskan pertumbuhan bulan ke bulan, nilai jualan menyusut 0.9 peratus atau RM1.1 bilion manakala bagi terma pelarasan musim, nilai jualan mencatatkan penurunan 9.5 peratus, katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac, 2020, Mohd Uzir berkata nilai jualan sektor pembuatan merekodkan pertumbuhan 2.2 peratus kepada RM339.4 bilion berbanding tempoh yang sama 2019.

Sementara itu, beliau berkata jumlah pekerja dalam sektor itu pada Mac 2020 berjumlah 2.26 juta, peningkatan 1.2 peratus atau 27,541 pekerja berbanding 2.23 juta pekerja pada Mac 2019.

Menurut Mohd Uzir, gaji dan upah pada Mac 2020 berjumlah RM7.46 bilion dengan pertambahan 1.8 peratus atau RM130.5 juta pada bulan yang sama tahun lepas.

“Pada masa sama, nilai jualan per pekerja menguncup 4.1 peratus kepada RM48,815 berbanding bulan sama 2019. Sementara itu, purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,303 pada Mac 2020,” katanya.

Bagi suku pertama 2020, jumlah pekerja meningkat 1.2 peratus kepada 2.26 juta manakala gaji dan upah mencatat kenaikan 3.4 peratus kepada RM22.7 bilion. Nilai jualan per pekerja pada tempoh rujukan itu naik satu peratus kepada RM150,368, kata beliau.

-BERNAMA