Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Dua lagi rakyat Malaysia positif di Singapura

SINGAPURA, 1 OKT: Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan bahawa dua daripada tiga kes di dalam komuniti yang diumumkan terdahulu semalam adalah rakyat Malaysia.

Menurutnya seorang daripada mereka adalah lelaki berumur 23 tahun yang dikenal pasti sebagai kontak kes yang disahkan sebelum ini dan dikuarantin.

“Dia diuji semasa menjalani kuarantin bagi menentukan statusnya walaupun tiada gejala penyakit dikesan (asymptomatic),” menurut kementerian itu dalam data penuh yang dikeluarkan di sini.

Seorang lagi adalah wanita rakyat Malaysia berumur 31 tahun dan setakat ini tiada kaitan dengan kes berkenaan.

Menurut kementerian itu kes berkenaan dikesan semasa pelaksanaan ujian komuniti yang ditingkatkan, khusus bagi menguji semua individu berumur 13 tahun dan keatas yang didiagnosis dengan jangkitan pernafasan akut (ARI) semasa diperiksa kali pertama oleh doktor.

Kedua-dua kes itu menjadikan rakyat Malaysia yang dijangkiti di negara republik berkenaan minggu ini, kini berjumlah lima, dan kesemua mereka adalah pemegang pas kerja.

Singapura terdahulu dalam laporan awal hari ini mengesahkan tambahan 23 kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kes keseluruhan ini adalah 57,765.

Daripada 23 kes itu, empat adalah kes import manakala 16 melibatkan pekerja migran yang menghuni asrama.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Singapura catat 15 kes baharu, keseluruhan 57,654

SINGAPURA, 24 SEPT: Singapura yang sedang merangka hala tuju pembukaan semula fasa ketiga dan keempat sektor ekonomi dan aktiviti sosial, mengesahkan pertambahan 15 kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam.

Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di republik itu adalah 57,654 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam data ringkas dikeluarkan hari ini, terdapat lima kes import yang sudah pun diserahkan Notis Duduk di Rumah sebaik tiba di Singapura.

“Berdasarkan siasatan kami sehingga kini mendapati tiada kes komuniti,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan penuh yang dikeluarkan lewat Rabu, kementerian berkenaan mengklasifikasikan 1,025 kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,243 kes komuniti dan 54,359 kes melibatkan penghuni asrama pekerja asing.

Menurut MOH, 57,291 kes telah pulih sepenuhnya dan didiscaj daripada hospital atau kemudahan penjagaan komuniti.

Sejumlah 36 kes yang disahkan masih ditempatkan di hospital, namun tidak ada pesakit berada di unit rawatan rapi.

Sementara, 285 pesakit bergejala ringan atau secara klinikalnya sihat, tetapi diuji positif Covid-19, diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Sehingga kini, 27 orang mati akibat komplikasi Covid-19 di republik itu.

Tiada kluster baharu dikenal pasti semalam.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: 49 kes baharu di Singapura, keseluruhan 57,406

SINGAPURA, 13 SEPT: Laporan awal Kementerian Kesihatan Singapura hari ini menunjukkan tambahan 49 kes baharu jangkitan Covid-19 di negara republik itu, dengan lapan daripadanya melibatkan kes import.

Menerusi data ringkas yang dikeluarkan hari ini, menurutnya semua kes import telah diberikan Notis Tinggal di Rumah sebaik tiba di Singapura, dan berdasarkan siasatan sehingga kini, hanya satu kes dikesan dalam komuniti yang melibatkan seorang pemegang pas kerja.

Susulan laporan kes baharu, jumlah jangkitan secara keseluruhan kini menjangkau kepada 57,406.

Menerusi data penuh yang dikeluarkan lewat semalam, kementerian itu mengklasifikasikan 983 daripada kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,237 sebagai kes komuniti, dan 54,137 melibatkan penghuni asrama.

Menurutnya 56,699 pesakit sembuh sepenuhnya, dan 54 kes disahkan yang masih di hospital, namun tiada yang ditempatkan di unit rawatan rapi, manakala 577 pesakit dengan simptom ringan atau sihat secara klinikal tapi masih positif Covid-19 diasingkan dan dijaga di kemudahan komuniti.

Tiada kluster baharu dikesan semalam, dan sehingga kini 27 meninggal dunia akibat komplikasi disebabkan Covid-19 di Singapura.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Kes Covid-19 di seluruh dunia lepasi empat juta

ANKARA, 10 MEI: Jumlah kes jangkitan Covid-19 di seluruh dunia kini melepasi empat juta pada Ahad, lapor agensi berita Anadolu memetik data Johns Hopkins University.

Data itu menunjukkan korban di seluruh dunia mencecah 277,860 orang sementara pesakit yang sembuh berjumlah 1,348,383.

Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling teruk diancam wabak menyaksikan lebih 1.3 juta kes jangkitan dan 78,469 orang maut.

Diikuti United Kingdom (UK) dengan 31,662 orang meninggal dunia manakala Itali di kedudukan ketiga tertinggi menyaksikan seramai 30,395 pesakit maut.

Di Perancis pula 26,313 orang meninggal dunia disusuli Sepanyol dengan 26,299 kematian.

Sepanyol mempunyai kes kedua tertinggi iaitu lebih 222,800 diikuti Itali, UK dan Rusia.

China negara pertama wabak maut itu dikesan kini mencatatkan sifar kes. Keseluruhan negara ini melaporkan 83,976 kes dengan tiada kematian sejak minggu lalu menjadikan angka korban kekal seramai 4,637 orang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Korban global lebih 90,000, PBB gesa dunia bersatu

BEIJING, 10 APRIL: Dunia kini umpama berada di medan peperangan untuk melawan Covid-19 yang semakin mengganas, virus maut itu sudah merebak ke lebih 200 negara dan wilayah, lapor agensi berita Xinhua.

Di WASHINGTON, ujian klinikal untuk menilai keselamatan dan keberkesanan hydroxychloroquine, ubat antimalaria sudah bermula, dalam usaha mencari penawar penyakit COVID-19, menurut Institut Kesihatan Negara (NIH) Amerika Syarikat pada Khamis.

Peserta pertama telah mendaftar untuk menyertai ujian klinikal itu di Vanderbilt University Medical Center, Tennessee.

Di BRUSSELS pula menyaksikan Menteri Kewangan Eurogroup pada Khamis bersetuju mengenai pakej kewangan bernilai setengah trilion euro untuk membendung wabak itu.

Di NEW YORK, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menyeru semua negara anggota Majlis Keselamatan bersatu bagi mendepani pandemik COVID-19.

“Penglibatan Majlis Keselamatan penting untuk mengurangkan implikasi keamanan dan keselamatan akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam satu taklimat secara maya.

“Sudah tentu perpaduan amat penting pada masa yang mencemaskan ini.”

Di GENEVA, kadar kematian akibat Covid-19 dianggarkan 10 kali lebih tinggi berbanding influenza, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Bercakap pada taklimat Misi Covid-19 dari Geneva pada Khamis, beliau berkata setakat ini, lebih 1.3 juta orang dijangkiti dan hampir 80,000 terkorban.

Ujarnya, pandemik ini adalah lebih teruk daripada krisis kesihatan, ia memerlukan seluruh kepemimpinan kerajaan dan masyarakat bersama-sama berganding bahu untuk memerangi wabak itu.

Di LONDON, Perdana Menteri Britain Boris Johnson pada Khamis dipindahkan ke wad selepas beberapa hari ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Menurut seorang jurucakap, perdana menteri itu akan terus dipantau dalam fasa awal pemulihan, selepas dijangkiti Covid-19.

Di NEW YORK, pada Khamis petang Johns Hopkins University menerusi data terkini mendedahkan angka korban Covid-19 melebihi 90,057 orang di seluruh dunia.

-BERNAMA