Categories
NASIONAL

JAS Pahang digesa kemuka data pemeriksaan Sungai Semantan

SHAH ALAM, 12 OKT: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang digesa mengemukakan bukti melalui data pemeriksaan ke atas Sungai Semantan sekiranya betul sungai berkenaan tidak berlaku pencemaran.

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berkata, bukti perlu diberikan kepada rakyat kerana JAS Pahang bertanggungjawab dalam mengenal pasti pencemaran sungai yang berlaku di negeri itu.

“JAS perlu bertindak tegas, telus dan terbuka. Sekiranya betul ada pencemaran, mereka harus berlaku adil kepada orang ramai.

“Kalau ada pencemaran tetapi tidak cakap apa-apa, itu satu bentuk sabotaj. Bukan nak tuduh sabotaj, tetapi Pahang bekalkan air kepada Selangor. Dan jika air kotor, rakyat Selangor marah kepada kerajaan negeri yang kini sedang dipimpin Pakatan Rakyat (PR),” katanya memetik laporan FMT.

Fuziah berkata demikian mengulas gesaan Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Elizabeth Wong yang meminta JAS menyemak semula keputusan siasatannya sebelum ini yang Sungai Semantan di Pahang bebas pencemaran memandangkan ujian awal Kerajaan Selangor mendapati keadaan sebaliknya.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata JAS Pahang perlu mengambil iktibar daripada kejadian bauksit yang mengakibatkan pencemaran sungai di sekitar Kuantan.

Katanya, berdasarkan pencemaran bauksit, beliau mempunyai bukti JAS Pahang penakut dan hanya mengikut telunjuk kerajaan negeri tersebut yang dipimpin Barisan Nasional (BN).

“Pada pengalaman saya, JAS Pahang tidak ada tulang belakang dan sentiasa tidak telus. Saya nak katakan begini kerana dalam isu bauksit, JAS dalam kajian mereka memang mendapati ada pencemaran di beberapa sungai di Kuantan tetapi JAS tidak berani bercakap apa-apa. Dan bila menteri besar kata tidak ada pencemaran, JAS tidak berani nak cakap apa-apa.

“Mereka (JAS) harus telus dan bertanggungjawab. Sebab kalau tidak dikenal pasti, macam mana nak selesaikan punca pencemaran itu? Selagi tidak selesaikan, rakyat Selangor akan jadi mangsa,” katanya.

Sehubungan itu, Fuziah berkata JAS perlu mengemukakan bukti melalui keputusan data dan ‘point’ sampel itu diambil.

“Jika sudah kesan masalah pencemaran itu, JAS Pahang perlu sita pihak yang buat pencemaran itu seperti yang dilakukan Selangor,” katanya.

Terdahulu, Elizabeth berkata, wakil Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan pasukan pemantau sungai Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengenal pasti punca pencemaran baharu di Bentong, Pahang.

“Malangnya, pasukan itu tidak dapat memasuki premis berkenaan kerana pegawai JAS Pahang tidak hadir semasa pemeriksaan pagi ini,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau berkata jika pencemaran baharu berterusan, Projek Pemindahan Air Pahang-Selangor tidak dapat dilaksanakan akibat keadaan air dari Sungai Semantan.

EZY

Categories
SELANGOR

MB: Kegagalan JAS bertindak cepat mampu lemahkan bukti

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 OKT: Kegagalan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil sampel air di sungai tercemar dengan kadar segera mampu melemahkan kredibiliti untuk dijadikan bahan bukti bagi tujuan pendakwaan di mahkamah.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ia berikutan sampel diambil JAS yang hanya 10 jam selepas berlaku pencemaran menyebabkan bahan cemar dalam kandungan air sungai mula kembali dineutralkan oleh arus air daripada hulu sungai.

“Bagaimana JAS boleh melengah-lengahkan tindakan dan muncul 10 jam kemudian di lokasi.

“Apa juga sampel diambil setelah 10 jam berlaku, sudah tentulah kredibiliti bukti jadi lemah kerana (arus) air itu meneutralkan pencemaran yang berlaku dan ini tindakan tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata kepada media selepas menerima kunjungan hormat Walikota Bandung, Mochammad Ridwan Kamil di pejabatnya di sini, hari ini.

Jelasnya, lebih malang lagi, sampel diperolehi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Air Selangor tidak boleh dijadikan bukti dimahkamah ekoran di luar bidang kuasa kedua-dua agensi terbabit.

Katanya, selain bertanggungjawab memantau kebersihan air sungai, JAS juga merupakan jabatan bertanggungjawab mengawal selia tapak perindustrian supaya mereka mematuhi piawaian pelepasan bahan buangan di premis kilang masing-masing.

EZY

Categories
SELANGOR

Sungai Semenyih: Kelewatan agensi Persekutuan bertindak dipersoal

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 4 OKT: Kelewatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjalankan tindakan berhubung kejadian pencemaran bau air di Sungai Semenyih menimbulkan persoalan sekiranya wujud unsur sabotaj terhadap pentadbiran negeri.

Kesal terhadap perkara itu, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, berkata arahan mengenainya sudah dikeluarkan terlebih awal selepas punca pencemaran dikenalpasti.

Bagaimanapun, tiada sebarang tindakan susulan agensi Kerajaan Persekutuan itu untuk terus bertindak menyelesaikan permasalahan tersebut pada kadar segera.

img-20161004-wa0005“Kami kesal dengan kelewatan JAS walaupun mereka telah dimaklumkan hampir 12 jam lebih awal berhubung kes ini.

“Mereka sepatutnya bertanggungjawab dan menjalankan kerjasama bersama Kerajaan Negeri walaupun mereka adalah agensi Persekutuan.

“Namun kita berharap ini akan menjadi pengajaran buat semua agar desakan selanjutnya dibuat demi manfaat rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Air Selangor berada di lokasi sejak semalam, selepas pihak pemantau mengesan pencemaran bau.

Pada masa sama, LUAS telah membuat laporan polis jam 2.45 pagi tadi untuk siasatan kejadian pencemaran air oleh pelaku cemar air.

Bagaimanapun, JAS hanya mula turun ke lokasi pagi ini untuk mengambil sampel air, selepas Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali melakukan lawatan mengejut di tapak lokasi itu pagi tadi.

EZY

Categories
NASIONAL

Lapan kawasan Lembah Klang catat IPU tidak sihat

Oleh: NURUL FARINA NAZLAN

SHAH ALAM, 13 MAC: Kuala Selangor, Shah Alam, Banting, Pelabuhan Klang, Petaling Jaya, Putrajaya, Batu Muda dan Cheras mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 11 pagi ini.

Laporan laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati kawasan itu mencatatkan IPU melebihi 100 dengan Pelabuhan Klang (164), Kuala Selangor (161), Banting (143), Petalinag Jaya (116), Shah Alam (114), Putrajaya (131), Batu Muda (120) dan Cheras (108).

flotingSementara itu, Sri Aman, Sarawak mencatatkan bacaan IPU, 98, manakala Muar, Johor (88) dan Seri Manjung, Perak (82).

JAS mengkategorikan IPU pada tahap 0-50 sebagai baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 301).

Menurut laman web itu, kebiasannya kepekatan ozon adalah tinggi dan mendominasi bacaan IPU di sesetengah kawasan menjelang lewat tengahari atau awal petang.

Untuk mengetahui perkembangan semasa bacaan IPU di kawasan masing-masing, orang ramai boleh mengunjungi portal JAS di alamat http://apims.doe.gov.my

Categories
SELANGOR

Pasukan Pemantau Pencemaran dilancar tangani isu alam sekitar

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 25 NOV: Peranan masyarakat dalam isu pencemaran alam sekitar di Selangor dikembangkan lagi apabila Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor melancarkan program Pasukan Pemantau Pencemaran (3P).

Program yang dilancarkan Exco Alam Sekitar, Elizabeth Wong itu melibatkan masyarakat awam yang berperanan sebagai mata dan telinga kepada JAS.

OLYMPUS DIGITAL CAMERAElizabeth ketika merasmikan pelancaran itu di Hotel Concorde di sini berkata, program itu dilaksanakan berikutan bertambahnya kesedaran orang awam terhadap isu-isu yang melibatkan pencemaran alam sekitar.

“Program ini melibatkan ahli Rakan Alam Sekitar (RAS) berperanan sebagai mata dan telinga kepada JAS dalam membantu, melapor, menangani dan menyelesaikan masalah pencemaran alam sekitar setempat.

Ia terutama dari industri, loji-loji kumbahan, pembakaran terbuka, pembukaan dan kerja-kerja tanah serta pelupusan haram buangan terjadual seperti toksid merbahaya.

IMG-20131125-00084Kata Elizabeth, Program RAS melibatkan penduduk setempat termasuklah generasi muda dan dewasa, badan bukan kerajaan (NGO)
dan semua anggota masyarakat yang dijalankan mengikut parlimen
sejak 2009,

Katanya, sehingga November 2013, RAS sudah mencecah 142,763 keahlian dan 13,665 adalah ahli RAS yang berdaftar di Selangor.

“Pada 2012 sejumlah 6,070 bilangan aduan berbagai kategori diterima dan direkod JAS di mana 1,964 darinya merupakan aduan pencemaran yang direkodkan JAS Selangor.

“Sehubungan itu, 3P ini diperkenalkan sebagai salah satu perluasan skop program RAS dan platform bagi memantau aduan pencemaran secara berterusan dan tersusun terutama peringkat komuniti dan kawasan parlimen,” kata beliau lagi.

Ahli-ahli kumpulan 3P ini terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK), Ketua Kampung, Penghulu, komuniti agama atau persatuan taman perumahan, rukun tetangga dan di kalangan ahli politik yang akan dilatih menerusi pendedahan secara bengkel atau seminar di peringkat negeri.

“Sebagai permulaan seramai 50 orang dilantik sebagai ahli pasukan 3P di negeri Selangor ini,” kata Elizabeth lagi.

-EZY