Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bekas pesakit Covid-19 lega dapat kembali rekreasi di taman awam

SHAH ALAM, 28 OGOS: Hampir tiga bulan tidak dapat berkunjung ke Taman Tasik Shah Alam di sini, bekas  pesakit Covid-19 yang juga pesara kerajaan ‘melepas geram’ berjoging di taman yang dibuka kepada awam mulai 22 Ogos lalu.

Abdul Rahman Mohd, 58, berkata beliau gembira kerana dapat meneruskan rutinnya berjoging di taman awam itu pada hujung minggu yang terhenti apabila ditutup pada 1 Jun susulan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

Abdul Rahman Mohd, 58

“Rasa seronok dapat kembali berjoging di taman ini, saya mahu kembali cergas selepas baru-baru ini dijangkiti Covid-19.

“Semua pengunjung dilihat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP),” katanya yang tinggal di Seksyen 24 di sini.

Taman itu ditutup oleh kerajaan untuk sebarang aktiviti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun lalu.

Bagi pekerja swasta, Zafarul Atikah Zan, 37, kelonggaran diberi kepada penerima vaksin lengkap itu digunakannya sebaik mungkin untuk bersukan bersama rakan sekerja bagi mengurangkan tekanan.

Zafarul Atikah Zan, 37

“Sepanjang PKP, saya bersenam di rumah yang kadang-kalanya membosankan, di sini lega dapat lihat kawasan hijau dan bersih.

“Dapat juga melepas tekanan selepas penat bekerja,” katanya yang sentiasa berkunjung ke taman itu sejak berpindah ke Seksyen 7, Shah Alam, 10 tahun lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya joging dan senaman dibenar hingga 8 malam

SHAH ALAM, 30 MEI: Hanya joging dan bersenam sehingga jam 8 malam dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Selasa ini.

Menteri kanan (keselamatan) berkata aktiviti sukan dan rekreasi itu mestilah dilakukan di kawasan terbuka tanpa sentuhan fizikal.

“Terhad kepada joging dan senaman sahaja dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua hingga tiga meter.

“Dan dilakukan di kawasan kejiranan tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media khas hari ini.

Kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi menerusi PKP fasa pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula Selasa hingga 14 Jun ini.

Menerusi langkah itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Joging, berbasikal dibenarkan sepanjang PKP

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan terbuka tanpa bersentuhan fizikal seperti joging, berbasikal dan senaman dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5 meter kini boleh dijalankan bermula hari ini.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan memaklumkan kelonggaran itu diberi setelah Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam mempertimbang rayuannya untuk melihat semula keputusan berhubung tatacara operasi piawai sektor sukan serta rekreasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 7 hingga 20 Mei 2021.

“Kelonggaran-Kelonggaran lain bagi sektor sukan dan rekreasi akan diperhalusi dalam Mesyuarat Teknikal MKN seterusnya,” menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook KBS.

Menteri berkenaan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula menzahirkan rasa terima kasih kepada ahli Sidang Khas MKN khususnya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi pertimbangan sewajarnya terhadap cadangan KBS.

Pada masa sama, Reezal Merican menyeru peminat dan penggiat sukan untuk terus melaksanakan aktiviti kecergasan dengan selamat sepanjang tempoh PKP.

“Kita masih belum menang dalam melawan penularan Covid-19. Justeru, semua pihak hendaklah memainkan peranan yang lebih berkesan agar pelaksanaan PKP kali ini benar-benar mencapai matlamat yang dihasratkan” katanya.

Kelmarin, Sidang Khas MKN memutuskan untuk menggantung sementara sektor serta aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan PKP termasuk semua aktiviti sukan dan rekreasi di premis atau kemudahan komersial, kemudahan awam dan kawasan terbuka.

Bagaimanapun, beberapa aktiviti seperti program latihan berpusat secara kuarantin Majlis Sukan Negara dan Majlis-Majlis Sukan Negeri menggunakan konsep ‘Camp Based Training’ antara yang dibenarkan.

Perkembangan itu secara tidak langsung mengundang pelbagai reaksi masyarakat apabila aktiviti riadah seperti bersenam, joging dan berbasikal bersendirian tidak dibenarkan.

-BERNAMA