Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bekas pesakit Covid-19 lega dapat kembali rekreasi di taman awam

SHAH ALAM, 28 OGOS: Hampir tiga bulan tidak dapat berkunjung ke Taman Tasik Shah Alam di sini, bekas  pesakit Covid-19 yang juga pesara kerajaan ‘melepas geram’ berjoging di taman yang dibuka kepada awam mulai 22 Ogos lalu.

Abdul Rahman Mohd, 58, berkata beliau gembira kerana dapat meneruskan rutinnya berjoging di taman awam itu pada hujung minggu yang terhenti apabila ditutup pada 1 Jun susulan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

Abdul Rahman Mohd, 58

“Rasa seronok dapat kembali berjoging di taman ini, saya mahu kembali cergas selepas baru-baru ini dijangkiti Covid-19.

“Semua pengunjung dilihat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP),” katanya yang tinggal di Seksyen 24 di sini.

Taman itu ditutup oleh kerajaan untuk sebarang aktiviti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun lalu.

Bagi pekerja swasta, Zafarul Atikah Zan, 37, kelonggaran diberi kepada penerima vaksin lengkap itu digunakannya sebaik mungkin untuk bersukan bersama rakan sekerja bagi mengurangkan tekanan.

Zafarul Atikah Zan, 37

“Sepanjang PKP, saya bersenam di rumah yang kadang-kalanya membosankan, di sini lega dapat lihat kawasan hijau dan bersih.

“Dapat juga melepas tekanan selepas penat bekerja,” katanya yang sentiasa berkunjung ke taman itu sejak berpindah ke Seksyen 7, Shah Alam, 10 tahun lalu.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Sukan luncur keluang idea Raja Muda Selangor dibuka di tasik Shah Alam

SHAH ALAM, 29 MAC: Aktiviti sukan luncur keluang (flying fox) akan dibuka kepada orang awam bermula Khamis ini di Taman Tasik Shah Alam.

Pemangku datuk bandar Shah Alam berkata tarikan terbaharu itu adalah cetusan idea Raja Muda Selangor  Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tengku Amir Shah dalam usaha melahirkan generasi muda proaktif, berani dan mengamalkan gaya hidup sihat.

“Pada 1 hingga 4 April ia akan dibuka secara percuma kepada pengunjung, tetapi bermula 5 April bayaran untuk menaiki ‘flying fox’ adalah RM25 untuk dewasa. Tetapi untuk penduduk Shah Alam, anda perlu menunjukkan kad pengenalan untuk mendapatkan diskaun sebanyak RM5.

“Sementara untuk pelajar pula, harga tiket ialah RM20 untuk dua sesi, orang ramai boleh mendapatkan tiket di kaunter yang disediakan,” kata Mohd Rashidi Ruslan pada majlis Perasmian Zip Line Shah Alam dan Laman Budaya Musical Fountain di Taman Tasik Shah Alam, malam tadi.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menandatangani plak sempena perasmian Zip Line dan Laman Budaya Musical Fountain di Tasik Shah Alam pada 28 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Tengku Amir Shah hadir mencemar duli merasmikan tarikan tersebut diiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, Mohd Rashidi berkata aktiviti sukan yang dikenali sebagai Zip Line Shah Alam dibina sepanjang 240 meter dengan ketinggian 18 meter.

“Waktu operasi pada 1 hingga 12 April bermula jam 10 pagi hingga 6.30 petang iaitu pada Isnin hingga Jumaat. Sementara Sabtu dan Ahad dari jam 8.30 pagi hingga 6.30 petang. Manakala sepanjang Ramadan dibuka dari jam 2.30 hingga 6.30 petang.

“Kos pembinaannya menelan belanja sebanyak RM500,000 dan diharap dapat digunakan sebaiknya oleh pengunjung,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Raja Muda Selangor rasmi tarikan baharu Taman Tasik Shah Alam

SHAH ALAM, 28 MAC: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah merasmikan dua tarikan baharu di Taman Tasik Shah Alam hari ini.

Turut hadir ke majlis pelancaran Zip Line Shah Alam dan Laman Budaya Musical Fountain itu ialah Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Baginda melakukan aktiviti ‘flying fox’ bersama Amirudin di laluan Zip Line Shah Alam yang dibina sepanjang 240 meter merentasi tasik.

Pemangku Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan berkata Majlis Bandaraya Shah Alam menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama negeri ini membina kemudahan seumpama itu.

“Saya harap penduduk dapat menggunakan kemudahan ini sebaiknya dan pada masa sama mendidik kanak-kanak serta generasi muda terhadap kepentingan kekalkan persekitaran hijau di Shah Alam,” katanya.

Categories
SELANGOR

Tarikan terbaru di Taman Tasik Shah Alam gamit pengunjung

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 OKT: Jambatan kanopi dan titi gantung, itu antara tarikan terbaru yang terdapat di Taman Tasik Shah Alam.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, selain itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) turut menyediakan menara tinjau dan trek basikal kanak-kanak khas buat pengunjung.

Katanya, jambatan kanopi yang dibina sepanjang 147.6 meter itu mempunyai ketinggian tiga meter dari permukaan tanah.

“Bagi mereka yang ingin melihat pemandangan lebih indah di sekitar Tasik Shah Alam ini, mereka boleh menggunakan menara tinjau yang dibina dengan ketinggian enam meter.

“Projek pengindahan ini bertujuan untuk memberi daya tarikan baru kepada pengunjung kerana Taman Tasik Shah Alam menjadi tumpuan utama bagi aktiviti riadah, tidak dinafikan keindahan landskap di sini turut menggamit masyarakat sekitar Lembah Klang khususnya Shah Alam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis perasmian empat jenis tarikan terbaru Taman Tasik Shah Alam, di sini, pagi tadi.

Ahmad Zaharin berkata, menariknya kali ini, MBSA turut menyediakan kemudahan buat kanak-kanak termasuk trek basikal sejauh 129 meter.

“Turut dibina ialah jambatan khas kanak-kanak bagi membolehkan mereka merasai pengalaman berada di atas jambatan dengan paras selamat.

“Wujudnya kemudahan baru ini, MBSA mengharapkan kerjasama pengunjung supaya dapat bersama-sama menjaga kemudahan awam yang disediakan, ia supaya dapat digunakan dengan lebih selamat dan selesa,” katanya.

Categories
SELANGOR

Raja Muda Selangor berkenan rasmi tarikan terbaru Taman Tasik Shah Alam

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 OKT : Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah al Haj berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan upacara perasmian tarikan terbaru di Taman Tasik Shah Alam yang bernilai RM1.9 juta, pagi ini.

Keberangkatan tiba baginda di Taman Tasik Shah Alam itu turut disambut oleh Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Najwan Halimi dan kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Baginda turut dibawa melihat menara tinjau serta menaiki jambatan kanopi yang dibina sepanjang 147.6 meter.

Pada majlis yang sama, baginda turut berkenan menanam pokok pine ‘araucaria columnaris’.

Ahmad Zaharin yang berucap pada majlis berkenaan berkata, beliau berbesar hati apabila program berkenaan mendapat perhatian baginda Tuanku Raja Muda Selangor.

“Ini jelas mengambarkan komitmen Tuanku terhadap kemudahan yang dibangunkan MBSA demi rakyat setempat.

“MBSA juga akan meneruskan beberapa projek lain bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar di Shah Alam,” katanya.