Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya joging dan senaman dibenar hingga 8 malam

SHAH ALAM, 30 MEI: Hanya joging dan bersenam sehingga jam 8 malam dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Selasa ini.

Menteri kanan (keselamatan) berkata aktiviti sukan dan rekreasi itu mestilah dilakukan di kawasan terbuka tanpa sentuhan fizikal.

“Terhad kepada joging dan senaman sahaja dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua hingga tiga meter.

“Dan dilakukan di kawasan kejiranan tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media khas hari ini.

Kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi menerusi PKP fasa pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula Selasa hingga 14 Jun ini.

Menerusi langkah itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat beli-belah ditutup kecuali bahagian jual makanan

SHAH ALAM, 30 MEI: Pusat beli-belah ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kecuali bahagian makanan dan pasar raya yang menyediakan produk makanan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang media khas berkata sektor perniagaan itu dibenarkan beroperasi dari jam 8 pagi sehingga 8 malam.

Perniagaan dibenar operasi ketika PKP:

1. Pusat membeli-belah ditutup kecuali premis, pasar raya, pasar raya besar dan ‘departmental store’ yang mempunyai seksyen makanan dan minuman, keperluan asas, kedai farmasi, penjagaan diri, kedai serbaneka, mini mart dan restoran untuk bawa pulang dan penghantaran ke rumah.

2. Pasar raya, pasar raya besar, kedai farmasi, penjagaan diri, kedai serbaneka, pasar mini dan kedai runcit serta ‘departmental store’ dibuka terhad kepada seksyen makanan, minuman dan keperluan asas sahaja

3. Restoran, gerai-gerai serta outlet makanan

4. Dobi (termasuk layan diri)

5. Kedai penjagaan haiwan dan makanan haiwan

6. Kedai cermin mata dan barang optik

7. Kedai hardware

8. Bengkel kenderaan, penyelenggaraan dan alat ganti

9. E-dagang (semua kategori produk)

10. Pemborongan dan pengedaran (semua kategori produk perkhidmatan perlu sahaja)

Categories
AGENDA NASIONAL

Sektor perkilangan dihad, hanya 12 kategori dibenar

SHAH ALAM, 30 MEI: Sektor perkilangan dihad sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh dengan hanya 12 kategori dibenarkan.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media khas hari ini.

Terhad kepada 60 peratus pekerja sahaja selain mematuhi tatacara piawai operasi (SOP), sektor itu ialah:

– Aeroangkasa (komponen dan maintenance, repair and overhaul – MRO)
– Makanan dan minuman
– Bahan pembungkusan dan percetakan hanya berkaitan bahan makanan dan kesihatan
– Barang-barang dan penjagaan diri, dan bahan pencuci
– Keluaran penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet
– Barang penjagaan diri, peralatan perlindungan diri (PPE) termasuk sarung tangan getah dan peralatan
keselamatan kebakaran
– Komponen bagi peranti perubatan
– Elektrikal dan Elektronik (kepentingan rantaian ekonomi global)
– Minyak dan gas (Oil and Gas) termasuk petrokimia dan produk petrokimia
– Mesin dan peralatan hanya berkaitan kesihatan dan makanan sahaja
– Tekstil untuk pengeluaran PPE sahaja
– Pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan dan pengagihan bahan api dan pelincir

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pekilang gesa import, eksport dibenar ketika sekatan pergerakan penuh

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan untuk membenarkan aktiviti sektor import dan eksport diteruskan – termasuk pelabuhan, penggudangan dan penghantaran barang sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh.

Dalam kenyataan hari ini, FMM turut berharap agar industri pembuatan dengan pesanan eksport berkontrak dibenarkan beroperasi pada kapasiti 50 peratus, meskipun tidak terbabit dalam sektor ekonomi perlu.

Ia turut menyarankan kerajaan memberi kebenaran kepada industri yang menjalankan penyelenggaraan loji, sambil menambah, mereka yang mempunyai relau dan tanur yang perlu beroperasi selama 24 jam seminggu dan tidak boleh dihentikan, mesti dibenarkan beroperasi dengan kapasiti tenaga kerja 20 peratus.

“Dalam hal ini, FMM sedar kerajaan selama ini sentiasa mengekalkan keseimbangan antara melindungi nyawa dan punca pendapatan, namun, lonjakan jumlah kes pada minggu ini menyebabkan tindakan mengenakan sekatan pergerakan penuh itu dibuat.

Menurut FMM, ia turut menarik nafas lega dengan kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat bahawa Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan.

“FMM mengulangi bahawa kerajaan harus segera menyokong industri pada saat yang genting ini menerusi bantuan dan inisiatif kewangan yang diperlukan termasuk memperuntukkan Dana Bantuan Khas untuk membantu syarikat, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana.

Selain moratorium automatik selama tiga bulan mulai 1 Jun 2021, ia turut berharap agar kerajaan mewujudkan semula Program Subsidi Upah kepada semua industri dan menangguhkan atau melanjutkan tarikh bayaran bagi semua caruman berkanun berikutan penutupan sepenuhnya operasi, melainkan mereka yang disenaraikan dalam sektor perlu.

Pihaknya turut menggesa kerajaan untuk mengecualikan caj Permintaan Maksimum Tenaga Nasional Bhd untuk Mei 2021 memandangkan industri telah mengurangkan sebanyak 60 peratus tenaga kerja sejak 25 Mei 2021 dan meneruskan rebat elektrik untuk tempoh enam bulan akan datang mulai Julai hingga Disember tahun ini.

-BERNAMA