Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ, SPRM tekad perkasa integriti tadbir urus

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited, memperkasakan aspek integriti dan tadbir urus telus dalam pelaksanaan tugasan rutin, melalui hubungan kerjasama strategik antara kedua-dua jabatan itu.

JPJ dan SPRM dalam kenyataan bersama hari ini memaklumkan, satu kerangka kerja dan kolaborasi rapat diwujudkan, ke arah menyuburkan budaya kerja berintegriti tinggi di seluruh Pejabat JPJ.

Perkara itu diputuskan ketika kunjungan hormat Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki, semalam.

Zailani berkata, jabatan itu tidak akan berkompromi dengan apa juga salah laku yang melibatkan warga kerjanya dengan pihak-pihak luar yang bersangkutan dengan aspek integriti.

Menurutnya, JPJ mengamalkan pendekatan polisi ‘pintu terbuka’ dan bersedia menerima syor daripada orang awam, ke arah meningkatkan kecekapan jabatan dalam penyampaian perkhidmatan kepada orang awam.

“Saya berazam meningkatkan imej positif JPJ ke tahap lebih tinggi, dan meningkatkan tahap integriti kalangan warga kerja jabatan tanpa mengesampingkan aspek kolaborasi rapat dengan jabatan atau agensi penguatkuasaan lain, di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Azam berkata pihaknya menyambut baik hasrat itu dan berjanji akan memberi kerjasama padu melalui penempatan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO), di Bahagian Integriti JPJ.

“Sejak dahulu lagi hubungan strategik antara pihak JPJ dan SPRM direalisasikan melalui pelaksanaan operasi bersama, seperti op kenderaan klon, penipuan ujian lesen memandu dan lain-lain.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menyemak semula Nota Kerjasama (JPJ-SPRM), yang dimeteraikan pada 2017, ke arah usaha untuk menambah baik dan memantapkan hubungan kerja antara dua jabatan ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ kutip lebih RM8.5 bilion hasil bukan cukai 2018-2019

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengutip sejumlah RM8.5 bilion melalui sumber hasil bukan cukai pada tahun 2019 dan 2018.

Memberikan angka terperinci, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM4,317,189,192.16 merupakan hasil kutipan pada tahun lepas manakala RM4,233,171,543.31 pada 2018.

“Hasil kutipan bagi kedua-dua tahun berkenaan melalui saluran di kaunter fizikal JPJ adalah sebanyak RM5,028,984,496.37 bersamaan 58.82 peratus dan pada masa ini perkhidmatan kaunter fizikal JPJ melibatkan 15 JPJ negeri, 65 cawangan JPJ dan 19 JPJ UTC (Pusat Transformasi Bandar),” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Anthony Loke Siew Fook (PAKATAN-Seremban) yang ingin tahu jumlah hasil cukai dan hasil bukan cukai yang dipungut JPJ pada 2018 dan 2019 serta jumlah hasil yang dipungut melalui kaunter fizikal JPJ, saluran dalam talian (online) MySikap JPJ dan saluran dalam talian syarikat swasta.

Mengulas lanjut, Wee berkata kesemua jumlah berkenaan dikutip daripada hasil bukan cukai sahaja seperti pembayaran fi perkhidmatan pengeluaran lesen memandu, fi perkhidmatan urus niaga pendaftaran baharu kenderaan motor, fi dikenakan ke atas pembaharuan lesen kenderaan motor dan bayaran denda (saman).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Saman RM300 nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi

SHAH ALAM, 17 JUN: Sebanyak 12,694 notis saman dikeluarkan sepanjang tahun ini jika menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, kata ketua pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)

Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata sebanyak 7,455 pemilik kenderaan turut dikenakan kompaun RM300 atas kesalahan sama sekali gus menunjukkan ramai pengguna jalan raya mengabaikan peraturan tersebut.

“Pemilik kenderaan yang diberikan notis saman perlu hadir ke pejabat JPJ untuk memberi penjelasan dan diperiksa sebelum disaman RM300.

“Jumlah notis saman yang tinggi menunjukkan ramai pengguna jalan raya mengabaikan peraturan. Nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi akan mengelirukan dan sukar dicam pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Shaharuddin berkata orang ramai yang melihat kenderaan menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi boleh merakam gambar dan menghantar aduan ke e-mel [email protected].

Categories
AGENDA NASIONAL

Kaunter JPJ seluruh negara dibuka sepenuhnya Isnin ini

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka perkhidmatan kaunter sepenuhnya termasuk di cawangan Pos Malaysia bagi semua urusan bermula Isnin ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata pada masa ini, kakitangan JPJ di seluruh negara dalam persiapan terakhir untuk digerakkan sepenuhnya bagi memulakan pengoperasian termasuk memastikan langkah dari aspek keselamatan dan kesihatan dipenuhi.

Beliau berkata beberapa penyelarasan rutin juga dimuktamadkan antara JPJ dengan bank yang berkaitan untuk memastikan perkhidmatan JPJ dapat kembali normal pada minggu hadapan.

“Sebelum ini, JPJ telah membuka perkhidmatan kaunter secara berperingkat susulan keputusan kerajaan membuka semula sektor ekonomi negara menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Hanya urus niaga tertentu dibenarkan beroperasi di kaunter sehingga 17 Mei ini dan senarai urus niaga berkenaan antaranya pembaharuan Lesen Memandu Malaysia dan Lesen Vokasional (GDL dan PSV) bagi pemandu kenderaan perdagangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata JPJ juga akan terus beroperasi selama tujuh hari seminggu bertujuan membolehkan urus niaga tertunggak diselesaikan secepat mungkin untuk mengelakkan kesesakan pelanggan sedia ada daripada kedua-dua urusan perdagangan dan individu.

“Pengoperasian ini akan berterusan sehingga arahan pemberhentian diumumkan kelak manakala waktu operasi pula adalah dari 8 pagi hingga 4 petang pada hari bekerja dan 8 pagi hingga 1 tengah hari pada hujung minggu (Jumaat dan Sabtu di beberapa negeri yang berkaitan).

“Pembayaran secara tunai bagi semua urusan di cawangan JPJ adalah dibenarkan hanya pada 8 pagi hingga 11 pagi sementara pembayaran tanpa tunai atau e-payment termasuk transaksi melalui kad debit dan kad kredit pula diterima mulai 8 pagi hingga 4 petang pada hujung minggu,” katanya.

Wee berkata hanya e-bayaran dibenarkan untuk semua urusan pada hujung minggu.

“Diingatkan bahawa kenderaan persendirian masih tertakluk terhadap pengecualian pembaharuan Lesen Kenderaan Motor dan Lesen Memandu dalam tempoh PKP dengan syarat kenderaan itu masih dilindungi dengan perlindungan insurans yang sah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, beliau berkata perkhidmatan kaunter JPJ akan ditutup mulai hari Sabtu (23 Mei) sehingga Selasa (26 Mei) dan kembali beroperasi pada hari Rabu (27 Mei).

“Saya ingin mengingatkan kepada orang ramai dan kakitangan agensi supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dalam usaha bersama mencegah penularan wabak COVID-19,” katanya.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ: Dibenar pandu kenderaan tamat tempoh, syarat insurans berkuat kuasa

PUTRAJAYA, 5 MEI: Orang awam dibenarkan memandu kenderaan jika Lesen Kenderaan Motor (LKM) ataupun lesen memandu tamat tempoh dalam waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dengan syarat insurans kenderaan masih berkuat kuasa.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kenderaan persendirian masih tertakluk terhadap pengecualian pembaharuan LKM dan lesen memandu dalam tempoh PKP seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong pada 24 Mac lepas.

Bagaimanapun, JPJ telah membenarkan Pos Malaysia untuk menjalankan urus niaga pembaharuan lesen memandu dan LKM bagi kenderaan persendirian.

“JPJ memahami rungutan orang ramai berkenaan dengan pembukaan kaunter urus niaga di pejabat JPJ hanya untuk urusan kenderaan perdagangan dan beberapa jenis urus niaga sahaja,” menurut kenyataan itu.

Pembukaan urus niaga bagi kaunter JPJ dibuat secara berperingkat bagi mengurangkan risiko penyebaran wabak pandemik COVID-19.

“Bagi menyokong kelangsungan ekonomi, pembukaan urus niaga berperingkat ini adalah memfokuskan kepada kenderaan perdagangan ataupun komersial sahaja.

“Seterusnya, secara beransur-ansur JPJ akan membuka kaunter urus niaga bagi urusan lain termasuk berkaitan dengan kenderaan persendirian,” menurut JPJ.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ buka kaunter mulai 29 April bagi kenderaan dagangan

KUALA LUMPUR, 27 APRIL: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka perkhidmatan kaunternya bermula Rabu ini, khusus untuk urusan kenderaan perdagangan meliputi barangan, pelancongan dan perkhidmatan awam.

JPJ dalam kenyataan hari ini berkata perkhidmatan dari 8 pagi hingga 1 tengah hari tidak melibatkan kenderaan persendirian, teksi dan e-panggilan buat masa ini, bagi mengelakkan berlaku ketidakpatuhan garis panduan yang ditetapkan, iaitu jarakan sosial selain mengelakkan berlaku kekesakan di kaunter.

Urusan yang akan dilaksanakan adalah pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), pembaharuan Lesen Memandu Malaysia dan Lesen Vokasional (GDL dan PSV) serta penyelesaian senarai hitam dan pembayaran saman membabitkan LKM, GDL dan PSV.

“Bagi pemandu kenderaan persendirian, teksi dan e-panggilan, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pengecualian pembaharuan LKM yang diberikan sebelum ini masih berkuatkuasa serta terpakai, dengan syarat kenderaan mereka mempunyai perlindungan insurans yang sah, sepanjang perkhidmatan dan pengoperasian,” menurut kenyataan itu.

Kaunter JPJ yang terlibat adalah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) di Wangsa Maju, serta cawangan Bandar Sri Permaisuri dan Manjalara bagi WPKL; JPJ Negeri Sembilan di Seremban serta cawangan Kuala Pilah dan Jempol di Negeri Sembilan; manakala di Johor adalah JPJ Negeri Johor serta cawangan Muar, Segamat, Batu Pahat, Kluang, Pontian dan Mersing.

Di Pulau Pinang, ia melibatkan JPJ Seberang Jaya dan Batu Uban; JPJ Bukit Katil bagi Melaka dan JPJ Negeri Perlis bagi negeri Perlis, JPJ Kelantan bagi negeri Kelantan, JPJ Terengganu bagi negeri Terengganu dan JPJ Wilayah Persekutuan Labuan, di Labuan.

Kaunter lain yang dibuka ialah JPJ Negeri Kedah serta cawangan Sungai Petani dan Langkawi bagi Kedah; JPJ Shah Alam serta cawangan Petaling Jaya, Bangi, Banting, Kuala Kubu Bahru dan Sabak Bernam di Selangor; JPJ Pahang serta cawangan Temerloh dan Raub bagi Pahang, dan JPJ Ipoh serta cawangan Taiping, Manjung dan Teluk Intan bagi negeri Perak.

Di Sarawak, kaunter yang dibuka adalah di JPJ Kuching serta cawangan Sri Aman, Sarikei, Bintulu, Sibu dan Miri manakala di Sabah, kaunter terlibat ialah JPJ Sabah di Kota Kinabalu selain cawangan Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Keningau, Beaufort dan Kota Marudu.

Menurut kenyataan itu lagi, perkhidmatan lain di kaunter akan dimaklumkan berdasarkan perkembangan semasa pandemik COVID-19 dan keputusan kerajaan mengenai PKP.

“Orang ramai yang berurusan di kaunter JPJ dinasihatkan mematuhi garis panduan pencegahan COVID-19 yang telah ditetapkan dan mereka digalakkan menggunakan kaedah pembayaran secara e-payment,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ keluar 577 notis advokasi kerusi keselamatan kanak-kanak

PUTRAJAYA, 30 JAN: Jabatan Pengangkutan Jalan mengeluarkan 577 notis advokasi kepada pemandu kenderaan persendirian yang membawa kanak-kanak tanpa kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) sejak peraturan itu diwajibkan pada 1 Januari lalu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata walaupun tiada saman dikeluarkan sehingga Jun ini, namun notis advokasi itu dikeluarkan bagi menasihati pemandu untuk menggunakan CRS ketika membawa penumpang kanak-kanak.

“Ini hanya notis advokasi, bukan saman. Kalau ada saman tolong tunjukkan. Kita sudah jangka tidak mudah untuk mendapat kerjasama atau pematuhan sepenuhnya dalam nak memperkenalkan satu peraturan baru,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Loke yang sebelum itu menyaksikan Majlis Memeterai Perjanjian bagi Pajakan dan Pembangunan Hotel Grand Majestic antara Perbadanan Aset Keretapi dengan Majujaya Hebat Sdn Bhd, berkata pendekatan ‘soft landing’ diambil bagi memberi masa lebih panjang kepada ibu bapa dan pengguna untuk memahami keperluan CRS.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 23 Oktober lalu mengumumkan CRS wajib digunakan dalam kereta persendirian bermula 1 Januari 2020.

Kanak-kanak yang mempunyai ketinggian 135 sentimeter ke bawah diwajibkan menggunakan CRS mengikut tahap ketinggian dan berat berdasarkan Peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu R44 dan R129.

Langkah itu susulan statistik yang membimbangkan apabila sebanyak 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari tahun 2007 hingga 2017.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tindakan jika tiada kerusi keselamatan kanak-kanak mulai Jun

SHAH ALAM, 23 JAN: Pengkuatkuasaan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) akan dilaksanakan sepenuhnya Jun ini, kata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata pengguna jalan raya yang membawa kanak-kanak perlu menggunakan CRS bermula 1 Januari lalu, lapor Harian Metro.

“Pada peringkat awal, JPJ tidak membuat penguatkuasaan secara langsung sebaliknya lebih kepada pencegahan dan memberi khidmat nasihat.

“Hal ini akan berterusan sehingga Jun dan selepas itu barulah kita akan lihat apa tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil,” katanya yang menambah sebanyak 525 notis peringatan dikeluarkan kepada kenderaan yang membawa kanak-kanak tanpa CRS untuk dimasukkan dalam pengkalan data.

Bermula 1 Januari lalu, kerajaan mewajibkan penggunaan CRS di dalam kenderaan bagi menyelamatkan kanak-kanak daripada kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan.

Langkah baharu itu susulan statistik membimbangkan apabila sebanyak 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak bawah 10 tahun dari 2007 hingga 2017.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sistem pemanduan komputer JPJ dilaksana Jun

SHAH ALAM, 23 JAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan sistem pemanduan pengkomputeran atau ‘e-testing’ di seluruh negara selewat-lewatnya Jun ini, kata ketua pengarahnya.

Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata pegawai penguji JPJ akan duduk di bilik kawalan institut memandu dan calon yang sedang diuji akan berada di dalam kereta berseorangan.

“Untuk mengambil ujian memandu calon perlu melalui tiga peringkat iaitu belajar dalam kelas, di litar dan jalan raya. Sesi pembelajaran di dalam kelas dan jalan raya tiada perubahan, cuma sesi belajar di dalam litar ada sedikit perubahan.

“Sekiranya calon yang sedang diuji terlanggar tiang atau melakukan kesalahan lain, pegawai akan terus nampak di dalam bilik kawalan terbabit,” katanya lapor Harian Metro.

Beliau berkata langkah itu dapat mengelakkan calon dan pegawai yang ditugaskan untuk berurusan secara terus serta mengelakkan isu kritikal daripada terjadi.

Sehingga kini, 145 institut memandu layak ditawarkan bagi membuat e-testing dan daripada jumlah itu, 122 institut sudah memohon.

Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ: Tindakan tegas pemandu tidak patuh peraturan e-hailing

PUTRAJAYA, 10 OKT: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menguatkuasakan peraturan e-hailing secara tegas apabila pelaksanaannya bermula 12 Oktober ini, kata Pengarah Penguatkuasa JPJ Khairul Anwar Bachok.

Beliau berkata pemandu kenderaan e-hailing diberi masa mencukupi bagi mematuhi peraturan dan syarat ditetapkan kerajaan termasuk tempoh tiga bulan untuk pendekatan secara pemantauan dan pendidikan.

Alasan pemandu tidak cukup masa untuk mematuhi peraturan ditetapkan tidak boleh diterima kerana mereka telah diberi peringatan serta dibenarkan terus beroperasi dalam tempoh tiga bulan penguatkuasaan secara advokasi sejak Julai lalu, katanya.

“Pada saya, masa yang diberi mencukupi. Kita tidak boleh terus berlembut dalam soal penguatkuasaan peraturan dan undang-undang bagi mengelak dituduh sebagai tidak tegas,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan operator e-hailing mempersoalkan dua peraturan baharu JPJ iaitu penukaran kod kenderaan kepada ‘AH’ (e-hailing persendirian) dan pemandu mesti mencetak Permit Kenderaan E-hailing (eVP) dengan berurusan di kaunter JPJ.

Mereka mendakwa tidak mempunyai masa yang cukup untuk berbuat demikian jika peraturan itu dikuatkuasakan pada Sabtu ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook semalam dilaporkan berkata penukaran kod kenderaan ke ‘AH’ dan mencetak eVP tidak perlu dilakukan pemandu atau pemilik kenderaan terbabit dan mereka juga tidak perlu ke JPJ untuk melakukan urusan berkenaan kerana ia akan didaftarkan secara automatik dalam sistem mySIKAP.

Sementara itu, Khairul Anwar berkata sebanyak 11 bas pekerja dan sebuah van persendirian yang beroperasi mengambil penumpang di Putrajaya ditahan dalam satu operasi yang dijalankan jabatan itu di sini petang semalam.

Beliau berkata kesemua kenderaan itu disita kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, antaranya lesen kenderaan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan tiada lesen memandu.

“Ini adalah kesalahan serius kerana melibatkan kelestarian keselamatan jalan raya dan tindakan tegas akan diambil kepada pemandu dan syarikat terbabit,” katanya serta menambah kesemua pemandu terbabit adalah warga tempatan berumur antara 20 dan 32 tahun.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan sedia kaji arahan henti perbaharui cukai jalan di pejabat pos

MIRI, 2 SEPT: Kementerian Pengangkutan bersedia meneliti semula arahan pemberhentian urus niaga pembaharuan cukai jalan membabitkan kenderaan persendirian 2,000 cc ke atas di pejabat pos Sarawak, Sabah, Pulau Langkawi dan Labuan yang berkuat kuasa semalam.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, satu pertemuan dengan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid akan diadakan dalam minggu ini untuk melihat sama ada arahan terbabit wajar diteruskan atau tidak.

“Ini cadangan JPJ bukan arahan Menteri Pengangkutan, saya faham JPJ bertindak demikian untuk mengurangkan ketirisan pendapatan kerajaan kerana ada kenderaan berdaftar di Semenanjung memperbaharui cukai jalan di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ibu Pejabat DAP Miri, hari ini.

Loke berkata, JPJ mengesan terdapat pemilik kenderaan 2,000 cc ke atas dari Semenanjung yang mengambil kesempatan kadar cukai jalan murah di Sarawak dan Sabah dengan memperbaharui cukai jalan di pejabat pos di kedua-dua negeri terbabit.

Beliau berkata, pada masa sama kepentingan masyarakat di Sarawak dan Sabah perlu diambil kira dalam isu ini kerana memerlukan saluran yang banyak untuk memperbaharui cukai jalan berikutan ada sesetengah kawasan tidak mempunyai pejabat JPJ.

“Ketiadaan pejabat JPJ di sesetengah kawasan di kedua-dua negeri ini akan menyukarkan proses pembaharuan cukai jalan bagi penduduk yang tinggal jauh dari lokasi pejabat JPJ negeri atau cawangan,” katanya.

Pengumuman Pos Malaysia berhubung arahan pemberhentian pembaharuan cukai jalan itu tular di media sosial, minggu lalu.

Ia mendapat reaksi negatif netizen terutama yang tinggal di pedalaman Sarawak ekoran tindakan itu didakwa membebankan daripada segi kewangan dan masa serta menambah kesesakan di pejabat JPJ juga Pusat Transformasi Bandar.

Berhubung cadangan pelaksanaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) membabitkan sempadan Malaysia dan Brunei, Loke berkata, setakat ini ia masih dalam peringkat kajian.

Pada 25 April lalu, Ketua Pengarah JPJ mengumumkan cadangan melaksanakan VEP ke atas semua kenderaan asing di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin sempadan Malaysia dan Brunei untuk memudahkan pemantauan kenderaan berdaftar dari negara luar memasuki negara ini.

Ia terutama membabitkan isu saman trafik dengan kertas cadangan akan diserahkan kepada Menteri Pengangkutan, pada tahun ini juga.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ keluarkan 418 notis kesalahan

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Sebanyak 418 notis dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan di sini, malam tadi.

Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata Operasi Pengarah JPJ WPKL Bil 3/2019 selama empat jam itu bermula 8 malam dan disertai 42 pegawai serta anggota agensi berkaitan.

“Sebanyak 956 kenderaan diperiksa sepanjang operasi malam ini, dan 418 notis dikeluarkan antaranya 196 cukai jalan tamat tempoh, 112 tidak mempunyai lesen memandu dan 83 kesalahan cermin gelap.

“Dalam operasi ini juga, kami turut menyita lapan kenderaan atas pelbagai kesalahan,” katanya selepas selesai operasi yang dijalankan di Plaza Tol Sentul Pasar, di sini.

Beliau berkata, pelbagai kesalahan itu boleh dikenakan hukuman sehingga tidak melebihi RM2,000 di bawah Seksyen 119, Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada masa sama, Ismail berkata, terdapat ramai pengguna jalan raya yang masih tidak memahami peraturan penggunaan cermin gelap yang dikuatkuasakan pada Mei lalu.

“Kenderaan motor yang didaftar dan digunakan untuk pengangkutan awam serta barangan, peratus ketelusan cahaya tidak boleh kurang daripada 70 peratus.

“Mana-mana individu boleh memohon menggunakan cermin lebih gelap dan setiap permohonan dikenakan bayaran RM5,000,” katanya.

-BERNAMA