Categories
NASIONAL SELANGOR

Pembinaan Masjid Baru Kota Kemuning Akan Dimasukkan Dalam Bajet 2013

SHAH ALAM 18 SEPT: Penduduk Islam di sekitar Kota Kemuning diharap bersabar untuk melihat sebuah masjid dibina di kawasan berkenaan kerana peruntukkan pembinaannya akan dimasukkan dalam Bajet Negeri Selangor 2013.

Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata masjid baru Kota Kemuning akan diberi keutamaan dalam Bajet 2013 Kerajaan Negeri yang akan dibentangkan November ini dan penduduk diminta menggunakan dahulu surau yang diberikan kebenaran untuk menunaikan solat Jumaat buat sementara waktu.

“Saya sedia maklum keperluan penduduk, kerana itulah saya dan tujuh pengerusi surau menubuhkan Jawatankuasa Pembinaan Masjid Kota Kemuning (JPMKK) sejak akhir 2009.

“Namun demikian, keutamaan pembinaan masjid ketika ini didahulukan kepada penduduk di Taman Sri Muda kerana memohon masjid baru sejak 28 tahun lepas dan Kampung Johan Setia yang sudah memohon sejak 25 tahun lepas berbanding Kota Kemuning yang baru memasuki 11 tahun,” katanya kepada TVSelangor hari ini.

Shuhaimi berkata, sebanyak tiga buah surau di kawasan Kota Kemuning diberikan kebenaran solat jumaat yang diluluskan pada tahun 2010 dan 2011 lalu.

“Kerana keperluan penduduk, maka saya sokong surau Al-Firdaus dan Surau Al-Hijrah dan Surau Kemuning Utama untuk diberi kebenaran solat Jumaat bagi menampung lebih 10,000 penduduk di kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, JPMKK sehingga kini masih mengutip derma yang diberi kebenaran oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sehingga tempohnya tamat.

“Saya menyeru JPMKK agar meneruskan usaha mereka dan bekerjasama lebih erat dengan pejabat saya dan pejabat Ahli Parlimen dalam usaha mendapatkan dana tambahan bagi pembinaan masjid baru itu,” ujarnya.

Isu ini dibangkitkan sebuah akhbar harian yang menyiarkan laporan usaha membina masjid itu terbantut berikutan dana tidak mencukupi walapun cadangan pembinaannya diluluskan lebih setahun lalu.

Sehingga kini dilaporkan JPMKK menerima sumbangan sebanyak RM500,000 daripada pelbagai pihak dengan kos pembinaan masjid baru dianggarkan berjumlah RM5 juta.

Ketika mengulas perkara itu, Shuhaimi berkata, hak mendirikan masjid tertakluk di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri bersama Pejabat Agama Islam Daerah (PAID), JAIS, MAIS dengan pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Jawatankuasa pembinaan masjid hanya boleh mengusulkan cadangan, Kerajaan Negeri melalui MAIS akan memutuskan perkara itu,” katanya lagi.