Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di Johor turun kepada 475

JOHOR BAHRU, 25 JUN: Jumlah mangsa banjir di tiga daerah di Johor berkurangan kepada 475 orang daripada 115 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 575 orang daripada 143 keluarga yang direkodkan malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R.Vidyananthan berkata ini berikutan penutupan dua lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Penerok di Pontian dan SK Tiga Serangkai di Batu Pahat.

“Sehingga kini, daerah Muar masih mencatatkan jumlah mangsa banjir terbanyak iaitu 197 orang daripada 53 keluarga.

“Ini diikuti Batu Pahat dengan sebanyak 158 orang daripada 34 keluarga dan Pontian 120 orang daripada 28 keluarga,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Setakat ini, secara keseluruhan sebanyak sembilan PPS masih beroperasi di tiga daerah berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir di Johor: 1,210 mangsa terjejas di lima daerah

JOHOR BAHRU, 21 JUN: Seramai 1,210 orang daripada 288 keluarga di lima daerah di negeri ini terjejas akibat banjir setakat 8 pagi ini berikutan hujan lebat yang berlarutan selama beberapa jam semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata lima daerah yang terjejas adalah Muar, Batu Pahat, Tangkak, Kluang dan Pontian.

Berikutan itu kesemua mangsa telah dipindahkan ke 18 Pusat Pemindahan Sementara (PPS), menurut beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau turut memaklumkan Pontian mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu 349 orang daripada 85 keluarga yang ditempatkan di empat PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bukit Panjang, SK Parit Hj Adnan, SK Kampung Sawah dan SK Seri Bunian.

Ia diikuti Batu Pahat seramai 343 orang daripada 75 keluarga yang dipindahkan ke tiga PPS iaitu SK Agama Air Putih, Balai Raya Kampung Peserai dan Sekolah Agama Tiga Serangkai.

“Di Muar pula, seramai 276 orang daripada 65 keluarga ditempatkan di lima PPS iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Maharani, SK Parit Nawi, SK Tanjung Tohor, SK Orang Kaya Ali dan SK Batu 18,” katanya.

Beliau berkata 207 mangsa daripada 59 keluarga di Kluang pula ditempatkan di empat PPS iaitu SK Simpang, SK Sri Kencana Simpang Renggam, SMK Dato Abdul Rahman Andak dan Sekolah Agama Komplek Penghulu.

“Seramai 35 keluarga daripada empat keluarga di Tangkak pula ditempatkan di SK Parit Bunga dan SK Tanjung Gading 5,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Kes keseluruhan di Indonesia 41,431, korban 2,276

JAKARTA, 17 JUN: Kes positif Covid-19 di Indonesia terus meningkat melepasi angka 41,000 dengan angka kematian kini berjumlah 2,276 orang.

Menurut jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, 1,031 tambahan kes positif baharu di seluruh Indonesia dilaporkan dengan 45 lagi kematian berlaku.

“Kes positif kini berjumlah 41,431 manakala sebanyak 13,279 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19,” katanya dalam sidang media harian yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian tertinggi keseluruhan iaitu 651 kes, diikuti provinsi Jakarta (563 kes), Jawa Barat (169), Kalimantan Selatan (141) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: 682 kes baharu di Singapura, keseluruhan 28,038

SINGAPURA, 17 MEI: Singapura mengesahkan 682 kes baharu Covid-19, dengan hanya empat kes melibatkan rakyat Singapura atau penduduk tetap.

Data awal setakat tengah hari ini mencatatkan jumlah kes di republik ini seramai 28,038 orang.

Kementerian Kesihatan (MOH) republik ini dalam satu kenyataan mengumumkan peningkatan yang banyak itu melibatkan pemegang permit kerja yang ditempatkan di asrama pekerja asing.

Kementerian itu masih mengkaji butiran kes berkenaan dan akan dikemaskini kemudian hari ini.

Singapura mengklafikasi kes kepada 1,306 kes komuniti, 580 kes import, 361 kes melibatkan pekerja asing yang tinggal di luar asrama dan 25,109 kes pekerja asing yang ditempatkan di asrama.

-BERNAMA