Categories
AGENDA NASIONAL

Hantar baju, kuih raya antara alasan dikesan polis cuba rentas daerah, negeri

PETALING JAYA, 10 MEI: Polis mengesan pengguna jalan raya menggunakan pelbagai alasan tidak munasabah seperti menghantar baju dan kuih raya untuk membolekan mereka merentas daerah dan negeri tanpa surat kebenaran.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata pihaknya tidak mengenakan kompaun sebaliknya mengarahkan individu terlibat untuk berpatah balik.

Beliau berkata bagi pemandu yang ingkar, tindakan kompaun akan dikenakan serta-merta tanpa kompromi.

“Kami sudah mulakan (sekatan jalan raya) daripada semalam (9 Mei) dan mendapati setakat ini masih ramai pengguna jalan raya yang berdegil untuk merentas negeri dengan tujuan tidak sepatutnya dan mereka diarahkan untuk berpatah balik.

“Antara alasan mereka seperti hantar baju ke rumah kawan di Shah Alam, beli barang, bawa keluarga untuk beli-belah di kawasan Shah Alam,” katanya kepada Bernama selepas menjalankan tinjauan di sekatan jalan raya (SJR) di KM34 Lebuhraya Persekutuan malam tadi.

Beliau berkata bagi melancarkan pergerakan lalu lintas waktu hari bekerja, pihaknya akan membuka laluan tambahan namun pemeriksaan ketat tetap dijalankan seperti biasa.

Mohamad Fakhrudin turut menasihatkan orang ramai agar mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, tinjauan Bernama di Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol Sungai Besi mendapati aliran trafik di beberapa laluan utama keluar masuk ibu negara terkawal walaupun berlaku sedikit kesesakan susulan pemeriksaan ketat dilakukan polis dalam SJR.

Pada Sabtu lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan semua aktiviti rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan tanpa kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula 10 Mei hingga 6 Jun ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Enam daerah di Selangor dikenakan PKP, tiga lagi kekal PKPB

SHAH ALAM, 4 MEI: Enam daripada sembilan daerah di Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 6 hingga 17 Mei, kata menteri kanan keselamatan.

Enam daerah itu ialah Petaling, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Sepang. Tiga daerah lagi, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor kekal dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Pergerakan merentas negeri dan daerah tidak dibenarkan kecuali berkaitan kecemasan, kematian dan kerja.

“Operasi bazar Ramadan masih dibenarkan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat. Walau bagaimanapun, keputusan untuk meneruskan atau menutup bazar di bawah kuasa Kerajaan Negeri,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dalam sidang media hari ini.

Ismail Sabri berkata keputusan itu dibuat susulan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 di Selangor selain mahu rantaian penularan diputuskan.

Menurut beliau, sejak 20 April hingga 4 Mei lalu, kes Covid-19 di negeri ini mencatat jumlah jangkitan yang tinggi.

“Kerajaan Selangor menerusi Dato’ Menteri Besar dan Majlis Keselamatan Negeri membentangkan cadangan untuk melaksanakan PKP.

“Setelah merujuk kepada laporan dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia, maka sidang khas MKN setuju laksanakan PKP di enam daerah terbabit,” katanya.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir di Johor: 1,210 mangsa terjejas di lima daerah

JOHOR BAHRU, 21 JUN: Seramai 1,210 orang daripada 288 keluarga di lima daerah di negeri ini terjejas akibat banjir setakat 8 pagi ini berikutan hujan lebat yang berlarutan selama beberapa jam semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata lima daerah yang terjejas adalah Muar, Batu Pahat, Tangkak, Kluang dan Pontian.

Berikutan itu kesemua mangsa telah dipindahkan ke 18 Pusat Pemindahan Sementara (PPS), menurut beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau turut memaklumkan Pontian mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu 349 orang daripada 85 keluarga yang ditempatkan di empat PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bukit Panjang, SK Parit Hj Adnan, SK Kampung Sawah dan SK Seri Bunian.

Ia diikuti Batu Pahat seramai 343 orang daripada 75 keluarga yang dipindahkan ke tiga PPS iaitu SK Agama Air Putih, Balai Raya Kampung Peserai dan Sekolah Agama Tiga Serangkai.

“Di Muar pula, seramai 276 orang daripada 65 keluarga ditempatkan di lima PPS iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Maharani, SK Parit Nawi, SK Tanjung Tohor, SK Orang Kaya Ali dan SK Batu 18,” katanya.

Beliau berkata 207 mangsa daripada 59 keluarga di Kluang pula ditempatkan di empat PPS iaitu SK Simpang, SK Sri Kencana Simpang Renggam, SMK Dato Abdul Rahman Andak dan Sekolah Agama Komplek Penghulu.

“Seramai 35 keluarga daripada empat keluarga di Tangkak pula ditempatkan di SK Parit Bunga dan SK Tanjung Gading 5,” katanya.

-BERNAMA