Categories
RENCANA WAWANCARA

Tak lapuk dek zaman, pelihara khat dan kaligrafi Cina

Oleh Nur Fadhilah Hamzah

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Bak kata pepatah Melayu ‘tak kenal maka tak cinta’, itulah yang boleh dikatakan polemik berkaitan tulisan khat atau seni kaligrafi apabila ia dicadang diperkenalkan dalam kurikulum sekolah.

Bagi pengamal kaligrafi, kedua-dua tulisan khat dan seni kaligrafi merupakan keindahan warisan dan tradisi unik bersama identiti masyarakat masing-masing yang harus dihargai dan dikekalkan.

Yap Poh Yen, 25, yang mendalami kaligrafi Cina sejak berumur 8 tahun dan berguru dengan Kerk Won Hoo, pakar lukisan dan kaligrafi Cina tersohor di Malaysia, berpendapat golongan muda haruslah didedahkan dengan seni penulisan ini agar tidak hilang ditelan zaman.

“Kita harus memelihara dan menyebarkan budaya ini kepada anak muda supaya mereka dapat meneruskan seni kaligrafi ini agar ia tidak hilang ditelan arus semasa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Gadis yang berasal dari Klang, Selangor itu berkata seni khat dan kaligrafi itu sendiri boleh mencetus kreativiti si penulis.

Beliau berkata seni kaligrafi Cina memaparkan lukisan 12 haiwan zodiak dalam kalendar lunar Cina, alam semula jadi dan lakaran kata-kata hikmah yang membawa pengajaran dalam hidup bagi mereka yang membacanya.

“Sebagai contoh semasa Tahun Baharu Cina, kata-kata dalam kaligrafi itu membawa aura positif, nasib yang baik dan memberkati ahli keluarga dengan harapan perniagaan mereka akan baik sepanjang tahun,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Seni Khat Kebangsaan Dr Abdul Rahman Hamzah pula berkata persamaan antara tulisan khat dan kaligrafi Cina adalah kedua-duanya menyampaikan mesej positif untuk tatapan umum selain menampilkan nukilan kreatif.

“Khat mengabadikan ayat al-Quran serta kata-kata hikmah. Jadi, ini berlaku di mana-mana tamadun sama seperti tulisan kaligrafi masyarakat Cina,” katanya yang juga Pensyarah Kanan Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.

Abdul Rahman yang sudah berkecimpung dalam arena penulisan khat lebih 30 tahun juga mengakui kedua-dua seni ini melatih penulisnya untuk bersabar semasa berkarya di samping mengawal emosi bagi menghasilkan lakaran tulisan yang cantik.

“Ia melatih diri kita untuk bertenang dan bersabar kerana aktiviti melukis dan menulis kaligrafi dengan cantik ini ibarat satu meditasi,” katanya.

Beliau yang memperoleh dilpoma seni khat daripada Madrasah Tahsin Al-Khutut, Kaherah, Mesir berpendapat timbul satu kepuasan dalam diri apabila ‘bermain’ dengan berus, dakwat dan warna ke atas kanvas lukisan semasa menghasilkan sesuatu seni tulisan khat.

Abdul Rahman menambah, di sebalik persamaan, perbezaan ketara dalam kedua-dua seni ini pula adalah dari segi peralatan dan gaya tulisan.

“Alat yang digunakan tidak sama kerana tulisan Cina menggunakan berus yang lembut, jadi apabila direndam dalam dakwat berusnya dibiarkan kembang dan akan dihaluskan mengikut pergerakan berus yang berada di hujung pen.

“Khat pula menggunakan pen dengan lebar mata yang tetap jadi ukuran mata pen itu 5 milimeter misalnya, jadi sepanjang tulisan itu, itulah lebarnya.

“Khat ini cara mengindahkannya tidak sama dengan tulisan Cina. Kalau tulisan Cina, dari atas ke bawah manakala tulisan khat dari kanan ke kiri,” tambahnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Saranan perkenal kaligrafi lain dipertimbang

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Kementerian Pendidikan bersedia mempertimbangkan keperluan memperkenal kaligrafi lain selain seni dan tulisan khat dalam kurikulum sekolah di negara ini.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, perkara itu boleh dibincangkan secara terperinci memandangkan negara terdiri daripada pelbagai kaum yang memiliki identiti kesenian masing-masing.

“Menarik untuk dibincangkan memandangkan dalam pendidikan seni kita menitikberatkan kesenian daripada pelbagai etnik di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Maszlee berkata demikian apabila ditanya kemungkinan kerajaan memperkenalkan seni kaligrafi lain seperti kaligrafi Cina kepada pelajar sekolah di negara ini.

Cadangan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan khat dalam kurikulum sekolah menimbulkan pelbagai reaksi, bagaimanapun kementerian itu bertegas bahawa pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat di sekolah vernakular akan dilaksanakan tahun hadapan seperti dijadual.

Pengenalan itu turut disambut baik Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan bantahan mengenai perkara itu hanya melibatkan sebahagian kecil masyarakat.

Perdana Menteri dilaporkan berkata kerajaan berpegang kepada dasar kemakmuran bersama dan tidak pernah menghalang penggunaan tulisan bahasa lain.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan pengarang media cetak dan elektronik berbahasa Cina bagi membincang serta memberi penjelasan terperinci mengenai pengenalan tulisan jawi.

“Kita telah berbincang dengan beberapa editor akhbar Cina… kita bincang secara terperinci menjelaskan tentang apa yang kita lakukan dan beberapa perkara yang dibaik pulih agar pengajaran tidak membebankan murid dan guru,” katanya.

– BERNAMA