Categories
RENCANA WAWANCARA

Tak lapuk dek zaman, pelihara khat dan kaligrafi Cina

Oleh Nur Fadhilah Hamzah

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Bak kata pepatah Melayu ‘tak kenal maka tak cinta’, itulah yang boleh dikatakan polemik berkaitan tulisan khat atau seni kaligrafi apabila ia dicadang diperkenalkan dalam kurikulum sekolah.

Bagi pengamal kaligrafi, kedua-dua tulisan khat dan seni kaligrafi merupakan keindahan warisan dan tradisi unik bersama identiti masyarakat masing-masing yang harus dihargai dan dikekalkan.

Yap Poh Yen, 25, yang mendalami kaligrafi Cina sejak berumur 8 tahun dan berguru dengan Kerk Won Hoo, pakar lukisan dan kaligrafi Cina tersohor di Malaysia, berpendapat golongan muda haruslah didedahkan dengan seni penulisan ini agar tidak hilang ditelan zaman.

“Kita harus memelihara dan menyebarkan budaya ini kepada anak muda supaya mereka dapat meneruskan seni kaligrafi ini agar ia tidak hilang ditelan arus semasa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Gadis yang berasal dari Klang, Selangor itu berkata seni khat dan kaligrafi itu sendiri boleh mencetus kreativiti si penulis.

Beliau berkata seni kaligrafi Cina memaparkan lukisan 12 haiwan zodiak dalam kalendar lunar Cina, alam semula jadi dan lakaran kata-kata hikmah yang membawa pengajaran dalam hidup bagi mereka yang membacanya.

“Sebagai contoh semasa Tahun Baharu Cina, kata-kata dalam kaligrafi itu membawa aura positif, nasib yang baik dan memberkati ahli keluarga dengan harapan perniagaan mereka akan baik sepanjang tahun,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Seni Khat Kebangsaan Dr Abdul Rahman Hamzah pula berkata persamaan antara tulisan khat dan kaligrafi Cina adalah kedua-duanya menyampaikan mesej positif untuk tatapan umum selain menampilkan nukilan kreatif.

“Khat mengabadikan ayat al-Quran serta kata-kata hikmah. Jadi, ini berlaku di mana-mana tamadun sama seperti tulisan kaligrafi masyarakat Cina,” katanya yang juga Pensyarah Kanan Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.

Abdul Rahman yang sudah berkecimpung dalam arena penulisan khat lebih 30 tahun juga mengakui kedua-dua seni ini melatih penulisnya untuk bersabar semasa berkarya di samping mengawal emosi bagi menghasilkan lakaran tulisan yang cantik.

“Ia melatih diri kita untuk bertenang dan bersabar kerana aktiviti melukis dan menulis kaligrafi dengan cantik ini ibarat satu meditasi,” katanya.

Beliau yang memperoleh dilpoma seni khat daripada Madrasah Tahsin Al-Khutut, Kaherah, Mesir berpendapat timbul satu kepuasan dalam diri apabila ‘bermain’ dengan berus, dakwat dan warna ke atas kanvas lukisan semasa menghasilkan sesuatu seni tulisan khat.

Abdul Rahman menambah, di sebalik persamaan, perbezaan ketara dalam kedua-dua seni ini pula adalah dari segi peralatan dan gaya tulisan.

“Alat yang digunakan tidak sama kerana tulisan Cina menggunakan berus yang lembut, jadi apabila direndam dalam dakwat berusnya dibiarkan kembang dan akan dihaluskan mengikut pergerakan berus yang berada di hujung pen.

“Khat pula menggunakan pen dengan lebar mata yang tetap jadi ukuran mata pen itu 5 milimeter misalnya, jadi sepanjang tulisan itu, itulah lebarnya.

“Khat ini cara mengindahkannya tidak sama dengan tulisan Cina. Kalau tulisan Cina, dari atas ke bawah manakala tulisan khat dari kanan ke kiri,” tambahnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

NUTP: Khat terap nilai warisan dan identiti negara

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berpandangan bahawa pengenalan seni khat bertujuan menerapkan nilai warisan Bahasa Melayu dan identiti negara serta tidak sepatutnya dicetuskan sehingga mengundang kontroversi.

Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock berkata, seni Tulisan Jawi, Cina dan Tamil dikenali murid tahun 1 pada 2011 sejak Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dilaksanakan.

“Justeru adalah tidak wajar ia dijadikan sebagai isu sehingga mengundang kepada kontroversi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 2015 pula seni tulisan berkenaan diperkenal dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun 5 untuk Sekolah Kebangsaan di bawah tema ‘Menghargai Budaya Bangsa’.

“Tahun ini adalah tahun semakan KSSR Tahun 4, maka golongan profesional perlu melakukan perbincangan dan mencari jalan supaya pembelajaran seni khat tidak membebankan murid.

“Kita mahu memupuk gaya penulisan indah menjelang 2020,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Cadangan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan khat dalam kurikulum sekolah menimbulkan pelbagai reaksi.

Bagaimanapun, kementerian itu bertegas bahawa pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat di sekolah vernakular akan dilaksanakan tahun hadapan seperti dijadual.

Pengenalan itu turut disambut baik Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan bantahan dalam perkara berkenaan hanya membabitkan sebahagian kecil masyarakat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Penggunaan khat di sekolah boleh diteruskan

MELAKA, 3 OGOS: Penggunaan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat boleh diteruskan, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Merujuk bantahan sesetengah pihak mengenai perkara itu, Perdana Menteri berkata, ia hanya membabitkan sebahagian kecil masyarakat.

Beliau berkata, kerajaan berpegang kepada dasar kemakmuran bersama dan tidak pernah menghalang penggunaan tulisan bahasa lain.

“Kita tak pernah bantah tulisan lain (termasuk) dalam bahasa Cina kerana ini adalah sesuatu yang istimewa di negara kita ini.

“Tulisan bahasa Cina tidak dibenarkan di negara lain seperti Indonesia umpamanya, Filipina dan Thailand, mereka guna tulisan mereka,” katanya menjawab pertanyaan seorang peserta Townhall Semarak Merdeka bersama Perdana Menteri, di sini mengenai bantahan penggunaan tulisan khat.

Kenyataan Perdana Menteri itu menerima tepukan gemuruh ratusan hadirin pada sesi townhall itu yang diadakan sempena kunjungan Dr Mahathir ke Melaka bagi merasmikan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 yang akan berlangsung di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, malam ini.

Media sebelum ini melaporkan beberapa pemimpin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP menggesa anggota Kabinet daripada parti itu membantah rancangan memperkenalkan tulisan khat dalam kurikulum Tahun Empat Bahasa Melayu bermula tahun hadapan.

Bagaimanapun Kementerian Pendidikan dalam kenyataan semalam, menegaskan bahawa pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat akan dilaksanakan tahun hadapan seperti dijadual.

Dr Mahathir berkata, tulisan khat adalah satu seni yang tinggi dan ketika kunjungan beliau ke Turki baru-baru ini, beliau melihat rakyat negara itu amat mahir dalam penulisan khat walaupun mereka juga menggunakan tulisan rumi.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

MB: Jadikan seni khat subjek elektif maahad integrasi

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 OGOS: Maahad integrasi tahfiz sains dan teknologi disaran memperkenalkan kurikulum dalam bidang seni khat Islam sebagai subjek elektif.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bidang pendidikan perlu memainkan peranan bagi mencapai hasrat tersebut.

“Diharapkan graduan maahad boleh meningkatkan tahap kebolehpasaran dalam masyarakat melampaui kegiatan masjid dan madrasah dengan mencipta nilai baru kepada perkembangan Islam yang menyeluruh,” katanya.

Khat1Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama majlis pelancaran buku Institusi Seni Khat: Dari Semenanjung Tanah Arab ke Yayasan Restu di Auditorium Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor.

Katanya, Kerajaan Negeri melihat prinsip ta’dib mesti diterjemahkan dalam kerangka falsafah pendidikan termasuk di institusi pengajian tahfiz.

Ini kerana kurikulum tahfiz sedang menyaksikan anjakan menuntut perkembangan pendidikan lebih holistik termasuk memberikan nilai kepada bidang-bidang kemahiran, teknologi dan kesenian.

EZY

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Seni khat serlah keindahan Islam rahmat seluruh alam

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 OGOS: Keindahan seni khat Islam menjadi cerminan yang membawa risalah keindahan Islam serta menampilkan wajah Islam kepada dunia sebagai Rahmatan lil Alamin.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kejayaan menampilkan risalah keindahan Islam meletakkan Selangor khususnya Shah Alam dalam peta estetik dunia Islam.

Katanya ia memberikan nuansa serta warna khas kepada penghayatan Islam di nusantara yang berteraskan keadilan, kasih sayang dan toleransi.

“Cabaran kepada umat Islam hari ini adalah untuk menggembeleng kembali dan menyalurkan tenaga kepada kegiatan yang produktif, bermanfaat dan berguna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama majlis pelancaran buku Institusi Seni Khat: Dari Semenanjung Tanah Arab ke Yayasan Restu di Auditorium Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor.

Mohamed Azmin turut menyingkap kenangan ketika detik awal penubuhan Yayasan Restu semasa bertugas bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

KhatSelain itu, beliau turut mempertimbangkan memperuntukkan khusus buat Kompleks Seni Islam Antarabangsa ini dalam Belanjawan 2017.

Buku Institusi Seni Khat: Dari Semenanjung Tanah Arab ke Yayasan Restu ditulis Penasihat Kolej Restu, Dr Abd Rahman Hamzah mempunyai 168 muka surat dan diterbitkan YR Publications Sdn Bhd.

Buku ini membincangkan sejarah perkembangan institusi seni khat sejak awal Islam terutama dipelopori guru khat terdahulu.

Turut dikupas dalam buku ini adalah peranan pemimpin dan golongan istana dalam memartabatkan seni khat.

EZY