OLEH NADIAH ZAMLUS
GOMBAK, 19 APR: Kehadiran Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di Kampung Changkat disambut meriah lebih 2,000 masyarakat Minang di situ, semalam.
Mohamed Azmin berkata, melihat masyarakat berkenaan berhimpun ibarat keluarga membuatnya terkenang kisah lama.
Katanya, ibunya dari Kampung Baru mempunyai darah Minang.
“Antara masakannya paling saya gemari adalah Rendang Daging Minang, dan kini saya pula mewarisi bakat memasak rendang daging Minang dari ibu.
“Tetapi saya masak setahun sekali sahaja sebab sudah tidak cukup masa,” katanya.
Pengakuan Mohamed Azmin itu disambut gelak tawa penduduk Minang yang mula berkumpul sejak jam 8 malam.
Mohamed Azmin berkata, rumah lama ibu dan ayahnya juga mempunyai senirekabentuk Minangkabau.
“Jika ke Jakarta, Indonesia, perkara pertama yang saya lakukan adalah mencari masakan Minang.
“Bagi saya orang Minang sangat istimewa kerana mempunyai darah pahlawan, darah yang berani menghadapi cabaran tanpa getar,” katanya.