Categories
SELANGOR

KDEBWM berjaya stabil, tingkat kualiti kebersihan di MPAJ

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 24 FEB: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) berjaya menstabilkan operasi kutipan sampah dan pembersihan awam dalam tempoh singkat dan prestasi baik itu diharapkan mampu terus dipertingkat.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abd Hamid Hussain, berkata anak syarikat Kerajaan Negeri bekerjasama rapat dengan pihaknya dalam memastikan kawasan Ampang Jaya bersih dan harmoni dengan tindakan efisien juga bertindak pantas menyelesaikan aduan diterima tanpa mengira waktu.

“Statistik aduan dari semasa ke semasa semakin menurun dan diuruskan atau diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

“Sehingga kini statistik keseluruhan diterima MPAJ mengenai kutipan sisa pepejal domestik dan pembersihan awam bagi tahun lalu adalah 1.178 dan dari jumlah itu 1,138 dapat diselesaikan dan 40 lagi dalam peringkat penyelesaian.

“Bagi tahun ini sehingga Januari lalu, 70 aduan diterima dan telah diselesaikan,” katanya dalam Majlis Menandatagani Perjanjian Perkhidmatan Pengurusan Pembersihan Awam di antara MPAJ dan KDEBWM di sini, semalam.

KDEBWM memulakan perkhidmatan di MPAJ bagi kerja kutipan sampah domestik mulai 1 Mac tahun lalu dan bagi pemberihan awam (1 Disember tahun lalu).

MPAJ adalah PBT kedua bersama Majlis Perbandaran Selayang mendapatkan perkhidmatan KDEBWM dilantik Kerajaan Negeri sebagai Syarikat Pengurusdan Projek (PMC) selepas kejayaan projek perintis di Majlis Perbandaran Klang pada 1 Julai 2016.

Beliau berkata, perjanjian tujuh tahun bersama KDEBWM itu bakal membawa MPAJ kle satu era baru di dalam pemngurusan sisa pepejal domestik di mana anak syarikat Kerajaan Negeri itu telah menjanjikan satu pembaharuan dan modus operandi di dalam operasi khususnya pengguaan lori kompaktor baru dilengkapi pelbagai gajet dan sistem canggih digunakan semua sub-kontraktor.

“Diharap kedua-dua pihak dapat terus bekerjasama sebagai satu pasukan bagi memastikan mutu perkhidmatan kutipan sisa pepejal di MPAJ sentiasa pada tahap terbaik dan seterusnya memastikan seluruh Ampang Jaya akan sentiasa bersih dan sihat,” katanya.

Dalam majlis itu, KDEBWM memperkenalkan kenderaan Armroll baru dengan tong RORO dan jentera Road Sweeper yang julung kali diguna pakai di PBT di Selangor serta menyumbang 500 tong MGL 120L untuk penduduk Ampang Jaya.

Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Iskandar Abdul Samad mewakili Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembanngunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar Selangor, Raja Shahreen Raja Othman.

=EZY=

Categories
PBT SELANGOR

KDEBWM diharap tingkat tahap kebersihan di MPAJ

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 24 FEB: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) diharap mampu memberikan perkhidmatan terbaik bagi pengurusan pembersihan sampah dan sisa pepejal di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini.

Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata pengambilalihan perkhidmatan berkaitan olah anak syarikat Kerajaan Negeri itu daripada MPAJ diyakini akan meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan dan tahap kebersihan di sini.

“Diharap dengan perjanjian termeterai dan pengambilalihan ini, kita dapat memberi perkhidmatan lebih baik,” katanya mewakili Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Pengurusan Pembrrsihan Awam di antara MPAJ dan KDEBWM di sini, semalam.

Sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka yang terletak dalam kawasan MPAJ, beliau berkata, KDEBWM memberikan perkhidmatan baik dan mendapat respon positif daripada pihak awam dengan aduan semakin berkurangan.

“Semoga prestasi ini akan dapat dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa,” katanya.

KDEBWM memulakan operasi perkhidmatan pengurusan sampah dan sisa pepejal di kawasan MPAJ bermula Mac tahun lalu manakala kerja pembersihan awam pada Disember tahun lalu.

Pengurus Besar KDEBWM, Ramli Tahir berkata, pihaknya mengambil pendekatan sama dengan menyediakan perkhidmatan dengan kualiti sama untuk semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita akan menyediakan lori kompaktor bagi semua 52 zon yang ada di MPAJ bagi perkhidmatan sampah dan sisa pepejal manakala pembersihan pula, kita sediakan dua jentera baru ‘Road Sweeper’.

“Kita memberikan perkhidmatan dengan kualiti sama untuk semua PBT yang kita ambil alih operasi pengurusan sampah dan pembersihannya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, KDEBWM kini dalam proses untuk mengambilalih perkhidmatan sama daripada enam PBT lagi di Selangor tahun ini.

KDEBWM memulakan projek perintis di Majlis Perbandaran Klang pada Julai 2016 dan seterusnya diperluaskan ke Majlis Perbandaran Selayang dan MPAJ tahun lalu.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah dan Yang Dipertua MPAJ, Abd Hamid Hussain.

=EZY=

Categories
PBT SELANGOR

Dapat reaksi positif, KDEBWM perluas perkhidmatan ke PBT lain

OLEH HAFIZAN TAIB

SEPANG, 12 FEB: Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM) akan memperluaskan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal ke beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Selangor, tahun ini, selepas mendapat reaksi positif rakyat.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, berkata pengambilalihan perkhidmatan berkaitan dibuat anak syarikat Kerajaan Negeri itu daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK) sejak Julai 2016, menunjukkan perubahan seperti disasarkan.

“Selepas pengambilalihan itu, kita mendapat maklum balas positif daripada rakyat kerana kita tahu sebelum ini memang Klang berdepan isu kebersihan dan perkara berkaitan.

“Perubahan berlaku ini turut menarik minat PBT lain di Selangor bagi mendapatkan perkhidmatan KDEBWM dan kita akan memperluaskannya bagi tujuan ini,” katanya kepada SelangorKini.

Selepas MPK, KDEBWM turut mengembangkan perkhidmatan pengurusan sisa pepejalnya ke Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) tahun lalu.

=EZY=

Categories
SELANGOR

KDEBWM ambil alih pembersihan awam MDKL pada Mac

OLEH SHEEDA FATHIL

SUNGAI BULOH, 10 FEB: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) bakal mengambil alih kerja pembersihan awam di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), awal Mac ini.

Pengurus Besarnya, Ramli Mohd Tahir berkata, pihaknya kini sedang menunggu MDKL untuk melengkapkan prosedur pengambil alihan secara rasmi.

“Kita akan menyediakan lori Roll On Roll Off (RORO) bagi memastikan sampah pukal dapat diangkut dan dibuang, pada setiap hari.

“Kontraktor di setiap kawasan akan memastikan persekitaran sentiasa terjaga dan bersih mengikut masa ditetapkan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci Lori RORO kepada 10 penerima di Kilang Green Concerns Sdn Bhd, di sini, semalam.

Pada masa sama, katanya, 10 lori RORO berkenaan akan diserahkan kepada kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Ramli berkata, pihaknya kini sudah mengambil alih 100 peratus kerja pembersihan di kawasan MPK, bermula awal tahun ini.

Sementara itu, katanya, pada tahun ini pihaknya sedang dalam perbincangan untuk mengambil alih beberapa lagi PBT, di negeri ini.

“Selepas ini, kami akan mengambil alih lebih banyak PBT antaranya Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ),” katanya.

Pada Julai 2016, KDEBWM mula menggalas tanggungjawab mengambil alih pengurusan sisa pepejal di MPK dan berjaya mengurangkan aduan daripada 800 sehingga tujuh, pada Jun lalu.

Pada 1 Mac 2017, KDEBWM mula mengambil alih pembersihan awam di MPK secara berperingkat dan sehingga kini bertanggungjawab sepenuhnya, di Klang.

Pada masa sama, KDEBWM diberi tanggungjawab mengambil alih pengurusan sisa pepejal di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

 

Categories
SELANGOR

KDEBWM ambil alih pembersihan sampah MDKL Mac 2018

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 27 DIS: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) akan mengambilalih pembersihan sampah awam di Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), bermula Mac 2018.

Pengurus Besar KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata, proses pengambilalihan dibuat selepas tempoh kontrak pengurusan lama tamat.

“Untuk rekod, pihak kami telah menghantar pegawai untuk membuat semakan, keperluan lori kompaktor dan proses inventori di kawasan MDKL.

“Selepas selesai semuanya, pengambilalihan akan dibuat pada Mac 2018 ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri mengumumkan Belanjawan Selangor 2018 antara lain memfokuskan usaha meluaskan operasi KDEBWM bagi pengurusan sisa pepejal di PBT lain.

Ia susulan kejayaan pengurusan sampah di Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang diusahakan KDEB Waste Management.

Ramli berkata, pihaknya juga memberi jaminan untuk memberikan perkhidmatan terbaik selaras dengan prinsip Smart Waste Management.

“Kami sedia memberi jaminan terbaik, walaupun pada cuti perayaan atau cuti umum, proses kutipan sampah akan diteruskan kakitangan kerja yang ada.

“Kita tidak boleh membiarkan proses pembersihan tergendala kerana sebagaimana maklum proses kelewatan ini hanya akan memberi kesan kepada kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Pada 1 Mac 2017, KDEBWM mula mengambil alih pembersihan awam di PBT terlibat secara berperingkat.

Keberkesanan pengurusan baru itu menyaksikan aduan berhubung pengurusan sampah berkurangan kepada enam pada Jun lalu, berbanding 227 diterima, Mac lalu.

KDEBWM adalah anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorporated-MBI) yang bertanggungjawab sebagai koordinator pengurusan projek di kawasan pentadbiran MPK, MPAJ dan MPS.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Pengurusan kutipan sampah semakin baik, berjaya ditangani

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 OKT : Kerajaan Negeri menyifatkan masalah isu pengurusan sampah di Selangor berjaya ditangani secara berkesan susulan pelbagai pelaksanaan dan dasar baru diperkenalkan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Mohamed Azmin Ali berkata, kejayaan itu dibuktikan menerusi kurangnya aduan daripada masyarakat awam membabitkan isu pengurusan sampah negeri kini.

“Pengurusan sampah di Selangor sekarang lebih baik sebab pengurusan sampah negeri kini diuruskan Waste Management.

“Ini dibuktikan apabila aduan pengurusan sampah jauh lebih berkurang berbanding tempoh tahun sebelum ini,” katanya kepada pemberita di Laman PKNS, pagi ini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri melantik KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) bagi mengendalikan pengurusan sisa pepejal dengan baik dengan pengurangan aduan, sejak Mac lalu.

Sejak beroperasi, kecekapan KDEBWM dalam pengurusan sisa pepejal serta mempertingkatkan tahap kebersihan di kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan, wajar dipuji.

KDEBWM juga menggunakan aplikasi IClean Selangor bagi pengurusan aduan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal negeri.

Aplikasi ini adalah salah satu daripada inisiatif Kerajaan Negeri melalui program Smart Selangor bagi kemudahan masyarakat.

Dalam perkembangan itu, syarikat itu turut menggunakan lori kompaktor yang akan dipantau pergerakannya melalui penggunaan Automatic Vehicle Locating System (AVLS) secara berpusat di Centralized Command Center (CCC) di KDEBWM di ibu pejabat di Shah Alam.

Categories
SELANGOR

Operasi KDEBWM bertambah baik di Klang

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 26 OKT: Pengurusan sisa pepejal dikendalikan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM), di Klang mendapat maklum balas positif dengan tahap kebersihan bertambah baik, sejak setahun lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, perkembangan setakat ini amat baik dengan Pihak Berkuasa Tempatan itu tidak menerima aduan daripada orang ramai berhubung perkara terbabit.

“Berdasarkan perkembangan itu, maka kita boleh meletakkan kepercayaan bahawa KDEBWM mampu melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.

“Kita berharap pengambilalihan dilakukan KDEBWM akan memberi dan meningkatkan lagi perkhidmatan pembersihan sisa pepejal, di kawasan pentadbiran MPK,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Pembersihan Awam antara MPK dan KDEBWM serta Penyerahan Lori Arm Roll Baru KDEBWM.

Katanya, KDEBWM kini mengendalikan operasi pengurusan itu, di 59 kawasan yang diserahkan secara berperingkat dan MPK akan menyerahkan baki kira-kira 20 kawasan lagi, pada Februari tahun depan.

“Penjanjian pengurusan pembersihan awam antara MPK dan KDEBWM ini selama tujuh tahun.

“Manakala kos operasi dilaksanakan KDEBWM juga bertambah menjadi RM29 juta ekoran penambahan kawasan baru dan skop kerja yang perlu dilakukan berbanding sebelumnya dikendali MPK (RM19 juta),” katanya.

Pengurus Besar KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada MPK atas kepercayaan diberikan kepada anak syarikat Kerajaan Negeri itu bagi mengendalikan pengurusan sisa pepejal, di Klang.

“Kita memulakan pengurusan sisa pepejal, di Klang sejak lebih setahun lalu dan hari ini kita memeterai perjanjian untuk pengurusan pembersihan awam selanjutnya.

“Dengan hubungan dan kerjasama baik daripada MPK, kita yakin pengurusan operasi ini akan berjalan lancar seperti disasarkan,” katanya.

KDEBWM mengambil alih perkhidmatan pengurusan sisa pepejal, di kawasan pentadbiran MPK iaitu projek perintis, pada 1 Julai tahun lalu dan syarkat itu mula mengambil alih perkhidmatan pengurusan pembersihan awam secara berperingkat, di MPK bermula 1 Mac lalu.

Ia mengguna pakai applikasi iClean Selangor bagi pengurusan aduan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, di Klang.

Applikasi itu boleh dimuat turun melalui Android atau App Store untuk memudahkan masyarakat menyalurkan aduan berkaitan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dengan penggunaan teknologi terkini.

Categories
SELANGOR

KDEBWM bakal ambil alih pembersihan awam di MPAJ

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 OKT: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) dijangka mengambil alih 100 peratus kerja pembersihan awam di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), bermula awal Disember ini.

Pengurus Besarnya, Ramli Mohd Tahir berkata, pihaknya kini hanya menunggu lampu hijau daripada MPAJ untuk melengkapkan prosedur pengambil alihan secara rasmi.

Katanya, MPAJ dijangka memutuskan perkara berkenaan menerusi mesyuarat penuh Pihak Berkuasa Tempatan itu, dalam tempoh terdekat.

“Seperti di Majlis Perbandaran Klang (MPK), kita juga akan menyediakan lori Roll On Roll Off (RORO) bagi memastikan sampah pukal dapat diangkut dan dibuang pada setiap hari.

“Begitu juga dengan sapuan, kita akan lakukan setiap hari, lori akan datang alih sampah mengikut prosedur operasi standar (SOP) disediakan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada Julai 2016, KDEBWM mula menggalas tanggungjawab mengambil alih pengurusan sisa pepejal di MPK dan berjaya mengurangkan jumlah aduan daripada 800 sehingga tujuh, pada Jun lalu.

Pada 1 Mac 2017, KDEBWM mula mengambil alih pembersihan awam di MPK secara berperingkat dan sehingga kini bertanggungjawab ke atas 80 peratus kawasan di Klang.

Pada masa sama, KDEBWM diberi tanggungajawab mengambil alih pengurusan sisa pepejal di MPAJ dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Aduan berhubung pengurusan sampah di MPAJ berkurangan kepada enam pada Jun lalu, berbanding 227 diterima, Mac lalu.

KDEBWM adalah anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorporated-MBI) yang bertanggungjawab sebagai koordinator pengurusan projek di kawasan pentadbiran MPK, MPAJ dan MPS.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

KDEBWM siap siaga hadapi sampah haram

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 OKT: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) sedang meneliti kaedah terbaik membendung aktiviti pembuangan sampah haram yang menjejaskan kerja pembersihan awam.

Pengurus Besarnya, Ramli Mohd Tahir berkata, ia termasuk cadangan meletakkan kamera litar tertutup (CCTV) dan penyiasat yang beroperasi 24 jam di kawasan berpotensi.

Katanya, kerjasama penduduk juga perlu dipererat bagi memudahkan penyampaian info dan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan berkenaan.

“Kita dapati pembuangan haram ini kebiasaannya dilakukan di kawasan hulu dan jauh daripada perbandaran serta dilakukan, pada awal pagi untuk mengelak dikesan.

“Jadi, kita perlu memikirkan cara pemantauan 24 jam untuk menangkap mereka yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau diminta mengulas laporan Buletin Utama berhubung pembuangan sampah haram di kawasan Bandar Armada Putra, Pulau Indah baru-baru ini.

Untuk rekod, KDEBWM sudah mengambil alih 100 peratus pengurusan sisa pepejal dan 80 peratus pembersihan awam di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Klang (MPK), setakat ini

Ramli berkata, Bandar Armada Putra bagaimanapun tidak termasuk dalam kawasan seliaan bagi kerja pembersihan awam KDEWBWM dan masih di bawah tanggungjawab kontraktor lantikan MPK.

Katanya, pihaknya hanya akan mengambil alih baki kawasan termasuk Bandar Armada Putra pada 1 Mac 2018, menjadikan syarikat itu bertanggungjawab 100 peratus ke atas pembersihan awam di seluruh Klang.

“Bagaimanapun, kita sudah meneliti kawasan ini dan mendapati aktiviti pembuangan sampah haram ini kerap berulang.

“Jadi, KDEBWM harus mempersiapkan diri dan meneliti kaedah efektif untuk membendungnya,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Pengurusan sampah KDEBWM efektif, aduan kurang di Selayang

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 27 SEPT: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) mengendalikan pengurusan sisa pepejal dengan baik dengan pengurangan aduan di Selayang, sejak Mac lalu.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, berkata dalam tempoh itu, ia membuktikan kecekapan KDEBWM dalam pengurusan sisa pepejal serta mempertingkatkan tahap kebersihan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

“Statistik aduan pada Mac lalu iaitu bulan pertama KDEBWM mengambilalih perkhidmatan kutipan sisa pepejal dari MPS adalah sebanyak 1,300 dan jumlah ini menurun setiap bulan dengan 36 sahaja pada Ogos lalu.

“Syabas kepada warga kerja KDEBWM dan sub kontraktor atas kejayaan ini, diharap prestasi baik ini dapat terus dikekalkan,” katanya.

CP2A9547Beliau berkata demikian dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pukal antara MPS dan KDEBWM dan Penyerahan Lori Kompaktor Baru KDEBWM di lobi MPS di sini, hari ini.

Katanya, perjanjian MPS dan KDEBWM adapah bagi tempoh tujuh tahun bakal membawa MPS ke era baru di dalam pengurusan sisa pepejal di mana KDEBWM menjanjikan pembaharuan dan modus operandi baru di dalam operasi mereka.

“Penggunaan lori kompaktor baru buatan Jepun dilengkapi pelbagai gajet dan sistem canggih untuk digunakan semua sub kontraktor di Selayang.

“Semua lori kompaktor ini akan dipantau pergerakannya melalui penggunaan Automatic Vehicle Locating System (AVLS) yang dipantau secara berpusat di Centralized Command Center (CCC) di KDEBWM di ibu pejabat di Shah Alam.

“KDEBWM juga menggunakan aplikasi IClean Selangor bagi pengurusan aduan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di sini yang mana aplikasi ini adalah salah satu daripada inisitif Kerajaan Negeri melalui program Smart Selangor bagi kemudahan masyarakat,” katanya.

MPS adalah pihak berkuasa tempatan kedua bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) apabila perkhidmatan sisa pepejal diuruskan KDEBWM ini adalah kesinambungan projek perintis di Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada 1 Julai tahun lalu.

Turut hadir, Yang Dipertua MPS, Suliman Abd Rahman; Timbalan Yang Dipertua MPS, Dato’ Juhari Ahmad; Pengarah KDEBWM, Syaiful Azmen Nordin; Pengurus Besar KDEBWM, Ramli Mohd Tahir serta hadirin lain.

=EZY=

Categories
PBT SELANGOR

Kerjasama KDEBWM-MPS tingkat kebersihan Selayang

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 27 SEPT: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berharap jalinan kerjasama dimeterai bersama KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) dapat meningkatkan tahap kebersihan di kawasan itu.

Yang Dipertua MPS, Suliman Abd Rahman, berkata pihaknya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan KDEBWM atas kerjasama itu dengan harapan ia memberi kesan positif dengan masalah sampah dapat diatasi.

“Dengan jentera baru dan segala kemudahan ini, kita berharap KDEBWM bersama MPS serta kerjasama semua ketua jabatan, ahli majlis dan masyarakat mampu mengurangkan masalah sampah di kawasan Selayang.

“Kita juga membuat inisiatif baru terhadap lori sampah MPS iaitu kita sertakan lagu korporat untuk pemberitahuan kepada masyarakat mengenai kehadiran lori sampah di kawasan perumahan dan sebagainya,” katanya kepada media.

CP2A9617Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pukal antara MPS dan KDEBWM serta Penyerahan Lori Kompaktor Baru KDEBWM di lobi MPS di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, MPS turut menerima baki lapan lori kompaktor baru menjadikan jumlah keseluruhan 44 buah.

Sementara itu, Pengurus Besar KDEBWM, Ramli Mohd Tahir merakamkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri diketuai Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan MPS kerana memberi peluang serta menaruh kepercayaan kepada KDEBWM untuk mengendalikan pengurusan sisa pepejal dan pukal di kawasan itu, sejak Mac lalu.

Katanya, sebagai anak syarikat Kerajaan Negeri, memang menjadi hasrat KDEBWM untuk membantu dalam perkara berkaitan dan mendapat kerjasama baik daripada semua pihak.

“Kita memang berazam meningkatkan prestasi dan melakukan segalanya yang termampu bagi memastikan kutipan sampah berjalan lancar.

“Matlamat kita ialah kutipan sampah meningkat menjadi banyak, aduan berkurangan dan Selangor semakin bersih,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pengurusan sampah KDEBWM berkesan, kebersihan meningkat

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 27 SEPT: Pengurusan sisa pepejal dikendalikan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) menunjukkan kesan positif dengan tahap kebersihan meningkat di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan, di Selangor.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, Kerajaan Negeri menaruh keyakinan KDEBWM mampu memberi perkhidmatan membanggakan demi memenuhi keperluan PBT dan masyarakat keseluruhannya.

“Hari ini KDEBWM menjalin kerjasama dengan Majlis Perbandaran Selayang bagi mengurus kutipan sisa pepejal dan pukal, di kawasan ini.

“Jika mengikut statistik, nampak perubahan khususnya penurunan aduan diterima di kawasan ini dan saya berharap prestasi itu dikekalkan kerana ia salah satu janji kepada rakyat untk menjaga kebersihan di seluruh Selangor,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pukal antara MPS juga KDEBWM serta Penyerahan Lori Kompaktor Baru KDEBWM, di lobi MPS, di sini, hari ini.

CP2A9456Hian Wah berkata, setakat ini KDEBWM bekerjasama dengan tiga PBT iaitu Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan MPS dengan anak syarikat Kerajaan Negeri itu mengambil alih pengurusan sampah di kawasan PBT terbabit.

Katanya, KDEBWM menunjukkan prestasi baik dan mendapat sambutan rakyat dengan tahap kebersihan meningkat.

“Dengan pencapaian sebegini, kita akan terus memberi peluang kepada syarikat ini mengambil alih pengurusan sisa pepejal di PBT lain, pada masa depan.

“Aduan berkenaan sampah memang berkurangan kerana Kerajaan Negeri mengarahkan PBT dan KDEBWM bertindak segera juga meningkatkan prestasi mereka,” katanya.

Turut hadir, Yang Dipertua MPS, Suliman Abd Rahman; Timbalan Yang Dipertua MPS, Dato’ Juhari Ahmad; Pengarah KDEBWM, Syaiful Azmen Nordin; Pengurus Besar KDEBWM, Ramli Mohd Tahir serta hadirin lain.

CP2A9745 CP2A9547 CP2A9508